Pages

Saturday, September 17, 2016

Bab 13 Novel Si Kolot Suamiku




Pagi itu setelah selesai berhias diri seadanya, Edrina mengemas katil. Setelah itu dia menyusun begnya di tepi dinding. Beg tangannya di atas lantai bilik itu diambilnya lalu dia membuka pintu almari baju suaminya itu. Beg itu diletakkan di salah satu rak. Namun tiba-tiba dia terpanggil entah kenapa untuk melihat isi kandungan laci di bahagian pertengahan rak itu. Perlahan laci itu ditariknya.

Edrina terkedu dengan mata sedikit terbeliak memandang segala macam pakaian dalam Kudin. Sehelai boxer berwarna merah jambu diambilnya lalu dibentangkan di hadapan matanya. Berkali-kali matanya dipejam celikkan untuk memastikan dia tidak salah pandang.

“Pink panter ke ni?” tanya Edrina sambil memandang lama imej kartun di belakang seluar itu.

Kemudian seluar itu diletakkannya semula. Dengan sekadar hujung jarinya memegang setiap hujung seluar itu seluar berbentuk tiga segi itu diangkat sehingga separas wajahnya. Apa yang membuatkan dia mahu tergelak sakan, melalui seluar itu dia boleh melihat dinding almari di hadapannya.

“Serius ke dia pakai benda alah ni? Seksinya spentot ni.” Edrina mengekek ketawa seorang diri melihat seluar dalam berlubang-lubang lelaki itu.

Tak cukup itu Edrina tergelak lagi melihat seluar kecik Kudin yang sudah berjumbai macam roti kirai.

“Koyak rabak macam ni pun pakai lagi ke? Ish! Ish!” kutuk Edrina. Habis pakaian dalam lelaki itu dibeleknya. Macam-macam fesyen underware yang dia jumpa. Namun seketika kemudian dia terus menyimpan semula barangan si Kudin yang diselongkarnya itu. Bimbang tertangkap oleh lelaki itu.

Edrina keluar daripada bilik itu. Ruang tamu rumah itu diperhatikan sunyi sahaja. Pastinya seisi rumah ini sedang sibuk dengan kerja masing-masing. Kudin semenjak awal subuh tadi sudah menghilang entah ke mana.

“Kudin mana, mak?” soal Edrina saat dia turun ke dapur rumah itu. Kelibat suaminya tiada dilihatnya di kawasan dapur itu.

“Ada kat belakang tu ha. Mak suruh dia ambil ubi sikit nak buat kuih untuk petang nanti. Mari sarapan dulu, Rina. Kudin tu tak payah di cari. Awal-awal lagi dia dah kenyangkan perut dia,” ajak Mak Cik Kunah mesra.

Edrina terus duduk di meja makan itu. Di atas meja ada sarapan pagi stail kampung yang cukup jarang dimakannya selama ini. Ada pulut dan nasi lemak. Nasi lemak dia tak suka sebab takut gemuk! Dan pulut itu.. dia tak pernah makan pulut pagi-pagi macam ni. Memang pelik sarapan pagi kat rumah ni, detik hati Edrina sendiri.

“Pulut ni kesukaan Kudin. Kena masak hari-hari untuk dia sarapan. Dia memang tak mahu yang lain,” ucap Mak cik Kunah tanpa disuruh.

Edrina diam sahaja. Dalam diam dia berkata sendiri.. macamlah aku tahu masak pulut ni macamana. Pulut di dalam pinggan itu dikaut sedikit masuk ke dalam pinggan. Walaupun dia tak gemar, terpaksalah makan juga. Takut kalau dia jual mahal benar nanti dia juga yang lapar.

“Kalau Rina tak tahu masak mak boleh ajarkan cara masaknya. Senang aja nak membuatnya tu. Yang penting semua bahannya ada,” ucap Mak cik Kunah bagaikan tahu apa yang sedang berada di fikiran menantunya itu.

