Pages

Tuesday, August 16, 2016

Sinopsis Dan Pengajaran Filem Antara Dua Darjat


MALAY FILM PRODUCTION LTD presents ANTARA DUA DARJAT Starring P.RAMLEE SA'ADIAH Co-Starring S.KADARISMAN S.SHAMSUDDIN YUSOF LATIFF AHMAD NISFU KUSWADINATA With RAHMAH ALIAS MARIAM RAHMAH RAHMAT KEMAT HASSAN ALI FIJI AINI JASMIN MUSTARJO Director Of Photography BAKAR ALI  Sound KAM SHIN BOON Recordist KAMAL MUSTAFFA Editor H.R.NARAYANA Processing WONG HONG PENG Laboratory CHEW CHEN KOK Studio Manager KWEK CHIP JIAN Assistants Director S.SUDARMAJI Photography YAAKOB MAHMOOD Sound YEO KEE JOK Recordist AHMAD SURADI Editing K.K.RAM Music KASSIM MASDOR Studio Manager M.K.TEO Continuity KASSIM MASDOR Art Director A.V.BAPAT Music P.RAMLEE Lyrics S.SUDARMAJI Orchestration P.RAMLEE Story & Screen Play OMAR ROJIK Dialogues P.RAMLEE Director P.RAMLEE

Tahun Diedarkan : 1960 (Mei)
Masa Tayangan : 1 Jam 55 Minit


RINGKASAN CERITA

Anggerik Villa kini: Ketika hujan lebat dengan kilat sabung-menyabung, Anggerik Villa yang sekian lama kosong didatangi oleh Tengku Mukri dan Tengku Zaleha untuk berbulan madu. Mereka ditemani Dr. tengku Aziz, teman baik Tengku Mukri.  Suasana Anggerik Villa menjadi kelam kabut dengan kedatangan Ghazali (pemuda kampung berdekatan) yang mahu mempastikan sama ada Tengku Zaleha yang ada di villa tersebut bekas kekasihnya atau pun tidak.Apabila pulang ke rumah, Ghazali dimarahi sepupunya (Sudin) dan mengingatkan Ghazali perempuan di Anggerik Villa itu adalah isteri orang. "Tengku Zaleha sudah mati", katanya. Ghazali tidak percaya, lalu mengimbau masa lampau.

Cerita Ghazali: Ghazali dan Tengku Zaleha saling cintai-mencintai setelah Ghazali dan kawan-kawannya menolong menolak kereta yang dinaiki Tengku Zaleha terbenam ke dalam lumpur akibat hujan lebat. Bagaimanapun, perbubungan mereka mendapat halangan dari ayahanda Tengku Zaleha (Tengku Karim). Cerita Sudin: Akibat lebih mementingkan darjat dan keturunan, Tengku Zaleha dipisahkan daripada Ghazali dengan cara menggunakan kekerasan. Ghazali dibelasah teruk oleh Tengku Hasan (abang tiri Tengku Zaleha) beserta orang-orangnya, manakala Tengku Zaleha disuntik sehingga pengsan dan kemudian dibawa ke Singapura. Berikutan dengan suntikan itu, Tengku Zaleha disangka mati oleh Sudin (sepupu Ghazali) dan kawan-kawannya. Tapi bagi Ghazali dia begitu yakin yang Tengku Zaleha masih hidup dan sejak perpisahan itu, keadaan Ghazali tidak siuman dan dirinya tidak terurus.

Cerita Tengku Zaleha: Semasa di Singapura, pengeseran berlaku di mana akibatnya, Tengku Hassan telah membunuh Yang Chik (ibu Tengku Zaleha) manakala Tengku Karim masuk ke hospital sakit jiwa (gila) kerana kematian Yang Chik. Cerita kini: Di Singapura itu juga, Tengku Zaleha telah dikahwinkan dengan Tengku Mukri yang bertujuan untuk membolot harta yang ada pada Tengku Zaleha. Untuk memudahkan pertemuannya dengan Ghazali, Tengku Zaleha telah memilih Anggerik Villa di Johor Bahru untuk berbulan madu. Turut bersama mereka, Tengku Aziz. Dengan pertmuan tersebut jalinan kasih antara Ghazali dan Tengku Zaleha yang terbantut mekar semula.

