Pages

Sunday, July 16, 2017

Kisah Malaysia Di Kelayakan Piala Dunia 2002

Peralihan ke alaf baru turut membawa kepada era baru bola sepak di Asia apabila Piala Dunia pertama dalam alaf ketiga dilangsungkan di Korea Selatan dan Jepun, yang turut mencatat sejarah sebagai Piala Dunia pertama dianjurkan bersama oleh dua negara.

Selain merupakan musuh ketat dalam bola sepak di rantau Timur Jauh, Korea Selatan dan Jepun sebenarnya mempunyai pertalian yang rapat dalam Piala Dunia. Kali pertama kedua buah negara cuba melayakkan diri ke Piala Dunia ialah pada edisi 1954 yang memperuntukkan hanya satu slot untuk zon Asia. Dalam pusingan kelayakan yang melibatkan hanya dua pasukan Asia ini, Korea Selatan mengatasi Jepun dengan agregat 7-3 dan layak ke Piala Dunia 1954. Jepun pula terpaksa menunggu 44 tahun lagi sebelum akhirnya mencapai impian Piala Dunia pertama mereka pada tahun 1998 di Perancis.

Kemudian berlaku satu insiden yang tidak diingini. Baik oleh Allan Harris, pengurusan FAM mahu pun rakyat Malaysia secara amnya. Dua penjaga gol utama, Kamarulzaman Hassan dan Azmin Azram serta penyerang Khalid Jamlus telah dilaporkan berada di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada 1.00 pagi 17 Februari, selepas mereka sebelumnya melaporkan diri untuk kem latihan pusat pada 14 Februari. Jurulatih negara Allan Harris yang mengamalkan disiplin ketat bertindak memecat kesemua tiga pemain tersebut.

Kekecewaan Allan Harris berasas kerana insiden ":Hard Rock Trio" berlaku ketika Allan Harris dan pembantunya B. Sathianathan berada di Bangkok untuk misi mengintip permainan pasukan Qatar yang bermain menentang Thailand. Dan kekecewaan ini lebih terasa apabila ketiga-tiga pemain yang dipanggil untuk membela diri hanya berdiam diri di depan allan harris tetapi kemudiannya merungut tentang pemecatan mereka dari pasukan negara kepada pihak media.

"Anda tidak boleh menguruskan sebuah pasukan tanpa disiplin dan kes ini adalah contoh jelas pemain yang tidak berdisplin,' hujah Allan harris. nasib baik, dalam hal ini FAM senada dan Setiusaha agung, Datuk Dell Akbar Khan menyokong tindakan Allan Harris.

Ketiadaan dua penjaga gol utama memaksa Allan Harris memanggil Mazlan Wahid, penjaga gol veteran Sarawak dan penjaga gol muda Terengganu, Syamsuri Mustafa sebagai gantian saat akhir. Namun tidak ada pengganti buat Khalid Jamlus, setelah Allan Harris menganggap ianya memudahkan tugas beliau untuk mengurangkan barisan lima penyerang kepada empat penyerang yang terdiri daripada Akmal Rizal, Hairuddin Omar, Rusdi Suparman dan V.Saravanan.

Malaysia mengadakan perlawanan ujian terakhir menentang NS Chempaka sebelum berlepas ke Hong Kong. Mungkin kesan dari Insiden Hard Rock Trio, pasukan kebangsaan tewas mengejut 2-0 di tangan NS Chempaka. Di Hong Kong, Malaysia bertemu Qatar dalam perlawanan pertama pasukan kebangsaan. Jaringan awal Rosdi Talib pada minit ke-9 memberikan harapan buat Malaysia membuat kejutan. Tetapi kemudian pemain pertahanan Khairil Zainal bertindak menahan percubaan gol Qatar dengan tangan lantas memaksa pengadil dari Jepun melayangkan kad merah. Dengan hanya 10 pemain, Mazlan Wahid dan barisan pertahanan tidak mampu menghalang pilihan utama Qatar menang besar 5-1 ke atas Malaysia. Dalam satu lagi perlawanan, Hong Kong diikat oleh Palestin 1-1.

Lawan Malaysia kemudiannya ialah turun menentang tuan rumah Hong Kong untuk perlawanan kedua. Usaha FAM memanggil pulang Akmal Rizal membuahkan hasil apabila penyerang muda itu meledak dua gol untuk Malaysia menang 2-0 dan menghidupkan kembali perjuangan kelayakan Piala Dunia 2002, seterusnya mengikuti rapat pendahulu kumpulan 3, Qatar yang menang ke atas Palestin 2-1 untuk selesa dengan enam mata.

