Anak Allahyarham, Tan Sri Musa Hassan, 67, berkata, beliau telah memujuknya untuk tinggal di sini sahaja akibat faktor kesihatan yang tidak mengizinkan itu.

"Saya pujuk ayah untuk berada di sini sahaja (meninggal di Malaysia).

"Arwah lahir di Mekah dan ramai saudara maranya di sana," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pengebumian jenazah di Makam Diraja Shah Alam.

Menurut beliau yang merupakan bekas Ketua Polis Negara, Allahyarham ada menyatakan ingin bersujud kali terakhir bagi memohon keampunan daripada Allah dan memberikannya umur panjang sebelum menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ujarnya, ayahnya juga meninggalkan pesanan supaya selalu membaca al-Quran, sedekahkan al-Fatihah kepadanya serta jangan tinggalkan solat.

"Saya berasa sedih kerana kehilangan ayah, namun arwah pergi dalam keadaan baik.

Sementara itu, jenazah Allahyarham Hassan selamat dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam di sini kira-kira pukul 9.40 pagi.

Allahyarham disemadikan di kawasan makam tersebut atas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut berangkat hadir pengebumian tersebut adalah Sultan Sharafuddin dan Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah.

Selain itu, turut hadir adalah Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari serta 300 orang yang terdiri daripada ahli keluarga terdekat termasuk Musa dan Datuk Jalaluddin Hassan, 64, kenalan rapat dan orang ramai.

Terdahulu, jenazah disembahyangkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam pukul 9 pagi dengan diimamkan anak Allahyarham, Prof. Madya Dr. Abd Rauf Hassan.

Allahyarham menghembuskan nafasnya yang terakhir pukul 5.07 petang semalam di HKL akibat kanser limfoma tahap empat.