Pages

Friday, September 24, 2021

Ada Madu Ada Racun Novel Bab 2

 Kuala Lumpur, 5 Januari 2009


Mereka berada di dalam bilik yang sama. Namun hanya kebisuan mewarnai ruang antara mereka saat itu. Si perempuan duduk di birai katil sambil menekur lantai manakala suaminya pula berdiri di jendela bilik sambil memandang ke luar. Canggung! Itulah yang dirasai oleh si perempuan dengan tingkah laku suaminya yang amat dingin. Dia sendiri bagaikan tidak tahu beraksi seperti apa di hadapan suaminya. Semuanya dirasakan serba tidak kena.


"Jomlah turun. Nanti your mom  risau." Akhirnya Lyn bersuara juga. Cuba ditawan hati si suami dengan kelembutan suaranya. Sebelum ini dia ada cuba memanggil abang, namun lelaki itu langsung tidak mengendahkannya. Malu sendiri dia jadinya. Akhirnya rentak lelaki itu diikutinya begitu sahaja.


"Turunlah dulu. I tak nak makan. Tak selera." Johan menjawab acuh tidak acuh.


Baru beberapa hari mereka berkahwin, namun tiada keserasian antara mereka. Perkahwinan yang berlandaskan sesuatu sebab yang tidak jelas atau lebih mudah kalau dikatakan yang perkahwinan aturan keluarga ini tidak mendatangkan sebarang keserian pada hatinya. Rasa hatinya saat ini langsung tidak menjurus pada melaksanakan tanggungjawabnya sebagai suami kepada wanita itu. Janjinya kepada mertuanya sebelum itu hanya lakonan sahaja. Janji yang sekadar untuk menyedapkan hati orang tua isterinya.


Lyn mengeluh. Namun dia akur dengan kata-kata suaminya, lantas bangun. Malas dia memujuk lelaki yang berkepala batu itu. Dia sedar di mana kedudukannya kepada lelaki itu. Jadi malas dia mahu melayan kerenah lelaki itu lagi. Dia sedar dirinya tidak pernah diterima oleh suaminya, jadi tidak perlulah untuk dia beria-ia. Lebih baik dia makan daripada melayan kepala angin suaminya itu.


Johan memandang wanita yang telah isterinya itu. Tidak tergoda sedikit pun hatinya dengan layanan si isteri biarpun ada beberapa kali Lyn cuba berbaik-baik dengannya. Bagaimana untuk dia menerima kalau dia turut diugut oleh bapanya sekiranya tidak menerima perempuan ini? Jadi dia turutkan juga kehendak bapanya itu. Dia sekadar mahu menyakiti hati bapanya dengan memperlihatkan cara dia melayani perempuan itu dengan perlakuan yang tidak sepatutnya. Baru puas hatinya. Biar orang tuanya sengsara melihat perkahwinan yang tiada serinya ini. Seperti dia yang sengsara untuk menerima wanita yang langsung tiada dalam hatinya.


Dia tahu ada sesuatu di sebalik perkahwinan ini apabila dia mendapat tahu bapanya menyerahkan sebahagian saham dalam syarikat kepada wanita itu. Kereta mewah, rumah mewah dan jawatan kedua tertinggi di dalam syarikat. Puas dia bertanya, namun bapanya enggan ceritakan apa yang tersirat di sebalik semua itu.


Johan merasakan bapanya benar-benar tidak adil kepadanya. Bukannya dia tamakkan harta, tetapi dia tidak suka setelah merampas sebahagian harta keluarga ini, perempuan yang tidak pernah dikenalinya itu turut merampas hidupnya. Dia terpaksa pula berkahwin dengan perempuan itu. Untuk apa, dia tidak tahu. Bapanya memang tidak adil kepadanya.


Langkah kaki diatur Lyn dengan berhati-hati, menuruni tangga batu itu. Namun fikirannya masih belum lepas memikirkan Johan di dalam bilik. Semenjak mereka berkahwin, lelaki itu boikot, enggan makan semeja dengannya. Dia tahu itu cara Johan menyatakan penolakan. Dia tidak kisah. Dia sudah sedia maklum akan itu semua. Memang semenjak melangkahkan kaki ke gerbang ini dia sudah mengajar diri agar tidak meminta-minta, tidak mengangankan yang indah-indah. Terima sahaja keadaan ini seadanya.


Dia tahu dia merampas hidup orang lain, namun apa dayanya. Dia juga terpaksa melakukannya untuk melunaskan janji. Namun memikirkan bukan hanya mereka yang tinggal di dalam rumah ini, dia agak runsing. Tidak tahu bagaimana mahu berdepan dengan seluruh keluarga suaminya dengan keadaan mereka yang begini. Dia malu, namun apalah dayanya. Dia tetap harus berdepan dengan kenyataan yang memeritkan ini, biar apa pun yang bermain di hatinya saat ini.


"Lyn."