Perlawanan terakhir pusingan pertama menemukan Malaysia dengan Palestin, yang ketika itu merupakan pasukan di ranking 176 dalam Kedudukan Dunia FIFA. Bukan sahaja pasukan Palestin ini berada jauh di belakang kita dari segi kedudukan, bahkan mereka juga datang dari negara yang sedang bergolak dengan sukan bola sepak di sana bernafas di sebalik letupan bom serta tembakan peluru rejim Zionis.

Tetapi sebagaimana Malaysia pada tahun-tahun sebelumnya melakukan kejutan untuk kalah di tangan pasukan seperti Filipina dan Laos, skuad kali ini juga melakukan yang sama. Malaysia kalah 1-0 di ke-3 Kumpulan 3, di belakang Qatar dan Palestin sebelum bermulanya pusingan kedua di Doha pada 20 Mac. Qatar yang menang 2-0 ke atas Hong Kong mengekalkan rekod kemenangan 100% mereka.

Di Doha, harapan untuk Malaysia layak bergantung kepada pasukan kebangsaan memenangi semua baki tiga perlawanan dan berharap Qatar kalah kesemua perlawanan mereka, sesuatu yang jelas kelihatan agak mustahil. Peluang Malaysia untuk mara secara sah terkubur apabila bertemu Qatar pada 20 Mac yang menyaksikan anak buah Allan Harris hanya mampu mencatat keputusan seri tanpa jaringan sekaligus memadam impian ke Piala Dunia 2002.

Walaupun begitu ia masih petanda yang baik buat Allan Harris. "Ia keputusan yang bagus kerana kita bermain dengan penuh semangat dan bertahan dengan cemerlang," ulas beliau yang ketika itu mensasarkan Malaysia menamatkan kempen kelayakan Piala Dunia 2002 di posisi ke-2 Kumpulan 3.

Sayangnya, pasukan kebangsaan tidak kenal erti konsistensi. Apabila turun bertemu Hong Kong yang pernah ditewaskan dalam pusingan pertama, Malaysia pula kecundang 2-1. Mazlan Wahid, penjaga gol veteran berumur 34 tahun melakukan kesilapan besar yang memberikan Hong Kong dua gol mudah tetapi bagi Allan Harris ianya kesalahan kolektif seluruh pasukan. Malaysia bermain buruk dalam separuh masa pertama tetapi cemerlang di separuh masa kedua dengan Hairudin Omar menjaringkan gol saguhati empat minit sebelum tamat perlawanan.

"Saya rasa ini lebih kepada masalah mental. Bagaimana lagi anda dapat menjelaskan dua corak persembahan berbeza dalam satu perlawanan?" soal Allan Harris sejurus tamat perlawanan. Kekalahan di tangan Hong Kong bermakna sasaran menduduki posisi ke-2 Kumpulan 3 lebur, sekali pun Malaysia kemudiannya berhempas pulas menewaskan Palestin 4-3 dalam perlawanan terakhir bagi satu lagi episod kegagalan ke Piala Dunia.

Slot zon Asia ke Piala Dunia 2002 diisi oleh China dan Arab Saudi yang menyertai tuan rumah bersama Korea Selatan dan Jepun. Iran yang layak ke play-off AFC/UEFA bagaimana kecundang di tangan Republik Ireland. Sekali lagi Brazil muncul juara apabila menewaskan Jerman 2-0, kesemua gol dijaringkan oleh II Fenemeno, Ronaldo. Korea Selatan pula mencipta rekod baru buat pasukan dari Asia dalam Piala Dunia dengan menduduki tempat ke-4. Agak memedihkan kerana hampir 30 tahun dulu bola sepak Taegeuk Warriors dianggap setara sahaja dengan Harimau Malaya di atas padang.

"Saya ada menyebut kali pertama menggalas tugas ini bahawa semua orang perlu bersedia untuk keadaan menjadi lebih buruk sebelum ianya kembali menjadi baik," tegas Allan Harris usai kelayakan Piala Dunia 2002. Tidak ada sesiapa yang menyangka bahawa keadaan menjadi lebih buruk yang dimaksudkan Allan Harris benar-benar buruk apabila Malaysia bertanding dalam kelayakan Piala Dunia yang berikutnya. Tidak ada sesiapa, baik di kalangan pengurusan FAM, para pemain bola sepak mahupun peminat bola sepak Malaysia.   

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078