Pages

Monday, February 29, 2016

Bapaku P.Ramlee Bab 30 Kegemaran Dan Hobi Bapa


KEGEMARAN DAN HOBI BAPA


Walaupun bapa saya terkenal sebagai pelakon, pemuzik dan pengarah, tetapi ada dua kegemaran atau hobinya. Kegemaran ini agak istimewa iaitu yang pertamanya dia suka menggunting rambut dan perkara yang kedua, dia juga memasak di dapur. Tetapi semasa di Singapura, pelakon dan pelawak Ahmad C yang menjadi tukang gunting bapa saya. Bapa saya hanya menggunting rambut anak-anaknya dan kadang-kadang anak-anak buah. Rambut saya habis dibelasahnya, hendak bersuara tidak boleh, jadi terpaksalah ikut apa sahaja gaya yang dia suka.Kadang-kadang sampai nampak kulit kepala dan dalam hati saya berkata, bukanlah lebih baik dibotakkan sahaja. Pernah dia menggunting rambut saya dari jam empat petang sampai ke waktu Maghrib sehinggakan saya menangis.

Satu lagi hobi bapa saya ialah memasak. Setiap hari minggu kalau tidak ada apa-apa program, dia akan sibuk di dapur. Pada satu hari saya bertanya ibu tiri saya Saloma sama ada daddy keluar ke hari ini, jadi boleh saya berehat, tetapi kalau dia ada rumah saya terpaksa keluar sebelum dia bangun. Kenapa saya hendak lekas-lekas keluar, kerana hari itu dia akan memasak di dapur, dan masakannya pula pelik-pelik. Antara nama-nama masakan yang diberinya ialah masakan kari Bugis, lemak London, kari ikan kering Itali, Soto Semerah Padi dan banyak lagi nama-nama masakannya yang luar biasa dan pelik-pelik belaka. Malah semasa di Singapura di studio Jalan Ampas, apabila petang mamak mee akan datang dengan basikal tolaknya menjual mee goreng. Mamak tu dah faham, kalau bapa saya hendak makan mee goreng dia akan menyerahkan segala-galanya kepada bapa saya, dan bapa saya yang akan menggoreng sendiri.

Kalau dia memasak di rumah, tidak ada orang yang boleh mengganggu dan turut campur di dapur. Setelah selesai, dia menyuruh kami mengambil pinggan atau mangkuk masing-masing sambil beratur dan dia akan meletakkan mee itu ke dalam pinggan kami. Kemudian semua duduk berkeliling bersama dia makan di ruang rumah, ketika inilah dia akan bertanya "Sedap tak? kalau tak sedap pun mesti bilang sedap" sebenarnya memang tak sedap. Yang ganjilnya kalau kita kata sedap, dia akan tambah lagi ke pinggan kita, Aduh! kadang-kadang saya rasa macam terseksa dalam tahanan.


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

Bapaku P.Ramlee Bab 29 Benarkah P.Ramlee Seorang Bomoh


BENARKAH P.RAMLEE SEORANG BOMOH



Setelah bapa saya meninggal dunia, ramai orang yang membuat bermacam-macam cerita dan andaian. Ada yang mengatakan P.Ramlee sebenarnya tukang ubat, ada juga yang mengatakan P.Ramlee seorang bomoh dan turut sama yang mengatakan P.Ramlee seorang tukang tilik. Kenyataan-kenyataan tersebut memang agak pelik bagi saya sebagai anaknya yang duduk serumah dari kecil dan tidak pula pernah menyaksikan perlakuan bapa yang sedemikian. Inilah agaknya akibat yang terpaksa dihadapi kalau sudah menjadi orang ternama. Orang ramai akan memperkatakan pelbagai perkara dan tanggapan yang enak di fikiran mereka tanpa mengendahkan perasaan ahli keluarga dan rakan taulan yang benar-benar mengenali P.Ramlee. Perbuatan segelintir individu memperkatakan dan membesar-besarkan perkara yang kurang tepat mengenai bapa sememangnya sudah menjadi lumrah manusia.

Sebenarnya bapa saya bukanlah seorang bomoh mahupun seorang pengamal perubatan batin atau tradisional. Apa yang pernah dilakukannya kepada kami anak-anaknya dan beberapa kawan rapat hanyalah sekadar membantu mereka dengan bacaan doa ayat-ayat suci Al Quran, dan ianya tidak melibatkan sebarang perkara yang mencurigakan dari segi Islam. Dia tidak menggunakan jampi serapah atau pulut kuning dengan ayam panggang. Beliau hanya membacakan doa dengan air penawar dan dia menjadikan saya sebagai pembantunya. Dia hanya memberikan air doa penawar penyakit dan tidak pula mengharapkan pengeras atau bayaran. Pertolongannya ikhlas dan biarpun penat, kami biasanya kenyang dengan makanan yang disumbangkan oleh mereka yang datang mendapatkan rawatan.

Sebenarnya bapa saya pernah melakukan kerja-kerja merawat pesakit semenjak kami tinggal di Singapura lagi. Dia sering memberikan air penawar kepada anak-anaknya, keluarga dan teman-teman rapat. Saya seorang perantaraan antara dia dengan mereka yang hendak ditolong. Dia akan menyuruh saya mencuci muka dan membuka baju serta memeluk bantal dan duduk membelakangkannya. Dia akan menekan ibu jarinya kepada penghujung tulang tungking saya, dengan apa yang dibacanya sambil memejamkan mata, saya kemudian menjadi tidak sedar seketika. Pada waktu inilah beliau akan bertanya dengan saya sesuatu perkara, dan saya secara tidak sedar menjawab apa yang dinyatakannya. (Ini diberitahu oleh orang yang berada di hadapan saya ketika itu).

Perkara ini berlaku di Singapura kepada cikgu tuisyen saya Cikgu Mat Nor. Semasa dia baru bergurukan bapa saya, bapa saya cuba untuk menguji keikhlasannya belajar dari bapa. Satu malam dia memberitahu Cikgu Mat Nor, "Malam ini abang nak tengok, engkau ni betul-betul nak belajar ke atau suka-suka." Cikgu Mat Nor agak terkejut dan berkata,"Betul bang, betul-betul saya nak belajar". O.K. nanti Nasir akan cerita semua. Lalu saya disuruh cuci muka duduk berhadapan Cikgu Mat Nor, saya nampak Cikgu Mat Nor macam orang dah kena sampuk, mukanya agak pucat dan takut. Bapa saya sengaja mengusik dia, "Ai! engkau takut, jangan takut kalau kau benar-benar nak belajar" Seketika saya duduk itu, tiba-tiba saya tidak sedarkan diri, bapa saya memicit penghujung tulang tungkeng saya dan bertanya macam-macam tentang Cikgu Mat Nor. Saya pun tak tahu apa yang saya cakap. Akhirnya bapa saya menepuk belakang saya dan menyuruh saya cuci muka lagi, barulah saya sedar. Baru saya tahu apa yang bapa saya nyatakan kepada Cikgu Mat Nor, saya masih ingat kata-katanya, "Bagus! engkau betul-betul nak belajar, engkau budak baik, belajar betul-betul" Itulah kisah tentang bapa saya yang dianggap bomoh, tetapi sebenarnya dia bukan bomoh, hanya mempunyai satu kelebihan yang diberi Allah kepadanya. Pak Yusof atau pencipta lagu Yusof B adalah dianggap sebagai gurunya, kerana Pak Yusof juga mempunyai kelebihan demikian.



SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

Bapaku P.Ramlee Bab 28 Sebagai Pemandu Kereta Saloma


SEBAGAI PEMANDU KERETA SALOMA 



Setelah tidak bersekolah, dan tidak mempunyai pekerjaan tetap, main muzik pun tidak selalu, akhirnya saya terpaksa menjadi pemandu kereta ibu tiri saya Saloma. Saya ditugaskan membawanya ke mana dia nak pergi. Sebelum ke mana-mana, setiap pagi terpaksa mencuci kereta dan kadang-kadang menjadi pengawal peribadi bapa saya menemaninya ke Studio Merdeka. Akhirnya setelah saya bosan dengan kerja harian yang tidak membawa apa-apa cabaran bagi saya, maka saya dan kawan-kawan pemuzik muda menubuhkan sebuah kugiran yang diberi nama "The Beatles" sebuah kumpulan muzik yang terkenal di barat pada ketika itu. Kugiran saya ini hanya sesuai untuk majlis kahwin dan majlis hari jadi dan penyanyinya ialah Salamiah Hassan. Ketika itu banyak juga kontrak yang kami terima, lebih-lebih lagi apabila ramai yang mengetahui bahawa kugiran "The Beagles" ini di bawah pimpinan anak P.Ramlee, jadi mewahlah sikit pendapatannya.

Satu tabiat saya suka bertukar-tukar kugiran. Ini mungkin kerana saya ingin mencari sesuatu yang baru. Saya berhenti dari The Beagles, dan memasuki pula kugiran anak Saloma dengan A.R.Tompel, Armali. Ini pun tidak kekal dan hanya untuk beberapa waktu sahaja sebab kami sering berselisih faham. Pada satu ketika, perselisihan kami sudah agak serius dan mula melibatkan pihak bapa dan mama. Penglibatan bapa dalam keadaan perhubungan kami yang agak tegang itu hampir-hampir membuatkan bapa saya mengambil keputusan meninggalkan mama Saloma kerana kemarahannya terhadap Armali dan mama.

Bapa memang sayangkan anak-anaknya termasuklah anak angkatnya dan sering mempertahankan mereka biar dalam apa keadaan sekalipun. Kerana kasih sayang yang terlalu mendalam itulah dia akan mengiakan apa pun yang dilakukan oleh si anak biarpun perbuatan tersebut sebenarnya salah. Di dalam perselisihan saya dan Armali tersebut, bapa beranggapan Armali yang bersalah, tetapi mama tetap menyebelahi Armali. Alhamdulillah, melalui rundingan keluarga, akhirnya perkara itu dapat diselesaikan dan kami bermaaf-maafan. Setelah beberapa lama tidak bermain muzik dan menyertai mana-mana kumpulan, saya akhirnya mengambil keputusan menganggotai kumpulan "Booty Boys"


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee 

Friday, February 26, 2016

Bapaku P.Ramlee Bab 27 Tidak Mahu Bersekolah Lagi


TIDAK MAHU BERSEKOLAH LAGI



Setelah seminggu peristiwa itu berlalu, saya mengambil keputusan yang saya terpaksa berterus terang dengan bapa. Salah satu daripada sifat bapa ialah jangan berbohong dan bersikap tidak jujur. Sifat itu diamalkannya sehingga ke akhir hayatnya. Dia lebih suka orang yang berterus terang. Pada satu hari sekembalinya dari studio untuk makan tengah hari, dia memanggil saya masuk ke biliknya. Saya terus masuk dan duduk di sebelah mama untuk menjaga keselamatan saya supaya tidak dipukul lagi. Dia bertanya sama ada saya mahu terus bersekolah lagi ataupun tidak. Saya memberanikan diri dan terus memberitahunya perkara yang sebenar., "Daddy, Nasir tidak mahu sekolah lagi." Bapa tidak terkejut dan hanya membalas kata-kata saya, "O.K fine, tapi you mesti ikut Daddy shooting," Kemudian dia tersenyum dan berkata, "Sakit lagi tak? Daddy minta maaf sebab Daddy lost control semalam, O.K.?" Saya hanya diam, terfikirkan kata-kata bapa mengenai "shooting".

