Pages

Thursday, February 16, 2017

Sinopsis Filem Sabarudin Tukang Kasut

MERDEKA FILEM SETUDIO Mempersembahkan SABARUDIN TUKANG KASUT Dibintangi P.RAMLEE SALOMA MAHMUD JUNE IBRAHIM DIN OSMAN HAJI ISMAIL JAH ISMAIL JAMAL KERDIL RADEN SUDIRO Teraju Muda HASHIM HAMZAH Fotografi MG HOONG NGIAM Rekaman ANUAR YUSOF Pelukis ESA AHMAD Editing JOHARI IBRAHIM Penchitak HO BEE YOON Make Up ROKIAH OSMAN CERITA 1001 MALAM Screenplay OMAR ROJIK Dialogue P.RAMLEE Musical Orchestrations P.RAMLEE Lyrics AINOL JAMAL Diusahakan Oleh SHAW'S MERDEKA STUDIO Acted Edited Directed By P.RAMLEE a.m.n

RINGKASAN CERITA

Qartum Kubur: Sabarudin mencari nafkah dengan menjadi tukang kasut. Dia takutkan isterinya (Halobaya) yang garang dan sedang berkasih-kasihan dengan Malaon yang mendesak Halobaya supaya meminta cerai daripada Sabarudin bagi membolehkan mereka dapat berkahwin. Terpengaruh dengan kata-kata Malaon yang dia akan dapat memberikan segala kemewahan kepadanya, Halobaya meminta Sabarudin membelikannya gelang emas yang mana Halobaya tahu yang Sabarudin tidak berkemampuan mengadakannya. Ketika berada dalam keadaan susah hati, Sabarudin terpandangkan papan tanda Kedai Mas Shariff Baboo. Dan di hatinya mula berniat jahat untuk menceroboh masuk bagi mencuri gelang emas yang dimahukan isterinya. Bagaimanapun, sebelum sempat dia mengambil apa-apa tuan punya kedai (Shariff Baboo) telah mengacu senapang ke arahnya. 

Dalam ketakutan Sabarudin menceritakan tujuan sebenarnya dia mahu mencuri. Shariff bersimpati lalu memberikannya gelang suasa yang menyerupai emas tetapi berpesan jangan memberitahu kepada isterinya yang gelang tersebut gelang suasa. Halobaya kemudian menghalau Sabarudin apabila dnegan jujur dia memberitahu Halobaya gelang tersebut suasa bukannya emas. Sedang Sabarudin merintih tentang nasib dirinya dua orang polisia (polis) datang meminta Sabarudin pergi bersama mereka ke Kadhi Qartum Kubur di mana Halobaya membuat fitnah katanya kepada Tuan Kadhi, Sabarudin memukulnya, Sabarudin menafikannya. Disebabkan Tuan Kadhi enggan menceraikan dia dengan Sabarudin, Halobaya pergi bertemu Tuan Kadhi untuk kali kedua dengan keadaan lebih teruk lagi. Ketika Sabarudin sedang membantu kawannya (Ahmad Tipulizam) menjual ubat dia telah ditangkap dan dibawa bertemu dengan Tuan Kadhi yang terus mengesahkan penceraian mereka disamping Sabarudin mesti meninggalkan Qartum Kubur dalam tempoh 24 jam.