Edrina mula memandang emak mertuanya. “Tengoklah nanti, mak.” Itu sahaja jawapan yang mampu diberikannya kerana soal masak memasak ini memang bukan kegemarannya apatah lagi kepakarannya.

“Kudin tu tak suka makan di kedai, Rina. Perlahan-lahanlah berlajar semua tentang dia. Mak berani jamin, lama-lama nanti Rina akan terima juga dia. Dia tu memang tak banyak cakap orangnya. Tapi dia tu baik sebenarnya.” Mak cik Kunah berkata perlahan. Bukan dia mahu memuji kosong anaknya itu. Tetapi itulah kenyataannya. Anak itu seorang anak yang patuh. Jarang melukai hatinya walaupun dia bukannya ibu kandung Kudin.

Edrina terus berdiam mendengar celoteh emak metuanya itu. Perasaannya biasa-biasa sahaja tatkala mendengar tentang Kudin. Di sebalik pujian wanita itu dia masih tidak nampak apa-apa yang istimewanya si Kudin itu.

“Dah duduk sekali nanti jangan selalu sangat bergaduh. Suami isteri ni kalau bergaduh yang paling seronok meraikan, iblis! Sebab iblis ni memang tak suka lelaki dan perempuan ni bersatu dalam ikatan suami isteri. Kerja dia menghasut sampaikan hal yang kecil-kecil pun kita nak jadikan hal tu serius,” ucap Mak cik Kunah lembut.

Edrina mengangguk perlahan sambil memandang wanita di hadapannya itu.

“Kalau nak apa-apa cakap elok-elok dengan Kudin tu. Jangan kasar-kasar. Berdosa isteri meninggikan suara pada suami ni,” nasihat Mak cik Kunah lagi.

“Tapi dia tu suka buat benda yang Rina tak suka. Dia memang sengaja bagi Rina marah kat dia.” Entah dari mana datangnya keberanian wanita itu membalas kata-kata emak mertuanya itu. Dia terfikirkan hal malam tadi. Memang sakit hati! Nak mengadu kepada emak mertuanya itu tetapi dia segan pula.

Mak cik Kunah tersenyum lembut kepada menantunya itu. “Mula-mula nak serasi memanglah macam tu, Rina. Kadang-kadang dia sengaja nak mengusik Rina. Dah! Jangan ambil hati sangat,” sambut Mak cik Kunah biasa.

Edrina hanya memandang Mak cik Kunah walaupun ada rasa jengkel dirasakan tentang lelaki bernama Kudin itu. Nak mengusik pun agak-agaklah kolot oi! Takkanlah bagi kentut kau kat aku, hati wanita itu mendesis sendiri.

“Kalau Rina nak tahu.. Kudin tu jarang berkawan dengan perempuan selama ini. Kalau ada pun dulu dengan Lisa aja. Tapi setahu mak, Lisa tu dah macam adik pada dia..”

“Lisa? Siapa Lisa?” soal Edrina sebelum sempat mak cik Kunah menghabiskan bicaranya.

“Yang makan dengan Kudin kat meja ni semalam. Rina jangan fikir yang bukan-bukan pulak pasal dia orang berdua. Lisa tu memang rapat dengan Kudin sebelum ni. Selalu datang sini. Cuma semenjak dia berkerja di KL dia dah jarang ke sini. Semenjak dia tahu Kudin dah nak kahwin baru dia rajin ke sini tolong mak buat persiapan kenduri baru-baru ni,” jelas Mak cik Kunah mesra.

Edrina mengangguk perlahan. Patutlah dia nampak rancak benar Kudin berbual dengan Lisa semalam.

“Dulu waktu kamu berdua bersanding di KL tu pun Lisa ada ke sana dengan teman lelaki dia. Mak tak kenal sangat budak lelaki tu. Tapi katanya orang KL juga.” Mak cik Kunah menambah celotehnya tentang Lisa.

