Pages

Monday, January 23, 2017

19 Februari 2016 : Hari Pertama ( Sweden - Denmark - Jerman )


Kota Uppland Vasby ketika ini diselimuti kegelapan malam. Suhu sekitar tiga darjah Celcius kebiasaannya membuatku tidur senyenyaknya. Namun, pada malam ini aku tidak boleh tidur seperti biasa kerana seawal jam 3.00 pagi lagi aku perlu bangun untuk memulakan langkah pertama dalam pengembaraan solo di benua Eropah dengan menaiki kereta api seorang diri.

Semua dokumen berkaitan jadual dan plan untuk kembara ini telah disediakan lebih awal. Ku lihat Basher, sahabat karibku di Sweden sedang nyenyak tidur di atas katil. Jejaka kelahiran Kelantan itu sudah banyak membantuku sepanjang berada di Sweden sejak hari pertama ketibaanku di Lapangan Terbang Arlanda, Sweden. Kali pertama aku bertemu dengan beliau adalah ketika kami bersama-sama menguruskan program Sveriges Muslimska Akademiker (SMA-APIUM Summer Camp) yang diadakan di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM).

"Assalamualaikum. Nama saya Basher. Orang Kelate dari Sweden," kata Basher memperkenalkan diri.

"Waalaikumussalam. Saya Raimi orang Melaka," balasku ringkas.

Sekali pandang, Basher tidak kelihatan seperti orang Kelantan apatah lagi Malaysia kerana ketinggian serta raut wajahnya persis orang Brazil. Pernah suatu ketika aku menemaninya membeli barang keperluan di Mid Valley, Kuala Lumpur. Pekerja kedai tersebut bertanya kepadanya dalam Bahasa Inggeris, lalu dibalas Basher dalam dialek Kelate. Terkejut pekerja kedai itu.

Kami tinggal sebilik di Kolej Kediaman Ungku Aziz (KK11), Universiti Malaya, bersama dua orang lagi pelajar dari Sweden. Seorang berasal dari Somalia bernama Faid dan seorang lagi bernama Ensar yang berasal dari Bosnia. Selain itu, ada 10 orang lagi pelajar wanita yang menetap di Sweden tetapi berasal dari pelbagai negara.

Kesemua mereka menjadi sahabatku selama sebulan berada di UM disebabkan aku ditugaskan untuk menjadi koordinator program tersebut, terutamanya menjaga soal kebajikan dan perjalanan mereka di Malaysia. Lalu, selama sebulan itulah aku berkomunikasi dengan mereka dalam Bahasa Inggeris yang merupakan bahasa antarabangsa. Ada kelebihannya kerana aku dapat mempraktikkan bahasa yang telah dipelajari sejak sekian lama namun jarang sekali diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Perlu berani dan yakin berbicara. Itu tipnya.

Selama tiga tahun aku ditugaskan sebagai koordinator untuk program tersebut, selama tiga tahun itulah aku mengenali Basher. Basher adalah salah seorang pendokong kuat yang memastikan program tersebut berjalan lancar. Melalui program itu juga, aku mendapat lebih daripada 50 orang kenalan dari Sweden yang majoritinya perempuan. Sebelum mereka pulang ke Sweden, ayat ini akan terbit dari mulut mereka.

"Raimi, please come to Sweden. We will show you our country."

Lafaz ini memberi pengaruh yang sangat besar terhadap diriku. Bermula dari situ, aku mula memasang niat untuk menjelajah ke benua Eropah. Iyalah, siapa yang tidak mahu ke benua Eropah jika ada rezeki, tambahan pula sudah ada kenalan yang ramai di sana. Namun, ku pendamkan dahulu hasrat itu sehingga aku benar-benar bersedia.

Ketika semester terakhirku di Universiti Malaya sebagai pelajar jurusan Sains Politik Islam, hasrat aku mula tercapai setelah tiket penerbangan Kuala Lumpur ke Sweden dalam genggamanku. Matta Fair 2015 yang kebiasaannya diadakan pada setiap tahun (bulan Mac dan September) bertempat di Putra World Trade Center (PWTC) menjadi saksi permulaan kisah pengembaraan solo ke benua Eropah ini. Tiket Pesawat Malaysia Airlines dengan harga RM 2566 untuk dua hala. Amat murah dan bermakna.