Apabila saya terdengar saja perkataan "shooting", badan saya terus lemah dan mula menyesal. Memang bukan minat saya dengan hal studio dan "shooting", lagi pun kalau saya terpaksa ikut dia selalu ke studio, macam mana saya nak hisap rokok? Tiba-tiba mama Saloma bersuara dari belakang, "Kenapa you nak berhentikan Nasir sekolah? Bapa saya menjawab bersahaja, O.K.lah Sally (panggilan manja bapa saya kepada mama Saloma). Kalau dia tak hendak sekolah, kita hantar ke bulan pun dia mesti tak belajar. Lagi pun kalau dia tak sekolah, kuranglah sikit duit belanja I." Kata bapa saya secara menyindir tetapi mungkin marah. Oleh kerana saya telah berterus terang dan bapa saya pun menjawab dengan berterus terang, maka saya terpaksa mengikut kemahuannya pergi ke studio buat beberapa waktu.    

Apabila tiba waktu untuk "shooting", saya pun terpaksa mengikut bapa ke studio. Di Studio Merdeka, walaupun tidak begitu berminat dengan dunia perfileman, saya berkesempatan untuk mempelajari banyak perkara dan ilmu berkenaan "shooting" secara kebetulan. Umpamanya saya mengetahui selok belok untuk membuat "effect", "dubbing" dan "editing" di dalam filem, namun oleh kerana kurang minat pada diri saya, tidaklah saya berusaha mendalami dan belajar teknik dan kemahiran tersebut dengan bersungguh-sungguh. Pada pandangan saya, hanya bidang muzik yang benar-benar hidup di jiwa saya dan ia jugalah satu-satunya persamaan minat yang dapat saya kongsi dengan bapa. 


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

Thursday, February 25, 2016

Bapaku P.Ramlee Bab 26 Surat Cinta


SURAT CINTA



Satu peristiwa yang amat menakutkan dan menjadi satu kerunsingan saya ialah apabila bapa saya bertukar menjadi seorang diktator. Kejadian ini berlaku sekembalinya saya dari sekolah. Walaupun hari itu saya tidak bersekolah kerana ponteng, tetapi saya berlagak seolah-olah baru pulang sekolah. Setibanya saya di hadapan pintu pagar rumah, kelihatan kereta bapa saya  berada di situ.Saya agak panik dan tidak tahu apa yang hendak dijawab kalau dia bertanya tentang saya, tetapi saya buat muka selamba saja. Apabila saya masuk ke dalam, tiba-tiba dia menegur," Hello my son! Penat ya, kasihan pergi makan dahulu." Saya sudah dapat agak sesuatu akan berlaku ke atas diri saya dari tingkah laku bapa saya itu. Saya yakin saya akan menerima padah pada malam itu. Saya terus ke dapur.

Semasa saya sedang makan, saya cuba bertanyakan kepada pembantu rumah jika dia tahu apa-apa mengenai perlakuan bapa saya pada malam itu, sama ada dia ada marah dengan saya. Pembantu rumah menggelengkan kepala dan berkata,"Saya tidak tahu apa-apa". Saya terus menambah nasi dan lauk, namun fikiran saya melayang dan agak buntu. Setelah selesai makan, saya terus ke bilik, fikiran masih gundah gulana, kerana belum tahu kisah yang sebenarnya mengapa bapa saya agak berlainan hari itu. Sedang saya menggelamun, tiba-tiba nama saya dipanggil. Saya tersentak saya bangun dan dengan rasa takut terus keluar bertemu bapa. Bapa hanya tersenyum sambil berkata," Ini ada surat, Daddy baru terima, ini mesti surat cinta," dengan ketawa yang agak serius dia terus memberi surat itu kepada saya dan berkata, "Nah! Baca kuat-kuat, Daddy nak dengar." 

Saya mengambil surat itu, seluruh tubuh saya menggigil, kerana sampul surat itu datangnya dari sekolah. Saya terus membacanya perlahan-lahan. Bapa saya menengking dengan berkata, "Baca kuat-kuat, aku nak dengar!" Dengan bertambah gugup saya membacanya, "Adalah dimaklumkan, bahawa anak tuan telah tidak hadir ke sekolah selama tiga minggu, dan dari itu pihak sekolah telah membuat keputusan untuk..." belum sempat saya habiskan bacaan surat itu, tiba-tiba saya rasa macam satu bom meletup di muka saya, tetapi saya juga bijak, saya faham betul perangai bapa saya, dan dengan serta merta saya pura-pura jatuh dan pengsan. Bapa saya yang agak marah ketika itu, tiba-tiba terus meluru ke arah saya dan memeluk saya dengan berkata," I am sorry son, I am sorry," dan saya terus hanya mematikan diri. Inilah caranya bagi membuatkan bapa saya tidak memukul saya terus dan melepaskan kemarahannya. Mama Saloma yang berada di dalam terus bergegas menuju ke arah saya, sambil berkata, "Itulah you daddy oi! Kalau pukul anak, macam pukul lembu, kasihan budak ini." Saya sedar, namun masih pura-pura tidak sedar. Saya juga ingin tertawa dengan keadaan yang berlaku tetapi terpaksa menahannya kerana bapa saya sedang marah. Dengan penuh rasa kasih sayang, bapa sempat mengangkat dan membawa saya masuk ke dalam bilik dan meletakkan saya di atas katil. Dia meminta air segelas dari pembantu rumah dan membacakan ayat suci Al Quran dan menyapukan air ke muka saya. Dengan itu, saya terpaksa membuat seolah-olah saya baru sedarkan diri dan memandang mukanya dan dia hanya tersenyum.


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

Bapaku P.Ramlee Bab 25 Di Kuala Lumpur


DI KUALA LUMPUR



Setibanya kami di Kuala Lumpur, bapa kami membawa kami terus ke sebuah hotel berdekatan dengan Dataran Merdeka. Hotel itu terletak di Jalan Tangsi dan kalau tak salah saya hotel tersebut dikenali sebagai Penisular Hotel. Akhirnya kami berpindah ke sebuah rumah banglo di Jalan Bunga Kantan Setapak, Taman Furlong (kini kawasan itu diberi nama Taman P.Ramlee). Mungkin rumah ini juga dikhaskan untuk bapa saya oleh Shaw Brothers. Kami adik beradik amat gembira kerana mendapat rumah baharu dalam suasana bandar. Bapa saya yang ketika itu sudah bertugas di Studio Merdeka agak ceria. Perjalanan ke tempat kerja tidak mengambil masa yang lama kerana Studio Merdeka terletak di Hulu Klang. Beliau sering memandu keretanya sendiri ke studio. Saya bersekolah di Gombak dan kemudiannya saya dipindahkan pula ke High School di Air Panas Setapak. Semasa di Kuala Lumpur minat saya dalam muzik sudah mula saya rasakan, dan saya mula bercampur dengan kumpulan tiga guitar. Mulai dari sinilah saya sudah tidak berminat lagi dengan sekolah, dan sering ponteng kerana sibuk bermain muzik. Kami seronok kerana kumpulan kami sering diundang ke majlis-majlis kahwin dan hari jadi, walaupun pendapatan tidak lumayan, tetapi kepuasan cukup saya rasakan. Bapa saya sudah mula resah dan khuatir kalau-kalau saya tidak dapat melanjutkan pelajaran saya.

Kadang-kadang saya terpaksa berbohong dengan bapa yang saya ke sekolah, tetapi sebenarnya saya bersama kawan-kawan membuat latihan muzik. Bapa saya bertambah runsing dan khuatir bahawa saya akan terpengaruh dengan anasir-anasir yang tidak baik. Bagi diri saya sendiri, ingatan bahawa saya adalah anak seniman besar P.Ramlee menjadikan saya bertekad untuk menjaga nama baik bapa saya dan menjauhi perkara-perkara yang kelak menconteng arang ke mukanya.


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee     

Bapaku P.Ramlee Bab 24 Berangkat Ke Kuala Lumpur


BERANGKAT KE KUALA LUMPUR



Pemindahan kami tidaklah seperti pemindahan orang lain. Kami berangkat dengan menaiki sebuah kereta Dodge yang dipandu oleh bapa saya sendiri. Pagi hari yang kami hendak berangkat itu, Cikgu Mat Nor ada bersama. Dia sempat membantu kami mengemas sama bilik bapa saya. Saya perhatikan, di samping dia berkemas, ada juga dia terjumpa beberapa salinan skrip yang tidak tersusun. Dia meminta izin bapa untuk menyimpannya, dan antaranya ialah sehelai 'Letterhead' yang bertulis 'Perusahaan Filem P.Ramlee'. 'Letterhead' ini menunjukkan harapan bapa saya untuk menubuhkan sebuah syarikat perfileman apabila tiba di Kuala Lumpur, tetapi sayang, hajat dan cita-citanya tidak kesampaian, kerana orang-orang di sekelilingnya tidak mahu lagi menghormati dan mempercayainya. Malah ada yang menikamnya dari belakang. Ini adalah cerita yang saya dengar sendiri apabila bapa saya menceritakannya pada saat-saat akhirnya kepada beberapa teman termasuk muridnya Cikgu Mat Nor.

Pada sebelah tengah hari kira-kira jam dua, kami pun berangjat dengan kereta yang dipandu bapa, meninggalkan rumah kesayangan kami, kerana di rumah itulah kami dibesarkan, bersekolah di hadapan rumah, dan mempunyai teman serta kawan yang ramai. Bapa sedih, kerana sebelum dia menaiki kereta, dia memandang ke sekeliling kawasan rumah dan berpesan kepada Kak Joyah," Jaga rumah pak cik ni," (panggilan yang digunakan oleh Kak Joyah bila dia memanggil bapa). Pada masa itu saya tidak risau sangat kerana saya dan adik-adik akan pulang semula ke Singapura, kerana kami masih bersekolah di Singapura buat sementara waktu.

Dari rumah bapa, kami terus menuju ke studio Jalan Ampas. Di studio, ramai kawan-kawan sudah menunggu. Mereka bersalam-salaman dengan bapa dan Saloma, sambil bergambar beramai-ramai buat kenangan. Bapa turut berjumpa kedua-dua pengurus studio Mr Lee Tung Ku dan Mr Kwek Chip Jian untuk mengucapkan selamat tinggal. Kami kemudian meninggalkan studio Jalan Ampas, studio yang telah mencipta nama bapa sehingga menjadi seorang seniman besar dan nadi serta tulang belakang industri filem Melayu. Filem yang terakhir diarahkan di studio itu ialah Tiga Abdul. Dari studio kami terus menuju ke Kuala Lumpur.


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

Wednesday, February 24, 2016

Bapaku P.Ramlee Bab 23 Keluarga Bapa Berpindah ke Kuala Lumpur


KELUARGA BAPA BERPINDAH KE KUALA LUMPUR


Setelah bertahun-tahun kami berada di Singapura, bapa memberitahu yang kami akan berpindah ke Kuala Lumpur. Saya terkejut kerana saya sudah bertapak di Singapura sejak kecil malah sejak saya dilahirkan, lagipun Kuala Lumpur adalah satu tempat baru kepada saya. Rupa-rupanya Cikgu Tuisyen, Cikgu Mat Nor telah pun mengetahui perkara ini. Saya dapat mebaca perasaan cikgu saya, daripada air mukanya yang agak sugul dan macam orang susah hati. Oleh kerana pemindahan itu sudah dirancang dan telah pun dipersetujui bapa saya, maka kami terpaksa menurutnya.