Saat itu barulah Edrina teringat semula tentang Lisa. Kalau tidak silap Lisa gadis yang bersama Gabriel dulu. Ya! dia yakin nama Lisa yang disebut suaminya ketika itu. Siapa lagi kawan sekampung yang ada menemui Kudin sewaktu mereka di majlis itu kalau bukan Lisa?

Tapi kalau sekadar adik dan abang mengapa Lisa memandang Kudin seperti itu dulu? Hati Edrina berbisik sendiri. Dia masih ingat betapa dalamnya renungan Lisa kepada Kudin.

“Kenapa tak makan?” soal Mak cik kunah saat terpandang Edrina termenung sendiri merenung meja.

Tersedar dengan teguran Edrina pantas menggeleng. “Takde apa-apa, mak.” Enggan membiarkan wanita tua itu meneka lagi apa yang ada di dalam fikirannya Edrina meneruskan makan seperti biasa.

Usai makan Edrina naik ke atas seketika. Dia menghidupkan tv. Sejam dua itu dia ralik sendiri di hadapan tv itu. Akhirnya akibat bosan dia turun semula ke dapur. Suaminya masih tidak kelihatan. Aik? Takkanlah tak habis lagi mengorek ubi?

Tanpa mempedulikan emak mertuanya yang sedang sibuk memasak makan tengahari Edrina terus ke pintu dapur. Dari ambang pintu itu dia sudah terpandangkan Kudin sedang berbual dengan seseorang di bawah sepohon pokok. Lama mata perempuannya meneliti gelagat dua manusia itu. Macam ada hal besar yang sedang dibincangkan oleh dua manusia itu yang membuatkan hatinya mula syak wasangka serta merta. Gelagat Lisa paling lama diperhatikan Edrina.

Adik dengan abang ke macam ni? ucap hati wanita itu sendiri. Kudin dilihatnya sedang memandang jauh ke hadapan sambil menelinga kata-kata gadis di sebelahnya itu. Kemudian dia melihat Lisa cuba menyentuh lengan Kudin sebelum lelaki itu menarik tangannya daripada wanita itu.

Ewah-ewah! Seronok dating nampaknya tu.. Edrina terus memerhatikan pasangan dua sejoli itu berbual di belakang rumah itu. Perlahan dia menyarung selipar di hadapan pintu dapur. Dek kerana hati sudah terlalu ingin tahu dia tidak kisah walaupun kakinya terpaksa menyarung selipar jepun tidak berjenama LV dan sudah kembang setaman itu.

Sebaik sahaja ternampak kelibat Edrina menghampiri mereka perbualan Kudin dan Lisa terhenti.

“Rancaknya berborak? Kenapa berhenti?” Edrina memandang tajam Lisa. Dia perasan gadis ini melekat sahaja di rumah ini. Entah apa hubungan Lisa dengan emak mertuanya dia sendiri tidak tahu.

Kudin memandang Lisa agak serba salah. Takkanlah dia mahu memberitahu apa yang dibualkan dengan Lisa tadi?

“Kau nak apa datang sini tiap-tiap hari? Kenduri dah habiskan?” tanya Edrina serius. Sibuk nak berkepit dengan laki orang. Minah kampong tak tahu malu betul! Getus hatinya meluat memandang muka Lisa.

Kudin menelan liur tidak senang. Dia perasan ada aura tidak tenang mula menyelubungi mereka sebaik sahaja Edrina membuka mulut. Hatinya yang sememangnya sedang gundah semakin gundah dengan kehadiran Edrina dengan wajah ketatnya.

“Abang, Lisa balik dulu ya?” ucap Lisa mula serba salah dengan kehadiran isteri Kudin itu.

“Oh! Bila aku ada sini tiba-tiba kau nak balik pulak. Tak nak berbual dengan aku? Dia ni abang kandung kau ke?” soal Edrina begitu cepat mencelah. Wajah Kudin mula dipandang tajam. Macam suka melayan aja mamat ni. Ada apa-apa ke? Hati Edrina semakin tidak tenang.

“Lisa cuma berbual sekejap dengan abang Kudin, Kak Rina.”

