Pages

Wednesday, February 15, 2017

Sinopsis Dan Pengajaran Filem Musang Berjanggut

(SB) MALAY FILM PRODUCTION LTD. Mempersembahkan "Musang Berjanggut" Cheritra Dongeng Bangsawan Seniman Seniwati Utama P.RAMLEE SA'ADIAH Seniman Seniwati Dua AHMAD NISFU UDA UMAR MALIK SUTAN MUDA NYONG ISMAIL MUSTARJO HABSAH BUANG Seniman Seniwati Tiga SHARIFF DOL KEMAT HASSAN RADEN SUDIRO MOMO LATIFF BABJAN JIN ZAINON ALI FIJI M.RAFEE A.RAHIM MAHMOOD AHMAD C. DLL. Screen Play & Bahasa Film P.RAMLEE Lagu-Lagu Ciptaan Gubahan P.RAMLEE Iringan Suara Ghaib RAHMAH RAHMAT AINON RAHMAT AHMAD C P.RAMLEE DAN M.F.P CHORUS Senikata Lagu S.SUDARMAJI Tari Menari NORMADIAH Solek Pakaian MUS MERDUATI Teknik Fotografi R.C. PURUSHOTAM Teknik Suara YAP POH KAI Editor H.R.NARAYANA Art Director MUSTAFA YASSIN Processing WONG HONG PENG Teraju Muda S.SUDARMAJI Fotografi Muda RAHMAN JAIS  Suara Muda CHUA SOH TONG Editor Muda P.V.JOHN HAYAT HARIIS Script Girl TAN QUEE SIM Manager Penerbitan KWEK CHIP JIAN Penasihat Studio H.Y.HSU Manager Studio T.K.LEE Penerbitan RUNME SHAW Teraju P.RAMLEE

Tahun Diedarkan: 1959 (Ogos) 
Masa Tayangan: 1 Jam 50 Minit (lebih kurang)

RINGKASAN CERITA

Negara Pura Cendana diperintah oleh Sultan Alam Shahbana berada dalam keadaan aman dan sentosa. Tetapi Baginda Sultan bersedih hati kerana tidak mempunyai putera atau puteri disebabkan permaisuri Baginda mandul. Sultan Alam Syahbana takut nanti siapa yang akan menggantikan baginda apabila mangkat kelak untuk mengambilalih pemerintahan Pura Cendana. Kerunsingan baginda bagaimanapun terhindar apabila Permaisuri Pura Cendana mencadangkan supaya baginda mengambil anak angkat. Oleh itu, kesemua rakyat yang mempunyai anak lelaki diminta bertanding dan sekiranya baginda bersetuju kanak-kanak tersebut akan dilantik menjadi Raja Muda Pura Cendana. Setelah pertandingan dilaksanakan, Sultan Alam Syahbana memilih anak Kelopak Salak dan dengan serta merta kanak-kanak tersebut diberi nama Tun Nila Utama - Raja Muda Pura Cendana. Dalam proses pembesaran, Tun Nila Utama telah memperlihatkan kehandalan dan kepintarannya terutama bermain senjata. Dan apabila cukup dewasa dia telah dihantar berguru untuk mendalami lagi ilmu dan kesaktiannya.

Apabila pulang setelah menuntut ilmu, Sultan Alam Syahbana mahukan Tun Nila Utama beristeri. Boleh memilih sesiapa saja termasuk anak-anak perempuan pembesar-pembesar Negara Pura Cendana. Bagaimanapun Tun Nila Utama menolak dan menyatakan anak-anak Datuk Menteri tidak layak menjadi isterinya kerana dia menganggap mereka bukannya perempuan tetapi betina. Katanya lagi kepada Baginda Sultan: Perempuan memelihara maruah dan betina menjual maruah." Perbuatan Tun Nila Utama itu menyebabkan baginda Sultan murka dan baginda telah meminta Mamakanda Mangku Bumi supaya memberikan wang 3000 dinar dan memaklumkan yang Tun Nila Utama diberi tempoh setahun untuk membawa perempuan untuk mengadap baginda. Kalau tidak kepala Tun Nila Utama akan dipancung. Sebelum meninggalkan Pura Cendana untuk pergi mengembara mencari perempuan, Tun Nila Utama meminta emaknya mencampuradukkan - beras, bawang putih, cili kering, garam, bawang dan sebagainya kemudian dimasukkan ke dalam uncang. Apabila emaknya bertanya kenapa barang-barang tersebut dicampuadukkan, Tun Nila Utama menjawab: "Supaya senang mencari perbezaan antara perempuan dengan betina." Di samping itu Tun Nila Utama bersumpah, katanya: "Kalau ada salah seorang perempuan yang sanggup memasak barang-barang itu dengan sempurna orang itulah akan menjadi pilihanku. Tetapi kalau tidak, ku haramkan mencukur sebarang rambut yang tumbuh di wajahku. Dan aku tidak akan pulang lagi ke Pura Cendana."

Dalam pengembaraannya, Tun Nila Utama telah singgah dari sebuah rumah ke sebuah rumah dan bila diminta memasak barang-barang yang terdapat dalam uncang itu kepada anak tuan rumah yang disingahinya untuk bermalam tidak ada seorang pun yang sanggup malahan menganggap Tun Nila Utama "orang gila". Tetapi apabila Tun Nila Utama bertemu dengan Puspa Wangi yang cerdik lagi pintar, dia sanggup memisah semua barang tersebut dan memasakkannya kerana dia tahu mesti ada sesuatu muslihat yang menyebabkan Tun Nila Utama berbuat demikian. Puspa Wangi berjaya mengasingkan segala barang yang dicampuradukkan dengan lazat sebagai hidangan makan malam dan ini menyebabkan Tun Nila Utama mengkagumi Puspa Wangi lalu ingin mengahwininya. Bila hasratnya dinyatakan kepada bapa Puspa Wangi, emaknya dan juga yang empunya diri sendiri, mereka semuanya bersetuju. Dengan itu berkahwinlah Tun Nila Utama dengan Puspa Wangi. Selepas berkahwin Tun Nila Utama pun membawa Puspa Wangi ke Pura Cendana. Apabila Puspa Wangi diperkenalkan dengan Sultan Alam Shahbana beserta empat orang menteri kanannya masing-masing begitu terpesona dengan kecantikan dan kejelitaan Puspa Wangi. Sejak pertemuan itu, masing-masing begitu tergila-gilakan Puspa Wangi.

Bagi Sultan Alam Shahbana, baginda sendiri telah diserang demam labi-labi (lebih kurang macam demam kura-kura) dan menurutnya hanya boleh sembuh sekiranya boleh mendapat barang ajaib iaitu hati "Musang Berjanggut". Menurut Datuk Bentara Mangku Bumi (berdasarkan dari mimpinya) dan kalau mahu mendapatkan hati "Musang Berjanggut" mestilah Tun Nila Utama sendiri pergi mencarinya dan ini telah disokong pula Datuk Bendahara Seri Paduka Raja, Datuk Pujangga dan Datuk Nikah Kahwin. Tun Nila Utama, dia bersetuju pergi mencarinya. Bagaimanapun sebagai seorang perempuan yang bijak lagi pintar, Puspa Wangi tahu akan muslihat itu dan dia merancang sesuatu untuk memerangkap Sultan Alam Shahbana beserta menteri-menteri kanannya. Puspa Wangi mengatur kedatangan Sultan dan menteri-menteri "ulat bulu" itu ke rumahnya dan akhirnya "Musang Berjanggut" pun dapat ditangkap. Di Balai Penghadapan, Tun Nila Utama mengadap Sultan Alam Shahbana dengan membawa "Musang Berjanggut" sebagai yang dikehendaki dan menurut Tun Nila Utama bukan ditangkap olehnya tetapi oleh Puspa Wangi. Dan apabila terlihat oleh Sultan Alam Shahbana ke dalam peti baginda terperanjat mendapati Datuk Nikah Kahwin berada di dalamnya.

Bila menyedari akan kesilapan yang telah baginda lakukan lalu Sultan memerintahkan supaya Puspa Wangi mengadap baginda untuk meminta maaf atas kelancangan dan biadap baginda dan juga menteri-menterinya terhadap Puspa Wangi. Sebagai alasan Sultan Alam Shahbana menyatakan, baginda berbuat demikian untuk mencari perbezaan antara "perempuan" dengan "betina". Dan dengan itu, dalam tempoh sepurnama lagi baginda mahu menabalkan Tun Nila Utama sebagai Sultan Pura Cendana iaitu sebelum baginda bersama permaisuri baginda pergi menunaikan fardhu Haji ke Mekah. Datuk-Datuk Menteri yang berempat pula baginda menyuruh mereka pencen.

ULASAN & KRITIKAN

Setelah membawa penonton dengan telatah-telatah lucu di masyarakat moden (bandar) dan masyarakat kampung, filem ini membawa penonton ke masyarakat istana berdasarkan cerita dongeng yang dihasilkan lakon layar dan dialognya (jalan bahasa) oleh P.RAMLEE sendiri. Kiasannya tajam dan memedihkan - bagaimana Sultan dan Datuk-Datuk Menteri yang terpesona dengan kejelitaan Puspa Wangi (isteri Raja Muda Tun Nila Utama) dan dengan dasar miang masing-masing cuba memikat dan membuat perkara tidak senonoh terhadap Puspa Wangi, menyuruh Tun Nila Utama mencarikan seekor "musang" yang mempunyai jangghut yang pastinya tidak ada. Dengan kebijaksanaan Puspa Wangi dan dibantu oleh Tun Nila Utama telah berjaya memerangkap Sultan dan Datuk-Datuk Menteri atas kedurjaan mereka serta menangkap "Musang" Berjanggut yang dimahukan Sultan atas nasihat Datuk-Datuk Menteri.