Aku terlelap seketika. Mujur loceng jam sudah diaktifkan di telefon bimbit. Jam 3.00 pagi aku bangkit untuk mempersiapkan diri. Basher tidak sedar yang aku sudah bangun dan siap mempersiapkan diri. Backpack yang ku sandang sarat dengan pakaian dan makanan yang ingin dibawa.  Ketika ini, beberapa persoalan bermain di fikiranku.

"Apakah benar tindakanku ini?"

"Apakah yang akan berlaku nanti?"

"Sudahkah aku bersedia dengan apa yang bakal terjadi?"

Persoalan-persoalan ini jika dilayan pasti tiada jawapan yang memberi jaminan. Tinggi risiko maka tinggilah hasilnya. Aku nekad untuk menghadapi setiap sesuatu yang bakal berlaku, walaupun laluannya berliku. Yang pasti, Allah ada juga untuk memerhatikan setiap tingkah laku aku. Begitu juga para malaikat yang sentiasa bersama di setiap detik dan waktu.

"Abe, wake up. I got to go now," aku mengejutkan Basher yang sedang nyenyak tidur. Sekali dipanggil terus dia terjaga.

"Oh, Raimi. Everything was ready right? So, have a nice journey. Text me if you have any problem," balas Basher sambil menghantarku ke muka pintu rumah.

Kami bersalaman dan berpelukan. Lebih dua minggu kami akan berpisah setelah hampir sebulan aku bersamanya di Sweden. Sebelum ini, aku juga keluar dari Sweden menuju ke United Kingdom selama seminggu. Sweden seakan menjadi port atau markaz kembaraku di benua Eropah. Segalanya telah direncanakan oleh aku sendiri.

Langkahku bermula.... Agak berat juga beg yang dibawa, tambahan pula saiznya yang agak besar. Seperti backpack yang digunakan oleh para traveller. Beg ini aku pinjam daripada Fahmi. Teman serumahku sewaktu menyewa di Seksyen 17, Petaling Jaya bersama sahabat yang lain seperti Muhsi, Bukhairy, Edi, Zikri, Nasrul, Zaid, Amirul, Syis dan Muqit. Rata-ratanya adalah pimpinan mahasiswa di UM.

Kedinginan dan kepekatan malam membuatkan berasa sedikit gementar. Bukan kerana bayangan hantu atau makhluk halus tetapi dengan manusia-manusia yang berniat jahat kepadaku. Salah seorang sahabatku dari Sweden pernah berkata kepadaku supaya berhati-hati apabila bergerak sendirian. Penjahat ada di mana-mana, tambahan pula negara Sweden mempunyai ramai imigran dari luar. Hampir separuh daripada penduduk Sweden bukan dari orang Sweden sendiri. Mataku meliar melihat kawasan sekitar. Pondok bas yang terletak hampir tiga kilometer dari rumah Basher, dituju. Aku perlu menunggu bas untuk membawaku ke Stockholm Central yang mengambil masa kira-kira sejam.

Beberapa orang berjaket tebal lalu di hadapanku sewaktu bersendirian menunggu di perhentian bas. "Apa mereka buat buat waktu-waktu begini? Jam baru 3.30 pagi." Fikiranku agak negatif. Prasangka itu adakalanya perlu supaya kita sentiasa berjaga-jaga. Namun, ia perlu dikawal dengan sikap positif yang akan memberi kita ketenangan.

Dari jauh aku terlihat bayangan sebuah bas. Cepat-cepat aku bangun dan menuju ke pintu masuk untuk tap kad yang selalu digunakan ketika menaiki pengangkutan awam di negara ini. Persis kad Touch N Go yang mudah digunakan dan hanya perlu ditambah nilai sekiranya baki tidak mencukupi.

Sebaik tiba di Stockholm Central, aku cuba mencari pintu masuk. Kelihatan seperti stesen kereta api masih ditutup bagi mengelakkan para gelandagan mengambil kesempatan tidur di dalam stesen. Cuaca sangat sejuk menikam tulang. Aku tidak mampu berdiri lama-lama di luar. Aku mula berjalan di kawasan sekitar stesen dan terlihat beberapa orang pekerja berpakaian hijau cerah sedang memasuki satu pintu untuk masuk ke dalam stesen. Aku terus menuju ke arah mereka dan memberitahu mereka bahawa aku akan menaiki train pada jam 5.21 pagi nanti. Ketika ini, jam menunjukkan pukul 4.30 pagi. Masih berbaki 51 minit sebelum waktu perlepasan.