Bagaimanapun, apabila Tengku Mukri mendapat tahu dari Tengku Aziz yang Tengku Zaleha dan Ghazali sedang bercinta dan Tengku Aziz pula meminta Tengku Mukri menceraikan Tengku Zaleha supaya dapat berkahwin dengan Ghazali, dia naik berang. Cadangan Tengku Aziz sangat memarahkan Tengku Mukri dan membuat rancangan membunuh Tengku Aziz cara melanggar dengan keretanya dari selepas itu pergi menemui Ghazali membuat perhitungan untuk membunuh Ghazali. Pertarungan sengit berlaku di antara Ghazali dan Tengku Mukri hampir meragut nyawa Ghazali, Tengku Aziz yang disangka terbunuh muncul tiba-tiba lalu menembak tengku Mukri lalu membunuhnya. Dengan itu, bertautlah semula cinta antara Ghazali dan Tengku Zaleha.

PENGAJARAN CERITA

Antara Dua Darjat merupakan filem yang memaparkan kritikan tanpa selindung terhadap golongan feudal. Serangan terus-terusan P.Ramlee di dalam filem ini bermula dari awal sehingga akhir. Filem ini tidak memerlukan pembedahan lanjut untuk kita memahami makna dan tanda di dalamnya. Semuanya terpapar dengan jelas dan terang. Kita cuma perlu duduk, tonton, dan bertenang dengan filem tentang ketidakseimbangan sosial dan layanan masyarakat yang berbeza-beza mengikut pangkat dan keturunan ini. Filem ini bermula di tengah-tengah dan kembali secara beransur-ansur ke belakang dan memberi penjelasan kepada penonton tentang apa sebenarnya yang berlaku. Pembukaan filem ini sebenarnya agak misterius. Hujan, perit dan suasana malam menambahkan kelam babak pembukaan filem ini. Jangkaan awal boleh menyebabkan kita terfikir bahawa ini merupakan sebuah filem thriller. Namun, menerusi rangkaian plot yang kemas, dibuat secara teratur menyebabkan kita memahami setiap konflik yang timbul dengan baik.

Piano menjadi objek fokus di dalam filem ini dan kemudiannya kita dapat memahami bahawa piano menjadi fokus kerana ia adalah objek penting yang menjadi titik pertemuan dan perpisahan Ghazali dan Tengku Zaleha. Melalui piano mereka berkenalan, melalui piano mereka menjadi rapat dan melalui piano mereka bertemu semula. Menggunakan objek sebagai mengaitkan setiap konflik dan pertembungan watak merupakan satu idea bijak dan membolehkan kita memahami dengan mudah perkaitan berkenaan. Pada babak awal sewaktu kita diperkenalkan dengan Anggerik Villa yang suram dan muram, kita ditontonkan dengan potret Tengku Karim yang kelihatan senget dan menimbulkan syak di hati kita bahawa ada sesuatu yang tidak kena di dalam villa berkenaan. Penggunaan objek seperti ini amat membantu penceritaan yang kemudiannya secara beransur-ansur kita diperkenalkan dengan Tengku Karim dan seterusnya watak-watak lain.

Ego dan rasa meninggi diri dalam kalangan golongan feudal dan bangsawan ini ditonjolkan P.Ramlee dalam beberapa babak. Misalnya dalam babak semasa Tengku Karim memarahi Tengku Zaleha yang basah kuyup membantu penduduk kampung menolak keretanya yang tersangkut lumpur.