Beberapa hari lamanya, kami sekeluarga tinggal hanya bersama pembantu rumah dan Kak Joyah kerana bapa ke Kuala Lumpur. Kami berbincang perkara itu kerana kami agak ragu-ragu, tetapi mak cik saya memberitahu,"Ikut dulu bapa kamu, nanti lama-lama tentu kamu dapat menyesuaikan diri di Kuala Lumpur," Saya masih teringat dua minggu sebelum kami berpindah ke Kuala Lumpur, Cikgu Mat Nor dan Cikgu Aziz bersama abang Yusman dan Mak Cik saya Kak Joyah mengadakan majlis makan malam khas sebagai jamuan perpisahan untuk bapa saya. Malam itu seronok sekali, teman-teman lain juga turut sama bergembira, termasuk Allahyarhamah Seniwati Rosyatimah. Malam itu kami makan minum dan bersuka ria, saya lihat bapa saya turut bergembira. Cikgu Mat Nor terpaksa tidur di rumah kami kerana penat dan terlalu letih untuk pulang ke rumah. Satu ketika bila melihat Cikgu Mat Nor berjoget dan bernyanyi bersama, bapa melepaskan komen, "Tengok! Murid aku yang paling hormat, malam ini dah jadi macam kuda belang."


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee 

Bapaku P.Ramlee Bab 22 Cikgu Tuisyen Kedua Cikgu Aziz


CIKGU TUISYEN KEDUA CIKGU AZIZ


Cikgu Mat Nor telah membawa seorang temannya Cikgu Aziz untuk membantunya mengajar kami. Menurut Cikgu Mat Nor, Cikgu Aziz memang peminat bapa saya dan dia tidak pernah bertemu muka dengan P.Ramlee, jadi Cikgu Mat Nor membawanya untuk bertemu P.Ramlee dengan syarat dia turut menolong mengajar kami. Cikgu Aziz merupakan seorang guru Ilmu Hisab (Matematik).

Kami gembira dan mula belajar dengan rajin kerana ada dua orang guru. Cuma Cikgu Aziz datang sekali sekala sahaja, sedangkan Cikgu Mat Nor seperti biasa datang saban hari kerana masih belajar dengan bapa.


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee 

Bapaku P.Ramlee Bab 21 Pak Yusof B Dengan Air Penawarnya


PAK YUSOF B DENGAN AIR PENAWARNYA


Hampir seminggu Cikgu Mat Nor tak datang, dan bapa saya menasihatkannya supaya berjumpa Pak Yusof B. Di rumah, bapa sendiri membuat air penawar dengan membacakan ayat-ayat Al Quran dan kami disuruh meminumnya. Pak Yusof B juga datang ke rumah kami untuk membantu agar Ramli Kecik tidak diganggu lagi.

Apabila Cikgu Mat Nor datang semula, bapa saya berkata kepadanya," Jangan takut, abang dah halau hantu-hantu Mat Ceti tu. Engkau orang ni semua autalah, jangan-jangan dalam badan engkau orang ini semua ada hantu tak?" Kami semua ketawa, terutama kepada Cikgu Mat Nor, kerana sekejap-kejap matanya asyik tengok Ramli Kecik sahaja. Ramli memberitahunya,"Jangan takut, aku tak pekik lagilah Nor."


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

Bapaku P.Ramlee Bab 20 Peristiwa Terkejut Hantu Menyebabkan Guru Tuisyen Demam Seminggu


PERISTIWA TERKEJUT HANTU MENYEBABKAN GURU TUISYEN DEMAM SEMINGGU



Biasanya setiap malam selepas kami makan, kami bersama Cikgu Mat Nor akan berbual tentang cerita-cerita lama dan kadang-kadang kisah-kisah pengalaman cikgu semasa kecil. Ketika itu, seorang pemuda bernama Ramli Kecik, (kerana ada dua nama, Ramlee atau Ramli, di rumah kami yang tinggal serumah). Ramli Kecik ini membantu kami di rumah dan bapa akan menyuruhnya untuk membantu dalam apa sahaja yang bapa perlukan. Ramli Kecik adalah bekas suami pelawak terkenal Norliah Ramli yang sekarang ini dikenali sebagai Norliah Ghani.

Seorang lagi pelakon tambahan di studio Jalan Ampas, yang sering datang ke rumah ialah 'Mat Ceti'. Dia berasal dari Pulau Pinang. Dia sering diberi peluang oleh bapa untuk berlakon memegang watak kecil. Dalam filem Seniman Bujang Lapok, Mat Ceti berlakon sebagai mamak penjual batu permata dan batu akik di tepi jalan ketika Sudin hendak menjual cincin untuk mendapatkan wang agar P,Ramlee dapat berkahwin dengan Saloma. Mat Ceti sering datang ke rumah kami ketika waktu maghrib. Beliau kadang-kadang muncul secara tidak disedari di tingkap, dan dia selalu bertanya "Ramlee ada?" dan apabila dijawab tak ada, beliau terus beredar. Orangnya sederhana, suaranya halus dan pakaiannya tidak kemas. Dia juga selalu berada di tanah perkuburan orang islam Bidadari di Bartly Road, Singapura. Selain membantu membawa mayat untuk ditanam, beliau juga sering membantu sebagai penggali kubur.

Pada suatu malam Jumaat, kira-kira jam tujuh malam, sedang kami bersama Cikgu Mat Nor dan Kak Joyah serta adik beradik kami yang lain berbual-bual dengan seronoknya sebelum bapa pulang, tiba-tiba Mat Ceti muncul di tingakp bertanyakan P.Ramlee. Kami terkejut, pembantu kami Abang Ngah terus memberitahu yang P.Ramlee tak ada dan dia pun terus beredar dari situ. Kami meneruskan perbualan kami, kira-kira setengah jam kemudian, tiba-tiba Ramli Kecik menjerit dan tidak semena-mena. Kami semua terkejut, dan Cikgu Mat Nor terus lari ke arah tangga untuk naik ke atas. Abang Ngah dengan segera memegang Ramli Kecik dan menyiram air ke mukanya. Seketika kemudian, keadaan menjadi tenang semula, Ramli Kecik sudah sedar. Semua yang berada di situ gugup dan tidak tahu mengapa secara tiba-tiba Ramli Kecik seprti dirasuk hantu. 

Suasana tenang kira-kira empat puluh minit, tiba-tiba dia memekik lagi dan suasana menjadi kelam kabut semula. Abang Ngah terpaksa memegang tangannya dan turut menyapukan air ke mukanya.Ketika inilah adik beradik kami mula takut dan terus naik tidur. Cikgu Mat Nor dengan tidak sabar-sabar lagi terus memberitahu dia hendak pulang, walaupun bapa saya belum pulang. Dengan tergesa-gesa Cikgu Mat Nor terus pulang. Setelah Ramli Kecik pulih dia disuruh tidur, dan kami juga turut tidur bersama. 



SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

Bapaku P.Ramlee Bab 19 Reaksi Cikgu Tuisyen


REAKSI CIKGU TUISYEN


Pada mulanya beliau agak gementar, walaupun dia sudah mesra dengan bapa, tapi dia mungkin bertambah takut kerana dia mengajar anak "P.Ramlee". Bapa sering mengingatkan cikgu itu dengan katanya, "Mat Nor ajar mereka betul-betul, kalau dia orang main-main beritahu abang, biar abang bantai mereka." Akhirnya kami belajar dengan Cikgu Mat Nor dan hubungan kami semakin hari semakin mesra, makcikku, yang kami panggil Kak Joyah dan suaminya abang Mat (Ahmad Joko atau Ahmad Rejab) yang turut tinggal bersama kami juga mesra dengan Cikgu Mat Nor. Lama kelamaan kami sudah menjadi sebagai satu keluarga, bersenda gurau ketika bapa belum pulang, dan kadang-kadang kami semua makan bersama dan pernah juga pergi ke kedai gambar dan bergambar seperti sebuah keluarga. Makcik mempunyai dua orang anak Hussien dan Zakiah. Zakiah digelar oleh bapa dengan nama Zazaloma. Akhirnya Zazaloma turut dipelihara bapa sehinggalah kami berpindah ke Kuala Lumpur.

Cikgu Mat Nor memang sangat hormat dengan bapa. Bila berhadapan dengan bapa,"Pijak semut pun tak mati". Orangnya peramah dan sentiasa memberi kami nasihat. Kadang-kadang seperti dia mengajar kami, bapa masuk ke bilik, bukan kami yang takut, tetapi Cikgu Mat Nor yang kami napak gementar. 

Ketika kami belajar di rumah sebelum bapa pulang, Cikgu Mat Nor akan memberi kerja rumah dan menyemak kerja-kerja yang kami buat. Di antara kesemua adik beradik kami, Allahyarham Armalilah (anak Saloma, adik beradik tiri kami) yang selalu ditegur oleh cikgu, kerana tulisan Armali yang tidak tersusun dan tidak begitu kemas. Walaupun cikgu sering memarahinya, namun Armali tidak pernah ambil hati, dia hanya mengangguk dan ketawa sahaja. Kadang-kadang saya boleh baca air muka Cikgu Mat Noor, dia seolah-olah geram dan fed up dengan kami, tetapi oleh kerana kami semua anak P.Ramlee, terpaksalah dia buat macam tak ada apa-apa, tersengeh sahaja. bapa pernah bertanya kepadanya, "Apa macam budak-budak ini? Kalau mereka tu nakal, kau rembat dia!" Cikgu Mat Nor tersenyum dan berkata, "Tak ada apa-apa bang! Dia orang semua hormat saya." Begitulah cerita guru tuisyen kami. Walaupun dia seorang yang lucu dan suka bergurau, tapi bila dia berhadapan dengan bapa saya dia mati kutu.


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee  

Bapaku P.Ramlee Bab 18 Guru Tuisyen


GURU TUISYEN



Pelajaran saya di sekolah tidaklah sehebat kawan-kawan yang lain. Ini kerana kelas saya adalah kelas percapaian rendah dan saya banyak bergaul dengan murid-murid yang bukan Melayu. Saya terkadang-kadang berbangga sendiri kerana ada ketika kelulusan saya lebih baik daripada kawan-kawan sedarjah dengan saya. Sebagai seorang bapa yang mementingkan pendidikan, bapa masih ingin mencarikan seorang guru untuk mengajar kami adik beradik di rumah.

Secara kebetulan, pada suatu hari kira-kira selepas waktu Maghrib, sedang kami sekeluarga (kecuali bapa) berada di rumah duduk bersembang sambil menonton TV, tiba-tiba tercegat di pintu seorang pemuda berketurunan India memberi salam. Dia bertanyakan bapa saya. Abang Ngah dengan segera menemuinya di pintu dan mempelawanya masuk. Pemuda itu masuk dan duduk di sofa sambil menegur mama yang sedang mengait baju panas benang bulu.

Akhirnya baru saya tahu tujuan sebenarnya pemuda itu bertemu dengan bapa, kerana beliau peminat bapa dan ingin belajar menulis skrip. Kami mendapat tahu mengenai perkara ini melalui Abang Ngah. Setelah beberapa minggu pemuda itu datang ke rumah, barulah kami tahu rupa-rupanya beliau ialah seorang guru bahasa Melayu di sekolah pemerintah. Kadang-kadang saya kasihan melihat dia kerana terpaksa menunggu bapa sehingga lewat malam. Boleh dikatakan dia hanya dapat bertemu bapa selepas kami semua masuk tidur. Yang terpaksa menemaninya ialah Abang Ngah. Lama kelamaan kami bertambah mesra dengan "Cikgu" itu, dan kami sering berbual, berjenaka dan sering makan bersama dengan "Cikgu".