“Edrina! Semenjak bila pulak aku ni jadi kakak ipar kau?” jerkah Edrina geram.

“Rina!” tegur Kudin tidak senang dengan nada meninggi Edrina.

“Kenapa? Salah ke kenyataan tu? Memang aku bukan kakak ipar kaukan? Aku tak tahu pulak Emran ada adik kandung selama ni. Kau nak apa dengan Emran ni?” ucap Edrina sambil memandang Lisa yang berwajah sugul.

“Lisa cuma nak tanya khabar abang Kudin,” jawab Lisa rendah.

“Kau nampak dia macam sakit ke?” soal Edrina dengan mata terjegil.

“Janganlah bergaduh pulak. Mak kat dalam tu,” tegur Kudin sudah mula kalut sendiri.

Lisa tidak menjawab pertanyaan Edrina. Dia terus berpaling dan berlari anak meninggalkan Kudin di situ. Kudin sempat memandang permergian Lisa tanpa menyedari perbuatannya itu sedang diperhatikan Edrina.

“Cinta lama kau ke dia tu? Semacam aja dia dengan kau?” soal Edrina sengit.

“Mana ada..” jawab Kudin lantas mengambil cangkulnya semula. Kerjanya yang sudah lama terkandas semenjak kedatangan Lisa tadi kembali disambung semula.

Edrina terus memandang suaminya itu. Dia tahu Kudin sengaja mahu mengelak daripadanya. “Habis tu apasal pandang dia macam tu sekali? Kenapa kau tak kahwin aja dengan dia dulu?” soal Edrina masih dengan nada tajam.

“Apa kau mengarut ni? Jangan cari gaduh dengan aku, boleh tak? Aku ada kerja nak buat ni!” getus Kudin malas mahu melayan.

“Aku tahu cara dia pandang kau, dia memang ada hati dengan kau,” ujar Edrina masih tidak berpuas hati.

“Jangan tuduh aku tak tentu pasal. Pergi masuk tolong mak memasak sana lagi ada faedah daripada kau duduk sini ajak aku bertekak dengan kau. Jangan nak buat perangai malas kat sini. Ini kampung! Bukan KL,” ucap Kudin serius. Wajah Edrina tidak dipandangnya lagi. Dia terus kembali ke tempat dia menggali tadi. Ubi yang emaknya minta masih belum didapatkannya.

“Kau fikir aku ni macam bekas kekasih kau tu ke? Tipikal perempuan kampung! Datang sini buat-buat rajin. Berlagak ayu macam perempuan Melayu terakhir. Padahal datang sini nak memikat laki orang! Kau pun sama gatal dengan diakan? Memang sepadan sangatlah kau dengan dia tu,” cemuh Edrina sudah mula berasap hatinya dengan lelaki itu.

“Jangan naikkan darah aku, Rina. Pergi masuk sana!” tekan Kudin keras.

“Lelaki macam kau ni memang takkan pernah lekat di hati akulah, Kudin! Memualkan! Kau boleh layan Lisa tu bila-bila masa kau nak. Aku tak hairan! Lelaki kampung mestilah seleranya perempuan kampung jugakkan?” ucap Edrina semakin panas hati dengan nada keras Kudin.

“Habis tu kenapa sibuk tanya pasal dia tadi? Cemburu?” jawab Kudin pantas.

 “Cemburu? Boleh blah! Lelaki semuanya sama aja. Tak kurang.. tak lebih walaupun sekadar lelaki kampung macam kau!” jawab Edrina meninggi sambil menunding jarinya kepada suaminya itu.

“Kau pandai sangat pasal lelaki ke? Apa lagi yang kau tahu pasal lelaki macam aku? Apa yang samanya aku dengan lelaki bandar yang pernah ada dalam hidup kau sebelum ni?” cabar Kudin sudah mula panas hati dengan bicara isterinya itu.