Kesudahannya Sultan malu dengan perbuatannya begitu juga dengan Datuk-Datuk Menteri yang hidung belang itu. Sindiran dan pukulan terhadap orang-orang istana melalui filem ini sungguh menyenakkan dan hingga kini kisahnya masih tetap relevan. Peranan P.RAMLEE dan Sa'adiah sebagai Tun Nila Utama dan Puspa Wangi sudah tidak dapat diragui lagi. Manakala lakonan Ahmad Nisfu (sebagai Sultan) dan menteri-menteri yang diperanankan kepada Malik Sutan Muda, Uda Omar, Mustarjo dan Nyong ismail telah berlakon dengan begitu baik sekali dan sangat-sangat melucukan terutama sekali Ahmad Nisfu. Pada keseluruhannya filem ini sangat menghiburkan.

IRAMA & LAGU

Hanya 3 lagu terdapat dalam filem ini:

  1. Joget Pura Cendana (Ahmad C. & Rahmah Rahmat)
  2. Nenek-Nenek Si Bongkok Tiga (Rahmah Rahmat & Ainon Rahmat)
  3. Jangan Adik Angan-Angan (P.RAMLEE & Rahmah Rahmat)
          Ciptaan & gubahan: P.RAMLEE
          Lirik: S.Sudarmadji

  • Joget Pura Cendana apabila di piringhitamkan P.RAMLEE menyanyikannya.
  • Jangan Adik Angan-Angan tetap kekal Rahmah Rahmat & P.RAMLEE merakamkannya ke piring hitam.
ANUGERAH


  1. Lagu Sukaramai - Jangan Adik Angan-Angan
  • Anjuran Majalah Bintang (1960)
FAKTA & ANGKA

  • Filem ketiga P.RAMLEE mengambil Sa'adiah berlakon dalam filem arahannya.
  • Filem kedua Momo (terkenal sebagai penyanyi) berlakon di bawah filem arahan P.RAMLEE selepas "Pendekar Bujang Lapok".
  • Filem pertama Raden Sadiro berlakon di bawah arahan P.RAMLEE.
  • Adegan P.RAMLEE dibawa Sa'adiah ke rumahnya yang jauh dari pantai diilhamkan P.RAMLEE dari filem "Madhumati" - adegan Vyjayantimala membawa Dilip Kumar ke rumahnya.
  • Adegan nyanyian Nenek-Nenek Si Bongkok Tiga seakan-akan sama yang terdapat dalam filem Shaw Brothers Hong Kong - "The Kingdom And The Beauty" yang dibintangi Lin Dai.

Wednesday, February 8, 2017

Sinopsis Sergeant Hassan

MALAY FILM PRODUCTION LTD. Present P.RAMLEE SA'ADIAH In SERGEANT HASSAN Co-Starring JINS SHAMSUDIN SALLEH KAMIL CAPT. JOHN GRAY R.M.R CAPT. DAVID DOWNE R.M.R With DAENG IDRIS ANNI JASMIN NYONG HASHIM LENG HUSSEIN OMAR ROJIK SERGEANT PON R.M.R. S SHAMSUDDIN CPL. RASHID M.RAFEE ADEK JA'AFAR KEMAT HASSAN HABIBAH HARUN OMAR SUWITA ZAINOL BAKAR ALI FIJI Story RALPH MODDER Screen Play By P.RAMLEE Director Of Photography ABU BAKAR ALI Sound Engineer KAMAL MUSTAFA Asst. Director H.M.ROHAIZAD Film Editor H.R.NARAYANA Art Director MUSTAFAYASSIN Laboratory LIM YEW HAI Unit Manager PANG HONG LING Production Manager KWEK CHIP JIAN Production Laison S.Y.HSU Technical Adviser For Production MAJOR I. STRUTT, M.B.E. P.J.J Musical Scoring By MALAY FILM PRODUCTION'S SYAMPHONY ORCHESTRA Original Composition Theme "Tunggu Sekejap" By P.RAMLEE Assistants Second Asst. Director S.SUDARMAJI Cameraman YAKOB MAHMUD  Editor LIM CHONG TECK Laboratory WONG HONG PENG Continuity Clerk KASSIM MASDOR Setting NG LING HOW Property Sodedian GOH AH SAN Produced By RUN RUN SHAW Direction LAMBERTO V. AVELLANA 

Tahun Diedarkan : 1958 (Ogos)
Masa Tayangan : 1 Jam 50 Minit


RINGKASAN CERITA

Hassan (ketika berusia 10 tahun) telah ditinggalkan ayahnya yang meninggal dunia. Dia menjadi yatim piatu dan kerana ayahnya adalah bekas pekerja Tok Penghulu, Hassan dijadikannya sebagai anak angkat. Tok Penghulu mempunyai seorang anak lelaki (Aziz) yang tidak menyukai Hassan tinggal serumah dengannya tetapi abagaimanapun pembantu rumah (Minah) sayangkan Hassan. Aziz sering mendera Hassan tetapi Hassan menghadapinya dengan tenang dan tabah. Suatu ketika Aziz telah mengapi-apikan kawan sekolahnya (Buang) dengan menyatakan Hassan boleh menewaskannya kalau beradu kekuatan yang mana ini menyebabkan Buang mencari pasal dengan Hassan supaya perkelahian berlaku. Hassan enggan melayan kerenah Buang bagaimanapun perkelahian berlaku juga tetapi Hassan tidak melawan. Hassan disenangi oleh Salmah dan dia sering membela Hassan jika berlaku perkelahian Hassan dengan Buang. Perhubungan mereka terjalin dengan lebih mesra apabila dewasa. Salmah tidak sukakan Aziz walaupun Aziz jatuh hati kepadanya.

Suatu hari Aziz terbaca dalam surat khabar Askar Melayu perlukan orang baru. Aziz meminta kebenaran ayahnya untuk memohon dan telah dipersetujui. Hassan juga ingin menyertai menjadi askar dan meminta izin ayah angkatnya untuk pergi tetapi dia tidak dibenarkan. Tok Penghulu lebih suka Hassan berada bersamanya supaya dapat mengfuruskan sawah dan ladang Hassan kecewa. Bagaimanapun setelah dihina dan disindir oleh Aziz (sebelum ke Port Dickson) serta kawannya termasuk orang kampung juga, hassan bertekad untuk meninggalkan kampung pergi ke Port Dickson memohon menjadi askar tanpa pengetahuan ayah angkatnya. Minah tahu yang Hassan akan pergi dan dia telah memberitahu Salmah yang mana Salmah pergi menemui Hassan sebelum bertolak menaiki bas dan dia telah merestui pemergiannya itu dan akan menunggu kepulangannya.

Di Port Dickson, Hassan telah diterima menjadi askar dan ketika menjalankan latihan-latihan Hassan telah melaksanakannya dengan penuh dedikasi sehingga dia dinaikkan  pangkat dari L/Koperal ke Koperal kemudian ke Sarjan yang mana ini meninggalkan terus Aziz yang kekal dengan pangkat prebetnya. Sementara itu, Pearl Harbour di Lautan Pasifik, kubu kuat Tentera Amerika Syarikat telah diserang tentera Jepun dan ekoran itu Jepun terus memperluaskan wilayahnya termasuklah Malaya. Tentera Jepun mendarat melalui Kota Bharu. Ini menyebabkan Askar Melayu yang berada di Port Dickson berpindah (berpecah dalam beberapa kumpulan) ke dalam hutan bagi menyusun strategi menentang Tentera Jepun. Begitu pun juga, dalam penentangan dengan tentera Jepun itu, Sarjan hassan dan orang-orangnya terpaksa berundur dan meminta bantuan daqripada kumpulan Askar Melayu yang lain yang mana terdapatnya Aziz bersama.

Aziz telah menerangkan sebuah lori yang bermuatkan makanan dan senjata didapati tersadai selama empat hari dan mencadangkan supaya mereka pergi mengambilnya. Walaupun Hassan menerangkan itu adalah perangkap daripada tentera Jepun tetapi disebabkan Aziz berkeras juga dengan hati yang berat terpaksa juga Hassan pergi bersama. Memang benar apa yang diperkatakan Hassan. ia sememangnya perangkap dan dalam pertempuran dengan tentera jepun itu ramai yang tewas dan Hassan sendiri serta Aziz ditawan dan ditahan di kem tahanan perang Jepun. Semasa dalam kem tahanan itu, Hassan membuat rancangan untuk melepaskan diri. Dia berjaya, tetapi telah terkena tembakan dan kemudian jatuh pengsan. Dan apabila sedarkan diri Hassan mendapati dirinya berada dalam kumpulan gerila yang diketuai Kapten Holiday. Hassan diselamatkan.

Dalam pada itu, Buang telah dilantik menjadi Kapitai Jepun dan selalu memujuk Salmah untuk bersetuju berkahwin dengannya dan menyatakan juga yang Hassan sudah mati. Dengan jawatannya itu, Buang mengambil kesempatan mengugut dan mendera orang-orang kampungnya sendiri dan dia telah bertindak menangkap bapa Salmah kerana dituduh memiliki radio. Bagaimanapun, melalui Ah Ling (penjual sayur), Salmah mendapat tahu yang Hassan masih hidup dan dia meminta pertolongan Hassan supaya membebaskan bapanya yang akan dibawa ke Melaka untuk dipancung. Satu serang hendap dilakukan oleh Hassan beserta orang-orangnya dan berjaya menyelamatkan bapa Salmah dan ini menyebabkan Ketua Jepun (Master) marah dan sebagai tindakan Buang menangkap orang-orang kampung termasuk Tok Penghulu, Salmah dan Minah. Dengan pengeboman bom atom di Hiroshima, menyebabkan peperangan tamat dan sebagai tindakan terakhir Hassan meminta Kapten Holiday membantunya menyerang markas tentera Jepun di mana Tok penghulu dan Salmah ditahan.