Pada suatu hari bapa memanggil kami semua. Normah, Betty, Armali anak Saloma dan saya. Bapa memberitahu kami, seorang guru sambilan akan menjadi "Tuition Teacher" kepada kami semua. Namanya "Cikgu Mat Nor". Soalan pertama yang saya tanya bapa ialah, "Guru tu garang ke tidak?" Bapa terus menjawab, "Guru tu penakut, tapi jangan engkau orang menambahkan ketakutannya pula, nanti dia tidak mahu mengajar engkau semua. Guru tu tak akan pukul engkau orang, kalau kau orang melawan atau tak mahu belajar. Engkau orang semua mesti hormat dia." Itulah pesanan serius bapa kepada kami.


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee 

Bapaku P.Ramlee Bab 17 Berpindah Ke Cedar Avenue


BERPINDAH KE CEDAR AVENUE



Setelah beberapa bulan perkahwinan antara bapa saya dengan mama Saloma, akhirnya kami berpindah pula ke rumah baru di Cedar Avenue, berdekatan dengan tanah perkuburan orang-orang Islam Bidadari. Rumah tersebut adalah rumah teres yang disewakan oleh syarikat Shaw Brothers. Saya masih menyepikan diri dan belum mahu menerima kenyataan sebenar bahawa Saloma adalah isteri bapa saya yang ketiga dan ibu tiri saya yang baru. Saya seolah-olah bermusuh dengan bapa. Hanya apabila saya perlukan wang belanja, barulah Abang Ngah, pembantu rumah akan menyampaikan hasrat saya kepada bapa. Bapa pula pernah mendenda saya dengan menyuruh saya menulis sebanyak seribu kali kalimat yang berbunyi "I must love my autie" Dengan perasaan marah dan geram saya terpaksa menghabiskan tulisan itu dan ia masih tetap tidak mengubah pendirian dan perasaan saya terhadap ibu tiri baru saya. Saya pernah dirotan sehingga kadang-kadang berfikir untuk melarikan diri dari rumah. Keadaan ini akhirnya telah mengubah diri saya tanpa saya sedari dan jadilah saya seorang budak dan pelajar yang pendiam dan saya menumpukan kepada pelajaran di sekolah dengan berusngguh-sungguh sehingga saya mendapat markah terbaik.

Sekolah saya, Sekolah Rendah Cedar terletak di hadapan rumah. Pada suatu hari saya diminta oleh guru membawa wang sebanyak limapuluh riggit (ketika itu belum dollars). Wang ini untuk yuran pasukan pengakap sekolah. Cikgu memberi amaran jika wang itu lambat diterima, maka nama saya akan digugurkan dari senarai pengakap sekolah. Saya merasa serba salah, jadi saya cuba meminjam dari pembantu rumah Abang Ngah. Dia juga pada masa itu sedang pokai, saya bertambah risau dan khuatir kalau-kalau saya akan tersingkir daripada senarai pengakap di sekolah. Bapa saya pula ketika itu berada di Pulau Pinang kerana satu persembahan di sana. Yang boleh menolong waktu ialah mak cik Saloma sahaja. Sesudah berfikir panjang, saya cekalkan hati terus mengetuk pintu biliknya. Dia membuka pintu dengan tersenyum seolah-olah dalam hatinya berkata"Pandai kau cari aku" Dengan mesra dia menyuruh saya masuk dan duduk di sebelahnya. Saya akur sahaja. Soalan pertama yang ditanyakan kepada saya membuat saya tergaman, "Kenapa Nasir tidak sukakan mama?" saya diam. "Tak apalah, kalau Nasir tidak sukakan mama, mama tak kisah. Yang penting mama sukakan Nasir dan bapa Nasir." Saya amat terharu mendengar kata-kata beliau. Saya terus memeluknya menangis dan meminta maaf di atas kelakuan saya selama ini. Saya dimaafkan dan dengan segera saya mengambil kesempatan menyatakan hajat yang sebenarnya. lalu dia memberi wang yang saya kehendaki. Saya bersyukur kerana akhirnya diterima menjadi ahli pengakap di sekolah. Sejak dari hari itu, saya tidak lagi membenci mak cik dan sejak hari itulah saya memanggilnya "Mama" dan bapa pula saya panggil "Daddy".

Kehidupan saya di Cedar Avenue amat berbeza dengan kehidupan di MacPherson Road. Ibu tiri yang berpegang kerana disiplin sudah tidak ada lagi, maksud saya Mama Noorizan sudah bercerai dengan bapa. Saya tidak payah mengikut jadual harian yang tersusun. Kalau dulu saya terpaksa menyiram pokok bunga, kopek petai tetapi bersama mama Saloma saya merasa bebas dan tidak lagi merasa takut. Saya mula menghormatinya sebagai ibu. Cuma satu yang saya risau ialah saya terpaksa mencuci pakaian sendiri. Walau bagaimanapun pembantu rumah, abang Ngah tetap akan membantu, kerana dia tahu umur seperti saya yang masih kecil ini tentulah cuciannya tidak begitu sempurna.

Bapa juga telah nampak perubahannya, dia merasakan dirinya seolah-olah terlepas dari kurungan. Kadang-kadang dia balik jauh malam, dan kadang-kadang pula pulang awal, tetapi kemudian keluar semula. Nampak betul cerianya dan hari ke hari semakin ramai kawan-kawan yang datang berkunjung ke rumah. Sehingga rombongan drama pentas pun berlatih di rumah kami. Saya masih ingat cerita Kicap Emas dan Damaq, mereka berlatih bersama bapa saya di rumah kami di Cedar Avenue.  

Pelajaran saya jarang sekali dihiraukannya, dan apa sahaja yang saya pinta saya akan dapat, wang saku ketika itu sepuluh riggit untuk lima hari belanja. Ini hanya untuk perbelanjaan sekolah, sedangkan pembelanjaan harian lain perlu diberi berasingan. Waktu itu memang besar nilainya. Ketika itu saya dalam darjah lima, dan saya mendapati pelajaran saya semakin susah. Saya terpaksa belajar sendiri tanpa ada sesiapa tempat ntuk dirujuk. Ini menganggu pembelajaran saya dan akhirnya saya kadang-kadang tidak mendapat markah yang baik di dalam ujian dan peperiksaan di sekolah. Bila keadaan ini berlaku, saya akan meminta Mama Saloma  untuk menandatangani buku laporan prestasi di sekolah, tetapi kalau saya mendapat tempat kedua atau ketiga, maka bapalah yang akan menandatangani buku laporan tersebut. Saya akan diberi hadiah dan bapa tidak pernah memungkiri janji kerana apa yang dijanikannya akan ditunaikan. Begitulah juga dengan karyanya di dalam dunia filem, beliau sentiasa memenuhi kehendak penonton. Bapa sanggup berkorban apa sahaja demi kepentingan seninya biarpun hidupnya tidak semewah dan segagah namanya.



SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

Bapaku P.Ramlee Bab 16 Kegemaran Bapa Mengambil Anak Angkat


KEGEMARAN BAPA MENGAMBIL ANAK ANGKAT


Satu lagi kegemaran bapa saya, ialah suka mengambil anak angkat, tidak kira sama ada anak itu dari orang Melayu ataupun orang yang bukan Melayu. Ketika kami di Yarrow Garden, ibu tiri saya juga gemar dengan apa yang disukai oleh bapa saya. Maka itulah sebabnya saya mempunyai ramai adik beradik angkat. Antaranya ialah Normah, Betty dan Sazali.

Kadang-kadang perkara mengenai anak angkat ini menjadi satu masalah, kerana setelah bapa meninggal dunia, timbullah beberapa masalah peribadi. Mulanya saya tidak mengambil kira langsung mengenai perkara ini, tetapi setelah bapa saya meninggal dunia, maka barulah saya sedar mengenai beberapa masalah keluarga. Ketika kami di Singapura, soal pertukaran nama dalam surat beranak tidak menjadi satu isu yang penting. Cara pengambilan anak angkat di sana mungkin hanya mengikut undang-undang civil, oleh kerana itulah di dalam surat beranak adik beradik angkat saya mempunyai nama yang berbinkan "Ramlee bin Putih" sementara nama ibu pula "Junaidah binti Harris". Perkara ini menjadikan satu perkara yang rumit apabila bapa saya meninggal dunia. Bapa saya bukanlah hartawan, tidak ada harta yang ditinggalkannya untuk kami, hanya wang insuran sahaja, itupun atas nama ibu tiri Saloma dan sedikit sebanyak saya mendapat habuannya. Tidak ada rumah gedung, hanya sebuah rumah deret dua bilik peninggalannya yang sekarang ini menjadi tempat saya berteduh bersama keluarga. Beliau tidak meninggalkan secebis tanah pun, hanya sebuah kereta Holden kecil sahaja. Yang menjadi sedikit kekecohan seketika, ialah tentang "royalti" lagu-lagunya. Itu pun tidaklah sampai berjuta-juta seperti apa yang diheboh-hebohkan oleh setengah-setengah pihak.

Jadi sekarang jelas, bapa saya dari sisi undang-undang Islam hanya ada seorang anak sahaja hasil dari perkongsian hidupnya dengan bekas pelakon dan penari Junaidah Harris. Sayalah satu-satunya anak kandung dan anak tunggal P.Ramlee. Janganlah diheboh-hebohkan tentang anak P.Ramlee. Adik beradik angkat saya yang lainnya, memang tinggal bersama kami sebumbung. Antaranya Sazali, Normah, Betty dan Armali (anak A.R Tompel bersama Saloma). Manakala Dian, anak angkat Saloma, hanya sekali-kala datang ke rumah kami, itupun setelah bapa saya berkahwin dengan Saloma.

Hidup kami sekeluarga memang ceria dan bahagia. Bapa saya memang terlalu sayang kepada Sazali, hingga terkadang-kadang saya merasa cemburu. Kita semua tidak boleh menjentik Sazali, walaupun kadang-kadang dia melakukan kesalahan. Bagaimanapun saya dapat memahami sikap bapa saya terhadap Sazali. Dia mungkin merasakan yang sejak kehadiran Sazali dalam keluarga semua kerja bapa saya semakin berjaya. Bapa semakin banyak mendapat anugerah dan karyanya sentiasa mendapat sambutan hangat. Dia mungkin menganggap Sazali membawa tuah kepadanya.  

Setelah bapa saya berkahwin dengan Saloma, maka Dian sering datang ke rumah, dan di sinilah sering berlaku sedikit keadaan yang kurang senang kepada kami. Dian adalah anak kesayangan Saloma, sementara Sazali pula anak kesayangan P.Ramlee, jadi antara Saloma dan bapa saya masing-masing cuba menunjukkan kasih sayang yang berlebihan terhadap anak masing-masing. Masing-masing cuba menegakkan benang basah. Kalau Saloma kata Sazali yang bersalah, maka bapa saya tidak dapat menerimanya, tetapi sebaliknya kalau bapa saya kata Dian yang bersalah, maka Saloma pula tidak akan menerimanya. Begitulah sering berlaku antara bapa saya dengan Saloma. Ini tidaklah bermakna yang kedua-dua mereka membenci anak-anak itu, cuma perasaan kasih sayang yang agak keterlaluan menguasai mereka.


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

Tuesday, February 23, 2016

Bapaku P.Ramlee Bab 15 Pernikahan Di Rumah Mak Cik Onggek (Musalmah)


PERNIKAHAN DI RUMAH MAK CIK ONGGEK (MUSALMAH)


Musalmah atau lebih dikenali dengan panggilan "Onggek" atau mak cik Onggek, pernah berlakon bersama bapa saya di dalam filem Antara Senyum Dan Tangis. Beliau tinggal di Tembeling Road, jalan yang sama dengan rumah bekas kekasih bapa, Hamidah. Cuma mak cik Onggek di hujung East Coast Road, sementara rumah Hamidah di hujung Koon Seng Road. Mak cik Onggek juga pernah bersama-sama dengan bapa saya semasa mereka bergerak di dalam Persatuan Artis Malaya atau Persama. Setahu saya, bapa saya menganggap mak cik Onggek sebagai penasihat tidak rasmi kepadanya, malah kerana beliaulah maka bapa saya berpindah ke Kuala Lumpur. Boleh dikatakan Musalmah adalah orang yang memainkan peranan penting untuk membawa bapa saya ke Kuala Lumpur.