Ketika sedang berehat kerana keletihan, Sabarudin telah ditangkap oleh sekumpulan pejahat yang kemudian membawanya ke pasar pesada untuk dilelong. Sabarudin dibeli oleh Putar Alam Syah dengan harga 2000 dinar dan kebetulan pula pembelinya itu pula ialah sahabat baik Sabarudin yang kini sudah jadi kaya raya kerana pandai tipu, belit, puta dan pusing. Putar Alam Syah kemudian menukar corak imej Sabarudin daripada seorang tukang kasut menyamar sebagai Orang Kaya Sabarudin Shah. Di Pasar Persada, Sabarudin Shah ( kini hartawan paling kaya ) telah diperkenalkan oleh Putar Alam Shah kepada 5 saudagar kaya. Dengan 5 saudagar tersebut, Sabarudin Shah menjual temberangnya dengan menyatakan 200 ekor untanya yang membawa emas, intan, berlian, ambar, kasturi, nilam dan bermacam-macam lagi akan sampai dalam masa 14 hari lagi. Kerana terpengaruh dengan temberang Sabarudin itu, 5 saudagar itu sanggup meminjamkan wang emas (200 dinar) bukan untuk dirinya dan Putar Alam Shah tetapi diagih-agihkan kepada peminta sedekah. Sabarudin berjanji kepada mereka yang dia akan membayar balik 2000 keping wang emas tiap-tiap seorang disamping satu kotak berisi berlian. Pada masa yang sama, Tengku (Puteri) Sabarina bermotokar ke Pasar Persada untuk membeli-belah sambil menikmati keindahan alam. Bila melihatkan kejelitaan tuan puteri, Sabarudin terus jatuh cinta lebih-lebih lagi tuan puteri melontarkan sekuntum bunga ros kepadanya. Sabarudin berangan-angan bertemu dan berkahwin dengan Puteri Sabarina.

Setelah cukup 14 hari, 5 saudagar yang merasakan dirinya tertipu pergi ke istana mengadu kepada Sultan. Kerana ketakutan, Putar Alam Syah dan Sabaruddin Syah cuba melarikan diri, tetapi belum pun sempat berbuat demikian mereka diperintahkan oleh Sultan mengadap Baginda. Di istana, Putar Alam Syah kelentong lagi apabila dia memberitahu Sultan yang Sabaruddin ialah Tengku Sabaruddin Syah berasal dari Kublaistan. Apabila Sultan bertanya kepada Mamanda Wazir di mana Kublaistan katanya: "Kalau tak salah dekat-dekat Negeri Kelantan." Bila ditanya nama penuh Sabaruddin, jawab Putar Alam Syah: " Tengku Sabaruddin Shah Ibni Almarhum.... disambung oleh Sabaruddin: "Almarhum Sultan Trick Syah." Sultan percaya lalu mengarahkan Mamanda Wazir membayar segala hutang piutang Sabaruddin di samping dia bersama Putar Alam Syah menjadi tetamu Sultan. Pada malamnya Sabaruddin telah diperkenalkan kepada Puteri Sabarina dan pada ketika itu juga Sabaruddin menyatakan hasratnya untuk berkahwin dengan Puteri Sabarina. Sultan setuju dan Puteri Sabarina pun bersetuju.

Kemudian Sultan (gilakan harta) membenarkan Sabaruddin menggunakan khazanah negara untuk didermakan kepada fakir miskin supaya 200 unta (kononnya patah kaki kini ada di workshop) yang membawa emas, intan, berlian dan berbagai permata lagi dapat dibaiki. Akhirnya, harta-harta tersebut licin diagih-agihkan Sabaruddin kepada rakyat jelata. 3 Voolan Bersilan (3 Bulan Berselang), Sultan susah hati. Jangankan unta bayang unta pun tak nampak. Kerana itu, atas buah fikiran Mamanda Wazir, Puteri Sabarina disuruh menyiasat asal usul Sabaruddin. Dalam siasatannya, Sabaruddin yang jujur menceritakan kedudukan sebenar. Puteri Sabarina yang kasih dan sayang dengan Sabaruddin menyuruhnya supaya melarikan diri supaya terhindar dari maut. Semasa merayau-rayau di gurun pasir mencari air, Sabaruddin telah bertemu dengan telaga yang tidak berair setitik pun. Sedang dia mengeluh tiba-tiba seorang tua menyuruhnya mengisikan air ke dalam buyungnya. Olh kerana tidak dapat memenuhi permintaannya Sabaruddin telah ditolak masuk ke dalam telaga.