Dalam serangan itu, banyak tentera Jepun yang mati termasuk Master. Bagaimanapun, Buang berjaya melarikan diri lari ke kampung. Berikutan kejayaan serangan tersebut, bendera Jepun pun diturunkan dan dinaikkan pula bendera Union jack di mana pada ketika itu, British masih lagi menjajah Malaya. Ramai orang tahanan Jepun turut dibebaskan termasuklah Tok Penghulu (ayah angkat Hassan) dan Salmah. Buang yang bercadang untuk melarikan diri dari kampung tempat tinggalnya terperangkap dan dikelilingi orang-orang kampung yang mahu membunuhnya kerana pengkhianatannya. Dia mengugut membunuh sesiapa saja yang menghalangnya untuk melarikan diri. Pada saat itu, Hassan sampai dan kemudian mencabar Buang supaya bertarung dengannya. Dan Buang tidak ada pilihan lain selain bersetuju. Dalam perkelahian yang sengit itu akhirnya Buang tewas dan terbunuh dengan tikaman pisau kepunyaannya sendiri. Aziz pula yang telah dibebaskan kembali ke kampung dan dalam pertemuan dengan Hassan dia telah meminta maaf dan Hassan sebagai seorang yang baik hati tentu sekali memaafkannya. Hassan dan Salmah kini membuat persiapan untuk berumahtangga.

ULASAN & KRITIKAN

Apabila filem Perang Dunia Kedua "Bridges On The River Kwai" (1957) yang dibintangi Alec Guinness dan William Holden serta diarahkan David Lean mendapat sambutan yang luar biasa, pihak atasan MFP pun berhasrat membuat filem corak yang sama. Yang menariknya 'screenplay' (lakonlayar) dihasilkan oleh P.RAMLEE berdasarkan cerita Ralph Modder yang sebelumnya menulis cerita "Azimat" arahan Rolf Bayer. Bagi mengarahkan filem bercorak perang ini, MFP telah membawa masuk seorang lagi pengarah dari Filipina - Lamberto V.Avellana. Dia dibawa ke Singapura setelah Run Run Shaw tertarik dengan filem arahannya "Badjao" yang telah memenangi anugerah Pengarah Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik (Tokyo, 1957).

Bukan itu saja yang dimenangi "Badjao" tetapi 3 lagi - Cerita Terbaik (Rolf Bayer), Penggambaran Terbaik (Mike Accion) dan Suntingan terbaik (Gregorio Carballo). Ceritanya bukanlah kisah benar (walaupun seolah-olah seperti kisah benar). Tidak seperti "Leftenan Adnan". Ia cerita fiksyen yang berlatarbelakangkan Perang Dunia Kedua. Dari segi persembahan, filem ini tidak mengecewakan. Adegan-adegan pertempuran menggunakan senjata api dan bom (walaupun dalam kelengkapan yang terbatas0 masih memberi nyawa kepada filem ini. Ini mungkin penasihat teknikalnya datangnya dari kalangan tentera - Major I.Strutt.

Pemilihan watak Sarjan Hassan terhadap P.RAMLEE bersesuaian dengannya, dan ini memperlihatkan keunggulannya di mana seorang lagi pengarah (pertama kali mengarah filem di MFP) mengambil P.RAMLEE memegang peranan utama dalam filem arahannya setelah beberapa pengarah sebelumnya berbuat demikian. Unsur-unsur "Wuthering Heights" masih terdapat dalam filem ini apabila ayahnya meninggal dunia ekmudian dipelihara oleh Tok Penghulu (sebelum meninggal dunia ayah Hassan bekerja dengan Tok Penghulu) dan mendapat tentangan dari anak Tok Penghulu sendiri - Aziz. Kebencian Aziz terhadap Hassan membawa hingga mereka dewasa.

Adegan ketika Hassan (sewaktu kecil) memeluk tok Penghulu kerana kesanggupan memeliharanya, sama seperti Heathcilff (sewaktu kecil) memeluk ayah angkatnya kerana kesanggupan Earnshaw mengambilnya sebagai anak angkat. Selain itu unsur-unsur filem "Sands Of Two Jima" meresap dalam filem ini dimana adanya pertentangan antara P.RAMLEE dengan JIns Shamsudin - sama pertentangan antara John Wayne dengan John Agar. Pada keseluruhannya, filem ini menarik dan para pelakonnya pun turut memainkan peranan memberi nyawa terhadap filem ini terutama sekali Anni Jasmin dan Leng Hussein selain Sa'adiah, Salleh Kamil, Jins Shamsudin dan Daeng Idris.

IRAMA & LAGU

Hanya satu lagu terdapat dalam filem ini, tetapi dinyanyikan 2 kali:

  1. Tunggu Sekejap (Saloma & Habibah Harun)
  2. Tunggu Sekejap (P.RAMLEE)
          Ciptaan & Gubahan: P.RAMLEE
          Lirik: P.RAMLEE
          Muzik Iringan: Malay Film Production's Syamphony Orchestra

  • Tunggu Sekejap turut dijadikan lagu tema dan muzik latar belakang filem ini.
  • Sebelum Tunggu Sekejap digunakan judul asalnya Menunggu Hujan Teduh.
ANUGERAH

  1. The Sergeant Tituler
  • Oleh The Royal Malay Regiment, Port Dickson, Negeri Sembilan( 1958)

FAKTA & ANGKA


  • Inilah satu-satunya filem P.RAMLEE berlakon dalam filem bercorak peperangan.
  • Terdapat lima pengarah Filipina di MFP - Eddie Infante, T.C.Santos, Ramon A.Estella, Rolf Bayer dan Lamberto V.Avellana. P.RAMLEE hanya berlakon di bawah arahan Lamberto V.Avellana saja. Dalam "Melanchong Ke tokyo" (Ramon A. Estella) P.RAMLEE sekadar sebagai Bintang Undangan.
  • Filem pertama bercorak perang dikeluarkan MFP. Selepas filem ini, dikeluarkannya pula filem kedua bercorak perang (Matahari) diarahkan seorang lagi pengarah Filipina - Ramon A.Estella. Dia sebelum ini telah mengarahkan dua filem di MFP - Kembali Saorang dan Anak Pontianak.
  • Di samping berlakon P.RAMLEE turut mengarahkan beberapa adegan filem ini apabila Lamberto V.Avellana kembali ke Filipina yang mana beberapa pindaan perlu dibuat untuk memperkukuhkan lagi kekuatan filem ini. Bagaimanapun, beliau enggan namanya dicatatkan sebagai pengarah bersama di credit title.
  • Inilah filem terakhir Daeng Idris berlakon disamping P.RAMLEE setelah sekian banyak filem mereka berlakon bersama - sejak filem "Chinta". Sayang sekali pula tidak dapat dikesan bila dia meninggal dunia.
  • Filem pertama P.RAMLEE berlakon bersama Jins Shamsudin. Dan mereka bertemu semula apabila P.RAMLEE mengambilnya membintangi filem "Kanchan Tirana" - 12 tahun kemudian.
  • Inilah satu-satunya filem yang diarahkan oleh Lamberto A.Avellana di Malaysia/Singapura.
  • Filem kedua P.RAMLEE membawa peranan askar sebagai Sarjan Hassan. Pertama, "Sejoli" sebagai Leftenan Jamil. 

LAMBERTO V.AVELLANA

Lamberto V.Avellana terkenal dengan filemnya "Anal Dalita" (skrip oleh Rolf Bayer) yang telah memenangi anugerah Filem Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik tahun 1956, Hong Kong. "Badjao" telah dialih bahasa (dubbing) Bahasa Malaysia oleh Cathay Keris dengan tajuknya "Badjau Anak Laut" (1964). Lamberto A.Avellana pengarah Filipina yang kelima dibawa masuk oleh Shaw Brothers ke MFP selepas Eddie Infante (Belantara), T.C.Santos (Taufan), Ramon A. Estella (Anak Pontianak & Kembali Saorang') dan Rolf Bayer ("Azimat").

Lamberto A.Avellana pernah membintangi filem Hollywood yang dibuat penggambaran di Filipina sebagai Mr. Shimoda dalam "No Man Is An Island (1962 - arahan Richard Goldstone & John Monks) dengan bintang utamanya Jeffery Hunter. Agak menarik, turut berlakon sebagai Sue Quintagua ialah Eddie Infante, pengarah filem "Belantara" (1957) yang dibintangi Normadiah dan Nordin Ahmad dan Rolf Bayer (pengarah "Azimat") berperanan sebagai Chief Schultz. Lamberto A.Avellana Memorial Award diwujudkan di Filipina untuk diberikan kepada pengiat-pengiat filem Filipina. Pengarah Lino Brocka menerimanya pada 1990 kemudian disusuli eddie Romero (Pengarah/Penulis, 1993), Nicolas Deocampo (Pengarah, 1994), Rosa Rosal (Seniwati, 1996) dan Ben Pinga (Penulis Sejarah Filem, 1998). Lamberto A.Avellana yang lahir 12 Februari 1915 meninggal dunia pada 25 April 1991.