Mujur aku dibenarkan masuk. Hilang segala kesejukan yang menggamit aku sewaktu berada di luar bangunan. Waktu subuh juga sudah masuk. Di benua Eropah dan negara-negara yang mempunyai empat musim, waktu solatnya berubah-ubah mengikut musim. Berbeza dengan waktu solat di Malaysia yang tidak ada banyak perbezaan waktu di sepanjang tahun. Di Sweden, mereka akan berpuasa sehingga 20 jam lamanya apabila Ramadhan berada pada musim panas. Siangnya begitu panjang. Subhanallah.

Aku menunaikan solat subuh terlebih dahulu di dalam stesen dengan berlapikkan jaket sebagai sejadah. Berada di bumi Eropah yang minoritinya Islam, jangan terlalu berharap agar surau ada di mana-mana. Islam itu mudah, maka permudahkanlah ibadah. Jika ada kawasan yang bersih dan sesuai, dirikanlah solat di situ.

Aku teringat sewaktu tiba di Seoul setelah menaiki train bajet dari Busan yang mengambil masa lima jam (sedangkan ada train laju KTX yang hanya mengambil masa lebih kurang tiga jam), aku perlu segera menunaikan solat subuh sebaik tiba di stesen kerana waktu subuh hampir tamat. Sewaktu ingin mencari arah kiblat, dengan yakinnya aku bertanya kepada seorang pemuda Korea di situ.

"Do you have Internet?" tanyaku.

"Yes I have. Why?" jawab dan soalnya kembali.

"Can I use it?" pintaku ringkas.

"Oh, sure!" balasnya mengizinkan.

Dengan pantas aku memuat turun satu aplikasi Islam untuk mengetahui arah kiblat secara digital. Setelah muat turun berhasil, aku membuka aplikasi tersebut dan mula mencari arah kiblat yang betul. Sejurus, aku berterima kasih kepada pemuda tersebut. Sekurang-kurangnya aku telah meletakkan satu software mengenai Islam dalam telefon bimbitnya.

Lalu solat subuh dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin walaupun berada di kawasan awam. Jangan pernah berasa malu untuk menunjukkan kebesaran Islam. Mungkin orang awam yang melihat kita tertanya-tanya apa yang sedang kita lakukan. Boleh jadi, timbul perasaan ingin tahu mengenai ajaran agama kita yang secara hikmahnya boleh membawa orang asing untuk mengenali Islam dengan lebih mendalam. Namun harus diingat, bukan semua tempat membolehkan kita solat secara terbuka, terutamanya di negara-negara barat yang mempunyai penduduk yang terlalu anti terhadap Islam ataupun disebut rasis. Di kawasan-kawasan sebegitu, kita perlu lebih berhati-hati.

Kereta api dengan nombor pendaftaran HST 519 sudah bersedia untuk bertolak ke Copenhagen, Denmark. Ia adalah train pertama untuk perjalananku selama 15 hari mengelilingi sebahagian besar benua Eropah. Aku mengambil tempat duduk kelas kedua seperti yang tertera pada sekeping tiket. Tiket Eurorail Global Pass ini dibeli secara online, sebulan sebelum aku terbang ke Sweden.

Pada awal perancangan, aku hanya akan menuju ke Sweden. Namun, setelah terbaca beberapa artikel yang berbicara soal train yang boleh dinaiki untuk mengelilingi benua Eropah, aku terasa ingin mengalaminya sendiri. Maka dengan kos 296 Euro untuk kategori youth second class ( 25 tahun ke bawah ) aku dapatkan tiket tersebut yang dihantar terus ke rumah melalui perkhidmatan DEX. Tiket Eurorail Global Pass ini bersifat berterusan selama 15 hari. Ini bermakna, kiraan hari pertama bermula pada tarikh hari yang dicop dan akan berakhir pada hari ke-15. Maka, perancangan yang rapi sangat diperlukan bagi memanfaatkan tiket ini semaksimum mungkin. Tambahan pula, tiket ini mampu membawa kita tiba di lebih daripada 24 buah negara di benua Eropah. Hanya dengan sekeping tiket sahaja. Sangat berbaloi.

