Pages

Saturday, September 18, 2021

Prolog Ada Madu Ada Racun Novel

 Gerila yang tertinggal -1982


Dua manusia itu terperuk di tempat sunyi itu. Pucat wajah kedua-duanya. Si suami memeluk isterinya erat. Manakala si isteri pula berpaut pada suami demi keselamatannya dan bayi di dalam kandungannya. Mata mereka liar memandang sekeliling. Mereka cemas dengan keadaan saat itu. 


Sudah lebih dua puluh empat jam mereka menjadi perlarian di tempat yang sungguh berbahaya ini. Serangan gerila komunis membuatkan si isteri kehilangan keluarga dan kampung halaman dalam masa sehari sahaja. Tinggal mereka berdua sahaja yang masih selamat dan cuba untuk menyelamatkan diri dengan melarikan diri ke dalam belukar. Namun kini, mereka sudah tersilap langkah kerana terkepung di tempat yang semakin banyak pengganas komunis. Akhirnya mereka terkandas di situ menyembunyikan diri agar kelibat mereka tidak kelihatan dek manusia-manusia yang tidak berhati perut itu.  


Semenjak lebih sepuluh tahun yang lalu, negara melalui era kebangkitan Parti Komunis Malaya (PKM) yang menginginkan Malaysia dinamakan sebagai Republik Komunis Malaya. Penentangan PKM kepada kerajaan Malaysia telah memberi kemusnahan jiwa dan harta benda seperti yang telah mereka saksikan sebelum ini.


Saat ini askar-askar komunis sedang bertempur dengan anggota Komando 69 dan Pasukan Polis Hutan. Pertempuran dua pihak itu dirasakan terlalu hampir dengan mereka. Bunyi tembakan yang bertalu-talu hampir memekakkan telinga mereka. Rasanya mereka bagaikan sedang berdepan dengan maut. Sesungguhnya mereka tidak pernah membayangkan keadaan ini yang akan mereka tempuhi.


“Tunduk, tunduk!” arah si suami yang dapat merasakan ada peluru sesat datang entah dari mana, hampir mengenai mereka.


Peluru sesat itu mengenai batang pokok yang terletak tidak sampai semeter dari tempat mereka. Terkopak kulit pokok itu akibat bedilan peluru yang tidak mengira orang atau pokok itu. Agaknya kalau mereka yang terkena peluru itu, sudah pasti isi perut mereka terburai.


Si isteri sudah menangis ketakutan. Dalam keadaan ini ketakutannya melebihi rasa lapar dan dahaga biarpun hampir dua hari mereka tidak makan. Alangkah sayu hati si suami mendengar tangisan itu, apatah lagi dia juga tidak mampu berbuat apa-apa selain berdoa agar mereka berdua selamat. Bertambah kasihan apabila mengenangkan isterinya sudah hampir dengan hari untuk melahirkan anak kedua mereka. Mujur sahaja anak sulung mereka sudah ditinggalkan bersama keluarga mereka di Kuala Lumpur. Kalau tidak, mungkin sahaja nyawa anak sulung mereka turut dalam bahaya.


“Abang, kita keluar dari sini”, rayu si isteri yang sudah tidak sanggup untuk duduk di situ. Bagai dapat merasakan bila-bila masa sahaja mereka akan rebah dek bedilan peluru itu. 


"Tak boleh. Komunis akan nampak kita. Boleh jadi nanti kita tertembak dengan askar Melayu tu. Kita tunggu sini. Insya-Allah, semuanya selamat. Kita berdoa aja kepada Allah. Semoga semua ini akan berakhir segera ."


"Tapi saya takut..."

"Shh.... Jangan bising! tegah si suami pantas.

"Bang, kalau jadi apa-apa pada saya, abang jaga anak kita baik-baik. Hanya anak-anak harta yang saya ada. Saya dah tak ada sesiapa lagi. Mak ayah saya semua dah mati dek komunis tu. Saya dah tak ada sesiapa lagi.

Si suami sempat memandang isterinya itu. Saat itu semakin erat dia memeluk isterinya. Dahi wanita itu dikucup agak kuat bagi menggambarkan rasa hati. Sayu hati kecilnya mengenang isterinya yang sudah menjadi yatim piatu dan hilang seluruh ahli keluarga dalam sekelip mata. Dia juga teramat sedih apabila melihat kedua-dua mertuanya mati di hadapan mata. Malah jasad ahli keluarga yang sudah kaku itu terpaksa ditinggalkan bagi membolehkan mereka menyelamatkan diri. Tidak dapat mereka uruskan seperti kelazimannya. Sesungguhnya mereka tidak berdaya dan keadaan cukup darurat saat ini.

Jangan cakap macam tu, Nah. Kita berdua mesti selamat. Kita sama-sama besarkan anak-anak kita. Abang janji selepas semua ini pulih kita balik Kuala Lumpur. Kita mulakan hidup baru dengan anak-anak yang bakal lahir ni. Abang tak bileh hidup sendiri tanpa awak.” pujuk si suami dengan sayu. Sebak dadanya. Harapannya agar segala kata-katanya tadi dapat dikotakan.