Sinopsis Dan Pengajaran Sumpah Orang Minyak

MALAY FILM PRODUCTION LTD. Present SUMPAH ORANG MINYAK Starring P.RAMLEE DAENG IDRIS Co-Starring ALI RAHMAN SALLEH KAMIL MALIK SUTAN MUDA HAJI MAHADI SHARIFF DOL Supported By SALBIAH M.RAFEE FATIMAH OSMAN A.RAHIM ROSIAH CHIK KEMAT HASSAN RAHMAH RAHMAT AHMAD.C RAJA HAMIDAH OMAR SUWITA ALI FIJI With MUSTARJO NYONG ISMAIL AHMAD GHANI ROKIAH HASHIM PRANI PRAMUT And A Cast Of Hunderds Introducing MARION WILLS As Putri Bunian SRI DEWI As Afida Photography A.BAKAR ALI Audiography KAMAL MUSTAFFA Editor H.R.NARAYANA Art Director MUSTAFFA YASSIN Processing LIM YEW HAI WONG HONG PENG Make Up MUS MERDUATI A.V.BAPAT Assistants Director S.SUDARMAJI Cameraman YA'AKOB MAHMOOD Sound LIM CHONG TECK Editor P.V.JHON K.K. RAMAN Music KASSIM MASDOR Story TEUKU DJA'AFAR Screen Play P.RAMLEE Dialogues S.SUDARMAJI Continuity KASSIM MASDOR Music YUSRAM Arrangements P.RAMLEE Lyrics S.SUDARMAJI Orchestra YUSOFF B Chereography NORMADIAH Playback Singers SALMAH ISMAIL P.RAMLEE And M.F.P. CHOROUS Produced By RUN RUN SHAW Directed By P.RAMLEE

Tahun Diedarkan : 1958 (April)
Masa Tayangan : 1 Jam 50 Minit 

RINGKASAN CERITA

Tualang Tiga 1901: Si Bongkok sering diseksa dan didera penduduk Kampung Tualang Tiga. Suatu malam, pintu pondok bang Selamat (mencari rezeki dengan menjual kain batik) diketuk orang. Bila pintu dibuka, muncul Si Bongkok terketar-ketar ketakutan. Bang Selamat yang baik hati mempelawanya masuk dan memberi pakaian untuk diganti. Oleh kerana kain batik sudah bercorak lama ia sudah tidak laku lagi. Bang Selamat pulang dengan ekadaan susah hati, tetapi gembira semula apabila Si Bongkok telah merekacipta berbagai corak kain batik ciptaan baru yang lahir dari bakat seni yang ada di dalam jiwanya. Dengan corak ciptaan Si Bongkok itu, bang Selamat dan Si Bongkok pun terus membuat kain batik dan apabila siap dan dijual di pasar jualan sangat laris yang mana ini sangat menggembirakan Bang Selamat.

Bagi Si Bongkok, penyeksaan yang diterimanya dari orang-orang kampung berterusan terutama Buyong beserta kawan-kawannya. Si Bongkok ketika mengambil air di sungai telah ternampak oleh Buyong beserta kawan-kawannya. Si Bongkok ketika mengambil air di sungai telah ternampak oleh Buyong berserta kawan-kawannya lalu mengejarnya. Si Bongkok berjaya ditangkap, dia diikat kemudian dipukul dan ditendang serta dibaling dengan batu oleh Buyong dan kawan-kawannya serta juga orang-orang kampung. Si Bongkok bernasib baik apabila Afida (anak Dato' Penghulu) datang menyelamatkannya. Dia telah membuka ikatan yang mengikat Si Bongkok dan memberi minum air. Setelah termakan budi kerana menyelamatkan dirinya, Si Bongkok telah menulis gambar wajah Afida bersama wajahnya dan dia berhasrat menyampaikan ukisan tersebut kepada Afida di Majlis Malam Pemudi Seni Wilayah Utara. Ketika Si Bongkok berada di majlis tersebut, Buyong telah meracuni fikiran penduduk kampung supaya membenci Si Bongkok. Katanya, disebabkan dosa-dosa bapa Si Bongkok Kampung Tualang Tiga tercemar. Penduduk kampung dengan hasutan Buyong mahukan supaya Si Bongkok dihukum bunuh tetapi Afida merayu (lagi pun bukan Si Bongkok yang bersalah, tetapi bapanya) supaya hukuman dapat diringankan.

Di atas pertimbangan Dato' Penghulu, dia telah menasihatkan Si Bongkok supaya meninggalkan Kampung Tualang Tiga. Si Bongkok patuh, dan sebelum dia meninggalkan majlis tersebut sempat juga dia menyerahkan lukisan hasil kerja seninya kepada Afida. Apabila Afida mengeluarkan lukisan tersebut dari beg kain terpampang gambar Afida dan Si Bongkok dengan catatn: "Gadis Chantek dan Binatang" yang mana ini sangat mengharukan Afida. Sebelum meninggalkan Kampung Tualang Tiga, Si Bongkok pergi ke pusara bapanya dan di situ Si Bongkok menyumpah seranah di atas perbuatan bapanya hingga menyebabkan dirinya terseksa. Sambil menendang-nendang dan memijak-mijak pusara bapanya itu datang pula hujan lebat dengan diiringi kilat sabung-menyabung serta hujan petir. Kemudian setelah Si Bongkok menyeranah bapanya, secara tiba-tiba suasana alam yang tadinya muram dan bergentar sekarang menjadi hening dan damai. Si Bongkok kini berada dalam alam Orang Bunian. Puteri Bunian mempelawa naik kenderaan menyerupai sampan dan terus membawanya ke Istana Bunian bertemu Penghulunya.

Dalam pertemuan tersebut, Si Bongkok telah diberi kitab 1001 Hikmat dan dia hanya dibolehkan memilih satu sahaja. si Bongkok memilih menjadi cantik dan sebelum itu dia terpaksa mematuhi syarat sumpah iaitu "Jangan menyombong dan memusuhi sesama manusia. jika ingkar dia akan binasa." Setelah berenang di kolam hikmat, Si Bongkok berubah menjadi pemuda cantik dan tampan. Ketika berada di alam Orang Bunian itu, Si Bongkok (kini diberi gelaran oleh Puteri Bunian sebagai taruna Impian) telah jatuh hati dengan Puteri Bunian. Tetapi dia tidak boleh memiliki atau berkahwin dengannya atau tinggal terus di alam Orang Bunian kerana dia telah memilih menjadi cantik dan tampan. Bila sudah sampai waktunya, Si Bongkok terpaksa kembali ke dunia manusia yang telah ditinggalkannya selama tiga tahun tetapi dirasakan baru tiga hari oleh Si Bongkok dengan dihantar oleh Puteri Bunian.

Si Bongkok pergi menemui Bang Selamat yang terperanjat dengan pertukaran wajah Si Bongkok dan mula merekacipta lagi corak kain batik bercorak baru kerana corak yang diciptanya tiga tahun dahulu sudah lama dan tidak laku lagi. Untuk hadiah di malam pesta Si Bongkok telah melukis wajah Afida dan wajahnya untuk dihadiahkan kepada Afida yang menyelamatkannya satu ketika dulu yang kini sudah bertunang dengan Buyong dengan catatannya: "Gadis Cantik Dan taruna". Kehadiran Si Bongkok yang cantik dan tampan (seolah-olah seperti anak raja layaknya) itu dikagumi penduduk kampung. Si Bongkok dihormati dan disembah-sembah termasuk Dato' Penghulu yang baru serta Buyong dan kawan-kawannya. Si Bongkok memberi hadiah lukisannya kepada Afida. Katanya: "Terimalah sumbangsihku wahai Afida." "Bagaimana tau nama hamba?" tanya Afida. Jawab Si Bongkok: "Sejak kau menolong aku dulu." Sebaik sahaja melihat lukisan yang diberi dengan kehairanan Afida berkata: "Si Bongkok...!"

"Ya, akulah Si Bongkok yang dikau haramkan memijak bumi Kampung Tualang Tiga," pekik Si Bongkok. Si Bongkok memberitahu yang dia mahu membawa Afida keluar bersamanya dari Kampung Tualang Tiga, dan sebabkan Afida tidak sukakan Buyong kerana dia membunuh bapanya kerana menolak pinangannya, dia rela mengikut Si Bongkok. Bagi Buyong kalau Si Bongkok mahu berbuat demikian, "Langkah mayatnya dulu". Dia bertindak membaling pisau ke arah Si Bongkok yang sedang undur untuk keluar dari majlis pesta itu yang mana sasarannya mengenai Afida yang menyebabkan kematiannya. "Biar putih tulang jangan putih mata," kata Buyong. Si Bongkok hilang pertimbangan, dia lupa dengan sumpahnya mengapa dia menjadi cantik. Si Bongkok bertarung dengan Buyong yang mana akhirnya Buyong kecundang, dia mati di tangan Si Bongkok.

Kerana sumpah sudah dilanggar, Penghulu Bunian muncul dan menyatakan kepada Si Bongkok kecantikannya tidak boleh dilihat manusia. Bagaimanapun, dengan hasutan Syaitan Si Bongkok (yang mahu kembali seperti manusia biasa dan memperolehi kesenangan dunia) setuju dengan syarat-syarat Syaitan yang dikenakan kepadanya. Pertama, Si Bongkok mesti memperkosa 21 wanita dalam tempoh seminggu. kedua, Si Bongkok mesti mengakui syaitan Tuhannya. Setelah persetujuan dicapai, Syaitan memberi sebentuk cincin kepada Si Bongkok yang mana apabila dipakainya bentuk dan wajahnya menjadi hitam dan berminyak - Orang Minyak. Dengan itu Orang Minyak pun menjalankan perintah Syaitan dengan melakukan perkosaan seorang demi seorang wanita yang terdapat dalam Kampung Tualang Tiga yang mana angkaranya itu menjadikan penduduk kampung berada dalam kebimbangan dan ketakutan. Kampung Tualang Tiga menjadi huru hara. Berbagai usaha dijalankan untuk menangkap Orang Minyak tetapi tidak berhasil. Oleh kerana perbuatan Orang Minyak sudah melampaui batas, Penghulu Bunian muncul di kampung tersebut untuk menangkapnya. Orang Minyak berjaya ditangkap dan dipenjarakan dalam buyong sebelum dimusnahkan. Kampung Tualang Tiga kembali aman dan damai.

