Pages

Thursday, February 16, 2017

Sinopsis Dan Pengajaran Filem 3 Abdul

ULASAN & KRITIKAN


Sebelum mengarahkan filem ini, P.RAMLEE telah ditawarkan oleh Run Run Shaw untuk mengarah filem Melayu di Hong Kong dan disebabkan sikap pekerja-pekerja yang mengikut telunjuk 'union' (Kesatuan Sekerja) P.RAMLEE bersetuju. Run Run Shaw telah menyerahkan sebuah skrip yang ditulisnya sendiri bertajuk "Seniwati" sebagai arahannya yang pertama di Studio kepunyaan Shaw Brothers di Clearbay Water, Hong Kong di samping Run Run Shaw menyuruh P.RAMLEE menyediakan tiga skrip lagi untuk diarahkannya di sana. Menurut Aziz Sattar, satu sudah ada di kepala P.RAMLEE iaitu "Bujang Lapok Di Hong Kong". Pelakon-pelakon yang dijangka akan ke Hong Kong untuk membintangi "Seniwati" yang akan dibuat dalam warnawarni dan bidang Shaw Scope (CinemaScope) di Hong Kong itu antaranya Sarimah, Yusof Latiff, Zaharah Agus, Ahmad Nisfu, Kuswadinata, Shariff Dol dan Udo Omar.

Bagaimanapun, banyak halangan terpaksa dihadapi P.RAMLEE. Di samping mengenai pembayaran, P.RAMLEE menghadapi tindakan union yang menghalang semua ahli yang bernaung dengannya tidak dibenarkan mengikut P.RAMLEE ke Hong Kong. Dan semasa perkara itu berlaku P.RAMLEE mengarahkan filemnya yang terakhir di MFP (3 Abdul) yang mana orang kuat union turut berlakon membawa watak-watak utama - Sarimah, Haji Mahadi dan S.Kadarisman. Sungguhpun, P.RAMLEE kecewa dengan tindakan rakan-rakan sekerjanya terutama yang berada di bawah naungan union, namun ketika mengarahkan filem ini ketekunannya untuk menjadikan filem ini sebagai yang terbaik tetap tidak diabaikannya. Filem ini dikira antara filem-filem komedi terbaik yang diarahkan P.RAMLEE baik di MFP mahupun di MFS walaupun jalinan ceritanya agak ringan dan tidak masuk akal. Ceritanya yang dipadankan dari cerita dongeng orang-orang tua dengan lakon layar dan dialognya diusahakan oleh p.RAMLEE sendiri sangat menarik dan membuat penonton tidak kering gusi dari awal hingga ke akhir filem.

Persoalan yang ditimbulkan mengenai ketamakan manusia terhadap harta hingga sanggup membuang sanak saudara dan membuat tipu helah supaya harta yang dimahukan itu didapatinya dengan apa cara sekali pun termasuklah menggunakan tipu muslihat. Banyak sindiran dan contoh tauladan terdapat dalam filem ini. Bak kata perpatah, "siapa makan cili dialah terasa pedasnya". Dari segi pengarahan P.RAMLEE dikira berjaya manakala para pelakon yang dipilihnya telah membawa watak masing dengan baik dan memuaskan, S.Kadarisman sering membawa watak komedi tetapi Haji Mahadi jarang-jarang sekali. Tetapi dalam filem ini Haji Mahadi yang berperanan Abdul Wahab telah membawa peranan komedi yang melucukan juga. Begitu juga dengan tiga pelakon wanitanya - Sarimah (Ghasidah), Mariani (Hamidah) dan Dayang Sofia (Rafidah). Pada keseluruhannya, filem ini baik dari segi persembahannya. Nampaknya P.RAMLEE tetap unggul dalam mengarahkan filem-filem bercorak komedi. 

IRAMA & LAGU 

4 lagu sahaja terdapat dalam filem ini:

  1. Tiga Abdul (Saloma)
  2. Bunyi Gitar (P.RAMLEE)
  3. Tolong Kami (P.RAMLEE)
  4. Sedangkan Lidah Lagi Tergigit (P.RAMLEE & Saloma)
          Ciptaan & gubahan: P.RAMLEE
          Lirik: S. Sudarmaji
          Muzik Iringan: MFP Orchestra
  • Sah lagu Sedangkan Lidah Lagi Tergigit adalah petikan filem "Solva Saal" (1958) lakonan Dev Anand dan Waheeda Rehman yang diarahkan Raj Khosla. lagunya Hai Apna Dil To Awara ciptaan S.D.Burman nyanyian Hermant Kumar.
  • R.Azmi turut merakamkan lagu tersebut ke piring hitam dengan tajuknya - Bulan Mengambang.


FAKTA & ANGKA


  • Filem terakhir P.RAMLEE berlakon dan mengarah di MFP.
  • Filem pertama arahan P.RAMLEE menggunakan angka (3) sebagai tajuk - "3 Abdul".
  • Filem terakhir P.RAMLEE berpasangan dengan Sarimah di MFP.
  • Filem yang ke-44 P.RAMLEE berlakon dan yang ke-17 P.RAMLEE mengarah di MFP.
  • Tolong Kami adegannya diilhamkan P.RAMLEE daripada "Boot Polis" (1954). Lagunya Tumhare Hai Tumse Daya Manfe Hai ciptaan Shankar - Jaikishan dan dinyanyikan oleh Talat Mahmood. Kalau didengar baik-baik, lagunya pun seakan-akan sama.
  • Kali terakhir Haji Mahadi membintangi filem arahan P.RAMLEE. Dia meninggal dunia pada 20 Februari 1983 dan dikebumikan di Seremban, Negeri Sembilan.
  • Selesai mengarahkan filem ini, pada 16 April 1964 P.RAMLEE meninggalkan Singapura menuju ke Kuala Lumpur untuk bertugas di MFS, P.RAMLEE pun tidak sempat menonton 'previewnya' tetapi menontonnya di pawagam Federal, Kuala Lumpur bersama Saloma dan Ramli Ismail dengan membeli tiket.
  • Pertemuan di awal filem antara Abdul Wahub dengan ghasidah ada persamaannya dengan pertemuan di awal filem antara dev Anand dengan Nutan dalam filem "Manzil" (1960) - masing-masing jual mahal.


No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078