Di dalam telaga Sabaruddin ternampak besi seperti stereng lalu memutarnya yang mana apabila terbuka pintu membawa Sabaruddin menuju ke arah gua yang berisi penuh dengan harta karun. Dalam gua itu juga Sabaruddin bertemu dengan orang tua yang menolaknya ke dalam telaga dan memperkenalkan dirinya sebagai manusia jadi jadian (penjaga gua). Bila ditanya siapa yang empunya gua. Orang tua (pendita) itu menjawab: Kepunyaan orang yang jujur dan sabar. Kau." Orang tua itu memberitahu, Sabaruddin boleh mengambil harta-harta tersebut seberapa banyak yang dia mahu. Dan sebelum menghilangkan diri, manusia jadi jadian itu memberikan cincin sakti untuk digunakan semasa kesusahan. Sabaruddin kemudian mengosok-gosok cincin sakti itu yang mana muncul jin pendek yang memperkenalkan dirinya sebagai "Jin Afragus" - adik angkat "Jin Afrit". Sabaruddin meminta jin tersebut membawa 6 peti berisi emas dan bermacam intan pertama untuk dibawa mengadap Sultan.  

Kepulangan Sabaruddin dengan membawa harta karun sangat menggembirakan Sultan tetapi kerana tamak Baginda telah berpakat dengan Mamanda Wazir untuk mendapatkan lagi harta tersebut dengan menggunakan serbuk khayal itu, Sabaruddin memberikan cincin sakti kepada Mamanda Wazir. Setelah dapat dan tahu pula menggunakannya, Mamanda Wazir belot. Dia sendiri mahukan cincin sakti itu untuk berkuasa. Mamanda Wazir (menggunakan cincin sakti) membuatkan Sultan dan Puteri Sabarina tidak boleh bergerak. Selepas itu dia menyuruh jin mencampakkan Sultan dan Sabaruddin jauh ke hutan belantara. Kemudian Mamanda Wazir mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan, sesiapa yang engkar disumpahnya - ada yang menjadi kambing. Mamanda Wazir juga mengumumkan yang dia akan berkahwin dengan Puteri Sabarina. Sedang Puteri Sabarina dalam kedukaan menjelma Manusia Jadi-Jadian (Pendita) yang memberi petunjuk iaitu supaya Tuan Puteri mencuri cincin sakti. Mengikut nasihat Pendita, Puteri Sabarina pura-pura sukakan Mamanda Wazir menyebabkan dia begitu gembira dan ingin bermesra dengan tuan puteri.

Sebagai helah, Puteri Sabarina menyatakan kemesraan mereka diintai oleh jin dalam cincin sakti, Mamanda Wazir menyerahkan cincin sakti itu untuk disimpan dalam kotak oleh Puteri Sabarina. Apalagi dengan tidak berlengah lagi Puteri Sabarina menggunakan kesempatan tersebut memenjarakan Mamanda Wazir kemudian membawa kembali Sultan dan suaminya (Sabarudin) ke istana. Dengan menggunakan kalong sakti yang diberikan Jin Afragus, Sabarudin pergi ke Qartum Kubur, yang mana di sana didapatinya teman baiknya (Ahmad Tipulizam) sedang menangis kerana isterinya dirampas Malaon. Sabarudin menolongnya (dengan menggunakan cincin sakti yang diberikannya) - Malaon dan isterinya disumpah menjadi isteri kurap. Halobaya yang gembira dengan kedatangan Sabarudin meminta wang emas. Mula-mula Sabarudin mengadakan satu peti wang emas. Tetapi Halobaya mahukan lagi. Sabarudin mengadakan satu peti lagi. Itu pun tidak cukup dia minta lagi. Sabaruddin mengadakan peti yang lebih besar yang mana menyebabkan Halobaya tidak keruan (gila) lalu membawa maut.  