"Tengku, berdarah mulia. Tidak layak bercampur gaul dengan pemuda-pemuda yang bukan keturunan diraja, tau?"

Filem ini juga menonjolkan kawalan golongan feudal ini terhadap wanita dengan wanita tidak dibenarkan keluar rumah, hanya duduk di rumah dan bergaul dalam kelompok elit sahaja. Patriaki yang menebal dalam jiwa feudal ditonjolkan. Ini dapat dilihat kepada dialog Tengku Hasan yang memarahi Yang Chik, ibu tirinya kerana membenarkan Tengku Zaleha keluar rumah.

"Mak Yang! Mengapa Mak Yang membiarkan Tengku Zaleha keluar semasa ayahanda tiada di rumah?"

Kemudian kita dapat lihat bagaimana Tengku Karim menghalang Tengku Zaleha daripada keluar rumah.

"Mulai dari hari ini! Ayahanda tak izinkan kamu pergi ke mana-mana. Kerana Ayahanda curiga kalau kau bercampur gaul lebih-lebih lagi kamu membuat perhubungan dengan pemuda-pemuda yang tidak setaraf dengan darjat kita."

Kita dapat melihat juga bagaimana egonya Tengku Karim yang enggan bersalaman dengan Ghazali, semasa Ghazali datang ke rumahnya untuk mengajar Tengku Zaleha bermain piano. Ini merupakan sebahagian daripada sikap negatif golongan feudal yang dikritik secara terus tanpa berselindung oleh P.Ramlee. Filem ini lebih mudah dibaca kerana paparan kritikannya dilihat tepat dan mengena.

Terdapat satu babak yang benar-benar dilihat sebagai tamparan P.Ramlee kepada golongan feudal. Kita lihat babak Sudin sedang bersiap-siap, berpakaian cantik dan memakai pewangi sehingga Ghazali menegurnya. Sudin kelihatan segak, wangi dan bergaya. Niat Sudin sebenarnya untuk bertemu dengan pujaan hatinya, Muna, orang gaji yang bekerja dengan Tengku Karim. Kita dapat lihat Sudin begitu bersemangat untuk memikat Muna. Apabila Sudin tiba di kawasan rumah Tengku Karim, Sudin melihat Muna sedang sibuk mencuci lantai dan pada masa yang sama seorang lagi orang gaji di rumah berkenaan, Wak Karto datang dan cuba memikat Muna. Sudin yang berada di luar menyembunyikan diri, takut dirinya kelihatan. Namun malang menimpa Sudin apabila Wak Karto yang membantu Muna, menyimbah air cucian lantai yang busuk itu ke luar dan membasahi Sudin seluruhnya. Sudin yang hampa pulang ke rumah dalam keadaan tidak terurus dan busuk. Berlawanan dengan keadaan dirinya semasa keluar rumah tadi. Ghazali turut menyindirnya. Babak ini mungkin kelihatan biasa, namun jika diteliti dengan baik kita dapat mengesan satu kritikan tajam yang cuba disampaikan. Sudin, orang kebanyakan membawa bau wangi dan pergi ke rumah golongan feudal dan membawa pulang bau busuk. Bau wangi itu mewakili jiwa orang kebanyakan di dalam filem ini yang elok, suci dan harum. Hati yang sentiasa baik dan membantu orang. Bau busuk ini yang datang dari rumah Tengku Karim, mewakili jiwa golongan feudal di dalam filem ini yang busuk dan sentiasa cuba menindas orang-orang yang lemah.

Filem ini juga melihatkan keberanian P.Ramlee menggunakan perkataan feudal di dalam dialognya. Ini menandakan P.Ramlee begitu menekankan aspek kritikan terhadap golongan ini. Sebelum filem Antara Dua Darjat, perkataan feudal tidak pernah disebut di dalam filem-filem P.Ramlee yang lain. Walaupun perkataan itu hanya disebut sekali, namun kesannya cukup ketara. Perkataan berkenaan disebut di dalam dialog semasa Sudin cuba menasihati Ghazali. 