PENGAJARAN

Sumpah Orang Minyak (1958) merupakan sebuah filem berat dengan elemen luar jangka yang dapat kita saksikan. Filem ini jika ditonton pada permukaannya akan kelihatan seperti sebuah filem fantasi dengan suntikan saspens dan seram. Sebenarnya filem Sumpah Orang Minyak ini merupakan salah satu daripada karya terbaik P.RAMLEE dan harus diteladani dengan teliti untuk kita sama-sama dapat beroleh nikmat dan maksud yang cuba disampaikan. Filem ini merupakan sebuah filem dengan latar suram, gelap dan sentiasa mendatangkan misteri. Kita sendiri dapat merasakan hakikat latarnya itu sejak dari awal filem ini, malah kredit pembukaan filem ini juga tidak terpisah dan dibuat bersekali dengan babak awal, hujan lebat dan petir di Kampung Tualang Tiga pada 1901. Seperti filem-filemnya yang lain P.RAMLEE gemar memberikan tanda awal apa akan terjadi kepada filem ini selanjutnya.

Watak Bang Selamat lakonan hebat Daeng Idris adalah watak seorang tua yang kerjanya menjual kain batik cetakan sendiri. Pada babak permulaan ketika Daeng Idris baru hendak duduk berehat sambil menikmati kopi panas, rehatnya diganggu dengan ketukan pintu oleh Buyong lakonan antagonis Salleh Kamil. Buyong bertanyakan kepada Bang Selamat sama ada dia ada nampak Si Bongkok atau tidak. Bang Selamat tenang menjawab tidak dan Buyong berlalu dari rumah Bang Selamat. Kemudian buat kali kedua dalam babak yang sama sebaik sahaja Bang Selamat menyalakan rokok dan bersedia untuk berbaring merehatkan diri, pintu rumahnya diketuk lagi dan kali ini rehatnya diganggu oleh Si Bongkok lakonan P.RAMLEE. Bang Selamat menjemput Si Bongkok masuk dan sedia memberikan perlindungan kepadanya. Melalui dua keadaan ini P.RAMLEE membukakan kepada kita pembayang tentang filem ini. Buyong dan Si Bongkok datang menganggu rehat Bang Selamat dan sebenarnya pada kemudian cerita di dalam filem ini, kedua-dua watak ini (Buyong dan Si Bongkok) ialah pencetus konflik dan menganggu penduduk kampung serta menyebabkan bencana besar kepada Kampung Tualang Tiga.

Fadli Al-Akiti di dalam ulasannya mengenai Sumpah Orang Minyak turut melontarkan persoalan mengenai godaan Iblis ala Faust di dalam filem ini. Ya! Faust watak dalam legenda klasik Jerman. Watak ini memiliki rasa tidak puas dengan apa yang diperoleh dalam hidup, lantas Faust membuat perjanjian dengan syaitan. Terdapat pelbagai versi tentang Faust ini dan di antara yang paling terkenal ialah versi goethe. Jelas sekali apa yang yang berlaku di dalam Faust turut berlaku di dalam Sumpah Orang Minyak dan boleh dianggap P.RAMLEE turut membuat rujukan terhadap legenda Jerman ini. Di samping itu, kita juga dalam melihat element Notre-Dame de Paris karya Victor Hugo yang diterbitkan pada 1831. Watak Quasimodo di dalam novel Hugo ini dilihat bersamaan dengan Si Bongkok. Quasimodo dan Si Bongkok kedua-duanya bongkok dan sering dicemuh masyarakat umum kerana penampilan mereka yang tidak sempurna.

Satu lagi kisah klasik dari Eropah yang dilihat mempengaruhi filem ini ialah La Belle et la Bete sebuah kisah pencintaan di antara seorang gadis cantik dengan seorang lelaki berwajah binatang. Kisah ini ditulis oleh novelis Perancis, Marie Leprince de Beaumont dan diterbitkan pada 1756. Elemen daripada kisah ini juga dapat dikesan di dalam Sumpah Orang Minyak apabila Si Bongkok menghadiahkan Afida sebuah lukisan cantik dengan judul Gadis Cantik dan Binatang. Lukisan itu memaparkan wajah cantik Afida dan wajah tidak sempurna Si Bongkok. Sulaman kisah-kisah fantasi klasik dari Eropah ini amat indah di dalam Sumpah Orang Minyak dan disatukan pula dengan kisah legenda makhluk gelap di alam Melayu yang dinamakan sebagai Orang Minyak. Di dalam filem ini Si Bongkok ada menyatakan kepada Bang Selamat bahawa beliau akan pergi jauh dari Masyarakat Cantik dan Bang Selamat membalas walau sehingga ke langit hijau pun kita pergi, si penghina tetap menghina. Satu persoalan menarik untuk kita kupaskan di sini ialah siapa Masyarakat Cantik? Mengapa Si Bongkok mahu lari daripada Masyarakat Cantik, sedangkan cantik ialah sifat sempurna dan membawa maksud yang baik-baik belaka. Jelas sekali dalam maksud Si Bongkok tadi, Masyarakat Cantik membawa kepada masyarakat yang memandang dan mengukur manusia daripada rupa paras dan kecantikan fizikal semata-mata dan tidak memperdulikan keluhuran budi dan kebesaran jiwa seseorang. Masyarakat Cantik ialah masyarakat yang menghukum manusia mengalahkan tuhan dan masyarakat yang hilang rasa ihsan dan belas kasihan. Ini ialah Masyarakat Cantik yang didefinisikan oleh Si Bongkok. 

Definisi ini jelas dalam kenyataan Bang Selamat, si penghina tetap menghina. Manusia keji akan terus melakukan perkara keji dan memburukkan orang lain selagi mampu dan terdaya. Inilah Masyarakat Cantik yang wujud dari zaman Kampung Tualang Tiga hingga zaman Menara Tinggi Berkembar Dua. Manifestasi Masyarakat Cantik ini dapat kita saksikan pada bentuk-bentuk hinaan dan cacian yang terpaksa dihadapi oleh Si Bongkok seperti mengejek dan menglemparkan batu ke arahnya. Inilah perlakuan Masyarakat Cantik. Soal Masyarakat Cantik juga muncul apabila semasa bongkok hadir ke pesta dengan pakaian seperti seorang raja, semua yang ada di situ termasuk Penghulu menyembahnya. Jelas sekali masyarakat Tualang Tiga menyembah tanpa usul periksa dan hanya celik pada kecantikan fizikal tetapi buta dalam menilai budi manusia. Pada babak berkenaan, Si Bongkok mengutarakan pertanyaan kejujuran kita sebagai manusia. Secara tidak sedar sebenarnya Si Bongkok yang sebelum itu berada luar daripada Masyarakat Cantik, turut termasuk dalam golongan masyarakat berkenaan apabila rupa fizikalnya telah berubah. Beliau menjadi bongkak dan memiliki sifat dendam yang nyata. 

"Hamba Penghulu Tualang Tiga."

"Orang-orang kampung sekalian, kedatangan aku ke mari bukan untuk menganggu, hanya menyampaikan hadiah ini kepada Pemimpin Pemudi Seni Tualang Tiga! Terimalah sumbangsihku wahai Afida."

'Bagaimana tahu nama hamba?"

"Sejak kau tolong aku dahulu, kau selalu di hatiku."

"Si Bongkok?"

"Ya. Akulah Si Bongkok. Ya! Akulah Si Bongkok! Akulah Si Bongkok yang dikau haramkan memijak bumi Tualang Tiga!

Tetapi kini! Aku dikau sembah-sembah! Aku iagung-agungkan sebagai raja! Sebab apa?! Sebab wajahku tak seburuk dulu! Sebab aku cantik berpakaian indah! Jujurkah dikau hidup sebagai manusia?! Dikau semuanya pengecut! Dikau hanya berani kepada manusia yang lemah.

"Benar! Si Buyonglah pembunuh bapaku!"

"Sebab dia menolak pinanganku!"

"Pinanganmu tak sah!"

"Sebab apa tak sah?!"

"Sebab aku tak suka padamu!"

"Sekarang apa hajatmu Si Bongkok?"

"Membawa Afida keluar dari Kampung Tualang Tiga!"

"Aku rela seribu harapan."

"Langkah mayatku dulu Bongkok!"

"Cis! Tak gentar guruh di langit!"

Sumpah Orang Minyak ialah realisme manusia. Filem ini menghimpunkan semua kesalahan dan dosa-dosa manusia. Bunuh, keji, khianat, dengki, dendam, rogol, hasut dan sebagainya. Lebih menarik kisah ini menunjukkan manusia yang pada awalnya kita kasihan, boleh menjadi manusia yang paling kita benci. Itulah yang dibawakan P.RAMLEE. Perubahan sifat dan pemikiran manusia serta tanggapan manusia terhadap manusia yang lain. Selain daripada pengaruh prwatakan daripada kisah-kisah klasik Eropah, Sumpah Orang Minyak sebenarnya satu keterbalikan dalam kisah yang berlaku kepada Nabi Adam A.S dan Hawa. Jika kita imbas kembali apa yang berlaku kepada Nabi Adam dan Hawa sehingga mereka tersingkir dari syurga, kita juga akan dapat mengaitkan peristiwa berkenaan di dalam kisah Sumpah Orang Minyak. Nabi Adan dan Hawa disingkirkan ke bumi dari syurga dalam keadaan terlucut pakaian kerana mengingkari perintah Allah S.W.T dan memakan buah Khuldi, buah yang telah Allah S.W.T haramkan untuk disentuh di dalam syurga.

