Pages

Saturday, September 18, 2021

Ada Madu Ada Racun Novel Bab 1

 Kampung Gajah, 25 Disember 2008


Suasana saat ini di kampung halaman Duan amat hiruk-pikuk. Ada majlis perkahwinan yang sedang berlangsung. Majlis yang dilangsungkan di rumah arwah emak Duan itu meriah sekali. Sebentar lagi kedatangan pengantin lelaki dari Kuala Lumpur akan disambut dengan adat istiadat lama yang sememangnya amat sinonim dengan adat kampung itu. 


Di dalam bilik pengantin perempuan, dia diam terpaku, merenung diri pada cermin. Puji-pujian yang dipersembah oleh orang yang melihatnya tidak langsung meriangkan hatinya yang walang semenjak awal lagi. Kata orang ketakutan yang dirasakan oleh pengantin apabila mahu menempuh gerbang baru memang perkara biasa. Tetapi berbeza dengan dirinya. Dia berkahwin dengan lelaki yang dipilih oleh orang lain. Bukan pilihan hatinya dan dia benar-benar mengerti yang dia juga bukan pilihan hati lelaki itu.


Nurazlyn Isabel hanyut bersama perasaannya sendiri. Kalau dahulu dia tidak kisah apabila mahu dijo-dohkan dengan lelaki itu, tetapi saat ini dia bagai ingin melarikan diri. Masih terbayang-bayang layanan lelaki itu semenjak awal mereka bertemu kira-kira seminggu yang lalu. Bukan setakat dingin, acuh tidak acuh, malah dia dilayan seperti sampah. Ya, dia hanya mengenali lelaki yang akan menemaninya sepanjang hidup ini kira-kira satu minggu yang lalu. Mereka tidak bercinta. Tidak juga bersahabat. Antara mereka mempunyai jurang yang sungguh dalam.


“Dear, smile tegur seseorang, membuatkan la-munannya pecah berderai saat itu. Jesse sedang mere-nung Lyn.


Lantas sebuah senyuman yang teramat tawar diukir. Itu pun hanya untuk seketika sahaja. Selepas itu senyuman itu memudar dan seterusnya mati. Dia bagaikan kedekut untuk menghadiahkan senyuman. Semuanya kerana dia asyik memikirkan lelaki itu.


Jesse duduk di birai katil sambil memandang Lyn.“ You’re beautiful like a princess. Macam puteri Raja Gondo Rowo dalam hikayat Gunung Ledang. Don’t spoil it, please. Let’s present a beautiful smile. The bridegroom will be here in any minutes, ” pujuk Jesse lembut. Gaya ala-ala mak nyahnya membuatkan dia bertambah lembut.


“ I’m scared, Jesse ” Lyn memandang seketika juruandamnya itu.

  

You don’t have to be scared. There’s nothing tobe scared. He is only a man, not a beast …” kata Jesse sambil tergelak. Cuba untuk menceriakan suasana. Namun dia tahu segalanya hambar sahaja. Bukan senang memujuk wanita yang telah dipaksa berkahwin ini.


Lyn hanya tersenyum hambar mendengar jenaka Jesse itu. Cuba juga untuk tersenyum demi menjaga hati Jesse walaupun pahit perasaannya saat ini. Tetapihatinya semakin tidak gembira. Hiruk-pikuk suasana membuat dia semakin tidak tenteram. Letupan kuat yang bergema sesekali membuatkan jantung Lyn berdegup kencang. Bagaikan mahu gugur jantungnya saat itu. Serentak itu ibunya masuk ke bilik itu. Lyn memandang ibunya melalui cermin.


“Pengantin lelaki dah nak sampai,” ucap Mak Cik Edah, sekadar memaklumkan.


Lyn tahu itu. Berdasarkan apa yang dia tahu, istiadat perkahwinan di sini mengikut adat istiadat raja-raja lama. Letupan senapang patah adalah bersamaan dengan letupan meriam di zaman dahulu kala. Letupan sekali menandakan yang pengantin lelaki akan sampai dalam beberapa minit sahaja lagi. Manakala letupan tujuh kali menandakan pengantin lelaki sudah tiba. Lyn akur apabila ibunya meminta dia bersiap menanti di luar. Dia berpaling daripada menghadap cermin meja solek itu, kepada Mak Cik Edah. Tetapi berat benar rasa punggungnya untuk bangun daripada duduknya.


