Pages

Saturday, September 17, 2016

Bab 4 Novel Si Kolot Suamiku


Aduh! Panasnya.. keluh hati Edrina tidak selesa dengan keadaan rumah kampung itu. Takde aircond! Pakai kipas buruk aja.. manalah kulit mulus ala-ala Paris Hiltonnya ini boleh tahan? Tangannya pun sudah lenguh berkipas sahaja daripada tadi.
 
“Panas ke, Rina? Maaflah.. rumah makcik ni memang panas sikit,” ucap Mak cik Kunah dengan senyum simpulnya. Serba salah dia melihat wajah masam kelat anak gadis itu. Dia tahu gadis itu tidak biasa dengan rumah kampong seperti ini.
 
Edrina sekadar tersenyum tidak ikhlas kepada Mak cik Kunah. Memang panas pun rumah ni! Belilah aircond lain kali. Kan senang.. jawabnya dalam hati. Mahu menjawab di mulut. Kurang ajar benarlah tu gayanya. Sedap-sedap aja si Edrina ni nak advice orang suruh beli aircond khas untuk dia.
 
“Lambat pulak balik si Kudin ni. Selalu waktu macam ni dia dah balik makan di rumah. Kalau lambat benar kita makan ajalah dulu. Tak payah tunggu dia,” ucap Mak cik Kunah kepada tetamu-tetamunya itu.
 
“Eh! Takpelah, kak. Tunggulah sekejap. Lagipun belum zuhur lagi ni,” sambut Tengku Ahmad Ehsan lembut.
 
Kudin? Detik hati Edrina sendiri. Daripada tadi dia terdengar nama Kudin aja yang disebutkan wanita tua itu. Siapa Kudin? Mana dia Tengku Emran? Dia pun memang dah tak sabar benar mahu melihat ketampanan lelaki itu.
 
“Budak tu rajin betul ya, Kak Nah? Saya kagum betul dengan dia. Ladangnya dah menjadi. Kolam ikannya dah makin besar nampaknya,” ucap Toh Puan Siti Aisyah pula.
 
Mak cik Kunah tersenyum lembut. “Tengoklah keturunannya siapa, Aisyah. Tak ke mana larinya walaupun dah berpuluh tahun tak jumpa. Masih lagi darah yang sama,” jawab Mak cik Kunah lembut. Jawapan itu segera dimengertikan oleh Tengku Ahmad Ehsan. Dia tersenyum bangga mengenang itu.
 
“Siapa Kudin ni, pa?” bisik Edrina sambil mencuit ayahnya itu.
 
“Shhtt..” Tengku Ahmad Ehsan meletakkan jari telunjuk tidak membenarkan anaknya itu menyampuk perbualan mereka.
 
“Bonda saya tu teringin benar nak berjumpa dengan akak anak beranak. Harap-harap akak sudilah nak berkunjung ke teratak kami bila ada masa,” ucap Tengku Ahmad Ehsan lembut.
 
“Apa pulak tak sudinya, Engku. Kami ni orang kebanyakkan aja. Seganlah nak ke sana kalau tak berjemput. Insya-Allah.. ada masa nanti sampailah kami ke sana,” sambut Mak cik Kunah perlahan.
 
“Saya ni pun orang kebanyakan jugak, kak. Takde apa yang lainnya kita ni..” Toh Puan Siti Aisyah pula menjawab.
 
Edrina sudah kebosanan mendengar perbualan tiga manusia itu. Takde topik menarik ke? Akhirnya tanpa meminta diri dia bangun dari situ. Daripada terkepung dalam rumah yang panas macam dalam mikrovawe itu lebih baik dia mengambil angin di luar sambil menikmati permandangan.
 
Perlahan Edrina mengatur langkah ke bahagian belakang rumah kayu itu. Banyak pokok-pokok yang entah apa namanya dilihatnya. Daun nya berbentuk seperti jari. Pada batang pokok itu ada kelihatan ‘mata’ yang timbul-timbul.
 
Edrina berjalan lagi lebih jauh ke arah belakang. Ada macam pondok dilihatnya. tapi ada binatang berkaki dua pula di dalamnya. Semakin dia mendekati pondok itu bau busuk semakin kuat.
 
“Owh.. ini reban ayam kut. Patutlah busuk,” ucapnya sendiri. Ayam-ayam yang sedang mematuk-matuk makanan di dalam reban itu dipandangnya khusyuk.
 
