Pages

Wednesday, January 18, 2017

Kali Pertama Ke Singapura (Kawan Bawa) Oktober 2012

Mata Farid kelihatan dikecilkan gara-gara sinaran cahaya matahari yang terang benderang. Dia terus merenung ke luar tingkap sambil memikirkan sesuatu. Bas First Coach bergerak pantas menuju ke negara yang terkenal dengan gelaran Kota Singa atau Lion City. Haulid sudah lena diulit mimpi diikuti hampir keseluruhan penumpan termasuk dua orang gadis Singapura bernama Hasanah dan Unaizah. Mereka berbesar hati untuk membawa Farid dan Haulid untuk melawat Singapura mengisi cuti semester kedua yang sudah bermula.

Pemandu bas yang segak berpakaian baju korporat warna putih berbelang hijau kelihatan fokus pada pemanduannya. Berbaki dua jam untuk melepasi imigresen yang memisahkan antara dua negara yang pernah bersama suatu ketika dahulu, Malaysia dan Singapura. Dan saat ini, negara kecil Singapura ini meliputi 63 buah pulau dan sebahagian tanah besar dengan keluasan hanya 704 kilometer persegi. Seiring dengan Hong Kong, Korea Selatan dan Taiwan. Singapura juga telah diangkat sebagai '4 Asian Tigers'. Difahamkan, Singapura mempunyai pelabuhan yang tersibuk di dunia dan merupakan pusat tukaran mata wang asing ke-4 terbesar di dunia. Singapura juga dianggap sebagai tempat paling mudah dan mesra untuk menjalankan urusan perniagaan.

Pasport berwarna merah dipegang rapi, dibelek-belek dan dicop sebagai tanda masuk ke negara Singapura pada 20 Oktober 2012. Petugas di Imigresen Singapura tersebut memberikan senyuman sebagai tanda selamat datang. Perjalanan diteruskan lagi. Cuaca agak panas, dari jauh kelihatan sebuah jambatan teguh memisahkan antara Johor dan Singapura. Bahasa yang digunakan pada papan tanda juga sepenuhnya berubah. Bahasa Inggeris keseluruhannya. Perbezaan negara sudah mula dirasai. Bangunan-bangunan dibina tinggi, tidak kelihatan sedikit kekotoran pada bangunan-bangunan yang dibina termasuk rumah-rumah flat.

Kenderaan-kenderaan di situ juga kelihatan mewah, Mazda, Toyota, Honda, Mercedes Benz, Jaguar dan beberapa lagi jenis kenderaan mewah tidak putus-putus kelihatan di kawasan jalan. Farid mula memikirkan sesuatu, adakah ini yang disebut oleh orang ramai.

"Singapura ini sangat bersih, tapi banyak orang asing"

"Singapura best, tapi mahal lah"

"Singapura ni orang-orang kaya banyak di sana"

Sekali diamati ada benar kata-kata tersebut, tapi takkan sekadar melihat sahaja tanpa meneliti. Negara Singapura merupakan negara yang keempat pernah dilawatinya setelah negara China, Mesir dan Indonesia. Negara China yang dikatakan bakal menguasai ekonomi dunia juga pada dasarnya masih berlaku banyak penindasan kepada rakyat, sama juga seperti di Mesir, negara itu sudah lama bertapak di peta dunia tetapi masih berada jauh di belakang negara-negara kecil seperti Brunei dan Malaysia. Kadar kemiskinan yang tinggi berleluasa.

Pimpinan negara tersebut yang menjadi punca sehingga  menyebabkan kebangkitan anak muda melakukan revolusi menukar pimpinan negara. Di Indonesia, jika dilihat melalui sinetron Indonesia sama ada Bawang Merah Bawang Putih, Anakku Bukan Anakku, Cinta Marshanda, Mutiara Hati dan sebagainya seakan-akan digambarkan kehidupan di sana mewah-mewah sahaja. Tidak hairanlah ada rakyat Indonesia yang mengatakan.

