Pages

Sunday, May 1, 2016

Legenda Bola Sepak Malaysia Tukamin Bahari





Di tengah-tengah kehebatan James Wong, Hassan Sani, Khalid Ali, Bakri Ibni, dan Abdullah Ali sukar buat peminat tanah air untuk mengenali siapa Allahyarham Tukamin Bahari yang membarisi bahagian serangan skuad negara yang layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980.

Justeru anak jati Johor itu, yang baru berusia 23 tahun semasa kempen kelayakan Kumpulan 2 Asia pada April 1980, hanya sekadar menghuni bangku simpanan bersama-sama Remeli Junit dan Zulkifli hamzah dua lagi penyerang muda dari Melaka dan Terengganu. Hanya pada perlawanan kedua terakhir pusingan kelayakan barulah Tukamin disenaraikan oleh jurulatih Karl Heinz Weigang dalam kesebelasan utama negara yang membelasah Filipina 8-0 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Namun dia tidak berpeluang untuk mencatat nama senarai penjaring gol perlawanan yang berlangsung pada 2 April 1980 itu seperti Khalid, Hassan dan Remeli - masing-masing dua gol - selain Datuk Jamal Nasir Ismail dan Datuk Abdah Alif. Malah seperti 19 orang rakan sepasukan, Tukamin turut kempunan ke Sukan Olimpik apabila Kerajaan Malaysia memulaukan temasya di ibu negara Soviet Union itu. Namun nasib Tukamin tiba-tiba berubah ekoran penarikan diri James dan Hassan daripada skuad Piala Asia di Kuwait dari 15 hingga 30 September 1980 termasuk pemgumuman persaraan Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari.

Selain itu, hanya segelintir tonggak skuad Olimpik yang masih dikekalkan ke Kuwait iaitu Datuk Soh Chin Aun, Datuk Shukur Salleh, Abdah, S. Pushpanathan, Jamal dan Rameli. Kehadiran Allahyarham Mohamed Che Su sebagai pengganti Weigang yang berehat kerana masalah jantung, membuka peluang Tukamin untuk muncul penjaring terbanyak negara di Kuwait yang diketahui bercuaca panas, dua gol bersama Zulkifli.

Stadium Sabah Al-Salem, Kuwait menyaksikan dua sentuhan Tukamin menembusi Emiriah Arab Bersatu (UAE) 2-0 dan Qatar 1-1 namun tidak cukup untuk membantu Malaysia memintas tuan rumah atau Korea Selatan ke peringkat separuh akhir dari Kumpulan B. Anak-anak buah Mohamed terikat 1-1 menentang Korea Selatan dan disekat tuan rumah 3-1, namun kutipan empat mata di peringkat kumpulan itu masih merupakan satu pencapaian terbaik Malaysia dalam Sejarah Piala Asia sehingga ke hari ini.

Di Johor, Tukamin seangkatan dengan seorang lagi anggota skuad Olimpik 1980, Wan Jamak Wan Hassan, Mohd Som Abidin, Kamaruddin Ahmad, Norkhidzan Surip, Muhidin Hussin dan Hassan Yahya. Tukamin menghenbuskan nafas terakhir semasa tidur akibat penyakit angin ahmar tahap dua pada 1 November 2014 ketika berusia 58 tahun di Hopital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Allahyarham, yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cahaya Baru Masai, pasir Gudang, meninggalkan lima orang anak dan seorang balu, Jasmi Sulong.


No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078