"Ghazali, orang yang berdarah feudal macam Tengku Karim itu dia lebih suka melihat anaknya mati daripada melihat anaknya membuat perhubungan dengan orang kebanyakan seperti kita."

Ini jelas menunjukkan sikap P.Ramlee terhadap kelompok feudal yang memandang kebanyakan golongan ini suka bertindak berat sebelah dan memihak kepada mereka sahaja dan dalam masa yang sama menindas golongan yang lemah dan tidak mampu melawan.

Watak Yang Chik, seorang wanita daripada golongan biasa yang cantik dan menjadi isteri kepada Tengku Karim serta ibu kepada Tengku Zaleha dan ibu tiri kepada Tengku Hasan. Kita dapat mengetahui bahawa Yang Chik ini ialah seorang perempuan kabaret melalui herdikan Tengku Hasan terhadapnya. Yang Chik menonjolkan dirinya sebagai seorang wanita yang sabar dengan segala penindasan dan kemuncaknya beliau membalas segala herdikan berkenaan dengan kritikan menyeluruh yang dilihat mampu menampar jiwa kelompok feudal.

"Ya! Aku memang perempuan kabaret! Ayah kau yang tergila-ilakan aku dahulu. Oh! Kalau kamu Tengku-Tengku gilakan perempuan kebanyakan tak mengapa ya? Kalau Tengku Zaleha gilakan laki-laki kebanyakan kamu pentingkan darah. Kenapa ayah kamu tak pentingkan darah semasa ia kahwin dengan aku dahulu?".

Ini merupakan satu sindiran tajam yang mengkritik perihal perangai golongan feudal yang gemar mengambil kesempatan terhadap wanita dan menjadikan mereka seperti hamba selepas memiliki mereka. Kata-kata Yang Chik ini merupakan satu kemuncak kepada segala kesabarannya sebelum ini.

Selain berkonflik dengan orang kebanyakan, golongan feudal di dalam Antara Dua Darjat juga ditonjolkan sebagai memiliki sikap suka berbalah sesama mereka disebabkan soal harta. Ini dapat dilihat semasa dialog di dalam kereta di antara Tengku Mukri dan ayahnya. Babak ini menonjolkan niat tidak baik Tengku Mukri yang mahu berkahwin dengan Tengku Zaleha hanya kerana mahukan hartanya. kemudian kita melihat babak Tengku Mukri menjalinkan hubungan sulit dengan wanita kebanyakan lain. Lihat di sini dua perkara yang menjadi rebutan golongan feudal ialah harta dan wanita. 

Namun, P.Ramlee cuba mengimbangi kritikannya dengan menonjolkan watak Tengku Aziz, golongan feudal yang dilihat liberal dan tidak mementingkan darjat. Tengku Aziz ditonjolkan sebagai golongan feudal yang disenangi ramai dan sanggup berkorban demi kebahagian golongan kebanyakan. Tengku Aziz menembak Tengku Mukri dan rela bertanggungjawab di atas kematian berkenaan. Menurut Tengku Aziz, lelaki seperti Tengku Mukri amat bahaya. Ya! Memang bahaya kepada masyarakat dan P.Ramlee menonjolkan bahawa golongan feudal seperti Tengku Mukri tidak sepatutnya wujud. Satu dialog yang diungkapkan Tengku Aziz, benar-benar menonjolkan perihal dirinya yang liberal dan terbuka.

"Kamu selalu mementingkan darjat, mementingkan darah. Apakah keistimewaannya yang berada dalam darah kita. Tengku Mukri? Tengku! Tengku hanya panggilan, gelaran, nama. Tidak ada kena mengena dengan darah kita Tengku Mukri."

