Pages

Sunday, May 1, 2016

Legenda Bola Sepak Malaysia M.Kuppan



Sekitar era 70-an, nama Datuk M.Kuppan (nama penuh Kuppan Muniandy) sentiasa meniti di bibir ramai pemain bola sepak negara sebagai Jurulatih Malaysia yang paling disenangi, popular dan berciri-ciri pembentuk juara.

Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, Allahyarham Isa Bakar, James Wong, Datuk Namat Abdullah dan Datuk Soh Chin Aun adalah antara pemain yang pernah menerima bimbingan Kuppan dalam skuad juara Piala Raja Thai 1976 dan 1977, Pestabola Merdeka 1976 dan Sukan SEA Kuala Lumpur 1977. Kuppan, juga pemenang pingat emas Sukan SEAP Rangoon 1961 sebagai pemain, mengemudi Malaysia membuat pencapaian terbaik biarpun gagal melepasi peringkat Kumpulan 1 Zon Asia Kelayakan Piala Dunia 1977 di Singapura. Di Rangoon, Burma, anak kelahiran Kampung Baru, Bukit Mertajam, Pulau Pinang ini beraksi bersama mendiang Edwin Dutton, Mohd Yusoff Abu Bakar, mendiang Sexton Lourdes, Yee Sin Choy dan Allahyarham Abdullah Yeop Noordin.

Di bawah bimbingan mendiang Choo Seng Quee, seorang warga Singapura, mereka menewaskan Kemboja 4-0, Burma 2-1 dan seri 2-2 menentang Thailand sebelum memastikan emas dengan menjinakkan semula tuan rumah 2-0 dalam perlawanan akhir. Bekas kakitangan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang ini turut menikmati kejuaraan Piala Malaysia pada tahun 1958 dengan menewaskan Singapura 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti selepas perlawanan terikat 3-3. Kuppan, yang lahir pada 14 Oktober 1937, juga menyarung jersi negara selama lapan tahun dari 1958 hingga 1965 selain mewakili Pulau Pinang selama 10 musim termasuk sebagai kapten mulai tahun 1962 namun bersara pada tahun 1967 dan menghadiri Sekolah Jurulatih FIFA pada tahun 1972.

Kuppan menikmati semula kejayaan Piala Malaysia kali ini sebagai jurulatih Pulau Pinang pada tahun 1974 selepas menjinakkan Perak dengan keputusan 2-1 di Stadium Bandaraya. Karier kejurulatihan Kuppan bersama pasukan kebangsaan mulai bersinar apabila berkongsi Piala Raja Thai buat dua tahun berturut-turut, dengan pasukan tuan rumah dan Korea Selatan selepas mereka terikat 1-1 dan 0-0 dalam perlawanan akhir tahun 1976 dan 1977. Kejayaan lebih gemilang buat Kuppan sebagai jurulatih negara adalah ketika memenangi Pestabola Merdeka 1976 di Stadium Merdeka apabila "Kompeni Chin Aun" menewaskan Jepun 2-0 menerusi dua jaringan Supermokh selain kekal tanpa kalah sepanjang enam perlawanan liga.

Malaysia ketika itu berjaya menewaskan Indonesia 7-1, India 5-1 dan seri menentang Thailand 0-0 dan Jepun 2-2. Malang sekali, skuad kendalian Kuppan untuk kempen Kelayakan Piala Dunia 1977 terkandas awal selepas mereka dikejutkan menerusi jaringan tunggal penalti pasukan tuan rumah dan sekadar seri 1-1 menentang Hong Kong. Namun empat mata di pusingan kelayakan itu masih terbaik dalam sejarah penyertaan Malaysia malah mereka membalas kekalahan tersebut apabila menggondol pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur, lapan bulan kemudian selepas menewaskan Thailand 2-0, hasil jaringan Supermokh dan Bakri Ibni.  

Lain-lain jawatan yang pernah disandang Kuppan ialah Pengarah Kejurulatihan Persekutuan Bola Sepak Pulau Pinang 1986-1990 dan Timbalan Presiden Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Kebangsaan dan negeri 1990-2010 dan Ahli Jawatankuasa Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia 2004-2010. Kuppan berkahwin dengan seorang guru, G. Amirthamani pada tahun 1962 dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Suther, Siva Prakash dan Siva Kumaran selain beroleh gelaran Datuk daripada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Syah pada tahun 2005.    

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078