Pada suatu petang saya telah dibawa ke rumah mak cik Onggek, setibanya saya di sana kami semua bersama anak-anak mak cik Onggek disuruh naik ke bilik atas. Di bawah kelihatan beberapa orang kawan-kawan bapa. Antaranya S.Sudarmadji, Kassim Masdor, Yusof B dan ada beberapa orang lagi yang saya tak kenal. Kami diberi arahan jangan turun, sehingga dipanggil nanti. Saya tak berani hendak bergerak, kerana saya memang takut dengan mak cik Onggek.

Tiba-tiba saya terdengar suara ramai dan kecoh di bawah, ada yang ketawa, ada yang bersembang serta terdengar juga suara seorang Cina sedang mengambil gambar. Terkadang-kadang terdengar juga suara seolah-olah orang sedang membaca Al Quran, barangkali orang membaca doa agaknya. Kemudian barulah saya sedar, rupa-rupanya satu majlis pernikahan di antara bapa saya dengan mama Saloma baru sahaja selesai, dan kami semua dibenarkan turun.

Pada mulanya saya merasa sedih, tetapi oleh kerana bapa memandang kepada saya dengan senyum simpul, maka akhinya saya juga turut tersenyum dan bersalam dengannya. Akhirnya saya mempunyai ibu tiri yang baru iaitu Mama Saloma. Suasana agak meriah dan kami disajikan dengan makanan murtabak. Jurugambar yang mengambil gambar pernikahan itu telah diberi amaran oleh bapa saya supaya merahsiakan gambar-gambar tersebut dan tidak menghebohkannya kepada sesiapapun. Maka pada malam itu bermulalah secara rasminya satu penghidupan baru kami sekeluarga dengan ikatan kasih sayang yang baru dimakbulkan di antara bapa saya P.Ramlee dengan ibu tiri baru saya Mama Saloma.


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

Bapaku P.Ramlee Bab 14 Perkahwinan Bapa Yang Ketiga


PERKAHWINAN BAPA YANG KETIGA

Mak Cik Saloma sering datang ke rumah dan saya selalu saja dibawanya berjalan ke sana sini. Kadang-kadang saya agak rimas, kerana terpaksa mengikut kemahuannya, kalau tidak, saya khuatir dia akan memberitahu bapa. Saya sering dibelikan baju, pelbagai jenis mainan dan begitu juga dengan adik beradik saya yang lainnya. Saya tahu ini semua bertujuan untuk mengambil hati. Tetapi saya masih dengan pendirian saya, tidak mahu bapa berkahwin lagi. Apabila dia menceritakan tentang mak cik Saloma dan bercakap berkenaan rancangan beliau untuk berkahwin lagi, saya akan berasa sedih dan kadang-kadang menangis.

Walaubagaimanapun, sebaga seorang anak yang masih kecil dan tidak faham dengan perjalanan hidup, saya tidak dapat berbuat apa-apa, hanya berdoa agar bapa saya tidak melangsungkan rancangannya untuk berkahwin. Namun takdir Allah sudah menentukannya dan lagi pun saya tidak berhak menahan bapa daripada berkahwin lagi. Apa yang menjadi tanda tanya ialah bilakah agaknya bapa akan berkahwin dengan mak cik yang sering membawa saya bersiar-siar tersebut.


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee  

Bapaku P.Ramlee Bab 13 Tetamu Yang Tidak Diundang


TETAMU YANG TIDAK DIUNDANG


Setelah bapa saya bercerai dengan Nooizan, dia semakin ligat dengan kerja-kerjanya dan sering pulang lewat malam. Setelah 'shooting', dia masih boleh bersembang dan berseronok-seronok dengan krew unitnya dan kadang-kadang berlatih dengan kumpulannya, Panca Sitara. Kami di rumah juga menjadi semakin bebas, seperti kata peribahasa "Kucing tiada, tikus bermaharajalela." Saya pernah juga terdengar kononnya bapa saya sering bersama Saloma, tetapi saya tidak kenal betul dengan Saloma, cuma kadang-kadang apabila kami diajak menonton 'preview' di studio, ternampak Saloma. Dia hanya senyum biasa kepada saya.

Pada suatu hari sedang saya bermain-main di ruang tamu, pembantu rumah Abang Ngah memanggi saya, kerana ada seseorang yang ingin bertemu dengan saya. Saya terus keluar dan ternampak sebuah kereta "Sport" berhenti di hadapan pintu pagar rumah. Seorang wanita keluar dan terus melambai memanggil saya. Saya agak hairan dan tidak terfikir wanita itu adalah Saloma. Saya terus menuju ke keretanya dan dia menyebut nama saya,"Ini Nasirkah?" dan saya menganggukkan kepala. Wanita itu menyuruh saya menukar pakaian dan mengikutnya. Saya agak 'panik' kerana saya tidak kenal betul dengannya. Bapa saya tidak ada di rumah, dan saya harus meminta izinnya dahulu.

Saya memberitahunya, "Maaf makcik, saya tak boleh pergi kerana bapa tak ada rumah, nanti dia marah," Saloma menjawab," Jangan takut, mak cik dah beritahu bapa kamu tadi." Abang Ngah pula menyuruh saya agar segera menukar pakaian dan mengikut saja mak cik tersebut. Abang Ngah memberitahu bahawa mak cik itu adalah Saloma yang selalu menyanyi bersama bapa saya. Sebenarnya saya sudah dapat mengagak bahawa mak cik itu adalah Saloma, cuma saya berpura-pura tidak mengenalinya. Saya juga faham dengan tujuan sebenar mak cik Saloma yang kini mula berusaha mendekati saya dan memancing hati saya agar dapat menerimanya sebagai bakal ibu tiri saya yang kedua kelak. Namun akhirnya saya pun bersetuju untuk mengikut Saloma keluar. 

Saloma membawa saya bersiar-siar ke lapangan terbang Paya Lebar. Dia meneruskan perjalanannya ke tepi pantai Changi, dan terus ke kawasan Bedok. Kemudian, entah ke mana lagi saya dah lupa. Di dalam kereta dia sering bertanya bagaimana perasaan saya sekarang hidup tanpa emak tiri sambil memuji-muji bapa saya. Dalam hati saya berkata,"makcik i ada udang di sebalik batu." Saya hanya ketawa dan mengiakan saja kata-katanya. Kira-kira hampir sejam setengah kami bersiar-siar, akhirnya dia menghantar saya pulang ke rumah di MacPherson Road.

Pada malam itu saya menceritakan kepada bapa segala-galanya yang terjadi dan bagaimana makcik Saloma datang membawa saya bersiar-siar. Bapa saya hanya tersenyum dan bertanya kepada saya,"Kau suka mak cik tu?" Saya tidak menjawab dan hanya berdiam diri sahaja. Dalam hati kecil saya berkata, "Tentu ada apa-apa, kalau tidak takkan bapa bertanya demikian". Saya berdoa pada malam itu supaya bapa saya tidak berkahwin dengan mak cik itu demi kebaikan kami sekeluarga. Saya takut untuk beribu tiri sekali lagi dan saya juga sayangkan bapa dan benar-benar bimbang sekiranya ia satu keputusan yang kurang wajar dan kelak akan menyebabkan bapa saya kecewa lagi.


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee 

Bapaku P.Ramlee Bab 12 Perceraian Berlaku Di MacPherson Road


PERCERAIAN BERLAKU DI MACPHERSON ROAD

Noorizan berkahwin dengan bapa saya kerana cintanya yang tidak dapat disembunyikan, sementara bapa saya pula menerimanya kerana beliau sedang kehausan cinta, dan beranggapan perkahwinan ini akan berkekalan. Noorizan adalah bekas wanita yang terlatih dengan adat sopan keluarga diraja, mungkin kerana ini bapa saya menganggap yang Noorizan adalah wanita yang akan setia kepadanya untuk selama-lamanya.

Kami berpindah dari Yarrow Garden Siglap, ke rumah yang baru di MacPherson Road. Di rumah ini, bapa saya semakin terasa yang dirinya seolah-olah terkongkong. Noorizan bertindak di luar keselesaan bapa saya. Mungkin niatnya baik untuk menjaga "status" bapa saya sebagai seorang seniman agung hingga dia lupa yang seniman juga perlukan kebebasan. Seniman perlu idea yang bebas dan seniman juga tidak boleh dikongkong hingga merosakkan daya pemikiran.

Jodoh dan maut adalah di tangan Tuhan, tiada siapa yang dapat menghalangnya. Begitulah apa yang berlaku di antara bapa saya dan Noorizan. Keretakan rumah tangga bapa saya sedikit demi sedikit menjadi bertambah besar sejak dia pulang dari satu festival filem yang berlangsung di luar negeri. Suasana dan keadaan rumah kami sudah tidak terurus, berbagai-bagai tuduhan berlaku. Kami anak-anak tidak turut campur, dan saya dapat melihat bagaimana bapa saya mula tidur bersendirian, kadang-kadang di bawah dan kadang-kadang di atas. Mereka tidak bercakap semesra dahulu. Harapan bapa saya akhirnya hancur berkecai setelah berlaku perkara-perkara yang di luar dugaan. Bapa saya masih bertenang dan menjalankan tugas hariannya dengan tersenyum walaupun jiwanya menangis.   

Saya pernah mendengar kononnya Noorizan cemburukan P.Ramlee dengan Saloma kerana Saloma sering berganding suara dengan bapa saya ketika rakaman. Saya tidak tahu setakat mana kebenarannya atau adakah ia sengaja diaada-adakan. Saya dapat mengagak, mungkin bapa saya menanti kata-kata akhir dari Noorizan, "Ceraikanlah I". Saat itu akhirnya berlaku juga apabila Noorizan melafazkan kata-kata itu di hadapan bapa saya, dan bapa saya terus mengambil keputusan menceraikan Noorizan dengan rela hati. Walaupun sudah bercerai, namun mereka masih bercakap menerusi telefon, malah setelah kami berpindah ke Kuala Lumpur, bapa sanggup memberi peranan kepada Noorizan berlakon sebagai permaisuri Pasir Berdengong di dalam filem Laksamana Do Re Mi, arahannya yang terakhir sebelum dia meninggal dunia. Itu juga mungkin merupakan satu pertemuan yang terakhir di antara mereka.

Rumah di MacPherson Road itu telah menjadi agak tidak tenteram, dan tidak terurus seperti dahulu. Saya juga kini agak bebas dan tidak lagi perlu membuat kerja seperti dahulu. Apa sahaja yang saya pinta dari bapa, saya akan dapat, lebih-lebih lagi wang saku sekolah. Pembantu kami Abang Ngah masih bertugas sepenuhnya, dan bapa saya meletakkan sepenuh kepercayaan kepadanya untuk menguruskan rumah dan anak-anak.



SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

Monday, February 22, 2016

Bapaku P.Ramlee Bab 11 Timbul Rasa Bosan Dan Kecewa


TIMBUL RASA BOSAN DAN KECEWA


Hari demi hari saya mula berasa bosan, dan saya menganggap seolah-olah ibu tiri saya cuba bertindak sebagai ibu tiri yang sebenar kerana dia mungkin merasakan yang saya adalah anak tiri yang tidak harus diberi muka atau dimanja. Hati saya bertambah gundah, sesekali terasa juga ingin menceritakan perkara ini kepada bapa, tetapi rasa takut menebal di hati. Di saat-saat akhir sebelum ibu tiri bercerai dengan bapa saya, barulah saya sedar yang perbuatan ibu tiri saya itu bukanlah satu penyeksaan, tetapi itu adalah melatih disiplin diri. Mungkin kerana dia sudah terlatih dan biasa dengan keadaan hidupnya bersama Tuanku Raja Perak.  Jadi tidak patutlah saya merasa tertekan ataupun teraniaya, kerana dengan cara disiplin yang dilatihnya itu, maka kami sekurang-kurangnya menjadi anak yang taat dan berdisiplin. Ini adalah satu pengajaran yang baik yang belum pernah saya lalui sebelumnya. Tetapi segala yang indah nampaknya tidak berkekalan. Inilah lumrah alam dan kehendak Allah, tiada siapa yang dapat menentang kalau takdir sudah menentukannya.


SUMBER:  Allahyarham Nasir P.Ramlee  

Bapaku P.Ramlee Bab 10 Keseronokan Di Hari Minggu


KESERONOKAN DI HARI MINGGU


Satu perkara yang paling saya gemari ialah pada hari minggu, kerana pada hari itulah kami semua akan berkumpul sekeluarga, dan dibenarkan membuat aduan apa sahaja kepada bapa saya mengenai ibu tiri saya. Pernah saya memberitahu kepada bapa tentang sikap ibu tiri saya yang terlalu garang, tetapi bapa hanya memandang ke arah saya dengan tersenyum," Senyum ada makna tu cik." Bapa saya hanya memberitahu kepada ibu tiri saya, You boleh pukul, asalkan jangan berberkas sudah, kalau dia orang ini tak dengar cakap you, bantai saja!" Kdang-kadang bapa saya juga naik angin. Apabila angin dia datang, dia akan memarahi ibu tiri saya. Akibatnya apabila keesokan harinya, sayalah yang akan menerima padahnya, saya akan dibelasah Noorizan, kerana saya mengadu kepada bapa saya.

Satu lagi perkara yang tidak dapat saya lupakan mengenai hari minggu ialah, kedatangan seorang benggali yang berlakon di dalam banyak filem arahan bapa, seperti Pendekar Bujang Lapok (orang yang dihumban ke dalam laut) dan di dalam filem Seniman Bujang Lapok (yang menjadi jaga di pintu masuk studio). Dia datang setiap hari minggu untuk mengurut badan bapa. Saya sangat gembira apabila Mr Singh datang, kerana dia selalu membawa buah tangan, buah-buahan dan kadang-kadang coklat. Mr Singh ini kemudiannya menjadi antara teman rapat bapa. Di antara dialog yang pernah diucapkan dalam filem-filem bapa saya yang tidak dapat saya lupakan ialah "Apa kita batukah, kayukah, sikit hormat pun tak ada, panggil orang "Oi! Oi!" dan, "Lu nasib lu makan, Dia nasib dia makan, apa salah makan sama-sama."

Ada juga kadang-kadang Pak Cik Kassim Masdor datang menulis nota muzik bersama bapa saya, dan bila ada kesempatan saya bertanya-tanya secara rambang tentang nota muzik daripada Pak Cik Kassim Masdor. Dan jika tidak ada apa-apa kerja lain, kami akan keluar menonton wayang gambar di panggung Sky ataupun Rex. Hari minggu juga biasanya saya dan bapa akan menimbang berat badan kami. Kadang-kadang tukang jahit bapa saya bernama Mr Kwong Hung Meng akan datang ke rumah. Kedainya terletak di Tanjung Katong Road berhadapan Sekolah Perempuan Tanjung Katong. mr Kwong akan membawa berbagai-bagai jenis kain untuk baju dan seluar. Dia akan mengambil ukuran badan bapa saya. Kain-kain yang dibawanya adalah dari jenis kain yang terbaru. Saya juga pernah diberi peluang oleh ibu tiri, ketika "moodnya" baik, untuk menempah baju dan seluar.

Mr.Kwong ini memang "business minded" orangnya, kerana dia tahu populariti dan kehebatan bapa saya. Dia tahu orang Melayu dan bukan Melayu meminati P.Ramlee. Kerana itulah dia mengambil kesempatan menggunakan gambar bapa saya yang berpakaian satu sut untuk dipamerkan di dalam cermin di hadapan kedainya. Dia juga turut mencetak gambar itu di luar "bag" (bag cover) untuk kedai jahitnya. Bapa saya tidak dibayar apa-apa. Dia rela membenarkan Mr Kwong menggunakan gambarnya. Begitu juga dengan syarikat rokok "Lucky Strike". Pihak pengedar hanya memberi sekatun dua secara percuma, kerana bapa saya sentiasa mengisap rokok kegemarannya (Lucky Strike) sama ada di luar atau di dalam filem arahannya. Saya percaya kalau semuanya ini berlaku pada hari ini, tentu bapa saya akan menjadi kaya dengan wang iklan atau "Advertisment Fees" tapi apakan daya "lain hulu, lain parang, lain dahulu, lain pula sekarang".


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

Sunday, February 21, 2016

Bapaku P.Ramlee Bab 9 Hidup Baru Bersama Bapa Dan Ibu Tiri Di Singapura


HIDUP BARU BERSAMA BAPA DAN IBU TIRI DI SINGAPURA


Setelah saya dibawa pulang ke Singapura, dan setelah peristiwa bersama ibu di studio Jalan Ampas berlalu, kami tinggal di sebuah rumah kepunyaan Shaw Brothers di Yarrow Garden berdekatan dengan Jalan Singlap. Ketika itu hidup kami agak istimewa, kerana ibu tiri saya Noorizan adalah seorang yang kuat disiplinnya. Ini mungkin kerana beliau sudah terlatih ketika di dalam istana. Kami dimanja, tetapi manja yang bertempat. Bapa saya dilayan seperti seorang raja. Hidupnya diberi perhatian secukupnya, mungkin inilah pertama kali bapa saya merasakan kebahagiaan sebenar hidup sebagai suami isteri.

Saya masih ingat sebuah kereta Holden yang dipandu oleh orang tua bernama Wak Kimin. Kalau tak salah saya Wak Kimin adalah bapa mertua pelakon veteran Omar Suwita. Wak Kimin setiap pagi akan menghantar bapa saya ke studio, dan jika bapa tidak membuat pemggambaran di sebelah malam, maka Wak Kimin akan membawanya pulang. Boleh dikatakan waktu bekerja untuk bapa sentiasa terjaga dan ibu tiri saya tidak akan membiarkan bapa saya bersembang-sembang kosong di studio. Kadang-kadang saya dapat merasakan apa yang bapa rasakan. Dia mungkin merasakan seoalah-olah terkongkong. Sebenarnya itu adalah satu disiplin yang baik, kerana ibu tiri saya meletakkan bapa saya setaraf dengan kemasyhuran namanya.

Saya adalah anak kandung P.Ramlee, dan saya tidak mempunyai adik beradik, walaupun ada cerita mengatakan yang saya ada seorang abang atau adik (saya tak pasti) yang berada bersama ibu di Jakarta. Bapa sendiri tidak pernah menceritakan perkara ini semua kepada saya. Saya beranggapan, kalau sekiranya perkara itu benar tentu perkara ini akan diketahui sebelum bapa saya meninggal dunia. Walau bagaimanapun, hanya Allah sahajalah yang maha mengetahui. Kami tinggal sekeluarga dengan aman dan ceria, kami ditemani oleh seorang pembantu rumah yang berasal dari Terengganu, kami memanggilnya dengan panggilan "Ngah". Beliaulah yang menjaga kami, menolong memasak, pergi pasar dan mengemas rumah.   

Satu perkara yang tidak menyeronokkan saya di rumah itu ialah saya dilayan seperti seolah-olah hidup di dalam istana. Semuanya mengikut peraturan dan undang-undang (sepertimana dalam filem bapa saya Tiga Abdul). Pertama kali saya tidak boleh berbuat sesuka hati, semuanya mesti meminta izin dripada ibu tiri Noorizan. Setelah pulang dari sekolah saya dan adik-adik tidak dibenarkan keluar berkeliaran di jalan raya. Saya dan adik-beradik yang lain juga tidak dibenarkan menganggu bapa ketika makan, semasa dia membaca surat khabar, dan lebih-lebih lagi ketika dia sedang berehat dengan isterinya. Apabila sampai waktu makan, saya ditugaskan menyusun garpu dan sudu di atas meja. Setelah selesai, saya dan yang lain akan duduk di bilik sehingga bapa dan ibu tiri saya selesai makan barulah kami dipanggil keluar untuk makan.

Setiap hari minggu, kerja saya akan bertambah, semua pokok-pokok bunga yang ditanam harus disiram, dan najis-najis kucing juga terpaksa saya membersihkannya. Perhiasan rumah terutama yang diperbuat daripada tembaga, akan disuruh gosok atau gilap sehingga berkilat. Setelah semua kerja-kerja telah beres, maka barulah saya diajak oleh Noorizan mengikutnya ke pasar. Sekembali dari pasar, ada lagi kerja yang akan saya buat. Jika dibeli taugeh dan petai, maka tugas sayalah yang memetik taugeh dan mengupek petai. Begitulah kerja-kerja rutin atau kerja seharian yang diberikan kepada saya. 

Saya mempunyai lima pasang baju sekolah (uniform), lima pasang seluar, lima pasang stokin dan lima pasang kasut sekolah. Saya pun tidak tahu mengapa saya mempunyai hanya lima pasang bagi setiap item itu. Semua pakaian itu saya sendiri yang akan membasuh dan menggosoknya, walau pun kami mempunyai orang gaji. Selepas pulang dari sekolah, saya akan makan tengahari, kemudian berehat sebentar dan terus tidur. Saya akan dikejutkan tepat jam empat petang, untuk minum petang da kemudian saya dibenarkan ke padang untuk bermain sebentar bersama kawan-kawan di sekeliling.

Kira-kira jam lima petang, harus pulang ke rumah untuk menyiram pokok bunga. Selepas maghrib seorang ustaz akan datang mengajar kami mengaji, dan sebelah malam pula saya terpaksa mengulang kaji pelajaran sekolah. Tepat jam sembilam malam kami harus masuk tidur dan lampu bilik pun dipadamkan. Begitulah kehidupan saya seharian bersama ibu tiri saya Noorizan.


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee   

Saturday, February 20, 2016

Bapaku P.Ramlee Bab 8 Ibuku Junaidah Membawa Peguam Ke Jalan Ampas


IBUKU JUNAIDAH MEMBAWA PEGUAM KE JALAN AMPAS


Pada suatu hari di sebelah tengah hari, bapa pulang dari studio. Pada kali ini kepulangannya agak ganjil. Kebetulan nenek dan saya berada di Singapura. Bapa berdiam diri dan nampak air mukanya kelihatan muram. Memang ada sesuatu yang difikirkannya. Nenek terus bertanya kerana ingin tahu apakah yang menyebabkan ayah kelihatan runsing. Dengan tegas bapa menjawab,"Jun berada di studio bersama seorang peguam untuk mengambil Nasir," Nenek berdiam diri dan turut bersimpati dengan bapa. Pak Cik saya Sheikh Ali dan ibu tiri saya juga diam penuh simpati. Saya hanya menangis, kerana tidak mahu berpisah dengan ayah dan ibu tiri saya. Saya bertambah takut kerana saya tidak begitu mesra dan rapat dengan ibu kandung saya Junaidah. Keadaan itu tidak dapat dielakkan kerana perpisahan antara ibu dan bapa terjadi semasa saya terlalu kecil dan langsung tidak berkesempatan mengenali ibu. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana kalau saya dibawa ke Indonesia. Saya tidak mempunyai sesiapa di sana dan tentu sekali suasananya agak berlainan. Hati saya semakin sedih bercampur takut. Saya memeluk nenek saya, dan nenek cuba mententeramkan saya, sambil memeluk saya, sempat dia memujuk agar jangan takut dan jangan menangis, semuanya adalah takdir, katanya.