Di penghujung filem ini kita dapat melihat kemenangan milik orang kebanyakan dan golongan feudal kesemuanya musnah, Tengku Mukri mati, Tengku Hasan ditangkap polis dan Tengku Karim dimasukkan ke hospital mental. Babak akhir filem ini juga melihatkan P.Ramlee melepaskan geram terhadap golongan feudal dengan menjert kepada Tengku Mukri yang sedang berdarah di kepala.

"Kamu selalu berbangga dengan darah keturunanmu! Kamu selalu berbangga dengan darah keturunanmu! Sekarang cubalah kamu bandingkan darahmu dengan darahku! Bandingkanlah darahmu dengan darahku!". 

ULASAN & KRITIKAN

Kalau tidak ada "Madhumati" yang diarahkan oleh Bimal Roy tidak ada filem ini. Kalau tidak ada"Madhumati" kemungkinan tidak ada lagu Getaran Jiwa. Ini kerana Omar Rojik menulis cerita filem ini bersumber ilhamkan "Madhumati". Dua filem yang dikeluar dan diarahkan Bimal Roy kini sudah dianggap klasik India (Hindi) ialah "Devdas" (versi Dilip Kumar bukan Shah Rukh Khan) dan "Madhumati" yang dibintangi Dilip Kumar dan Vyjayantimala sebagai Madhumati. "Devdas" telah diambil L.Krishnan ceritanya untuk filem arahannya di Cathay Keris "Selamat Tinggal Kekasihku". Pndaan ceritanya terlalu sedikit dan boleh dikatakan filem ini 'carbon copy' "Devdas".

Bagaimana, "Devdas" yang diapdatasi L.Krishnan bukanlah  arahan Bimal Roy tetapi versi 1935 yang diarahkan P.C.Barua. Omar Rojik memberitahu "Madhumati" adalah sumber ilhamnya menulis cerita "Antara Dua Darjat" dengan tajuk asalnya "Antara Darah Merah Dan Putih". Saya sempat menonton VCD "Madhumati" dan setelah mengamati keseluruhannya ternyata ia jauh menyimpang. Pertentangan darjat (Tengku berdarah Raja dengan rakyat kebanyakan) tidak ada langsung. Tetapi perbalahan dengan majikannya (Pran) dalam merebutkan Madhumati, itu ada. Unsur-unsur yang terdapat dalam "Madhumati" memang ada tetapi tidak banyak. Mungkin Omar Rojik menyadurkannya seperti filem tersebut dengan beberapa perubahan tetapi apabila sampai ke tangan P.Ramlee jadilah sepert keadannya yang ada sekarang.

Dalam penceritaannya, P.Ramlee mengikut cara Akira Kurosawa mengarahkan "Rashomon". Cerita diceritakan secara 'flashback' (sorotbalik) tiga watak (Ghazali, Sudin dan Tengku Zaleha) seperti juga penjenayah, suami, isteri dan pemotong kayu (empat watak) dalam filem yang turut memenangi anuegerah Oscar itu. "Madhumati" pun lebih kurang sama. Menggunakan teknk 'flashback' malah ke depan lagi - 'flashback' dalam 'flashback'. Adegan pembukaannya pun seakan-akan sama dengan "Madhumati" -  bermula dengan hujan ribut di sebuah rumah besar yang usang lagi menggerunkan. Pada keseluruhannya, filem ini sangat menarik baik dari segi lakonan, teknik fotografi dan pengolahan cerita. Ramai menerima filem ini sebagai yang kedua terbaik arahan P.Ramlee selepas "Semerah Padi". 