"Usah percaya cerita-cerita itu, semuanya menipu"

Benar, dalam kemewahan Kota Jakarta, kepadatan rakyat Indonesia dan keluasan negara, masih ramai lagi yang ditindas dan tidak diberi perhatian. Bagaimana pula dengan negara Singapura ini.

Fikiran Farid terus berfikir. Langkah diatur, stesen MRT dituju. Sistem Pengangkutan Gerak Cepat atau bahasa Inggerisnya Mass Rapid Transit (MRT) adalah sebuah sistem alihan laju yang membentuk tulang belakang sistem kereta api di Singapura, menjangkau keseluruhan negara kota itu. Bahagian permulaan MRT, di antara Stesen Yio Chu Kang dan Stesen Toa Payoh, dibuka pada 1987 menjadikannya sebagai sistem metro kedua tertua di Asia Tenggara selepas sistem LRT Manila di Malaysia mungkin dari sudut kelajuannya sedikit berbeza.

Kawasan Paya Lebar dan Geylang dituju. Tertulis di sebuah bangunan berwarna hijau putih "Madrasah Wak Tanjung" tempat beberapa orang sahabatnya pernah belajar menimba ilmu duniawi dan ukhrawi. Madrasah tersebut terletak berdekatan dengan Masjid Wak Tanjung yang seakan-akan dihimpit oleh bangunan-bangunan yang tinggi. Kelihatan sebuah bas dari Yayasan Islam Kelantan (YIK) baru usai melawat Madrasah tersebut, salah seorangnya adalah Mudir Pulai Chondong yang merupakan bekas Mudir Haulid. Sempat Haulid bertegur sapa dengan mudirnya itu.

Perjalanan diteruskan lagi, langkah diatur rapi melepasi bangunan-bangunan yang tinggi. Dimulai dengan singgah di restoran Melayu Geylang, kemudian singgah sebentar di rumah kakak Unaizah yang terletak di Pasir Ris dan pada malamnya melawat NUS atau National University Singapore yan merupakan universiti tertua di Singapura dan universiti yang terbesar di Singapura dari segi bilangan pendaftaran pelajar serta kurikulum yang ditawarkan. NUS dari segi sejarahnya pernah bersama UM.

Setelah itu, Farid dan Haulid dibawa menuju ke Jurong East menziarahi rumah Siti Khadijah yang merupakan salah seorang rakan UM mereka untuk makan malam. Setelah itu pulang semula ke rumah kakak Unaizah untuk ambil beg pakaian sebelum menuju ke rumah seorang lagi kakak Unaizah sebagai tempat penginapan. Sangat mewah.

"Alhamdulillah. Sangat terkesan dengan kebaikan keluarga Unaizah dalam menerima tetamu, persis Nabi kita yang sangat memuliakan tetamu." bisik hati Farid. Kelihatan Farid dan sahabatnya Haulid sudah mula diulit mimpi di bilik yang sangat indah berseri.

Keesokan harinya, langkah dituju lagi ke MRT seterusnya bas yang sangat bersih dan bercirikan sistem tiket yang unik dinaiki. Hari itu merupakan hari untuk merasai kehebatan Universal Studios yang telah dibuka pada bulan Januari 2010. Ia merupakan taman permainan Universal Studios yang pertama kali dibuka di wilayah Asia Tenggara, dan merupakan yang kedua di wilayah Asia setelah Universal Studios Japan. Taman permainan yang bertemakan filem-filem terkenal Hollywood produksi Universal Studios ini terletak di Pulau Sentosa, Singapura. Harga tiket ketika itu bernilai 58 dollar Sg bersamaan sekitar RM140.

"Are you ready, let's go", seorang petugas wanita di kawasan Battlestar alactica bersuara.

Sejurus itu roller coaster yang dinaiki memecut laju dan berpusing meluncur laju di atas landasannya. Jeritan dari penumpang mula didengari tidak putus-putus.