Dia disapa mesra oleh ibu mertuanya saat mendekati meja makan. Dia melihat semua ahli keluarga mertuanya sudah ada di meja itu, kecuali Johan dan adik bongsu Johan iaitu Ariana yang dipanggil baby oleh mereka sekeluarga. Mukhriz, suami Andrean, sedang duduk bersama anak mereka yang baru berusia tiga tahun. Sifat kebapaannya jelas sekali. Dia makan bersuap bersama anak perempuannya itu dengan manja. Lyn membalas sapaan ibu mertuanya itu dengan senyuman. Tanpa kata dia duduk berdekatan dengan Andrean.


"Mana Johan?" soal Tan Sri Muzhaffar kepada satu-satunya menantu perempuannya. Hairan dia melihat Lyn seorang sahaja. Sudahlah semalam anak lelakinya itu enggan makan. Hari ini masih enggan lagi? Tidak laparkan dia?


"Mogok dia belum habis lagi," jawab Lyn selamba.


Kata-katanya itu membuatkan Andrean mahu ketawa. Namun pandangan mata Tan Sri Muzhaffar terarah kepadanya, seakan-akan menegur perbuatannya, membuatkan dia tidak jadi ketawa.


"Bik!" panggil Tan Sri Muzhaffar agak lantang ke arah dapur.


Seorang pembantu rumah hampir ke meja itu. "Ya, Tan Sri," ucapnya lembut


"Hantarkan sarapan pada Johan di biliknya," arah Tan Sri Muzhaffar kepada pembantu rumah itu.


Perempuan Indonesia yang berusia sekitar 40-an itu sekadar mengangguk dan berlalu untuk melunaskan kerja yang diarahkan.


Kemudian mata Tan Sri Muzhaffar kembali kepada menantu perempuannya. Dia melihat Lyn tenang saja. Seolah-olah langsung tidak risau dengan keadaan itu. Atau semua itu hanya lakonan? Segalanya tersembunyi dengan rapi di sebalik wajah tenang itu? Entah! Dia tidak tahu apa makna riak wajah setenang itu.


"Dia masih macam sebelum ini ke Lyn? Langsung tidak berubah sikit pun?" Dua soalan itu dilontarkan oleh Tan Sri Muzhaffar sambil menatap Lyn tepat. Bimbang sekali dia dengan kelakuan anak lelaki tunggalnya itu.


"Macam mana sebelum ini, macam tulah dia hari ini. Tak ada apa yang berubah," jawab Lyn biasa-biasa. Dengan muka selamba dia menuang air ke dalam cawannya. Kemudian dia mengambil sekeping roti bakar hainan lalu disapukan kaya pada permukaannya.


Kata-kata Lyn itu membuatkan Tan Sri Muzhaffar mengeluh. Runsing lagi fikirannya melihat kelakuan anak lelakinya itu. Dia tahu mungkin dia bersalah kepada Johan kerana tidak berterus terang mengenai hal sebenarnya, namun dia mempunyai sebab untuk tidak melakukannya. Ada perkara yang harus dirahsiakan sebelum dibongkarkan. Dia tidak sangka anaknya itu akan berkelakuan sehingga begini sekali. Kasihan dia melihat menantunya ini. Tidak fasal-fasal Lyn pula yang harus menerima tempiasnya.


Lyn memandang Tan Sri Muzhaffar seketika. Ada menungan daripada orang tua itu dilihat bola matanya. Inilah yang paling tidak disukainya. Dia yang sememangnya seorang yang kaku dalam memujuk memanglah tidak pandai mengalun ayat untuk menenangkan perasaan orang tua itu. Ah! Perasaan aku sendiri pun belum terpujuk, getus hati Lyn sendiri.


"Daddy makanlah dulu. Jangan fikir pasal dia sekarang," ucap Lyn bila melihat selera Tan Sri Muzhaffar mati serta merta. Kasihan pula melihat lelaki itu.


Lyn tahu ayah mertuanya tidak begitu sihat seperti dahulu. Setahunya ayah mertuanya itu terpaksa meninggalkan syarikat kerana terkena serangan strok minor tujuh tahun lepas. Kini syarikat pembinaan yang diwarisi daripada keluarga terdahulu dikendalikan oleh Adrean, anak sulungnya. Kerana serangan strok itu jugalah dia ditakdirkan berada di sini hari ini, sebagai menantu kepada lelaki itu.


"Sampai bilalah dia nak berperangai macam itu?" soal Tan Sri Muzhaffar perlahan. Seolah-olah soalan itu hanya untuk dirinya. Dia hanya merenung pinggan makanannya dengan wajah risau.


"We should give him some time, Daddy. Don't worry. Everything is gonna to be okay." Adrean segera menyampuk apabila terdengar keluhan si ayah. Antara ayahnya dan adik lelakinya, dia lebih bimbangkan kesihatan ayahnya ini. Adrean tahu semenjak kebelakangan ini ayahnya selalu tertekan dengan kelakuan adik lelakinya itu. Dia bimbang ayahnya akan sakit lagi.


"Daddy, makanlah dulu. Jangan fikirkan pasal ini waktu kita tengah mengadap rezeki. Waktu makan, kita makan." Lyn ikut memujuk apabila melihat pujukan Adrean tidak jalan. Dia memandang pula ibu mertuanya yang hanya menelinga sahaja dari tadi. Namun ada kegusaran pada wajah wanita itu.


