Pages

Sunday, June 12, 2016

Bab 1 Super Mokh Bakat Terserlah


BAB 1 BAKAT TERSERLAH


Mohd. Mokhtar Dahari dilahirkan pada 13 November 1953. Mokhtar dibesarkan di Kampung Pandan Dalam. Sejak kecil lagi, Mokhtar meminati sukan bola sepak. Tetapi minatnya subur ketika belajar dalam Darjah Tiga. Di padang yang sempit di Kampung Pandan Dalam itulah, Mokhtar mula mengasah bakatnya. Sebelum jam 5.00 petang, Mokhtar sudah mula bermain dengan rakan-rakannya. Mereka tidak menghiraukan panas matahari yang membakar tubuh mereka. Pada ketika itu masa terhad kerana pemuda-pemuda Kampung Pandan Dalam akan bermain pula selepas itu.

Pak Dahari Abeng menyedari akan minat anaknya tetapi dia tidak mampu membeli peralatan sukan seperti kasut bola kepada Mokhtar. Waktu itu, harga sepasang kasut bola agak mahal. Namun, Mokhtar tidak pernah patah semangat. Mokhtar tetap bermain di padang itu dengan berkaki ayam. Bakat Mokhtar yang terpendam itu, semakin hari semakin terserlah.

Rakan-rakan yang bermain dengannya di padang Kampung Pandan Dalam kagum dengan kebolehan Mokhtar. Mokhtar bijak menggelecek. Tendangannya juga deras. Dia boleh menendang ke pintu gol sambil berlari. Lariannya laju sehingga pihak lawan tidak mampu mengejarnya. Sebagai ayam tambatan, dia selalu berjaya mendapatkan gol untuk pasukannya. "Mokhtar, Mokhtar". Pak Dahari menggeleng setiap kali pulang dari kerja apabila terlihat anaknya terlonjak-lonjak gembira setelah berjaya menjaringkan gol. Dia turut gembira. 'Kau sungguh berbakat, Mokhtar. Tapi sayang, ayah miskin!" bisik hati kecil Pak Dahari.

Senja merangkak tiba di Kampung Pandan Dalam. Mokhtar dan rakan-rakannya baru saja meninggalkan padang sempit itu. Mereka berjalan menuju ke rumah masing-masing. Antara kelompok rakan-rakannya itu, Mokhtar kelihatan lebih muda. Bentuk badan Mokhtar agak kecil berbanding dengan yang lain. Dia rendah tetapi berbadan tegap. Mereka berjalan pulang dengan riang. Baju masing-masing basah bermandikan peluh.

Sebaik sahaja Mokhtar tiba di halaman rumah, ibunya sudah tercegat di serambi. Dia terus mendapatkan ibunya.

"Ayah dah balik dari kerja, mak?"

"Sudah,? jawab mak Mokhtar. Mak Aminah Shakiran dengan selamba.

"Tar! Cepat mandi, maghrib dah masuk," perintah Mak Aminah.

"Baik, mak," jawab Mokhtar.

"Tengok tu, kaki penuh lumpur. Pergi basuh. Geli geliman mak tengok."

Zaleha yang berada di di sisi ibunya memandang ke arah Mokhtar. Mokhtar menjelingnya.

"Tar ni asyik bermain di padang itu, mak," kata Zaleha.

"Sudah pergi mandi. Maghrib dah masuk. Lepas mandi, pergi surau," kata Mak Aminah.

Mokhtar patuh.

Rumah papan bertiang dan beratapkan zink itu, terdapat sebuah serambi. Serambi dihubungi pula oleh tiga anak tangga dari tanah. Daun pintu dan tingkap diperbuat daripada papan. Rumah ini dibuat secara mudah dan merupakan bentuk terbaharu rumah orang Melayu pada zaman 60-an. Mokhtar tidak dilahirkan di situ. Mokhtar lahir semasa bapanya tinggal di Setapak, Kuala Lumpur. Dari Setapak, mereka sekeluarga berpindah ke Kampung Pandan Dalam. Di rumah inilah, Mokhtar dan adik beradiknya membesar dan mendapat didikan daripada kedua dua ibu bapanya dengan penuh kasih sayang. Zaleha, kakak Mokhtar, anak yang pertama. Manakala dia pula anak yang kedua. Jamilah anak ketiga dan dan Zaiton anak keempat. Mereka tinggal aman damai dan bahagia di rumah itu.

Mokhtar belajar di Sekolah Kebangsaan Jalan Kuantan, Kuala Lumpur. Walaupun dia bersekolah disitu, keluarganya tetap tinggal di Kampung Pandan Dalam. Setiap hari bapanya menghantar Mokhtar ke sekolah dengan motorsikal. Pelajaran Mokhtar di sekolah memuaskan. Tetapi, dia lebih menonjol dalam arena sukan. Selain sukan bola sepak, dia turut bermain badminton dan olahraga. Guru sukan sekolahnya kagum dengan kebolehan Mokhtar. Semasa umurnya 10 tahun, dia dipilih sebagai pemain bola sepak untuk pasukan sekolah. Pasukan sekolahnya selalu bertanding dalam Pertandingan Bola Sepak Peringkat Umur Bawah 12 Tahun, tajaan Majlis Sukan Sekolah Selangor (MSSSS). Pasukannya kerap bejaya menjad johan. Semenjak itu, Mokhtar pasti mewakili sekolahnya dalam pertandingan pada setiap tahun. Boleh dikatakan setiap tahun sekolahnya menjadi juara. Dalam pasukan itu, Mokhtar bermain sebagai penyerang. Hampir setiap jaringan gol untuk pasukannya adalah hasil rembatan Mokhtar.

Oleh itu, Mokhtar Dahari sebagai nama julukannya sentiasa bermain di bibir pemain sekolah yang lain. Ketika itu, nama Mokhtar Dahari disebut-disebut sebagai pemain Sekolah Kebangsaan Jalan Kuantan yang paling berbahaya. Pasukan sekolah lain di negeri Selangor Darul Ehsan gerun apabila bertarung dengan pasukan Sekolah Kebangsaan Jalan Kuantan, jika Mokhtar turut bermain. Di sekolah inilah, Mokhtar sudah mula menjadi wira pasukannya.


No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078