Untuk melihat jalur atau perjalanan train yang ingin digunakan, aku sudah membuat perancangan awal iaitu sebulan sebelum perjalanan bermula. Cara mudah untuk melihat waktu perjalanan dan train apa yang perlu diambil, adalah dengan memuat turun aplikasi Rail Planner di telefon bimbit kita dan search perjalanan yang ingin dituju. Sebagai contoh, jika kita ingin lakukan perjalanan dari Stockholm ke Koebenhavn/Copenhagen, aplikasi tersebut akan menyenaraikan jadual perjalanan train tersebut, durasi perjalanan dan nombor train. Sangat mudah dan tepat.

Aku sudah menyiapkan jadual untuk 50 buah train yang akan dinaiki sepanjang 15 hari perjalanan. Bermula dari Sweden dan berakhir juga di Sweden. Ia adalah perjalanan yang panjang dan melibatkan banyak pertukaran train dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain. Risiko yang bakal dihadapi juga tinggi. Sebagai contoh, sekiranya train rosak, ia akan menjejaskan jadual perjalanan yang telah siap aku susun. Namun, aku yakin dan percaya bahawa segalanya akan dipermudahkan olehnya. Insya Allah.  

"Excuse me, can I see your ticket sir?" seorang konduktor wanita menyapaku seraya meminta tiket daripadaku. Aku menghulurkan sekeping tiket, lalu dicopkan tarikh pada kolum perjalanan yang ditulis atas tiket tersebut.

Perjalanan lima jam ditempuh dengan hati yang tenang sambil menikmati pemandangan yang indah. Cuaca yang gelap berubah cerah. Salji tebal masih kelihatan di luar tingkap sewaktu train yang aku naiki melalui kawasan Inkoping, Sweden, dan seterusnya memasuki kota Malmo. Jarak Malmo dan Koebenhvn hanya mengambil masa setengah jam sahaja. Sebaik tiba di stesen kereta api Koebenhvn yang merupakan ibu negara Denmark, aku terus keluar dari kawasan stesen bersama beg yang dibawa.

Sudah aku jelajah kota ini di laman Google Maps yang boleh dizoom sehingga ke kawasan yang ingin dituju. Memang mudah. Sedikit sebanyak aku sudah mempunyai gambaran awal tentang kawasan tersebut. Aku hanya boleh berada di kota ini kurang dari dua jam. Maka, aku gunakan masa yang ada dengan sebaik mungkin untuk melawat kawasan sekitar yang berdekatan dengan stesen. Menariknya, kebanyakan central station di mana-mana negara terletak berhampiran dengan beberapa lokasi menarik di negara tersebut.

Antara yang menjadi landmark jika berkunjung di Copenhagen City Hall yang terletak di The City Hall Square, Central Copenhagen. Bangunan ini adalah Ibu Pejabat Majlis Perbandaran negara tersebut. Orang ramai kelihatan sedang mengambil gambar kenangan berhadapan dengan City Hall dan ada beberapa orang jurupandu yang asyik bercerita mengenai sejarah bangunan tersebut. Di sebelah kiri City Hall pula, terdapat bangunan Tivoli yang agak kecil dan di sebelah kanan bangunan terletaknya Muzium Ripley's Believe It Or Not. Aku tertarik untuk memasuki muzium tersebut kerana sejak kecil lagi sudah dihidangkan dengan rancangan tersebut di TV3 yang diacarakan oleh pelakon watak Superman, Dean Cain.

Masa begitu pantas berlalu. Setengah jam sebelum train bertolak, aku sudah bergerak menuju ke stesen. Jauh juga aku berjalan kaki melalui lorong-lorong bangunan yang gah di kota Copenhagen ini. Semua orang kelihatan bergerak pantas menggunakan masa sebaik mungkin. Sebaik tiba di stesen, perkara pertama yang aku lakukan adalah melihat jadual perjalanan. Mudah sahaja. Lihat senarai waktu train berlepas, destinasi yang akan dituju dan nombor platform. Tiket dalam genggamanku tidak dinyatakan nombor platform. Justeru, aku merujuk jadual perjalanan yang dipaparkan di stesen.

Tertera waktu perjalanan menuju ke Hamburgh HBF, Jerman, pada jam 11.42 pagi di platform 2. Waktu perjalanan ini perlu diteliti dengan betul kerana setiap minit amat bermakna dan berharga. Justeru, jangan pandang mudah dengan masa. Ketepatan masa amat dititikberatkan.

