Pages

Tuesday, July 24, 2018

SEBILIK DENGAN GAY: KISAH DI MANILA

SEBILIK DENGAN GAY: KISAH DI MANILA
 

Penerbangan soloku ke Manila, Filipina membawa episod baru dalam siri-siri pengembaraanku. Pemilihan negara ini bermula apabila aku telah membeli tiket promosi Cebu Pacific berharga RM110 untuk penerbangan Manila-Dubai (return) enam bulan sebelum tarikh penerbangan. Sangat murah dan tidak masuk akal harganya. Pesawat tambang murah itu adalah milik Filipina dan aku perlu menaiki pesawat tersebut di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino di Manila. Maka aku perlu mencari tiket untuk menuju ke Manila terlebih dahulu dan pilihan yang dibuat adalah dengan menaiki Pesawat Air Asia dengan harga tiket RM250 perjalanan pergi balik.

Sebaik tiba di Manila, aku disambut dengan kesesakan jalan raya yang sangat luar biasa. Padat. Kelihatan kenderaan awam bernama Jeepney antara yang memenuhi Kota Manila. Teruja aku dapat menaiki kenderaan tersebut menuju ke hotelku yang terletak berdekatan stesen LRT EDSA. Tambangnya sangat murah iaitu 8 peso (sekitar 60 sen). Untuk tambang LRT di sini juga harganya tidaklah begitu mahal namun perlu bersesak dengan orang yang sangat ramai. Padat umpama sardin dalam tin.

Aku mempunyai masa dua hari untuk melawat Manila sebelum menuju ke Dubai. Sebaik tiba di Kabayan Hotel Pasay, aku terus ke kaunter untuk menyemak tempahan yang telah dibuat. Aku membuat tempahan hotel bukan melalui laman web Trivago, tetapi Booking.com. Antara kelebihan Booking.com ini kita boleh tempah dulu dan bayar kemudian sewaktu tiba di hotel. Setelah disemak, namaku berada dalam sistem. Aku memilih bilik dormitory yang perlu berkongsi dengan empat orang. Namun, jika dulu sewaktu di Romania di mana aku terambil bilik mixed, namun kali ini aku telah bersedia awal dan mengambil bilik khas untuk male sahaja.

Setelah membuat bayaran 400 peso (RM34) untuk satu malam, aku terus menuju ke bilikku di tingkat dua. Sebaik masuk, kelihatan ada tiga orang lelaki yang sedang berehat dalam bilik tersebut. Kami saling berkenalan antara satu sama lain dan kesemua mereka adalah orang Filipina.

Sedang asyik berbual sehingga masuk topik perkahwinan, aku bertanya kepada salah seorang mereka yang berbadan agak berisi sama ada sudah berkahwin atau belum. Umurnya sudah lebih 30 tahun. Namun jawapan yang diberikan agak mengejutkanku.

"I dont want to get married. I'm a gay" mukanya begitu serius. Aku menyangka mungkin dia bergurau.

Namun setelah dia mengatakan, dua orang lagi rakan dalam bilik tersebut juga adalah gay dan mereka mengakuinya. Aku percaya. Bagi mereka itu perkara biasa dan memang ramai gay di Filipina. Mereka punyai pendirian tersendiri antaranya mengenai isu LGBT.

"Dont worry brother, we will not do anything bad to you" sempat lagi mereka menenangkanku dengan senyuman.

Aku mengangguk dengan melemparkan senyuman agak kelat. Hatiku sudah tidak tenteram, dulu di Romania sebilik dengan perempuan, kali ini dengan gay pula. Aku berdoa dalam hati agar tiada apa-apa terjadi. 3 lawan 1.

Malam itu, selepas penat berbual aku minta izin untuk tidur dahulu. Mereka juga katanya ingin tidur juga kerana hari sudah larut malam. Katilku di bahagian atas. Setelah lampu ditutup, aku berjaya juga lena walaupun jantung berdegup kencang. Tidak tenang.