Edrina tersenyum sinis. “Yang serupanya engkau dengan lelaki-lelaki bandar sana, pantang nampak betina mulalah nak melayan. Tengok tadi tu aja dah cukup. Betulkan kalau aku dah tersalah cakap, Kudin. Kau boleh berdiam diri tapi aku tak buta. Aku tahu kau memang ada hati pada betina tadi tukan? Adik dengan abang konon!” cemuh Edrina cukup tajam.

“Kalau dah tahu aku ni jenis lelaki suka melayan perempuan, kau nak terus buat tak tahu lagi pada aku ke? Aku ada isteri tapi isteri aku tak sukakan aku. Kau ingat aku ni tunggul?” balas Kudin keras.

“Jangan nak jadikan aku sebagai alasan pulak. Kita baru kahwin seminggu, Kudin. Jangan nak hipokritlah, lelaki!” ucap Edrina nekad sebelum dia masuk ke dalam rumah.

Kudin hanya memandang sebelum dia menggeleng sendiri. Malas mahu memikirkan dua wanita itu dia akhirnya mengangkat cangkulnya semula. Korek ubi lagi ada faedah!

Usai mengaminkan doa Kudin memandang ke belakang. Isterinya sedang menanggalkan marhana. Namun sebaik sahaja pandangan mereka berlaga muncung Edrina panjang semula.

“Salamlah tangan suami ni..” ucap Kudin lantas menghulurkan tangannya kepada isterinya itu.

Pada mulanya Edrina terpaku melihat sahaja tangan Kudin terhulur kepadanya. Namun setelah teringat pesanan ustaz ketika dia berkursus kahwin dulu akhirnya dia tunduk juga mengucup tangan lelaki itu. Kudin tersenyum senang melihat keakuran isterinya itu.

“Macam tu barulah suami sayang. Asyik muncung aja sepanjang hari. Aku cium jugak kau ni karang..” getus Kudin geram melihat muncung ke depan isteri itu.

“Benci!” getus Edrina sambil menjeling lelaki itu. Marhananya dilipatnya sepantas yang mungkin.

Kudin terus memerhatikan isterinya. Namun seketika kemudian Kudin bingkas bangun daripada sejadah. Songkoknya diletakkan di atas almari sebelum menyidai sejadahnya.

“Jom minum petang,” ajak Kudin lembut.

Tanpa kata Edrina akur sahaja dengan ajakan suaminya itu.

 “Hai.. baru nampak muka ke, pengantin baru oi! Tak pergi honeymoon mana-mana? Berkurung dalam bilik tu lama-lama buat apa? Amboi.. bukan main lagi kamu ni ya, Kudin. Mentang-mentanglah ada bini cantik. Sekejap-sekejap hilang masuk bilik. Kalau macam tu kaedahnya, memang cepatlah mak kamu ni timang cucu.” Mak cik Som jiran sebelah rumah yang sedang bertandang ke rumah itu segera memerli sebaik sahaja terlihat kelibat dua manusia itu turun ke dapur.

Mak cik Kunah tergelak memandang anak dan menantunya itu. Wajah Edrina sudah merah diperli wanita tua itu. Mulalah dia segan mahu berada di dapur itu lama-lama.

“Mari minum sekali, Rina. Pedulikan Mak cik Som kamu ni. Dia memang macam tu. Suka mengusik,” ucap Mak cik Kunah lantas mencapai tangan Edrina.

Kudin tersengih sahaja sambil menarik kerusi. “Makruh berjimak waktu macam ni, Mak cik Som. Kami sembahyang asar tadi,” jawab Kudin biasa. Air panas yang dibancuh emaknya itu terus dituang ke dalam cawan.

“Mak cik Som main-main aja. Takkanlah panas-panas buta macam ni kamu sanggup buat benda tak senonoh tu pulak.. ya tak, Kunah? Mahu sekampung tahu nanti.” Wanita tua itu terus mengilai sebaik sahaja habis berbicara. Mak cik Kunah ikut tergelak. Edrina menekup mulut menahan senyum. Gelihati dia melihat gelagat wanita tua itu.