Apa yang dimaksudkan keterbalikan ialah Si Bongkok diangkat ke 'syurga' (alam bunian) dan disucikan dan kemudian dipakaikan pakaian cantik sebelum diturunkan kembali ke muka bumi. Nabi Adam dan Hawa diturunkan ke bumi dalam keadaan tidak berpakaian selepas melanggar perintah Allah S.W.T. Apa yang lebih menariknya Si Bongkok mewakili sifat manusia, walaupun telah disucikan dan dibersihkan diri serta diberikan pakaian sempurna, apabila diturunkan kembali ke bumi, Si Bongkok tetap membuat perkara yang membawa kerosakan (membunuh). Seperti Nabi Adam dan Hawa yang telah diberikan peringatan untuk tidak menyentuh buah Khuldi, Si Bongkok juga telah diberikan peringatan sebelum Si Bongkok mandi dan bertukar sempurna. Si Bongkok membaca kitab yang memberi pesan selepas menjadi sempurna, janganlah menyombong diri, dengki sesama makhluk dan mekakukan pembunuhan sesama manusia, jikalau ingkar kamu akan binasa. Pesan ini sama dengan pesan-pesan Allah S.W.T di dalam Al Quran yang sentiasa mahukan manusia itu berbuat kebaikan sebanyak-banyaknya.

Namun, Si Bongkok itu manusia dan walaupun telah diberikan peringatan dia tetap ingkar dan apabila turun ke bumi semula Si Bongkok menyombong diri hadir dengan sikap dendam dan kemudiannya melakukan pembunuhan. Ini ialah realisme manusia. Ini juga sama dengan kisah anak Nabi Adam A.S, Qabil dan Habil yang berakhir dengan tragedi pembunuhan pertama di muka bumi dan perkara pertama yang dilakukan Si Bongkok sebaik turun ke bumi ialah membunuh. Persoalan kembali juga dibangkitkan dengan baik di dialam filem ini. Kita dapat melihat Si Bongkok dihalau semasa pesta dan dia juga kembali dalam keadaan sempurna semasa di pesta yang sama tetapi di tahun yang berlainan. Bukan setakat tahun, malah kembalinya Si Bongkok dalam keadaan sempurna juga dengan isi hati yang berlainan. Realisme manusia di dalam Sumpah Orang Minyak turut dijelmakan dalam soal berjanji. Kita dapat lihat bagaimana sebelum kembali ke Kampung Tualang Tiga, Si Bongkok berjanji untuk akur dengan syarat tidak boleh membunuh sesama manusia. Namun disebabkan dendam dan rasa yang meluap-luap untuk membalas kejahatan, Si Bongkok lupa tentang semua janjinya dan muncul dalam rupa yang sangat realistik sebagai seorang manusia. Cuba membawa lari Afidah dan Buyong yang marah membunuh Afidah sebelum Si Bongkok marah dan membunuh Buyong.  

Disebabkan melanggar janji, kecantikan Si Bongkok tidak lagi dapat dilihat oleh manusia dan dia menjadi halimunan. Namun, muncul watak Syaitan mencucuk jarum dan menghasut Si Bongkok mempercayai kata-katanya. Syaitan lakonan hebat Sharif Dol menghulurkan angan-angan dapat memberi segala kesenangan dunia asalkan dapat patuh kepada syarat-syaratnya. Si Bongkok yang terdesak bersetuju dengan syarat-syarat berkenaan dan dia mengikat perjanjian dengan Syaitan untuk bertukar menjadi Orang Minyak, merogol dan membunuh 21 perempuan dalam masa tujuh hari untuk memulihkan semula keadaannya. Ini satu lagi realisme manusia yang dipaparkan. Manusia itu boleh mengikat janji dengan malaikat atau dengan syaitan. Boleh berjanji soal baik atau soal buruk, soal haram atau soal halal asalkan dapat memuaskan diri dan memperoleh manfaat bersifat invidualistik.

Persoalan kecil lain yang dapat kita lihat di dalam filem ini ialah bagaimana campur tangan suci menyelamatkan Kampung Tualang Tiga daripada serangan Orang Minyak (Si Bongkok) dan bagaimana divine intervention yang dipaparkan sebagai Raja Bunian lakonan Haji Mahdi itu menyelamatkan kampung sebelum melantik seorang anak muda yang difikirkan layak untuk menjadi Ketua Kampung. Adakah divine intervention cuba memperbetulkan semula keadaan? Kerana segala kemusnahan dan tragedi ini berlaku selepas Si Bongkok menjadi cantik juga hasil divine intervention. Tidak. Tuhan tidak salah. Yang salah ialah kita. Kita yang menyalahgunakan segala kecantikan yang diberikan tuhan untuk menimbulkan kerosakan di bumi ini.  

ULASAN & KRITIKAN

Berikutan beberapa kejadian munculnya Orang Minyak di Singapura yang heboh diperkatakan ketika itu dan Cathay Keris Film pula ada ura-ura untuk mengeluarkan filem mengenai "Orang Minyak" yang diarahkan L.Krishnan, MFP pun turut berminat mengeluarkan filem yang coraknya serupa. Kisah (serita rekaan semata) yang ditulis oleh Teuku Dja'afar (Siapakah dia? Adakah itu nama samarannya atau bersaudara dengan P.RAMLEE, tidak pula diketahui) bukanlah berlaku di zaman moden (seperti yang dikeluarkan oleh Cathay Keris Film) tetapi membawa kita ke zaman awal kurun ke-20 (1901) iaitu bagaimana bermula wujudnya makhluk Orang Minyak yang sering dikaitkan memperkosa ramai wanita. Disebabkan P.RAMLEE ketika itu berada di kemuncak kejayaan pihak atasan tidak keberatan membenarkannya mengarah filem bercorak fantasi/purba itu. P.RAMLEE menulis lakonlayarnya (screen play) manakala S.Sudarmadji pula ditugaskan menyusun dialog (kata bual). Dalam memilih pelakon, Salleh Kamil (menjadi musuh ketatnya dalam filem ini. Kerana peranan wanitanya (heroin) tidak begitu mencabar, P.RAMLEE memperkenalkan dua pelakon baru - Sri Dewi sebagai Afida dan Marion Wallis (Ratu Cantik Singapura, 1958) membawa peranan Sri Bunian.

P.RAMLEE pada mulanya berhasrat mengambil Siti Hawa Majid (kemudian terkenal sebagai juruhebah di RTM dan ibu kepada Nurfahin jamsari) memegang peranan Puteri Bunian atau Afida (sudah pun discreen test). Tetapi hasrat P.RAMLEE itu tidak menjadi kenyataan. banyak pengajaran yang terdapat dalam filem ini yang boleh dijadikan iktibar. Jangan suka menghina sesama makhluk (manusia); apabila sudah mendapat apa yang dihajati jangan lupa daratan dan berlagak sombong yang mana akibatnya membawa kecelakaan dan kemusnahan diri sendiri. Dalam filem yang bercorak fantasi/purba ini P.RAMLEE telah mengarahkannya dengan baik sekali. Penggambaran (A.Bakar.Ali), lakonan (terutamanya P.RAMLEE dan Salleh Kamil), lagu-lagu dan muzik (Yusoff B. dan P.RAMLEE) serta dialog (S.Sudarmaji) telah dihasilkan begitu berkesan sehingga membolehkan "Sumpah Orang Minyak" ini dianggap salah sebuah filemnya yang terbaik di samping "Penarek Becha", "Semerah Padi", "Panca Delima" dan "Antara Dua Darjat". Cuba kita hayati dialog S. Sudarmaji ini: "Ya, akulah Si Bongkok. Akulah Si Bongkok yang dikau haramkan memijak bumi Tualang Tiga. Tetapi kini aku dikau sembah-sembah, aku diagung-agungkan sebagai Raja, Sebab ap, sebab wajahku tak seburuk dulu. Sebab aku cantik berpakaian indah. Jujurlah dikau hidup sebagai manusia? Dikau semuanya pengecut. Dikau hanya berani kepada manusia yang lemah."

Cantik, bukan? Bagaimanapun, dialog tersebut tidak bererti sama sekali sekiranya P.RAMLEE tidak melafaz dan melakonkannya sebaik apa yang telah diperlihatkannya. Kejayaan P.RAMLEE memenangi anugerah Pelakon Utama Lelaki Terbaik. Bahagian Dramatik di Festival Filem Asia Pasifik telah dipratikkannya dalam filem ini. Kehebatannya dalam "Anakku Sazali" bukanlah anugerah ikhsan disebabkan Run Run Shaw atau Runme Shaw turut menguasai festival filem tersebut tetapi sememangnya P.RAMLEE berhak menerimanya. Penat lelah P.RAMLEE mengarahkan filem ini juga tidak sia-sia apabila dari segi teknikal (fotografi black & white (hitam & putih) ) telah menghasilkan anugerah untuk A.Bakar.Ali di festival filem yang sama yang diadakan di Filipina. Dalam mengarahkan filem ini P.RAMLEE tidak boleh lari dari unsur-unsur filem asing (terutama Barat dan Jepun). Watak Si Bongkok diciplak dari watak Quasimodo dalam "Hutchback Of Notre Dame". Adegan Si Bongkok diikat dan didera kemudian diselamatkan oleh Afida dan memberikannya air minuman juga merupakan adegan yang ditiru bulat-bulat dari filem tersebut.