Suasana berubah seram, bunyi lagu Arab mula kedengaran, pintu utama dimasuki, suasana gelap gelita, cahaya kemerahan mula kelihatan, seakan-akan api. Kelihatan sebuah patung tegak berdiri dan ada yang seakan-akan dirantai tapi mahu melepaskan diri. Kawasan The Mummy itu berlatarkan muzik yang agak menyeramkan. Roller coaster khas untuk merasai perjalan kisah tersebut disediakan.

Farid dan sahabat-sahabatnya sudah mula memasuki perut kenderaan tersebut. Beberapa saat sahaja kenderaan itu sudah ditelan kegelapan, suara dari watak-watak filem The Revenge Of The Mummy mula kedengaran.

"You Will Never Find The Book!!!" Sangat menakjubkan. Seterusnya mereka menuju ke kawasan Madagascar, The Lost World, kawasan Hollywood, New York City dan antara yang menarik adalah di Far Away, penayangan Filem 4D Shrek yang sangat menakjubkan seakan-akan kita merasai berada dalam filem tersebut.

Setelah seharian mereka di sana, hari beransur gelap dan masa berehat telah tiba menanti hari esok.

Pagi keesokan harinya sementara menunggu kedatangan Unaizah dan Hasanah, Farid dan Haulid sempat berdiskusi bersama kakak Unaizah, banyak pergetahuan yang diperolehi perihal hak orang melayu di sana. Antaranya yang dikongsikan.

"Nak cari kerja juga susah, dan ada yang terpaksa tanggal tudung untuk mendapat perkerjaan, tapi setelah dapat, pakai semula".

Selain itu cuba bayangkan nilai sebuah rumah flat adalah sebanyak 360 ribu dollar Singapura bersamaan kira-kira RM750 ribu, sampai bila pun takkan dapat bayar jumlah tersebut dan rumah itu menjadi hak milik sendiri hanya 99 tahun sebelum jatuh ke tangan kerajaan semula. Tidak hairanlah kerana dikatakan Singaapore is a Fine City. Mencekau duit rakyat sahaja."

Setelah berdiskusi ilmiah bersama kakak Unaizah, perjalanan diteruskan ke kawasan Bugis untuk makan tengahari sebelum Farid dan Haulid berpeluang menunaikan solat di Masjid Sultan yang menjadi antara mercu tanda Singapura. Seterusnya mereka dibawa ke kawasan Bugis Street untuk membeli belah, seterusnya ke kawasan kota utama yang pasti dikunjungi oleh pelancon seperti Esplanade, Flyers dan di situlah terletaknya Merlion Singapura atau mudah dikenali sebagai kepala singa yang pancut air dari mulutnya.

Setelah itu mereka bergerak pula menuju ke Tampines untuk menziarahi rumah Hasanah, sup tulang dihidangkan, tapi agak berlainan dari Malayia kerana ia seakan-akan kari. Setelah usai solat Maghrib, Farid dan Haulid bersiap-siap untuk menuju ke Tanjung Pagar. Stesen Kereta Api yang kini telah pun ditutup dan dipindahkan ke Woodland.

Perjalanan yang sebentar namun memberi seribu satu pengalaman yang berharga buat mereka. Ia adalah permulaan pengembaraan. Sebagai gambaran mudahnya mengembara ke Singapura jiran negara Malaysia. Pilihan di tangan kita untuk datang ke Singapura secara overland seperti naik bas, kereta api, kereta, motor ataupun dengan menaiki kapal terbang untuk lebih cepat tiba. 

Kisah ini adalah permulaan kisah kembaraku ke Kota Singa sebelum aku merancang berkunjung ke negara tersebut sebanyak empat kali lagi untuk urusan tertentu secara sendiri dan berkumpulan.

SUMBER: TRAVELOG MR TRAVELLER

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078