Ayah saya berdiri di hadapan ibunya dan berkata," Kalau ini semua adalah takdir, maka dengan rela hati Ram lepaskan Nasir, Ram tidak akan melawan takdir," Walaupun ketika itu saya masih kecil, tetapi saya masih ingat dan terbayang suasana sedih bercampur takut. Akhirnya saya dibawa oleh ayah ke Jalan Amoas. Dengan menaiki keretanya yang dipandunya sendiri, kami terus ke studio. Di dalam kereta bapa bertanya saya,"Kalau orang itu tanya, Nasir nak ikut Jun atau bapa, Nasir nak jawap apa?" Saya jawab,"Tak tahu, tapi saya tak mahu ikut Jun." Bapa tersenyum puas. Apabila kereta sampai di persimpangan Jalan Ampas di Balestier Road, bapa memberhentikan keretanya. Kami keluar dan bapa memimpin tangan saya membawa ke studio Jalan Ampas. Kata-kata bapa itu diulang berkali-kali sehingga sampai di sebuah kedai kopi berhadapan dengan studio No 8, (Mungkin kedai kopi Lam atau kedai kopi Siput saya tak ingat).

Setibanya di kedai itu, ayah terus masuk ke pintu studio. Saya ditinggalkan di kedai kopi itu. Dengan tidak disangka-sangka rupanya ibu saya Junaidah memang sudah menanti kedatangan saya. Dengan pantas dia memeluk dan terus menangis, sambil dia memperkenalkan dirinya dengan berkata, "Ini emak, emak kandung kau sendiri Junaidah. Emak sangat rindu pada kau," Hati saya tidak dapat menerima keadaan itu, kerana saya tidak pernah berpeluang, mengenali dan mendampinginya.

Saya lihat seorang berbangsa India ada bersama, dan saya diajukan soalan yang sama dengan apa yang ayah sebutkan sebelumnya. Saya tetap dengan jawapan yang saya berikan kepada ayah. Saya tidak mahu mengikut ibu. Setelah berkali-kali dipujuk ibu dan peguam India itu, saya tetap dengan pendirian saya. Akhirnya mereka gagal untuk mendapatkan persetujuan saya. Ramai yang menyaksikan kejadian itu.

Akhirnya saya meminta diri untuk pergi bertemu ayah di dalam studio. Ibu dan peguam serta beberapa orang di studio hanya memandang ke arah saya. Airmata ibu kelihatan berlinang dan dia tidak dapat menahan sebak hatinya. Saya dibawa oleh seorang Benggali penjaga studio menuju ke bilik ayah. Dia sedang menanti kedatangan saya. Bermula dari saat itulah, ibu saya Junaidah tidak lagi datang untuk bertemu atau mahu mengambil saya, dan saya berasa lega dapat hidup seperti biasa dan kembali ke Pulau Pinang. Tidak lama selepas itu, saya berpindah balik ke Singapura dan hidup bersama ayah dan ibu tiri saya. Saya sedikitpun tidak merasa kesal atau terkilan, kerana usia saya masih muda dan belum kenal erti hidup sebenarnya.


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

Bapaku P.Ramlee Bab 7 Ibu Dan Bapa Saya Kahwin Lagi


IBU DAN BAPA SAYA KAHWIN LAGI


Apa yang saya ketahui, ibu saya telah pun berkahwin dengan seorang yang juga berkecimpung di dalam industri muzik dan filem. Suaminya yang baru itu bernama Harris seorang pengarah dan pencipta lagu. Kalau tidak silap satu daripada lagu ciptaannya ialah "Kudaku Lari" sementara ayah saya pula setelah sekian lama membujang, akhirnya berkahwin dengan seorang bekas kerabat diraja Perak ibu Noorizan. Setelah berpindah semula ke Singapura, saya tinggal bersama bapa dan ibu tiri saya, Noorizan.

Ketika saya berusia enam tahun, barulah saya sedar dan mengerti dengan hakikat bahawa ayah saya adalah seorang artis besar yang diminati ramai. Saya mula merasa beruntung dan bertuah kerana menjadi anak tunggal P.Ramlee.


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

Bapaku P.Ramlee Bab 6 Peristiwa Di Stesen Keretapi


PERISTIWA DI STESEN KERETAPI


Kami sampai di stesen keretapi Tanjung Pagar pada waktu malam. Alangkah terkejutnya kami apabila kami dapati ibu saya Junaidah sudah lebih dahulu sampai ke situ. Ayah saya semakin panik, dan saya terpaksa disembunyikan. 

Akhirnya dengan tidak membuang masa, pak cik saya Sheikh Ali menyembunyikan saya di bahagian tempat meletak beg. Tempat ini hampir menyentuh bumbung keretapi. Saya terdengar suara pertengkaran antara ibu dan bapa. Ibu saya tergesa-gesa menaiki keretapi yang belum bertolak itu, mencari saya.

Agak lama juga ibu mencari-cari saya tetapi tidak bertemu. Saya berasa semakin takut. Akhirnya isyarat berbunyi menandakan keretapi akan bertolak. Dari saat itulah saya terpisah dengan ibu kandung saya. Setelah saya dewasa, saya dapat tahu yang ibu pernah berjanji akan berusaha dan tidak akan berputus asa untuk mencari saya. Akhirnya saya tinggal di Pulau Pinang bersama nenek saya (Cik Mah) dan Pak Cik Sheikh Ali. Saya tidak lama tinggal di Pulau Pinang, dan boleh dikatakan setiap bulan nenek, Pak Cik dan saya ke Singapura menemui bapa. Ibu saya sudah terpisah jauh membawa diri ke Jakarta. Kelakuan saya semasa bersekolah di Pulau Pinang tidaklah begitu baik. Saya gagal dalam peperiksaan. Nenek saya bertambah khuatir. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk menghantar saya pulang ke Singapura.


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

Bapaku P.Ramlee Bab 5 Saya Diculik


SAYA DICULIK


Sebagaimana yang diketahui umum, bapa saya telah terpikat dengan seorang gadis berketurunan Arab. Saya hanya mengetahuinya melalui cerita dari kawan-kawan bapa saya. Namanya Hamidah, dan saya sendiri tidak mengambil tahu tentang kisah cintanya dengan Hamidah dan tidak pernah sekalipun menemui Hamidah.

Setelah beberapa bulan perceraian berlaku di antara bapa dan ibu, akhirnya pada suatu waktu ibu saya datang dari Jakarta ke Boon Teck Road untut menuntut saya dari bapa. Dia hendak membawa saya pulang bersamanya ke Jakarta, atas alasan anak lelaki adalah menjadi hak kepada ibu kandung.

Ketika itu bapa saya bertambah gelisah dan kebingungan. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya, mujurlah dengan pertolongan sahabatnya Pak Cik Salleh Kamil, maka bapa saya terus mengirim telegram ke Pulau Pinang meminta abang tirinya Pak Shek (Nama sebenarnya Sheikh Ali) supaya datang ke Singapura. Keesokan harinya Pak Cik saya Sheikh Ali tiba dari Pulau Pinang. Kedatangannya memang dinantikan oleh bapa saya. Dia merasa lega sedikit. Setelah mereka berbincang akhirnya, dengan secara senyap-senyap dan tidak diketahui oleh sesiapa, kecuali Pak Cik Salleh Kamil, mereka membuat keputusan menculik saya untuk terus dibawa ke Pulau Pinang. Entah bagaimana ibu saya mendapat tahu mengenai perkara itu dan keadaan menjadi semakin cemas dan runcing.


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee 

Bapaku P.Ramlee Bab 4 Gara-gara P.Ramlee Bersiul


GARA-GARA P.RAMLEE BERSIUL


Ada satu peristiwa yang tidak dapat saya lupakan semasa bapa saya pulang dari studio untuk makan tengahari. Ketika beliau masuk ke rumah wajahnya riang sambil bersiul-siul. Bila ibu saya Junaidah terdengar siulan dan melihat keriangan bapa, dengan serta merta ibu saya menjadi sangsi dan mula menyindir bapa saya dengan berkata "Ah! Ini tentu dah jumpa girlfriends!" Bapa tidak menjawab hanya memandang dengan serius. Di sinilah bermulanya rasa cemburu ibu saya. Sebaliknya jika bapa saya pulang dengan wajah yang sedih, ibu saya masih lagi menyakat dengan katanya,"Ah, hari ini tak dapat jumpa girlfriends agaknya." Beginilah yang sering berlaku, bapa saya sentiasa berada di dalam keadaan yang serba salah.

Sifat cemburu ibu saya memang diketahui oleh ramai teman-teman yang tinggal di Boon Teck Road. Menurut cerita Pak Cik Kassim Masdor yang begitu rapat dengan bapa, apabila semua yang tinggal di Boon Teck Road dipindahkan ke sebuah rumah banglo di Katong, bapa saya sering keluar bersiar-siar di tepi laut. Ketika itulah ibu saya akan meminta Pak Cik Kassim yang masih muda ketika itu mengekori bapa saya dan Pak Cik Kassim terpaksa membuat laporan kepada ibu saya samaada suaminya di tepi laut bersendirian atau dengan teman wanita. Sifat cemburunya sampai ke tahap yang agak keterlaluan.

Oleh kerana itulah maka berlaku perpisahan sementara, dan kalau boleh dijadikan bukti, terdapat sebuah lagu ciptaan bapa saya berjudul "Hujan Di Tengah Hari" yang senikatanya ditulis oleh H.M.Rohaizad. Lagu ini kalau diteliti liriknya, jelas menunjukkan bagaimana perasaan bapa saya dan harapannya agar rumah tangganya tidak runtuh. Lagu ini dimuatkan di dalam filem Perjodohan. Cuba teliti senikatanya yang saya perturunkan di sini:


Hujan Di Tengah Hari

Sedih rasanya hati di dalam
Mengenangkan peristiwa masa yang telah silam
Di mana aku hidup bersama si dia
Tak pernah rasa aman bahagia

Perselisihan sering terjadi
Walaupun jauh dari nyata dan juga bukti
Namun begitu dia selalu terburu
Tegak melulu menurut nafsu
Andainya dia dapat mengubah
Tetapku terima
Mendirikan mahligai ria
Tapi tak berdaya
Ku sangka panas hingga ke petang
Rupanya hujan di tengah hari

Itulah lagu yang besar kemungkinan dicipta setelah berlakunya perpisahan antara ibu dan bapa saya. Perceraian yang begitu pahit telah dirasakan oleh bapa saya, dan oleh kerana saya adalah anak tunggalnya, maka berlaku pula pergeseran mengenai hak perjagaan saya. Oleh kerana bapa saya berpegang kuat kepada prinsipnya, maka dia berjaya mendapatkan anaknya Nasir untuk bersamanya.

Setelah bercerai, ibu saya mengikut rombongan bangsawan menjelajah ke seluruh Tanah Melayu, sedangkan bapa saya sibuk dengan kerjanya, maka kadang-kadang saya terpaksa dibawa ke lokasi penggambaran. Antara mereka yang sering bergilir-gilir menjaga saya ialah Ahmad C, Kassim Masdor dan Aziz Sattar, juga beberapa orang artis lain yang sentiasa memberi perhatian kepada saya.