Alam ghaib atau alam Orang Bunian diilhamkannya dari filem "Wizard Of Oz" lakonan bintang terkenal Judy Garland. Kalaulah, kemudahan gambar warnawarni semudah dan semurah sekarang dan dapat pula diwarnawarnikan ketika P.RAMLEE berada di alam Orang Bunian seperti
 Judy Garland berada di alam Pari-Pari tentulah lebih menarik. Mungkin ramai yang belum menonton "Wizard Of Oz" ini. Elok diberitahu iaitu ketika Judy Garland berada di alam dunia dibuat dalam hitam putih tetapi apabila masuk ke alam Pari-Pari ia diwarna warnikan. Si Bongkok menjadi kecil dan dimasukkan dalam buyong sama seperti adegan terdapat dalam "Thief Of Baghdad". Adegan yang serupa juga terkandung dalam "Abu Hassan Penchuri". Menyentuh tentang pelakon, P.RAMLEE, Salleh Kamil dan Daeng Idris tidak boleh dipertikaikan lagi, namun begitu lakonan Sri Dewi dan Marion Wallis kurang berhasil. Tetapi disebabkan adegan mereka tidak banyak kelemahan yang terdapat tidaklah begitu ketara.

Bagaimanapun, suara yang digunakan Marion Wallis (menggunakan suara Normadiah) sedikit sebanyak mencacatkan juga lakonannya kerana suara tersebut tidak sesuai dengan perwatakannya yang cantik dan lemah lembut. Teknik "trickshot" (fotografi) yang memperlihatkan dalam filem ini sememangnya mengagumkan. Kemenangan anugerah A.Bakar.Ali sudah kena pada tempatnya. Pertarungan antara Si Bongkok dengan Buyong disertai angin ribut dan petir sabung-menyabung memperlihatkan kombinasi kreativiti antara P.RAMLEE sebagai pengarah dengan A.Bakar.Ali sebagai jurugambar serta H.R.Narayana sebagai penyunting "editor" yang ternyata begitu mantap dan berkesan sekali. rasanya, pertarungan seperti ini saya anggap sebagai terbaik tidak akan terdapat lagi dalam filem-filem lain kini atau selama-lamanya sama seperti pertengkaran antara hassan dengan anaknya (Sazali) dalam filem "Anakku Sazali".

IRAMA & LAGU

Kesemua 3 lagu dalam filem ini berunsurkan Melayu asli:
  1. Tari Tualang Tiga Salmah Ismail (Saloma)
  2. Tudung Periok (P.RAMLEE & Saloma)
  3. Sri Bunian (P.RAMLEE)
          Ciptaan, gubahan & arrangement: Yusoff B & P.RAMLEE (YUSRAM)

          Lirik: S.Sudarmaji

ANUGERAH

  1. Fotografi Hitam & Putih Terbaik (A.Bakar.Ali) di Festival Filem Asia Pasifik Ke-5 (Manila, 1958)
  2. Filem Terbaik
  3. Pelakon Terbaik (P.RAMLEE)
  • Anjuran majalah Kisah Bintang & Filem (1958)


FAKTA & ANGKA

  • Filem pertama arahan P.RAMLEE memenangi anugerah.
  • Saloma menerima anugerah bagi pihak A.Bakar.Ali di Manila, Filipina.
  • Filem ketiga P.RAMLEE menggunakan A.Bakar.Ali sebagai jurugambar selepas "Panca Delima" dan "Bujang Lapok".
  • Filem ketiga MFP memenangi anugerah di festival Filem Asia-Pasifik selepas "Hang Tuah" dan "Anak-ku Sazali."
  • Kerana filem ini, L.Krishnan terpaksa menggunakan tajuk "Fatimah" ketika membuat penggambaran "Orang Minyak" bagi mengelirukan pihak MFP. Begitu pun juga, kedua filem tersebut mendapat sambutan "box-office".
  • Filem pertama Sri Dewi di MFP, kemudian dia muncul bersama Sa'adiah dan Ahmad Mahmud dalam "Mas Merah" arahan Dhiresh Ghosh.
  • Filem pertama dan terakhir Marion Willis dan selepas filem ini dia tidak berlakon lagi.

Saturday, February 4, 2017

Cerita Kelakar Belalang

Di dalam sebuah taman bunga, terdapat seekor belalang yang suka menyanyi dan menari. Ia berasa gembira kerana dapat hidup di dalam taman yang indah itu. Di dalam taman itu terdapat juga berbagai-bagai jenis bunga seperti bunga raya, mawar, dahlia, kenanga, melur dan cempaka. Taman bunga itu berwarna-warni dan harum. Tiap-tiap hari, belalang akan menyanyi dan menari. Ia akan melompat dari satu pokok ke pokok yang lain. Belalang mempunyai ramai teman di dalam taman itu. Ada rama-rama, kumbang, lebah dan semut. Mereka dapat tinggal di taman itu. Mereka sering bermain-main dan menyanyi sama-sama.

Pada suatu hari, belalang mencari kesemua rakan-rakannya untuk bermain tetapi mereka semua sedang sibuk mencari makanan dan berpindah untuk berlindung sebelum musim hujan tiba. Belalang tidak percaya hujan akan turun sebentar lagi. Ia asyik menyanyi dan menari sendirian. Setelah lama menyanyi, belalang pulang ke rumah dan tidur kerana keletihan. Hujan turun dengan lebat lalu belalang terbangun. Ia berasa sangat lapar tetapi di rumahnya tiada makanan.

‘Bila hujan berhenti bolehlah saya mencari makanan, ‘ katanya dalam hati. Belalang berbaring semula dan tertidur. Apabila dia terjaga, hujan tetap turun dengan lebat. Belalang berasa menyesal kerana tidak mengikut nasihat rakannya untuk mencari makanan sebelum musim hujan. Akhirnya belalang jatuh sakit. Rakan-rakan belalang tidak mengetahui keadaan belalang yang sakit. Apabila hujan berhenti, lebah teringat akan belalang. Dia keluar dari sarangnya dan pergi ke rumah belalang. Ia amat terperanjat melihat belalang yang terlantar di atas katil di rumah.


‘Saya akan membawa makanan,’ kata lebah kepada belalang apabila melihat belalang terlalu lemah dan pucat. Lebah mencari semut dan rakannya yang lain untuk menolong belalang. Akhirnya belalang sembuh dan sihat. Belalang insaf dan sering mendengar nasihat daripada rakannya.  

Wednesday, February 1, 2017

20 Februari 2016 Hari Kedua (Jerman)

Dingin subuh memecah suasana. Aku dikejutkan oleh Abe Mat yang sudah pun berada di tikar sembahyang. Walaupun tempoh tidurku agak pendek, namun ia amat berkualiti untuk mengembalikan semula tenaga yang hilang sepanjang perjalanan hari pertama.  

Setelah selesai menunaikan solat subuh, Abe Mat mula bersiap-siap untuk pergi bekerja. Beliau memberitahuku mengenai aktiviti yang boleh aku lakukan pada hari ini dan tempat mana yang boleh aku lawati. Sebuah peta metro Munich dihulurkan padaku. Peta tersebut memaparkan maklumat tentang metro yang perlu dinaiki untuk pergi ke satu-satu tempat.

Aku bercadang untuk melawat Marietplatz, Stadium Allian Arena, Olympic Stadium, BMW Headquarter dan beberapa kawasan lain di Munich. Aku mempunyai masa dari pagi hingga ke malam untuk melawat tempat-tempat yang aku nyatakan. Abe Mat memberitahuku bahawa harga tiket untuk One Day Pass adalah sebanyak 6 Euro. Lalu, sejumlah wang 26 Euro dihulurkan kepadaku untuk membeli tiket tersebut dan selebihnya untuk berbelanja. Aku menolak wang tersebut kerana menurutku bajet yang aku sediakan sudah mencukupi. Namun, Abe Mat tetap memaksa aku untuk menerima wang tersebut sambil berkata, "Demo nak tolak rezeki ko? Nanti rezeki dok maghi doh, payoh."

Aku akur dengan kemurahan hati Abe Mat dan mengucapkan terima kasih kepadanya. Moga rezeki bertambah murah.

Beliau keluar dari rumah, meninggalkan aku sendirian. Aku mula bersiap-siap dan membelek-belek peta metro yang diberikan kepadaku. Sempat jugak aku search tempat-tempat menarik lain yang boleh dilawati melalui laman sesawang oogle. Apabila sudah bersedia, aku keluar dari rumah menuju ke stesen metro U-Bahn bernama Untersbergstrasse yang mengambil masa lima minit berjalan kaki untuk tiba di sana.

Sebaik memasuki stesen tersebut, aku terus menuju ke sebuah mesin persis mesin LRT di Kuala Lumpur untuk mendapatkan tiket daily pass bernilai 6 Euro (sekitar RM 27). Kecil saja saiz tiketnya seperti tiket yang pernah aku beli ketika menaiki metro di Cairo, Mesir. Bezanya, cuma tarif harga tiket. Jika di Mesir, harga tiket adalah sama iaitu satu enih (sekitar 50 sen) untuk setiap perjalanan sama ada perjalanan itu jauh ataupun dekat.