“Ibu…” Tanpa dapat ditahan Lyn memegang tangan ibunya, bagaikan meminta kekuatan. Dia cemas, entah kenapa. Dadanya berdegup kencang.


“Kenapa?” soal Mak Cik Edah kehairanan melihat anak perempuannya itu. Wajah si anak dipandangnya lama.


“Lyn macam nak lari aje ni…” keluh Lyn, amat perlahan. Dadanya sudah berdegup kencang. Dia memegang erat lengan ibunya. Dia semakin cemas apabila melihat semakin ramai memenuhi bilik itu.


"Jangan macam tu. Jangan malukan abah dengan ibu. Kalau tak nak sepatutnya awak cakap awal-awal lagi. Bukannya sekarang. Jangan lupa yang awak dah nikah dengan dia. Tak ada gunanya awak lari sekalipun," ujar Mak Cik Edah lembut.


Lyn terdiam mendengar itu. Ada benar kata-kata ibunya. Sewaktu bernikah, perasaannya tidak sedahsyat ini. Sekarang bagaikan tidak terkawal pula.


"Bu, abah suruh bawa Lyn kuar." Ina yang baru muncul terus memandang adiknya itu.


"Eh! Senyumlah sikit. Muka macam nak bergaduh aje. Ini hari awak kahwin, bukannya bergusti. Senyum sikit..." tegur Ina kepada Lyn.   


Lyn diam mendengar itu. Namun dia menurut sahaja apabila ibunya menariknya agar dia berdiri. Jesse pula sibuk membetulkan persalinan songket yang dipakainya. Entah kenapa lututnya terasa lemah sekali. Seperti mahu pengsan pun ada!


"Istighfar banyak-banyak. Jangan ikutkan sangat hasutan syaitan yang mahu kita tersesat. Tak elok kita hampakan orang macam ini," kata Mak Cik Edah perlahan, buat anak perempuannya.

Tembakan tujuh kali membuatkan dada Lyn kembali berdegup kencang. Kali ini bilik pengantin sudah dipenuhi sepupu-pupunya yang mahu mengiringinya keluar untuk menyambut kedatangan pengantin lelaki.


"Doa ibu selalu bersama awak. Jangan takut. Allah sentiasa ada untuk kita. Ibu sentiasa mendoakan kebahagiaan awak," kata Mak Cik Edah sebagai pendorong semangat anak gadisnya itu.


Lyn mengangguk perlahan. Matanya berkaca sedikit saat memandang paras ibunya itu. Dia dibawa ke muka pintu tanpa rela dan dengan perlahan dia menuruni tangga rumah itu untuk ke halaman rumah. Saat dia memanggung pandangan, dia terperangkap oleh pandangan orang ramai kepadanya. Tebal mukanya bagaikan tidak boleh diukur lagi. Paling tidak dapat dilupakannya pandangan mata lelaki yang kini sudah menyunting hidupnya untuk hidup bersama. Lama pandangan mereka berpadu. Namun tiada keserasian dalam paduan mata mereka berdua.


Ahmad Rafael Johan segak dengan songket maroon dan tanjak di kepala. Persis seorang raja lelaki itu hari ini. Ada rasa segan apabila pandangan mata lelaki itu masih tidak teralih daripadanya. Akhirnya dia dibawa bergandingan dengan lelaki itu. Untuk ke sekian kali, kedengaran pula tiga letupan senapang patah, menandakan pasangan raja sehari itu bersedia untuk menduduki singgahsana. Saat itu barulah kedengaran paluan kompang bagi meraikan mereka berdua.

 

Lyn memejamkan mata. Harapannya semua itu mimpi belaka. Tetapi apabila mata dibuka, segalanya masih sama. Masih ada keramaian. Masih ada paluan kompang yang membingitkan. Masih ada Ahmad Rafael Johan di sisinya. Majlis yang meriah, namun segala kemeriahan itu tidak mahu menghuni hatinya. Dia rela dalam keterpaksaan. Dia terperangkap oleh janji dan budi. Saat itu dia seakan-akan mahu meraung sekuat-kuat hatinya. Ya! Dia mahu meraung.

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078