Tengah nyenyak tidur, boleh pula aku terjaga tiba-tiba. Dan mengejutkan lagi, seorang daripada mereka sedang melihat ke arahku. Rupa-rupanya dia tidak tidur lagi. Katilnya di bahagian bawahku. Dia menyuruh aku tenang, katanya dia tak boleh tidur. Tidak tenang aku untuk menunggu hari siang.

Mujur tiada sebarang perkara yang tidak diingini terjadi. Sudahlah waktu itu aku belum berkahwin lagi. Alhamdulillah, mereka juga profesional dan menghormatiku sebagai seorang Islam.

SUMBER: TRAVELOG MR TRAVELLER

PENGALAMAN BERBUKA TAK BOLEH LUPA: KOREA

PENGALAMAN BERBUKA TAK BOLEH LUPA: KOREA


Ketika mengikuti program summer School di Inha University Korea pada cuti semesterku yang keempat, aku dan beberapa sahabat dari Universiti Malaya ditempatkan di asrama yang terletak berhadapan dengan universiti tersebut. Daripada Isnin hingga Jumaat, aku berulang alik untuk pergi ke kuliah yang ditetapkan untuk program itu seperti kelas bahasa Korea, budaya Korea dan Politik Asia.

Ketika itu musim panas, dan bahang kepanasannya dirasai hingga ke malam. Selain panas, waktu itu juga adalah bulan Ramadhan. Puasa hingga 1 jam. Suasana Ramadhan di situ jujur tak dapat dirasai seperti mana di Malaysia dan negara Islam yang lain.

Nak dijadikan kisah, di hostel kami memang disediakan makanan untuk sesi pagi dan malam. Kami pelajar muslim juga turut dihidangkan juadah berbuka persis pelajar dari negara-negara lain yang bukan Islam. Cuma katanya boleh pilih untuk makanan halal, khas buat muslim.

Sewaktu sedang beratur mengambil makanan sambil memegang tray macam pelajar asrama, sebaik tiba giliranku, mak cik dewan makan tersebut menuangkan ke dalam tray saya, nasi, kimchi dan sejenis lauk berkuah hitam macam masak kicap. Pelajar lain juga begitu.

Setelah selesai, aku terus bawa tray tersebut ke atas meja makan. Beberapa minit sebelum berbuka, seorang rakan menemuiku dan berkata,

"Radi tahu tak itu lauk apa?" tanya dia sambil menunjukkan ke arah lauk berkuah hitam itu.

"Ikan masak kicap kan?" aku jawab dengan yakin tanpa keraguan.

"Takla... Itu Ba Alif Ba Ya" balasnya pantas.

"Seriussss!" aku terkejut. Rakan-rakan di sekitar meja aku juga begitu.

Untuk kepastian, kami pergi menuju ke arah mak cik tadi. Nak tegur, aku tak tahu bercakap Korea. Cuma boleh tanya, betulkah itu Ba Alif Baya dalam bahasa Korea.

Mak Cik itu dengan tenang mengangguk mengiakan. Menggeletar tray yang ku pegang. Segera ku letakkan semula tray tersebut ke tempat asal. Akhirnya aku terpaksa berbuka dengan nasi dan sayur kimchi sahaja. Sangat sedih setelah berjam berpuasa. Namun tetap bersyukur. Kami juga sempat buat report kepada pihak program berkaitan isu yang berlaku agar tidak berulang lagi. Mereka mohon maaf atas kesilapan tersebut.

Jauh di sudut hati terdetik juga, kalau kawan tadi tak tegur, dapat juga rasa lauk masak kicap tu. Tak sengaja tidak mengapakan? Sanggup tak?

Mulai saat itu, setiap kali waktu berbuka, aku akan ke Masjid Itaewon yang mengambil masa satu jam untuk tiba. Perlu menaiki bas ke stesen kereta api Korail menuju ke Seoul, akhir sekali mengambil subway menuju ke Itaewon. Barulah aku dapat menikmati makanan berbuka yang sangat lazat dan memuaskan di situ. Kebiasaannya sewaktu bulan puasa seperti negara kita Malaysia, akan disediakan juadah berbuka secara percuma. Begitu juga di sana. Alhamdulillah. Sekian.

SUMBER: TRAVELOG MR TRAVELLER
 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078