Kebisuan wanita itu tidak bermakna dia  tidak ikut campur. Tetapi dengan masalah yang ada, cukup membuatkan Puan Sri Sakinah menjadi pemikir semenjak kebelakangan ini.


Tan Sri Muzhaffar menghela nafas perlahan. Namun kerisauannya masih kekal di tempat yang sama, tidak berganjak. "Daddy kesian dengan Lyn. Rasa bersalah pada abah Lyn kalau apa-apa jadi pada..."


"Kita kena beri dia masa sikit. Lyn okey aja ni. Don't worry . Daddy jangan fikir yang tidak-tidak," pintas Lyn segera. Dia tidak suka mendengar bayangan buruk yang ada dalam fikiran bapa mertuanya. Baginya biarlah mereka mengambil sedikit masa untuk berusaha daripada memikirkan yang tidak-tidak.


Bercerai? Nauzubillah. Siapalah yang mahu begitu dalam tempoh secepat ini? Tetapi kalau itu juga yang harus berlaku, harapannya janganlah terjadi sebelum dia yakin yang perkahwinan ini sememangnya tiada jalannya lagi untuk diteruskan.


"Tak ada apa yang akan berjaya kalau kita terus memaksa. Biarlah dia puas dengan apa yang dia nak buat. Lepas itu nanti dia sendiri akan bosan dan akan balik seperti sediakala. Cakap dengan dia banyak-banyak pun tak guna, daddy. Daddy pun tahu Johan itu macam mana," ujar Adrean, memujuk lagi.


"Maybe we should...." kata Tan Sri Muzhaffar perlahan, mengakui pendapat anak sulungnya itu.


Puan Sri Sakinah tunduk seketika. Scramble egg dipinggannya hanya dipandang sepi. Tidak berselera dia jadinya apabila mengenangkan perangai Johan. Sebelum ini dia memang sudah kerap makan hati dengan olah anak lelakinya itu. Ketika mereka sudah hampir bertolak ke masjid untuk upacara pernikahan, dia mendapati anak lelakinya masih bersenang-lenang di atas katil tanpa menukar bajunya. Setelah dipaksa barulah Johan menurut. Tanpa sedar Puan Sri Sakinah mengeluh perlahan. Kesal dengan sikap kebudak-budakan anak lelakinya itu. Padahal umur sudah lebih suku ahad.


"Mammy, makanlah. Jangan fikir pasal Johan. Lyn percaya dia dia merajuk aja tu. Nanti dia eloklah. Selama mana dia boleh buat macam tu?" Lyn memujuk ibu mertuanya pula.


"Harap-harap macam tulah, Lyn. Tapi tak ada orang lain yang kenal Johan tu melebihi kimmy. Dia tu kalau dah tak suka, macam-macam dibuatnya. Munmy bimbangkan Lyn. Tahan ke hati dengan itu semua tu?" luah Puan Sri Sakinah perlahan.


"Eleh! Dia ingat dia aja ada mulut?" jawab Lyn selamba.


Kata-katanya itu membuatkan semua mata memandangnya. Terpaku dia seketika. Dia kembali tersedar yang dia kini berada di hadapan mertuanya. Seharusnya dia menjaga mulutnya agar tidak terlepas kata. Saat itu kening bapa mertuanya berkerut memandangnya.


"Emm... maksud Lyn, dia boleh luahkan kemarahan dia dengan apa cara sekalipun. Sebenarnya Lyn tak kisah pun. Dah beberapa hari tidur sekatil dengan dia. Setakat dia nak mengutuk mengata tu, tak apalah. Sebab kadang-kadang bila dia cakap sepatah, Lyn balas balik lima patah. Lama-lama dia diamlah. Alah! Mula-mula memangla selalu bergaduh sebab tak kenal hati budi lagi. Nanti lama-lama kami okeylah," ujar Lyn dalam nada tidak serius. Sekolah-olah tiada apa yang patut dirisaukan.


Sebenarnya dia cuba menutupi keterlanjurannya sebentar tadi. Dia sebenarnya bukanlah jenis isteri mithali. Kalaulah orang tua ini tahu betapa jahatnya mulut aku ini, entah apa nak jadi, bisik hatinya sendiri. Kalau setakat apa yang dikatakan oleh Puan Sri Sakinah sebentar tadi, dia langsung tidak kisah kerana Johan akan bertemu buku dengan ruasnya. Johan, kau sebenarnya masih belum tahu betapa lasernya mulut aku ini. Kali ini bisikan nakal itu teruntuk buat suaminya.


Tan Sri Muzhaffar meneruskan makan tanpa berkata-kata apa lagi. Namun, daripada apa yang diucapkan oleh menantunya sebentar tadi, dia tahu menantunya ini bukannya jenis perempuan yang diam sahaja bila diri ditindas. Dia berharap Lyn pandai membawa diri apabila bersama dengan Johan.


No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078