FAKTA & ANGKA


  1. Filem kedua cerita asalnya oleh Omar Rojik yang diarahkan oleh P.Ramlee selepas "Semerah Padi".
  2. Filem pertama lakonan Yusof Latiff dalam filem arahan P.Ramlee. P.Ramlee pernah berlakon sama dengan Yusof Latiff dalam "Panggilan Pulau" dan "Hang Tuah". 
  3. Filem keempat dan terakhir Sa'adiah berlakon dalam filem yang diarahkan oleh P.Ramlee selepas "Penarek Becha" "Semerah Padi" dan "Musang Berjanggut".
  4. Sa'adah meninggal dunia di Kuala Lumpur 26 Februari 2004.
  5. P.Ramlee nyaris-nyaris sekali lagi memenang 
  6. Sempena penayangan filem ini satu peraduan melukis potret Sa'adiah telah dianjurkan oleh Majalah Filem. Peraduan ini telah dimenangi oleh Ahmad Shariff dari Tanjong Pagar, Singapura.
  7. Sepatutnya filem ini dihantar untuk dicalonkan dalam Festival Filem Asia Pasifik Ke-7 di Tokyo (1960) yan mana pengumumannya telah dibuat dalam Majalah Filem Bilangan 1 keluaran bulan April 1960. Tetapi terpaksa dibatalkan dan tempatnya digantikan dengan "Seniman Bujang Lapok". Filem ini bagaimanapun dihantar ke festival filem yang sama di Tokyo pada 1963, tetapi gagal merebut sebarang anugerah.
  8. Adegan ketika P.Ramlee mahu dikapak S.Kadarisman di akhir filem juga salah satu adegan yang terdapat dalam "Barsaat" yang mana K.N.singh mahu mengapak Raj Kapoor.
  9. Dialog: "Namaku Ghazali. Ayahku bernama Mahadi, ibuku bernama Khatijah. Umurku 28 tahun, belum kahwin. Aku bekerja di "International Club" sebagai pemain piano dan penyanyi. Cukup?". Diilhamkan oleh P.Ramlee daripada filem "The Kingdom And The Beauty" yang dbintangi oleh Lin Dai.
IRAMA & LAGU

  • Terdapat 3 lagu sahaja di dalam filem ini:
  1. Alunan Biola (P.Ramlee)
  2. Selamat Panjang Umur (P.Ramlee)
  3. Getaran Jiwa (P.Ramlee)
          Ciptaan & gubahan: P.Ramlee
          Lirik: S.Sudarmadji
          Muzik Iringan: Orkestra pimpinan P.Ramlee

  • Lagu Alunan Biola ada persamaannya dengan lagu Indonesia - Rayuan Pulau Kelapa ciptaan Ismail Marzuki. Rayuan Pulau Kelapa juga adalah ilham Alfred Newman untuk menghasilkan lagu tema filem "Love Is A Many - Splendored Thing" (1955) yang dibintangi William Holden dan Jennifer Jones.
  • Lagu Getaran Jiwa kekal sebagai salah sebuah lagu yang terus menerus popular dan diminati ramai. Lagu yang sudah dianggap klasik dan dan 'masterpiece' ini telah dinyanyikan oleh Lobo ke dalam albumnya dalam versi Inggeris bertajuk Whispers In The Winds manakala KRU mengambilnya untuk berpadu suara dengan P.RAMLEE dalam rakaman album mereka.
  • Teknik yang dilakukan KRU diilhamkan mereka dari nyanyian Nat King Cole (sudah meninggal dunia) dengan anaknya Natalie Cole (masih hidup) dalam lagu Unforgettable yang dirakamkan pada 1991 dengan mendapat sambutan hangat. Lagu dan album yang menggunakan tajuk yang sama memenangi tujuh anugerah Grammy pada 1992.
  • Lagu ini kalau diamati-amati ada sedikit persamaan dengan Angel nyanyian Elvis Presley kemudian dicampuraduk dengan Autumn Leave (ciptaan Joseph Kosma, 1945) dan lagu nyanyian Johnny Manthis - Misty.
  • Adegan Sa'adiah bermain piano di awal lagu diilhamkan P.RAMLEE dari "Awara" (arahan Raj Kapoor) yang mana dalam filem tersebut Nargis memainkannya manakalaa adegan Sa'adiah dan P.RAMLEE menaiki sampan diilhamkannya dari "Barsaat" di mana Raj Kapoor dan Nargis melakukannya. 
GETARAN JIWA