Seperti yang dijadualkan, tepat jam 11.42 pagi, kereta api yang dikendalikan oleh Deutsche Bahn's InterCity Express dengan nombor pendaftaran ICE 34 mula bertolak. Seperti biasa, aku boleh memilih mana-mana kerusi second class yang tidak tertulis reserved. Aku memilih kerusi di sebelah tingkap supaya dapat melihat pemandangan luar dengan jelas. Perjalanan kali ini akan mengambil masa 4 jam 40 minit. Di sepanjang perjalanan, kereta api berhenti beberapa kali untuk mengambil dan menurunkan penumpang. Di satu perhentian, seorang wanita yang kujangka berumur sekitar 50-an duduk berhadapan denganku.

Aku mula berbicara dengan wanita itu. Bahasa Inggeris amat fasih kerana beliau berasal dari Newcastle, United Kingdom. Aku juga pernah tiba di Newcastle sewaktu kembara seminggu di United Kingdom dua minggu sebelum bermulanya misi kembara dengan kereta api ini. Wanita itu semangat bercerita mengenai salah sebuah negara Scandanivia iaitu Denmark yang dirasakan cukup selesa untuk didiami.

Dengan populasi penduduk sekitar 5.6 juta orang, beserta kemudahan asas, prasarana terbaik, pendidikan percuma, kebajikan terjaga, keselamatan terjamin dan peluang pekerjaan dengan gaji yang tinggi, semestinya menjadi idaman setiap insan. Tidak hairanlah, Denmark disenaraikan antara negara yang paling bahagia di dunia dan negara yang hampir bersih daripada gejala rasuah, (rujuk Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

Walaupun kadar cukai GST mereka jauh lebih tinggi daripada Malaysia iaitu sebanyak 25%, namun kualiti tadbir urus kerajaan serta pulangan hak kepada rakyat juga tinggi nilai hasilnya. Rakyat mereka seakan reda dengan apa yang diberi dan gembira dengan pulangan yang diterima kembali.    

Aku juga semangat berbalas cerita mengenai negara Malaysia yang sedang rancak dengan pelbagai isu. Ternyata, wanita tersebut kurang mengenali negara asalku. Selang beberapa minit, wanita itu turun di kawasan perumahannya, sementara aku meneruskan perjalanan yang masih berbaki dua jam lebih sehingga suatu saat aku tidak sedar yang aku terlelap kepenatan.

"The train will stop 45 minutes. To all the passengger, please leave the train immediately." Pengumuman yang dibuat di dalam kereta api mengejutkan aku daripada lena.

Aku terpana. Pemandangan luar bukan lagi bukit-bukau, petak-petak sawah yang terbentang luas, mahupun kincir angin yang menukar kuasa angin kepada tenaga putaran. Tetapi, seolah-olah kereta api yang aku naiki berada di dalam sebuah kontena. Suasana begitu berbeza. Aku tertanya-tanya. "Apakah yang berlaku sebenarnya?"

Tanpa membuang masa, aku bertanya kepada salah seorang penumpang berhampiran. Jawabnya, "Kita berada dalam feri."

"Feri?" terlopong aku seketika.

"Kereta api di dalam feri? Untuk apa?" persoalan semakin ligat dalam benakku.

Lantas, apabila melihat penumpang yang lain mulai keluar dari perut kereta api, aku mengambil keputusan untuk mengekori mereka. Kelihatan bas, lori dan kereta, turut disusun dengan teratur di tingkat kedua. Sebaik tiba di tingkat terakhir, aku menjadi cukup teruja. Terdapat pusat membeli-belah di dalam feri. Begitu juga food court. Mewah. Sungguh mewah. Barulah aku sedar bahawa feri bernama FS Deutschland ini digunakan untuk menyeberangi kota Roedby Faerge, Denmark dan memasuki Puttgarden, Jerman. Wah, luar biasa hebatnya!

Perjalanan menaiki feri ini akan menyeberangi Laut Baltik yang terletak di sebelah timur laut benua Eropah. Aku mencari tempat yang sesuai untuk menunaikan solat jamak terlebih dahulu. Lokasi yang dipilih ialah di hadapan pintu yang menuju ke tangga. Walau di mana kita berada, solat jangan diabaikan.