Sementara ibu saya pula, setelah tamat bekerja dengan rombongan bangsawan, beliau pulang ke Jakarta mengikut bapanya yang juga datuk saya D.Harris. Bapa saya menjadi duda dan namanya semakin meningkat dan popularitinya juga semakin terserlah. Bapa saya telah mencipta lagu serta berlakon dalam banyak filem. Pendek kata pengarah-pengarah India ketika itu berebut-rebut mengambil bapa saya berlakon, kerana setiap filem yang dilakonkannya akan mendapat pungutan box office.


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

Friday, February 19, 2016

Bapaku P.Ramlee Bab 3 Kerana Cemburu



KERANA CEMBURU


Hidup saya bersama bapa dan ibu tidaklah sentiasa aman, sering sahaja terjadi pergaduhan antara mereka. Pergaduhan ini kerap berlaku kerana sifat cemburu ibu saya Junaidah. Mungkin kerana ayah saya semakin popular dan mempunyai ramai peminat dan sering diburu oleh gadis-gadis yang tergila-gilakannya, membuatkan ibu saya merasa terpencil dan khuatir dengan populariti ayah saya. Maklumlah ibu saya hanyalah pelakon tambahan dan seorang penari di studio Jalan Ampas sahaja. Apabila kami bersiar-siar, bapa saya sering mendapat perhatian daripada ramai peminat, sedangkan ibu pula terasa yang beliau tersisih. Sayalah yang sering menjadi mangsa di dalam pergaduhan itu. Bapa saya mempunyai satu tabiat yang luar biasa, apabila bergaduh dengan ibu, dia akan meninggalkan rumah dan bersiar-siar untuk melepaskan kesedihannya. Jadi ibu saya akan melepaskan kesedihannya. Jadi ibu saya akan melepaskan geramnya terhadap saya. Ibu akan mengurung dan memukul saya di dalam tandas. Saya hanya dilepaskan setelah bapa pulang dan membuka pintu tandas. Beliau kemudian akan membawa saya ke rumah Ahmad C, seorang pelakon komedi dan penyanyi asal kumpulan Panca Sitara. Kemudian bapa saya akan pulang dan menyambung semula pertengkarannya.


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee 

Bapaku P.Ramlee Bab 2 Kehidupan Di Boon Teck Road



Kehidupan Di Boon Teck Road


Semasa kecil saya bersama ibu dan ayah tinggal di Boon Teck Road. Ia adalah satu kawasan perumahan bintang-bintang filem yang disediakan oleh majikan. Ketika itu saya masih kecil dan tidak tahu apa yang berlaku di sekeliling saya dan tidak ambil pusing langsung mengenai siapa yang tinggal di situ. Kemudian saya difahamkan antara bintang-bintang filem ternama yang tinggal di situ ialah S.Roomai Noor, Siput Sarawak dan Kasmah Booty.

Saya dapat menceritakan kisah-kisah yang berlaku kisah-kisah yang berlaku semasa kecil di Boon Teck Road, hanya dengan mendengar cerita-cerita daripada teman-teman bapa saya setelah saya dewasa. Jadi kesahihan ceritanya adalah bersandarkan kepada penceritaan mereka, kerana ada diantara mereka yang pernah menjaga dan memelihara saya semasa kecil.


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee 

Bapaku P.Ramlee Bab 1 Filem Pertama P.Ramlee



FILEM PERTAMA P.RAMLEE



Filem Bakti arahan Dato L.Krishnan adalah merupakan filem pertama bapa saya diberi peranan 'hero' bersama S.Roomai Noor dan Kasmah Booty. 

Dalam filem ini bapa saya diberi nama Nasir. Mengikut apa yang diceritakan, nama saya Nasir adalah bersempena dengan namanya di dalam filem Bakti. Perkara ini kemudiannya menjadi satu amalan kepadanya. Beliau memberi nama kepada anak-anaknya dengan nama-nama yang terdapat di dalam filem sama ada filem arahannya ataupun filem yang dilakonkannya. Antaranya nama kedua-dua adik angkat saya. Seorang bernama Sazali, bersempena dengan filem lakonannya Anakku Sazali. Sementara seorang lagi adik angkat saya ialah Sabaruddin bersempena dengan filemnya Sabaruddin Tukang Kasut. Dalam filem Anakku Sazali, beliau telah dianugerahkan Pelakon Lelaki Terbaik di dalam Pesta Filem Asia Tenggara (Best Actor South East Asia Filem Festival). 


SUMBER: Allahyarham Nasir P.Ramlee

Wednesday, February 10, 2016

Legenda Bola Sepak Malaysia Azman Adnan


Sekitar awal 1990-an, Azman Adnan pernah dianggap sebagai jelmaan Supermokh malah sehingga berjaya menggiurkan tiga pasukan Liga Semi Pro seperti Selangor, Kedah dan Pahang.

Kuala Lumpur juga terpaksa meletakkan RM 1 juta sebagai yuran perpindahan jika mana-mana pasukan mahukan khidmat anak bekas anggota tentera kelahiran Kem Terendak, Melaka itu. Akhirnya, skuad ibu kota yang mengasah bakat Azman dari tahun 1989 hingga 1992, tidak mampu lagi membendung lagi pemergian pemain itu ke Selangor namun hanya dengan beroleh yuran sekitar suku juta RM.

Penyerang yang menggemari jersi no 19 itu membalas pelaburan mahal skuad Merah Kuning dengan menyumbangkan 147 gol dari tahun 1993 hingga 1998. Tiga Piala Malaysia pada tahun 1995 hingga 1997, Piala FA 1997, Piala Sultan Ahmad Syah 1996 dan 1997 serta gelaran Divisyen 2 1993 turut dijulang Azman bersama Selangor.

Mengumpul 75 penampilan dengan skuad negara, Azman pasti tidak melupakan dua daripada 49 gol di pentas antarabangsa yang membantu membenam Korea Selatan 3-1 untuk bergelar juara Pestabola Merdeka edisi ke-34. Di hadapan 30,000 penyokong di Stadium Merdeka, gol-gol pemain itu dalam masa tambahan perlawanan akhir selepas jaringan pembukaan Dollah Salleh, mengirim Korea Selatan pulang hampa sekaligus mengaut gajaran juara sebanyak RM50.000. 

Insiden "Disco Six" 1995 tiba-tiba mencalarkan reputasi Azman apabila dia, Shamsurin Abdul Rahman, L.Suresh, Zami Mohd Noor, Assrof Hanafiah dan Rizal Sukiman digantung antara enam bulan hingga setahun kerana didapati meninggalkan kem latihan menjelang Pestabola untuk ke pusat hiburan. Imej buruk itu disiplin itu bagaimanapun berjaya dikikis pada tahun 1996 dan hanya gol tunggal Thailand yang menafikan Piala Tiger - gelaran terbesar Asia Tenggara selain Sukan SEA daripada didakap Azman, Zami, Zainal Abidin Hassan dan K.Sanbagamaran untuk pasukan negara bimbingan Wan Jamak Wan Hassan.

Azman juga pernah mewakili Pulau Pinang, menyaksika 13 gol yang terhasil pada tahun 1999 telah menobatkan dirinya selaku pemilik Kasut Emas Liga Perdana Satu. Namun dia terlibat dalam satu kekalahan mengaibkan 1-0 kepada Laos di Sukan SEA Jakarta 1997 sehingga skuad negara dibubarkan sehingga tahun 1999. Dia mengumumkan persaraan selepas membantu Negeri Sembilan menjulang Piala FA 2003 dan membuka perniagaan sendiri selain dilantik sebagai jurulatih akademi bola sepak belia Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Sesekali Azman turun bagi pasukan veteran Selangor, Azman pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi haleeda pada tahun 1995 namun bercerai lapan tahun kemudian dan mengahwini pula seorang lagi penyanyi As Feminin setahun selepas itu.

Dollah Salleh memilih Azman dalam barisan penolong jurulatih Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga mereka bergelar juara Liga Perdana 2014. Apabila Dollah Salleh mengendalikan skuad negara tahun lalu, Azman yang lahir 1 November 1971 dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih PDRM menghadapi Liga Super 2015.


SUMBER: Wikipidea    


Legenda Bola Sepak Malaysia Yunus Alif



Andainya Yunus Alif  mempunyai mesin merentas masa silam, mahu sahaja dia kembali ke Sukan SEA Manila 1981 untuk mengubah keputusan perlawanan akhir acara bola sepak supaya memihak kepada pasukan negara.

Malang sekali, ia mustahil untuk dilakukan apatah lagi mengubah warna pingat perak temasya itu yang dimenangi bersama Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari dan Allahyarham Isa Bakar. "Itulah kejohanan pertama dan terakhir saya dapat bermain buat Malaysia dengan penyerang kembar legenda tersebut. Saya diletakkan di posisi midfielder kiri," kata anak kelahiran Kuala Terengganu pada 27 Mei 1958 ini.

Apa yang membuatkan Ahmad Yunus Mohd Alif terkilan ketika itu adalah skuad negara tewas kepada Thailand 2-1 biarpun mereka cuba bangkit menerusi jaringan lewat Abdul Muin Rahim. "Arwah Mokhtar dan Isa tidak lokek ilmu walaupun sudah ternama. Mereka selalu menunjuk ajar dan memberikan saya semangat serta kepada beberapa pemain yang lebih muda," kata pemain negara dari tahun 1978 hingga 1987 ini.

"Tuah tidak menyebelahi kami di Manila walaupun menguasai perlawanan. Bola yang digunakan adalah jenama Mikasa sedangkan kami menggunakan bola Adidas ketika latihan. Padang di Manila juga tidak rata kerana turut digunakan untuk acara olahraga." Yunus adalah adik kepada Datuk Mohd Abdah Mohd Alif, pemenang Pestabola Merdeka 1976 da 1979, emas Sukan SEA 1977 dan 1979 serta layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980. Namun dia tidak menyangka dapat kembali bermain dengan Supermokh yang keluar daripada persaraan ketika Malaysia dihampakan Korea Selatan 2-0 dalam kelayakan Piala Dunia 1985 di Seoul.

Enam tahun selepas di Manila, Yunus kempunan emas Sukan SEA di Jakarta apabila Malaysia dihampakan Indonesia 1-0 dalam perlawanan akhir, seminit selepas memasuki masa tambahan. Memulakan karier bersama Terengganu pada tahun 1976 hingga 1979, dia nekad merantau ke Pahang mulai tahun 1980 dan mengakhiri karier sedekad kemudian. Antara kejayaan yang pernah dikecapi oleh Yunus termasuklah menjulang Piala Malaysia pada tahun 1983.

"Frank Lord (mendiang, jurulatih Pahang) meletakkan saya, Hamidon Abdullah dan Zainal Abidin Hassan dalam formasi serangan serampang tiga. Hasilnya Pahang berjaya berjaya menumbangkan Selangor 3-2 dan memenangi Piala Malaysia buat julung-julung kali," kata pemenang Kasut Emas dengan catatan 14 gol pada tahun 1984 ini. Yunus beralih sebagai penolong kepada Tajuddin Nor, jurulatih Pahang dari tahun 1991 hingga 1994, dinaikkan pangkat setahun kemudian dan muncul naib juara Piala Malaysia 1995 dan 1997 selain juara liga serta naib juara Piala FA 1995. Dia kembali ke Terengganu pada tahun 1998 dan menjulang Piala FA 2000, menerajui semula Pahang dari tahun 2001 hingga 2003 tanpa gelaran sebelum kembali ke Pulau Pinang (2004), Terengganu (2005-2008) Proton (2009) Perlis (2010 dan 2013), T Team (2011) dan PBAPP (2014). 
 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078