“Macamana rasanya jadi bini si Kudin ni, Rina? Seronok ke melayan slenge dia tu?” kali ini pertanyaan itu ditujukan khas untuk Edrina pula. Kudin ketawa mendengar kata-kata wanita itu.

Seronok ke? Aku kena kentut semalam, mak cik Som nak tahu tahap berapa slenge si Kudin ni? Tahap 7 petala langit! Namun bicara itu hanya terkulum dalam hati sahaja.

“Biasa je, mak cik Som.” Edrina menjawab malu-malu. Segan dengan pertanyaan seumpama itu. Hampir sahaja dia tidak mampu mengangkat wajah kepada semua orang di meja itu.


“Akhirnya kahwin jugak kamu ya, Kudin. Alhamdulillah.. Dapat pulak bini meletup cantiknya. Terbeliak mata orang kampung menengok bini kamu ni,” ujar Mak cik Som sambil tersenyum senang.

Kudin memandang isterinya itu. “Jodoh Allah dah bagi, Mak cik Som. Saya terima aja. Cantik ke tidak itu semua Allah yang aturkan. Saya cuma kena jaga baik-baik aja.” Lembut sahaja jawapan lelaki itu.

“Baguslah kalau macam tu. bertuah kamu dapat Kudin ni, Rina. Baik orangnya. Mak cik Som ni kalau adalah anak perempuan memang dah lama rembat si Kudin ni buat menantu. Nasib baik takde. Kalau tidak, tak merasalah kamu nak berlakikan si Kudin ni,” ujar mak cik Som kepada Edrina pula.

Kudin tergelak serentak dengan emaknya. Edrina pula sekadar tersenyum sedikit sebagai balasan kepada bicara wanita tua itu. Bukan main lagi Kudin dipuji-puji orang sekelilingnya. Istimewa mana lelaki ini kepada orang di sekelilingnya? Entah.. dia rasa biasa aja. Takde apa yang best sangat pun si Kudin ni.

“Mula-mula kahwin ni memanglah ada aja yang tak kena. Masing-masing nak sesuaikan diri dengan perangai pasangan masing-masing. Kata orang 5 tahun pertama berkahwin ni waktu yang paling susah. Sebab kita masih belajar nak kenal perangai sebenar pasangan kita. Siapa yang sabar insya-Allah akan lepas waktu sukar tu.” Mak cik Kunah berkata perlahan kepada anak dan menantunya itu.

“Memang betul. Orang sekarang ni tak macam orang zaman kita dulu.. ya tak, Kunah? Mak cik Som dulu kahwin bukannya bercinta-cinta macam budak-budak zaman sekarang. Siapa yang abah terima pinangannya, itulah yang jadi laki mak cik Som. Kena ke tidak dengan selera sendiri, terima ajalah. Hensem ke tidak.. bila dah jadi laki, pandang ajalah hari-hari. Tapi alhamdullah.. dah empat anak mak cik Som sekarang. Dah besar-besar pun semua.” Mak cik Som pula menambah. Mak cik Kunah segera mengangguk kepada bicara temannya itu.

“Zaman sekarang ni cepat aja nak bercerainya. Orang bercerai ni lebih banyak daripada cendawan tumbuh,” komen Mak cik Kunah selamba.

“Dalam rumahtangga ni nak kena sabar dan tolak ansur selalu. Kalau dua perkara tu tak diamalkan, memang cepat aja nak cari jalan nak bercerai. Orang dulu sebut perkataan cerai dalam rumah pun tak boleh. Cerai ni benda tak elok! Inikan pulak nak main di mulut selalu,” kata Mak cik Som pula.

Edrina diam sahaja sambil menadah telinga kepada nasihat dua wanita itu. Nampaknya dia memang kena sabar dengan sengal si Kudin ni. Bak kata Mak cik Som.. hensem ke tidak, kena ke tidak dengan selera.. dah jadi laki. Hadap ajalah!

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078