Comel jugak anak ayam ni. Macam nak cuba pegang aja.. bisik hatinya saat terpandangkan satu lagi bahagian yang menempatkan anak-anak ayam dan emaknya.
 
Puas memandang reban ayam itu Edrina berjalan lebih jauh ke belakang. Keralikannya membuatkan dia terlupa.. tak mati pun dia sebenarnya menjejakkan kaki ke kampung ini. Takde pulak lintah nak telan dia. Keindahan alam yang tak terdapat di Milan dan Paris ini benar-benar melekakannya.
 
Pertengahan jalan itu langkah gadis itu terhenti. Ada satu lubang sederhana besar dilihatnya. Macam lubang untuk menanam sesuatu berdasarkan tanah yang berkumpul di sekeliling kawasan lubang itu. Edrina semakin mendekat sehingga kakinya berdiri betul-betul di tebing lubang itu. Dasar lubang itu dijenguknya tanpa menyedari ada seseorang sedang memandang perbuatannya.
 
Kudin memandang seketika gelagat gadis itu. Pelik! Anak siapa pulak ni? Sesat pulak kat dalam kebun belakang rumah aku ni dengan kasut tingginya? Dia tengok apa? hati Kudin tertanya-tanya sendiri saat memandang belakang perempuan yang tertunduk-tunduk memandang sesuatu. Perlahan dia mendekati gadis itu.
 
“Woi! Apa kau buat kat sini?” tanya Kudin agak kuat.
 
Sergahan dari arah belakang itu membuatkan Edrina yang sedang dibaluti kejakunan itu terkejut besar. Tanpa sengaja dia tergelincir tiba-tiba. Dalam keadaan dirinya tidak dapat mengimbangkan diri sebelah kakinya terus diterjerumus ke dalam lubang yang diintainya tadi. Sebelah kaki lagi di atas.
 
Terbeliak matanya melihat kakinya sudah tenggelam masuk ke dalam tanah lembik di dasar lubang itu. Dia terasa benar-benar geli. “Eee.. lembiknya tanah ni,” ucapnya dengan muka berkerut seribu.
 
Kudin mahu ketawa gadis itu sudah terjun ke dalam lubang najis mughalazah itu. “Dulu kecik-kecik tak pernah masuk dalam lubang ke?” perli Kudin selamba.
 
“Apa kau cakap?” tersirap darah Edrina mendengar perlian lelaki itu.
 
“Kau tengok lubang macam tu sekali.. macam teringin benar nak masuk dalam lubang tu. Tak pernah jumpa lubang ke apa?” Kudin berkata sambil menahan gelak. Dia hanya terpacak tidak membantu gadis itu.
 
“Kau ni memang beballah! Habis aku kotor kaki aku!” jerit Edrina hilang sabar. Melihat lelaki asing itu mahu ketawa dia semakin sakit hati. Merah padam mukanya menahan marah dan rasa jijik.
 
“Kau siapa?” tanya Kudin mula mengeraskan riak wajahnya.
 
“Kau tu yang siapa?” jerkah Edrina semula dengan pertanyaaan yang sama. Sibuk aja sergah orang. Lelaki itu dijelingnya tajam.
 
Amboi.. kuat melawan pulak minah ni, getus hati Kudin sendiri.
 
“Emm.. aku mintak maaflah. Tapi lubang tu lubang bekas ‘cik B’ korek. Kau kena cuci dengan air tanah dan air mutlak 6 kali,” ucap Kudin selamba. Malas dia mahu melayan suara petir gadis itu. Macam bagus aja!
 
“Cik B?” soal Edrina sedikit kabur.
 
“Khinzir hutan.. kat belakang ni memang banyak. Lubang tu cik B yang korek untuk dia beriadah waktu lapang,” jawab Kudin selamba.
 
Terbeliak mata Edrina. Kakinya yang terjerumus ke dalam lubang selut itu cuba ditariknya sekuat-kuat tenaganya. Namun akhirnya kasut LV dari Amerikanya tertinggal pula di dalam selut itu. Malah sudah tak nampak langsung kelibat kasutnya itu. Mungkin dah jauh terperosok ke dalam.
 
“Kasut aku! Ee.. jijiklah dengan tempat ni!” jerit Edrina semakin sebal. Kembang rasa jari kakinya yang sudah tebal bersalut tanah lembik itu.
 