Satu perkara yang agak menarik Getaran Jiwa ini ada persamaannya dengan lagu Wang Pu Liau Wang Pu Liau (Tidak Dapat Dilupakan) yang terdapat dalam "Love Without End" yang dinyanyikan Lin Dai (menggunakan suara Mei Gui). Tajuk filem dalam bahasa Cina "Bu Liao Qing". Agak menarik salah satu lagu tersebut dimulakan dengan petikan piano dan diakhiri juga dengan petikan piano sama seperti lagu Getaran Jiwa. Dalam filem tersebut para penonton dipendengarkan empat kali termasuk lagu pembukaannya diawal filem. Yang menariknya, tidak dapat disahkan sama ada lagu yang begitu popular ini diilhamkan P.RAMLEE daripada Wang Pu Liau Wang Pu Liau atau pengarahnya Qin Tao (juga terkenal sebagai komposer lagu) menceduk dari lagu Getaran Jiwa ciptaan P.RAMLEE itu. Sebabnya, "Antara Dua Darjat" diedarkan pada 20 Mei 1960 sedangkan "Love Without End" mula diedarkan di Hong Kong pada 12 Oktober 1961. Begitu pun juga P.RAMLEE meniru lagu tersebut kemungkinannya ada kerana, kadang-kadang ada filem yang disiapkan dulu tetapi lambat ditayangkan disebabkan beberapa faktor yang sukar dipastikan. Ataupun, lagu tersebut sememangnya sudah ada dan popular di Cina sebelum P.RAMLEE dan Qin Tao mengambilnya dan diberi nafas baharu.

Tetapi sekiranya benar, Love Without End itu ciplakan lagu Getaran Jiwa alangkah hebatnya P.RAMLEE kerana ada pihak lain di luar Malaysia meminatinya. "Love Without End" ini ada dua versi. Selain lakonan Lin Dai, pada 1970 difilemkan semula "remake" dengan Jenny Hu memegang peranan Lin Dai. Ternyata lagu Wang Pu Liau Wang Pu Liau menjadi lagu pembukaan di awal filem dan 'background' muzik serta nyanyian Jenny Hu (menggunakan suara orang kuat Shaw Brothers - Mong Fong yang juga terkenal sebagai penyanyi). Sama ada Getaran Jiwa ciplakan Wang Pu Liau Wang Pu Liau atau ada sebaliknya tidak dapat dipastikan kerana P.RAMLEE sudah tiada. Tetapi yang sudah pasti dan sudah nyata "Antara Dua Darjat" dan "Love Without End" dikeluarkan oleh produser yang sama - Run Run Shaw. Rasanya, inilah pertama kali kewibawaan lagu Getaran Jiwa disentuh sama ada ianya 'original' ataupun ciplak. 

MADHUMATI (1958)

Ketika hujan lebat, Davendran (jurutera) bersama seorang temannya (doktor) memandu kereta untuk ke stesen kereta api menjemput isteri dan anaknya. Bagaimanapun, pokok tumbang menghalang jalan menyebabkan Davendran dan temannya terpaksa singgah berteduh di sebuah rumah besar yang usang. Di rumah tersebut, Davendran terlihatkan gambar lukisan yang dirasakannya dia adalah pelukisnya. Sedikit demi sedikit dia mula teringatkan kisah yang pernah dialaminya. Davendran menceritakan kepada temannya serta penjaga rumah usang itu sementara di luar hujan ribut terus menggila. Anand datang ke estet balak di Shyamnagar sebagai pengurus. Sebagai pelukis, dia berjalan-jalan (sambil membawa kertas lukisan dalam begnya) menikmati keindahan alam dan mundar mandir di sekitar bukit dan hutan, di mana dia bertemu Madhumati lalu jatuh cinta kepadanya.