Sabarudin kemudian mengamanahkan kepada Ahmad supaya mayat Halobaya dikebumikan manakala harta-harta yang ada itu dibahagi-bahagikan separuh untuk Ahmad dan selebihnya diagih-agihkan kepada fakir miskin. Pulang ke istana, Sabarudin memberikan cincin dan kalong sakti kepada Jin Afragus yang sekali gus membebaskannya daripada menjadi hamba cincin. Kata jin kepada Sabarudin: "Kaulah manusia bertimbang rasa." Sultan yang mahukan cincin sakti itu mengeluh. Kata Baginda: "Masuk angin keluar asap." Sabarudin Shah dan Puteri Sabarina bersama kembali bagi menempuh penghidupan baru sambil memerhatikan Jin Afragus yang terawang-awangan di udara dengan kegembiraan diatas pembebasannya.

ULASAN & KRITIKAN

Filem keempat arahan P.RAMLEE di MFS ini membawa kita ke zaman cerita "1001 Malam" dengan lakon layarnya diusahakan Omar Rojik dan dialognya ditulis P.RAMLEE sendiri. Asas ceritanya dikekalkan, namun telah dicampuradukkannya sebagai filem bercorak komedi yang dikira boleh mendatangkan gelihati kepada penonton. Filem bercorak komedi ini mengandungi banyak sindiran dan tauladan yang patut diambil iktibar kalau mahu hidup sempurna di muka bumi ini.
Jujur, baik hati, khianat, dengki, tamak, menghasut dan macam-macam lagi telah dijadikan rempah ratus dan asam garam untuk filem ini oleh P.RAMLEE yang boleh dianggap sebagai filem yang dikira baik dan melucukan. Pada keseluruhannya sebagai filem komedi, P.RAMLEE berjaya menggeletek hati penonton dengan telatah-telatah lucunya terutama lakonan P.RAMLEE sendiri, Idris Hashim, Ibrahim Din dan Raden Sudiro. Sayang sekali, VCD yang dijual di pasaran ( yang saya perolehi) begitu rendah sekali kualitinya. Kabur dan suaranya pun kurang jelas. Diharap ada pihak tertentu mengusahakannya supaya filem ini dapat dipelihara dengan baik kerana ia sudah menjadi warisan peninggalan P.RAMLEE yang tidak ternilai harganya.

IRAMA & LAGU 

6 lagu terdapat dalam filem ini:
  1. Sabarudin Tukang Kasut (P.RAMLEE)
  2. Gelang Suasa (P.RAMLEE)
  3. Sabar (P.RAMLEE)
  4. Bahagia (P.RAMLEE & Saloma)
  5. Seri Bulan (P.RAMLEE & Saloma)
  6. Awan Mendung Telah Tiba (Saloma)
          Ciptaan & gubahan: P.RAMLEE
          Lirik: Ainol Jamal
          Muzik Iringan: Orkestra pimpinan P.RAMLEE

FAKTA & ANGKA


  • Filem pertama bercorak komedi "1001 Malam" arahan P.RAMLEE di MFS.
  • Filem kedua arahan P.RAMLEE bersumberkan Hikayat "1001 Malam" selepas "Ali Baba Bujang Lapok".
  • Satu-satunya filem yang dilakonkan oleh Jamal Muhammad (Kerdil) yang diarahkan P.RAMLEE.
  • Filem pertama Ibrahim Din berlakon di bawah arahan P.RAMLEE. Ibrahim Din membintangi "A Nawas" arahan A.R.Tompel kemudian disusuli "Gadis Langkawi" bersama Sharifah Hanim dan Sonny Abdullah.
  • Filem kedua P.RAMLEE berpasangan dengan Saloma sebagai hero dan heroine selepas "Seniman Bujang lapok". Dalam "Ragam P.Ramlee" mereka berpasangan menyanyi sahaja.
  • Nama Sabrina (nama karektor Saloma) pernah digunakan P.RAMLEE dalam " 3 Abdul" iaitu berperanan sebagai kekasih lamanya yang datang ke kedai muziknya yang menyebabkan Ghasidah (Sarimah) cemburu dan sakit hati. 
  • Salah seorang anak angkat P.RAMLEE bernama Sabarudin atau Badin. Nama Badin turut digunakannya untuk Salleh Ghani dalam "Keluarga 69". Sabaruddin meninggal dunia di Kuala lumpur pada 26 Oktober 2008. 

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078