Usai solat, aku menghirup angin bayu Laut Baltik di tingkat atas feri. Angin yang kuat dan dingin seakan merekahkan bibirku. Aku terlihat dua orang lelaki yang kelihatan seperti orang Arab. Seperti biasa, mulutku ringan untuk bertegur sapa. Benar, mereka berasal dari Syria dan seorang lagi dari Somalia. Bahasa Arab yang telah aku pelajari dipraktikkan serta merta. Mereka sudah bekerja di Jerman tiga tahun lamanya.

10 minit sebelum tiba di Puttgarden, pengumuman dibuat kepada semua penumpang untuk masuk semula ke dalam kereta api. Aku terus melangkah ke tempat duduk asal kerana semua barangan aku berada di sana. Apabila semua penumpang sudah masuk, kereta api mula bergerak keluar dari feri melalui landasan yang dihubungkan antara feri dengan landasan luar. Sangat sistematik dan mengagumkan. Kali pertama aku merasai pengalaman sebegini.

"Germany w/Celcom. To Subscribe, *118#. T&C". Mesej masuk diterima, menyuruhku untuk melanggan roaming. Seronok juga apabila mesej sebegini masuk. Aku boleh pastikan yang aku sudah berada di sesebuah negara lain ataupun belum. Sebelum ini, sewaktu tiba di Denmark, aku juga menerima satu mesej yang memberitahu bahawa aku sudah berada di dalam negara tersebut.

Antara perkara yang aku nantikan apabila berkunjung ke sesebuah negara adalah cop pada passport untuk keluar dan masuk. Aku telah mengumpul passport stamp dari negara China, Mesir, Indonesia, Thailand, Singapura, Sri Lanka, Saudi Arabia, Brunei, Kemboja, Vietnam dan India. Berbeza apabila ke Eropah, Schengen Visa membolehkan kita mengembara ke 26 buah negara European Union (EU) memudahkan urusan tanpa memerlukan boarder untuk cop passport di setiap negara yang dilawati.

Sebagai contoh, apabila aku sudah masuk di Sweden, bermakna aku sudah dibenarkan untuk keluar dan masuk ke kawasan Schengen dalam tempoh tiga bulan lamanya. Tidak sama seperti aku masuk ke UK yang memerlukan passport dicop, begitu juga di beberapa buah negara lain seperti Romania, Bulgaria, dan Turki. Hal ini kerana, negara-negara tersebut tidak termasuk dalam Schengen Area. Untungnya, pemegang passport merah Malaysia ini adalah kerana tidak perlu membeli Visa Schengen, sekaligus menjimatkan bajet untuk berada di benua Eropah.

Selain itu, antara cara untuk mengetahui bahawa kita sudah berada di negara lain adalah dengan melihat papan tanda, bendera yang dipasang di kawasan rumah atau mana-mana bangunan, uniform polis, atau apabila menerima mesej yang meminta roaming diaktifkan. Tidak ada sebaran cop tanda kenangan pada passport. Sangat mudah, seperti aku menaiki kereta api ETS dari Ipoh memasuki Kuala Lumpur. Bezanya di Malaysia, tiada roaming.

Kereta api menuju ke Hamburgh terus bergerak laju. Tiba-tiba aku dikejutkan dengan suatu peristiwa. Beberapa orang yang berpakaian biasa meminta passport daripada penumpang yang berasal dari Syria yang baru aku kenali ketika di atas feri tadi. Berdegup kencang jantungku dibuatnya. Penumpang Syria itu duduk di kerusi bahagian belakangku. Aku berpura-pura seakan tidak perasan apa yang sedang berlaku. Namun, pelbagai persoalan muncul dalam fikiranku. "Adakah mereka akan datang kepadaku dan meminta pasportku juga?" Risau juga aku jika mereka adalah kaki sindiket. Tambahan pula, gerabak yang aku naiki tidak terlalu ramai penumpang. Lelaki Syria itu seakan bertengkar dengan tiga orang lelaki yang berpakaian biasa, yang sudah pun memegang passportnya.

Setelah beberapa minit, aku lihat mereka beredar dengan membawa passport milik lelaki Syria tersebut. Aku tidak tahu apa yang terjadi sehinggalah apabila kereta api ini berhenti dan rakyat Syria itu dibawa turun dari kereta api. Ketika itu, barulah aku sedar bahawa lelaki yang mengambil passport mereka itu ialah anggota polis yang menyamar sebagai Special Branch (SB). Mungkin passport milik lelaki Syria itu tiada Visa atau telah tamat tempoh. Aku mulai lega. Namun perasaan simpati terhadap lelaki Syria itu tetap terbit di hati.