Destinasi pertama yang dituju ialah Stadium Alianz Arena yang terletak di kawasan Frottmaning, sebelah utara Kota Munich. Para peminat bola sepak UEFA pasti mengenali stadium ini kerana ia menjadi stadium tuan rumah bagi kelab gergasi Eropah, FC Bayern Munchen dan menjadi stadium perlawanan pembukaan bagi Piala Dunia FIFA 2006.

Sebaik tiba di stesen U-Bahn Frottmaning, aku perlu berjalan kaki terlebih dahulu selama 0 minit untuk menuju ke stadium. Terbayang di fikiranku keadaan orang ramai yang berpusu-pusu menuju ke stadium bagi menyaksikan perlawanan bola sepak. Yang pasti, masih ramai orang yang datang walaupun tiket perlawanan bola sepak dijual dengan harga yang cukup mahal. Dari jauh, sudah kelihatan stadium kebanggaan FC Bayern Munchen yang berwarna putih dan seni binanya seakan balutan ketupat. Pada waktu malam, stadium yang mampu memuatkan 66000 orang penonton itu akan berubah warna menjadi biru, merah dan sebagainya.

Setelah selesai melawat kawasan sekitar stadium, langkah aku dituju semula ke stesen metro untuk menghala ke Olympiazentrum. Sebaik tiba di sini, aku melawat Olympiapark Munich yang dibina untuk Sukan Olimpik Musim Panas 972. Kawasan Olympiapark ini sangat luas dan mengambil masa yang agak lama untuk dilawati. Aku melihat orang ramai menggunakan masa untuk beriadah bersama keluarga berehat dan sebagainya. Suasana damai dan indah di Olympic Area yang berbukit ini dilengkapi dengan Olympic Stadium, Olympic Hall, Olympic Tower, Olympic Swim Hall dan Olympic Event Hall. Kesemuanya masih digunakan sehingga kini.

Oleh kerana kawasan di sini agak berbukit, papan tanda larangan untuk bermain ski di kawasan bukit tersebut turut diletakkan bagi melarang para pengunjung untuk bermain ski ketika musim sejuk tiba. Langit Olympiapark ini juga dihiasai dengan Uptown Skycraper of O2 yang boleh dilihat dari jarak jauh. Begitu juga dengan BMW Headquaters yang terletak berhampiran.    

Aku sempat melawat ke bahagain dalam BMW Headquaters yang menjadi pusat operasi yang utama bagi kesemua kilang kereta mewah milik BMW di seluruh dunia ini sejak 973. Di dalam bangunan tersebut, dipamerkan kereta-kereta mewah milik BMW yang pelbagai. Pengunjung boleh merasai pengalaman menaiki kereta-kereta tersebut dan bergambar tanda kenangan.

Aku juga sempat mencuba menaiki sebuah kereta BMW 428I yang mana tempat kerusi pemandu berada di sebelah kiri. Bergaya seperti menaiki kereta milik sendiri. Namun, untuk membelinya jauh sekali. Terdapat juga tayangan video yang menggambarkan bagaimana syarikat BMW beroperasi dan keluaran-keluaran kereta baru yang bakal menembusi pasaran dunia, seperti BMW i8.

Usai melawat, aku kembali ke stesen untuk menuju ke destinasi seterusnya iaitu Marienplatz. Sebelum itu, aku sengaja singgah di stesen Universitat kerana teringat akan kawasan Universiti Malaya, tempat aku berjuang menuntut ilmu, juga terdapat sebuah stesen bernama Stesen LRT Universiti. Justeru, menurut fikiranku, pasti ada universiti di kawasan berdekatan dengan stesen.

Telahanku benar. Sebaik keluar dari stesen di Ludwigstr itu, aku melihat papan tanda untuk menuju ke Ludwig Maximilian University. Namun, kelihatannya seperti agak jauh dari stesen. maka, aku batalkan hasratku untuk meninjau ke universiti tersebut. Apa yang menariknya, berdekatan dengan universiti tersebut, terdapat sebuah binaan unik dipanggil Stegestor yang ketika ini disebut sebagai monumen simbol keamanan. Binaannya seakan Ard de Triophe di Perancis, tetapi lebih kecil.

Setelah mengambil beberapa keping gambar kenangan, aku terus ke setsen Universitat untuk menuju ke Marienplatz merupakan sebuah dataran utama dan pusat penting di kota Munchen sejak tahun 1158 lagi. Seni bina bangunan yang unik dan menarik menghiasi kawasan dataran Marientplatz ini. Antaranya bangunan City Hall, Neues Rathaus dan juga Frauenkirche yang merupakan salah sebuah gereja di kawasan ini.

Jika di negara Islam, binaan masjid ada di mana-mana. Namun di Eropah, bangunan cathedral (gereja) lebih senang dilihat. Tepat jam 12.00 tengah hari, bunyi loceng dari gereja bersahutan di sekitar dataran ini. bergema dentingan locengnya. Aku teringat sewaktu di Sweden sahabatku pernah berkata, jika kita mendengar bunyi loceng dari gereja janganlah kita merungut kerana kelak mereka akan mempersoalkan pula tentang mengapa kita boleh melaungkan azan dengan menggunakan pembesar suara tetapi mereka tidak.

Sebaliknya yang berlaku di Masjid Besar Stockholm, Sweden. Pembesar suara tidak boleh digunakan untuk melaungkan azan. Suara azan yang boleh didengari hanya di kawasan dalam masjid semata-mata. Sungguh tidak ada bagi kita umat Islam yang menganggap bahawa azan itu adalah syiar Islam. Namun, ia bukanlah asbab (faktor) serta halangan kepada Islam untuk terus berkembang di bumi Eropah.

Di dataran Marietplatz ini, aku melihat satu demonstrasi yang sedang dijalankan. Aku tidak faham apa yang dibicarakan oleh mereka. Namun, ku lihat para demonstran memegang sekeping gambar masjid yang ditanda pangkah dengan dakwat merah dan tertera tulisan ISLAMOPHOBIA yang mula meracuni minda masyarakat barat setelah peristiwa runtuhan World Trade Centre (WTC) pada 11 September 2001 dengan menuduh Islam sebagai punca berlakunya kemusnahan dan menganggap Islam sebagai pengganas. Propaganda jahat barat semata-mata.

Aku seakan dapat mengagak apa yang ingin diutarakan oleh mereka. Tambahan pula, bendera negara haram Israel turut dipacak di kawasan khemah demonstrasi tersebut. Sah! Demonstrasi mengecam islam. Pihak polis atau disebut polizei di Jerman mengawal kawasan demonstrasi, walaupun rakyat yang turut serta dalam demonstrasi tersebut boleh dikira dengan jari sahaja. Mungkin rakyat sudah muak dan bosan dengan demonstrasi sebegitu rupa, yang bersifat rasis semata-mata.

Aku sempat bertanya kepada seorang warga di sini tentang apa yang terjadi dan maksud perkataan yang tertera di salah satu kertas yang ditunjukkan oleh demonstran. Katanya, mereka menuntut supaya pihak berwajib agar menghentikan pembinaan masjid bagi umat islam yang dikatakan semakin berkembang biak. Jika dibiarkan berlarutan, kelak Islam akan menguasai Jerman. Betapa takut dan gentarnya mereka sekiranya Islam menang di bumi mereka.

Aku diam berfikir lalu meninggalkan kawasan demonstrasi untuk membeli cenderahati. Biarkan sahaja mereka terus beraksi sehingga mereka berpuas hati. Seperti biasa, bendera negara dan fridge magnet pasti dibeli walaupun harga untuk dua barangan ini sahaja sudah mencecah 8 Euro. Ingat, aku kini berada di Eropah. Nilai mata wangnya tidak sama dengan nilai mata wang  Malaysia. Jauh lebih mahal. Maka, anggap sahaja 8 Euro ini seperti RM 8. Mudah cerita, tutup sebelah mata, nanti usaha gandakan semula wang yang ada.

Hari sudah mulai petang. Kakiku terus melangkah semula ke stesen metro untuk pulang ke rumah Abe Mat. Sepanjang perjalanan di Kota Munich amat memenatkan dan perutku juga sudah mula menyanyi kelaparan. Sebaik tiba di stesen metro pertama yang aku naiki pagi tadi, barulah aku sedar tentang apa yang dimaksudkan dengan kejujuran rakyat Jerman, khususnya yang pernah diceritakan oleh rakyat Malaysia yang lama menetap di sini.

Benar, aku merasakan bahawa tiket metro yang dibeli pagi tadi tidak berfungi sama sekali. Masakan tidak, bermula dari metro pertama yang aku naiki hingga ke akhirnya, tidak ada seorang konduktor yang datang memeriksa tiketku. Malahan, untuk masuk ke dalam metro juga, tidak ada halangan seperti mana menaiki LRT di Kuala lumpur yang memerlukan kita tap coin yang dibeli untuk membuka halangan. Di sini, cuma diletakkan beberapa tiang setinggi pinggang yang menyuruh kita untuk memasukkan tiket yang dibeli. Jika tidak mahu masukkan juga tidak mengapa. Boleh menaiki metro begitu sahaja.

Dalam situasi seperti ini, harus diingat bahawa nasib tidak sentiasa menyebelahi kita. Sekiranya konduktor atau security metro membuat pemeriksaan mengejut, mereka yang tidak mempunyai tiket yang sah akan dikenakan denda yang sangat tinggi. Maka, lebih baik kita membeli tiket daripada membayar denda yang jauh lebih mahal. Tidak hairanlah, walau pemeriksaan dilakukan secara mengejut sekalipun, kesemua rakyat Jerman pasti mempunyai tiket yang sah. ia adalah perlambangan budaya dan sifat jujur mereka. Wajar dicontohi oleh kita semua.
 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078