“Siapa suruh kau datang sini? Ni bukannya kawasan bersantai-santai,” ucap Kudin sambil mengerling sebelah kaki Edrina yang sudah togel tanpa alas. Mahu tergelak dia melihat kasut yang dipakai gadis itu. Masuk dalam kebun pakai kasut bertumit.. macamana tak terjerumus dalam lubang cik B? Padan muka kau.. ejek hati Kudin mula meluat melihat gelagat mengada-ngada gadis itu.
 
“Tolonglah cari kasut aku! Eee.. banyak cakaplah mangkuk ni. Kau yang buat aku jatuh dalam tu tadi,” jerit Edrina semakin sebal dengan lelaki itu.
 
“Eh! Kasut kau.. carilah sendiri. Tak nak aku pegang tanah dalam lubang tu. Susah nanti nak kena samak,” ucap Kudin macam orang yang tidak berperasaan.
 
Semakin menyirap darah Edrina mendengar jawapan lelaki itu. Melihat lelaki itu sudah berpaling mahu meninggalkannya dia nekad mencapai sebelah lagi kasut yang masih ada di kaki. Dengan sekuat-kuat hati dia melemparkan kasut itu ke arah Kudin. Balingannya tepat mengena ke arah belakang Kudin.
 
Langkah Kudin terhenti serta merta. Terus dia memandang ke bawah. Kasut wanita itu sudah terdampar di atas tanah dekat dengannya. Dia tahu objek yang membuatkan belakangnya terasa pedih saat ini adalah kasut itu.
 
Kurang ajar punya perempuan.. getus hati Kudin bengang. Dia mula berpaling ke arah Edrina yang terpaku memandang langkahnya.
 
“Apa kau nak buat kat aku ha? Aku panggil papa aku nanti,” ucap Edrina mula gentar melihat lelaki itu kembali semula kepadanya.
 
“Panggillah nenek kau sekali pun. Ada aku kisah? Nah! Ambik kau..” ucap Kudin. Dengan sekali tolakan Edrina terjerumus semula ke dalam lubang itu. Kali ini lebih sadis lagi. Dia siap jatuh terlentang di tepi lubang itu akibat perbuatan Kudin.
 
“Kau ni memang kurang ajarlah!!!!” Edrina memekik dengan dada sudah turun naik menahan rasa marah yang semakin meluap-luap.
 
“Siapa kurang ajar? Kau ke aku? Aku tak pernah jumpa perempuan senget macam kau ni. Datang tempat orang nak tunjuk lagak pulak. Mulut takde insuran hina tempat aku. Padan dengan muka kau! Duduklah kau bersantai dalam lubang tu sampai senja karang,” balas Kudin sambil bercekak pinggang selamba.
 
Dada Edrina seperti mahu pecah menahan marah. Ikutkan hatinya lelaki itu mahu diselamnya di dalam lubang itu sehingga lelaki itu mati kelemasan. Namun dia tahu dia tidak berupaya melakukan semua itu.
 
“Apasal muka kau merah? Nak nangis pulak ke? Berlagak tapi cengeng!” ejek Kudin dengan senyum jahatnya.
 
“Papa, tengok dia ni!!!!!!” Jeritan itu melengking cukup kuat sebelum akhirnya Edrina meraung di situ mengenangkan sebahagian dirinya sudah kotor tersalut dek tanah lembik itu.
 
Kudin tergelak sendiri. Menangis? Memanglah cengeng budak ni!

“Ya Allah, Kudin.. apa kamu buat ni? Kenapa kamu biarkan Rina ni jatuh dalam lubang tu?” ucap Mak cik Kunah sebal ketika menemui dua manusia itu di hadapan ambang pintu dapur itu. Kasihan benar dia melihat rupa Edrina. Separas pinggang ke bawah sudah bersalut dengan tanah. Gadis itu menangis mengongoi macam budak kecil.
 
“Lantaklah dia!” ucap Kudin selamba. Dia terus masuk ke dalam rumah.
 
“Kudin..” tegur Mak cik Kunah tidak senang.
 
Kudin memandang sekilas emaknya itu. “Apa dia, mak? Kudin dah laparlah..” ucap Kudin bosan mahu memandang muka cememei Edrina itu. Baru jatuh dalam lubang cik B dah menangis macam tu. Belum lagi jatuh dalam lubang kubur.
 