Jika aku berada dalam situasi lelaki Syria itu tadi, aku tidak pasti sama ada aku akan berikan passport aku begitu sahaja atau tidak. Bagi aku, walaupun anggota polis (SB) itu  telah menunjukkan kad keanggotaan polis mereka, boleh jadi kad itu adalah palsu semata-mata. Passport sangat penting untuk dijaga apabila berada di negara orang. Jika diberi pilihan sama ada mahu korbankan passport atau telefon bimbit, sudah pasti aku akan korbankan telefon bimbit meskipun harganya lebih mahal berbanding passport.

Namun, nilai passport tidak boleh diukur dengan kos membuatnya ( RM200 untuk 5 tahun), tetapi betapa tinggi nilainya apabila berada di luar negara. Jika passport hilang dan ingin membuat passport yang baru di Malaysia, ianya cukup rumit kerana memerlukan laporan polis, pengesahan pesuruhjaya sumpah dan sebagainya.

Hal ini kerana, dikatakan nilai passport Malaysia di pasaran gelap boleh mencecah RM 30000 kerana passport Malaysia antara passport yang berkuasa di dunia membolehkan pemegangnya melawat 163 buah negara tanpa memerlukan visa. Bagaimana pula jika passport kita hilang di negara luar? Sekiranya malang tidak berbau, kemungkinan kita boleh menjadi mangsa kepada penjenayah antarabangsa. Maka, berwaspadalah. Passport dan pengenalan diri kita amat penting untuk dijaga sewaktu di luar negara. Kita juga adalah "duta" kecil negara.

Setelah empat jam lebih perjalanan, aku selamat tiba di kota Hamburgh, Jerman. Transit sebentar sekitar 40 minit, sebelum menaiki train seterusnya menuju ke kota Munich. Tempoh 40 minit hanya digunakan untuk melihat kawasan bangunan di luar stesen. Tidak banyak benda yang boleh dilihat kecuali keunikan senibina bangunan stesen kereta api Hamburgh yang mula beroperasi pada tahun 1906 serta menjadi stesen kereta api tersibuk di Jerman dan kedua tersibuk di Eropah, setelah stesen kereta api are Du Nord Paris, Perancis.

Di satu sudut stesen, kelihatan seorang lelaki sedang rancak bermain drum buatan sendiri sambil kepalanya disarungkan dengan topeng berbentuk kepala kuda. Orang ramai berhenti untuk melihatnya. Ada yang merakam situasi tersebut. Sungguh, pencarian rezeki itu boleh diusahakan dengan pelbagai cara.

Jam 5.01 petang pada hari yang sama, train ICE 683 yang berada di platform 14 mula bertolak, membawaku menuju ke Muenchen. Train kendalian Syarikat Deutsche Bahn GA (DB) ini bergerak pantas sehingga adakalanya mencecah 250 km sejam tanpa mengakibatkan sebarang ganjaran. Selain itu, kebersihan train sangat dijaga dan keselesaan penumpang menjadi keutamaan.

Ketika aku ingin membeli air panas di kafe kereta api untuk memasak mi segera, aku diberi air panas dalam cawan kereta api (DB), lalu diberi resit pembelian yang berumlah 0 Euro. Percuma. Sangat menarik! Dan Alhamdulillah, aku dapat menampung perut yang lapar untuk tempoh 6 jam lagi perjalanan, dengan hanya secawan mi segera yang dibawa dari tanah air tercinta.

Pemandangan di luar kereta api semakin gelap. Selain kondisinya yang selesa, kereta api ini juga menyediakan kemudahan plug untuk mengecas telefon bimbit, power bank, kamera dan juga komputer riba. Kebanyakan train di Eropah turut memberi kemudahan sebegini kepada penumpang, terutama kepada mereka yang menempuhi perjalanan panjang.

Waktu sudah bertukar malam dan aku dijangka tiba di Muenchen pada jam 11.00 malam. Dua hari sebelumnya aku sudah menghubungi Abe Mat atau gelarannya Tok Janggut, abang ipar kepada Basher yang sedang bekerja di Muenchen. Abe Mat akan berulang alik dari Jerman ke Sweden sebanyak dua kali dalam sebulan untuk bertemu dengan isteri dan anaknya, Ilyas. Aku sempat bertemu beberapa kali dengan beliau ketika berada di Sweden, juga di rumahnya yang terletak di Uppsala. Abe Mat memberitahu aku supaya menunggu di stesen sebaik tiba, sementara beliau akan hadir menjemputku. Nombor telefonnya sudah diberikan kepadaku jika berlaku sebarang masalah.  