Tidak lama selepas itu, Anand bertemu Raja Ugra Narayan (majikannya) yang bersifat kejam dan angkuh. Anand tidak mahu menurut perintahnya sebagaimana pekerja-pekerja lain. Ugra juga menaruh hati terhadap Madhumnati. Dengan itu, bermulalah perebutan Madhumati antara Anand dan Ugra Narayan. Kemudian Anand mendapati Madhumati hilang dan menerusi Charandas dia mendapat tahu Madhumati dibawa bertemu Ugra, Ingin tahu, Anand pergi berjumpa Ugra tetapi dibelasah hingga pengsan oleh orang-orang Ugra. Nyawa Anand terselamat tetapi fikirannya terganggu. Suatu hari, Anand bertemu seorang gadis serupa macam Madhumati. Dia memberitahu dia bukan Madhumati tetapi Madhavi. Anand tidak percaya. Sekali lagi Anand dipukul kali ini oleh kawan-kawan Madhavi pula. Madhavi kemudian menemui lukisan Madhumati dan tahulah dia yang Anand bercakap benar. Dia kemudian pergi ke rumah tumpangan di mana Anand tinggal dan mendapat tahu kisah sebenarnya daripada Charandas.

Dalam pada itu, Anand diganggu roh Madhumati yang memberitahunya Ugra adalah orang yang membunuhnya. Anand kemudian memujuk Madhavi menyamar sebagai Madhumati supaya dia dapat memerangkap Ugra supaya mengaku perbuatannya membunuh Madhumati. Dia bersetuju. Anand kemudian meminta Ugra supaya membenarkan dia melukis gambarnya yang mana telah dipersetujui. Pada malam itu, ketika hujan lebat Anand melukis gambar Ugra, dan apabila tepat jam 6 Ugra tiba-tiba dapati Madhumati (Mandhavi) berada di depannya. Ketakutan menguasai dirinya, akhirnya Ugra mengakui yang dia menyebabkan Madhumati terbunuh (terjatuh dari tingkap atas rumah tersebut) ketika dia cuba memperkosa Madhumati. Dia kemudian ditangkap polis. Anand kemudian meragui Madhavi, dia merasakan Madhavi itu Madhumati. Keraguannya ternyata benar apabila Madhavi tergesa-gesa masuk ke rumah, dia terlambat sampai untuk menyamar sebagai Madhumati. Dalam keadaan kebingungan, Anand terus mengikuti Madhumati (roh) lebih-lebih lagi Madhumati menggoda untuk datang kepadanya. Anand menemui ajal apabila terjatuh dari tempat yang sama di mana Madhumati terjatuh sebelumnya.    

Cerita Davendran berakhir sudah. Hujan ribut sudah pun berhenti. Jalan pula sudah boleh dilalui. Tetapi berita buruk sampai ke pengetahuan Anand, kereta api yang dinaiki isteri dan anaknya kemalangan. Davendran dan doktor bergegas le stesen, dia mencari. Akhirnya, di satu gerabak muncul isterinya. Radha yang mempunyai wajah sama seperti Madhumati dalam kehidupan Davendran (Anand) di masa lampau. Filem ini dibintangi Dilip Kumar (Davendran/Anand), Vyjayantimala (Madhumati/Madhavi/Radha), Johnny Walker (Charandas) dan Pran (Raja Ugra Narayan). Filem ini memenangi 9 anugerah Filmfare ( 1958) termasuk Filem Terbaik, Pengarah Terbaik (Bimal Boy) dan Muzik Terbaik (Salil Choundhury). Mukesh dan Lata Mangeshkar turut menerima anugerah. Bimal Roy yang dilahirkan di Dhaka, Bangladesh pada 12 Julai 1909 meninggal dunia pada 7 Januari 1966.

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078