Tus! Mereka tersentak tiba-tiba apabila ada sebutir peluru tersesat mengenai tanah tempat mereka berlindung. Terlalu hampir dengan mereka. Hampir gugur juga jantung mereka. Tanah itu berhamburan akibat bedilan peluru kejam itu. Si isteri mahu menjerit namun spontan si suami menekup mulutnya dengan tangan. Kelam-kabut mereka jadinya. Si suami terpaksa menenangkan isterinya yang ketakutan. Walhal dia juga dalam ketakutan yang amat sangat. Peluh memercik di dahi, nafas menderu laju. Takut dan ngeri tidak dapat dikatakan lagi. Hanya kepada Allah dia berdoa. Semoga Allah melorongkan jalan yang selamat buat mereka.


"Kita pergi, bang. Kat sini bahaya. Saya takut,"rayu si isteri tidak lama selepas itu. Dia merasa amat tidak selamat setelah melihat betapa hampirnya mereka dengan bahaya.


"Tak boleh! Nampak tak peluru tadi? Kalau kita keluar, bila-bila masa aja komunis itu akan menangkap kita. Komunis itu tak ada belas kasihan. Kita tunggu dekat sini. Tunduk! Jangan bagi mereka nampak kita," kata si suami dalam nada yang amat cemas.


Mereka berdua berdiam diri seketika di situ. Namun dada bagaikan sukar untuk bernafas demi untuk mengawal ketakutan. Berombak kencang sambil mata liar memerhati sekeliling, berharap tiada sesiapa yang datang.


Tiga jam kemudian bunyi tembakan peluru sudah berkurangan. Hanya ada sekali dua sahaja das tembakan yang kendengaran. Bersinar semula harapan pasangan itu untuk terus hidup. Melibatkan keadaan itu mereka memutuskan untuk keluar dari tempat itu dengan segera. Dengan tergopoh-gapah si suami menarik isterinya agar mengikut langkahnya. Kelam kabut mereka melangkah untuk keluar dari belukar itu. Rasanya tidak jejak kaki ke tanah saat melangkah. Si isteri yang hamil cukup bulan itu membuatkan langkah mereka semakin lambat. Semakin lama dia semakin lemah.


“Saya dah tak berdaya lagi….” keluh si isteri setelah agak lama mereka berlari meninggalkan tempat itu. Dia sudah ternyata letih dan lemah.


“Sikit aja lagi. Kat depan tu ada kampung. Tengok, kita dah ada dalam ladang kelapa sawit. Bermakna mungkin ada rumah orang kat sini. Cepat bangun. Kita dah hampir sampai ni!” tegas si suami sambil memaut isterinya. Isterinya dibantu agar mereka boleh berjalan lagi.


Baru beberapa langkah mereka bergerak di dalam ladang itu mereka disergah dengan agak kuat.


"Hoi!!! "Jerkahan itu amat kuat, bagaikan bergema di sekeliling.


Zup! Jantung seakan-akan gugur. Mereka terkejut dan terpaku dengan sergahan itu. Si suami sempat melihat gerangan manusia yang menyergah mereka dari belakang. Pucat lesi wajahnya, bagaikan tidak berdarah apabila melihat seseorang lelaki berseragam hijau dan berlambang bintang di kepala sedang memandang mereka. Si suami terus mengheret isterinya untuk melarikan diri, namun gagal. Lelaki berseragam hijau itu mendekati mereka bersama senapang yang mempunyai benet di hujungnya. Keadaan semakin genting apabila mereka tahu lelaki itu berbangsa Cina. Berkemungkinan lelaki itu adalah tentera gerila komunis berdasarkan seragamnya.  


"Tolong jangan apa-apakan kami, encik." Dalam terketar-ketar si suami merayu kepada lelaki itu. Menggigil tubuhnya, ketakutan. Bila-bila masa sahaja lelaki itu akan mencabut nyawa mereka berdua.


"Lu siapa? Dari mana?" Dengan suara menengking lelaki itu bertanya. Muncung senapangnya dihalakan ke arah si suami. Dia berdiri dari jarak yang tidak jauh daripada sepasang suami isteri itu.

 

"Lu Melayu. Wa mesti bunuh Melayu!" jerit lelaki itu tanpa sempat si suami menjawab soalannya sebentar tadi.


"Tolong, jangan bunuh ka..."


Belum sempat si suami habis berkata, dua das tembakan dilepaskan oleh lelaki yang menyergah mereka, membuatkan si suami terus tersembam ke tanah. Matanya terbuka memandang ke langit, namun nafasnya semakin sukar.

 

"Abang!!!"Tercetus jeritan yang begitu nyaring daripada si isteri. Dia sudah tidak peduli lagi kepada lelaki cina berseragam hijau yang datang kepadanya. Tubuh suaminya dipeluk. Dia sempat melihat si suami tercungap-cungap.


"Abang jangan tinggalkan saya!" jeritnya bersama deraian air mata."Jangan tinggalkan saya!".


Dalam kekalutan itu si isteri hanya berserah apabila lelaki yang berdiri di hadapannya itu mengangkat laras senapang yang mempunyai benet di hujungnya. Tajam dan bisa merobek kulit tubuhnya dalam beberapa saat saja. Si isteri tahu masanya mungkin sudah hampir tiba.


"Lailahaillallah!"


No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078