Setibanya di stesen, Abe Mat masih tidak kelihatan. Aku cuba mencari perkhidmatan Wi-Fi percuma yang kebiasaannya akan disediakan di stesen-stesen kereta api Eropah. Sekiranya tidak ada, aku akan pergi berdekatan dengan kedai-kedai makan di stesen, Wi-Fi menjadi salah satu tarikan bagi pengusaha restoran untuk menarik pelanggan ke kedai mereka. Ada Wi-Fi yang memerlukan password, ada yang tidak. Mujur stesen yang aku singgah menyediakan perkhidmatan Wi-Fi secara percuma. Sebaik sahaja internet dihubungkan, aku menghantar mesej kepada Abe Mat melalui perkhidmatan Whatsapp dan aku menunggu beberapa minit sehingga mesejku berbalas. Sambil itu, ibu jariku pantas memeriksa dan membaca mesej-mesej lain di Whatsapp, juga di group Whatsapp yang pelbagai, dari keluarga, sekolah rendah hinggalah ke universiti. Pelbagai isu dan perkara dibincangkan oleh mereka.

Sudah 15 minit menunggu, Abe Mat masih belum kelihatan. Aku memberanikan diri untuk bergerak menuju ke pintu masuk stesen. Tiba-tiba, bahuku disentuh seseorang dari arah belakang.

"Ho, nok gi mano ter?" Abe Mat menyapaku dalam dialek Kelantan.

Berbicara dengannya pasti dalam dialek Kelantan. Mujur aku pernah belajar di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, cawangan Nilam Puri, Kelantan selama dua tahun. Di sana aku banyak belajar tentang dialek Kelate yang adakalanya agak lucu apabila aku menuturkannya. Sewaktu berada di tempat orang, kita perlu belajar sedikit sebanyak tentang budaya dan bahasa masyarakat setempat, sebagai tanda hormat.    

"Abe gi mano? Ambo dok tunggu sini jah dari tadi," aku menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan beliau.

Beliau sudah menghantar mesej ke nombor Malaysiaku untuk meminta aku menunggu di hadapan pintu masuk stesen metro. Aku memeriksa nombor Celcomku. Memang ada mesej tersebut. Aku yang tidak perasan.

"Banyok sungguh kredit Abe Mat hantar mesej kat situ. Hok free ado tok sey," gurau aku. Abe Mat ketawa kecil.

Tanpa membuang masa, aku mengekori Abe Mat menuju ke stesen metro untuk menaiki metro yang menuju ke rumah sewanya. Katanya tidak jauh. 2 Euro dibayar oleh Abe Mat untuk mendapatkan tiket tersebut melalui mesin. Setelah selesai, kami terus bergerak menuju ke platform untuk menaiki metro. Dalam 10 minit sahaja, metro yang dinaiki sudah tiba di stesen berdekatan dengan rumah beliau. Kemudian, kami berdua berjalan kaki selama lima minit untuk sampai ke rumah yang terletak di Weissenseestr.

Rumah Abe Mat sangat kecil kerana ia merupakan sebuah studio. Rumah sebegitu rupa sahaja sudah mencecah sewa hampir 400 Euro sebulan. Namun, ia lengkap dengan tandas, dapur dan sofa di ruang tamu. Tidak ada katil atau bilik. Meja makan juga terletak di ruang tamu. Bilik seperti ini boleh dikatakan berbaloi selesa bagi Abe Mat kerana tinggal sendirian. 

Aku terbayang rumah sewaktu di Taman Bukit Angkasa, Pantai Dalam. Sebuah rumah flat dengan tiga bilik didiami oleh sembilan orang. Memang padat. Tempat tidurku adalah di ruang tamu. Bagiku ia sudah cukup memadai dengan bayaran sewa sebanyak RM 78 sebulan termasuk bil air, eletrik dan wifi. Syukur.

Malam ini, aku dihidangkan dengan juadah nasi putih, kari dan lauk ayam, air tangan Abe Mat. Enak juga masakannya. Masakan Melayu yang dirindui. Setelah kenyang, aku terlena di atas sofa. Kepenatan, menanti hari esok yang bakal tiba. 

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078