“Pergilah ambilkan tanah. Biar dia cuci tempat kena kotor tu!” getus Mak cik Kunah mula geram dengan anak lelakinya itu.
 
“Alah.. tanah pun tak kenal ke? Tak boleh nak ambil sendiri?” getus Kudin menyindir Edrina. Namun permintaan emaknya itu dipatuhinya juga. Saat melintasi Edrina, dia sempat dijeling tajam oleh gadis itu.
 
“Elleh.. jeling-jeling aku pulak. Aku selam kau dalam lubang cik B tu lagi, baru kau tahu,” getus Kudin siap dengan cebikan meluat.
 
“Kudin..” tegur Mak Cik Kunah yang terdengar omelan anak lelakinya itu. Menggeleng dia melihat gelagat dua manusia itu. Baru pertama kali berjumpa dah bergaduh.
 
“Ya, Kudin nak pergi ambillah ni..” jawab Kudin sedikit meleret. Orang lain yang kena samak dia pula yang disuruh cari tanahnya.
 
Edrina terus memandang Kudin yang sedang menuju ke hadapan rumah. Rupanya inilah Kudin yang dipuji-puji oleh emak dan ayahnya tadi. Habis tu mana satu Tengku Emran? Hatinya tertanya sendiri.
 
Sudah diambilkan tanah, Kudin disuruh pulak oleh emaknya membantu Edrina membersihkan kakinya. Bertambah seballah anak muda itu menghadap muka berlagak Edrina.
 
“Nama kau Kudin ya?” tanya Edrina lantas ketawa.
 
Kudin memandang tajam gadis itu. “Apasal kau gelak?”
 
“Kudin nama kau? Memang sesuai sangat dengan kau,” ucap Edrina selamba mempersendakan lelaki itu. Matanya menjeling baju buruk yang tersarung di tubuh anak muda itu. “Nama kau sama buruk dengan baju kau,” ucapnya sengit. Sengaja dia mahu menyakitkan hati lelaki itu lagi.
 
“Kalau aku mandikan kau dengan air tanah ni kau nak?” ucap Kudin.
 
“Mak cik Kunah, tengok Kudin ni. Diakan..” belum sempat dia menghabiskan ayatnya Kudin sudah menutup mulutnya.
 
“Diamlah, perempuan!” ucap Kudin meluap-luap rasa geramnya dengan gadis itu.
 
“Eh! Apa ni? Puih! Tangan kau ada tanahlah!” tangan kasar lelaki itu terus ditepis Edrina. Tangan kasar macam jalan tar.. ada hati nak pegang muka aku! hati Edrina mengutuk sambil menjeling Kudin.
 
“Kau ni memang mengada-adalah! Suka mengadu. Sikit-sikit mengadu.” Kudin menggeleng meluat dengan perangai Edrina. Ikutkan hatinya mahu sahaja dilempang-lempangnya mulut gadis itu. Menyampah betul!
 
“Biarlah.. mulut aku yang suka mengadu. Bukan guna mulut kau pun!” sambut Edrina selamba dengan muka berlagaknya.
 
Eeiiii.. macamanalah boleh sesat perempuan sengal ni kat rumah aku? Nak aja aku.. Ish! Kudin tidak mampu membayangkan apa yang hendak dilakukan kepada gadis itu sekiranya dia berpeluang.
 
“Macamana kau boleh ada kat rumah aku ni? Menyemak aja kat tempat aku ni,” ucap Kudin sambil memandang Edrina tajam. Perempuan ni eloknya letak kat sarkas dengan singa aja. Biar dia rasa..
 
“Papa yang bawak. Ikutkan hati aku tak ingin aku datang rumah buruk kau ni kalau setakat kena tolak masuk lubang cik B dengan lelaki poyo macam kau ni. Dahlah tak hensem,” jawab Edrina sambil menjulingkan matanya ke atas.
 
Kudin menggeleng perlahan. “Perempuan macam kau ni memang perasan bagus. Dah takde adab bila bercakap dengan orang. Datang rumah aku tapi kau sedap-sedap aja kutuk rumah aku.. kutuk aku tak hensem,” ucap Kudin berbaur kesal.
 
“Kau yang mulakan dulu..”
 
“Bila masa aku cari pasal dengan kau?” sanggah Kudin tajam.
 
“Tadi tu? Kau sergah aku sampai masuk lubang tu. Aku geli, tahu tak! Kau tu lagi kurang ajar daripada aku. Macam ni kau ke layan tetamu yang datang rumah kau?” jawab Edrina sengaja menajamkan nada melawan bicara Kudin sebentar tadi.
 
Kali ini Kudin terdiam. Wajah Edrina tidak mampu dipandangnya lagi. Sehabis membilas kawasan najis itu dengan aiar tanah, dia terus bangun.
 
“Dah! Pergi cuci kaki kau dengan air kat paip tu. Cuci sampai 6 kali. Lepas tu tukar baju.. pakai baju lain. Baju tu kau buang aja kalau malas nak samak,” arah Kudin serius.
 
“Paip mana pulak? Aku mana tahu,” rengek Edrina sambil menoleh ke sekelilingnya.
 
“Pair air kat tepi tu. Buta ke? Hish!” balas Kudin sedikit meninggi sambil menunding ke arah tepi Edrina. Paip air pun tak kenal ke? Turun dari planet mana dia ni? Menyampah dengan gadis itu, Kudin terus menapak masuk ke rumahnya melalui pintu dapur. Dia sudah tidak kuasa mahu melayan Edrina dalam keadaan dia kelaparan begini.
 
Selesai Edrina mengganti baju barulah dua keluarga itu dapat bersatu di meja makan. Namun masam kelat wajah Edrina saat dirinya digelakkan oleh ayahnya atas insiden terjerumus di dalam lubang tadi. Bertambah sakit hati melihat riak kosong di wajah Kudin macam takde apa-apa yang berlaku. Bukan main berselera Kudin makan. Siap bertambah-tambah nasi.
 
Sepanjang masa itu Edrina asyik tertanya-tanya sendiri. Mana dia Tengku Emran? Takkanlah si Kudin ni Tengku Emran kut? Kalau betul dia.. kenapa panggil Kudin?
 
Ish! Kalau inilah dia Tengku Emran, memang tak sesuai langsung mamanya mahu meminang Kudin untuk dirinya. Macam ni pun papa cakap hensem? Tolong sikit, okay.. wajah Melayu ‘totok’ macam Kudin ni memang kurang mendapat tempat di hatinya. Semua bekas teman lelakinya dulu hot macam Alex Oloughlin. So kirim salam ajalah bab nak berkenan tu. Jawapannya.. tak berkenan! Hati Edrina terus berkata-kata sendiri dalam pada dia memandang makanannya.
 
“Kenapa macam tak berselera, Rina? Tak suka ke lauk kampung yang mak cik masak ni?” tegur Mak cik Kunah saat terpandangkan suapan Edrina cukup perlahan. Nasi di dalam pinggan juga masih banyak.
 
Kudin terus memandang gadis yang sedang diperkatakan emaknya itu. “Dia biasa makan steak, mak. Mak buatkan dia steak petang nanti.” Kudin terus menjawab separuh menyindir.
 
Edrina terus menjegilkan matanya kepada lelaki itu. Ikutkan hatinya mulut celupar lelaki itu mahu dicilikannya. Mak cik Kunah terus menepuk bahu Kudin.
 
“Kamu ni suka sangat menyakat, Kudin. Tengah makan pun nak cari gaduh ke?” Mak cik Kunah menggeleng tidak senang kepada anak bujangnya itu.
 
Suka hati akulah nak makan ke tak? Sibuk aja nak menyampuk cakap orang tua. Padan muka kena marah dengan mak dia.. getus hati Edrina sendiri.
 
“Apa pulak tak suka lauk kampungnya, Kak Nah. Kalau dah lapar lauk kampung ke bandar ke.. dah takde beza. Telan jugak. Ya tak, Rina?” ucap Toh Puan Siti Aisyah sambil tersenyum memandang anaknya itu. Biasanya di rumah mereka pun makan masakan Malaysia juga. Lauk kampunglah tu namanya.
 
“Tengok muka mamat sengal tu terus tak selera aku nak makan. Dahlah tak hensem. Makan banyak.. macam badang!” Edrina menceceh sendiri. Mujurlah tiada orang yang mendengar biji butir kata-katanya itu. Saat itu hatinya melonjak-lonjak mahu lekas pulang ke ibu kota. Tak sanggup lagi untuk berlama-lama di rumah Kudin itu. Benci!
 
Sayangnya impiannya untuk pulang segera ke Kuala Lumpur tidak menjadi kenyataan selepas ayahnya pulang dari mengikut Kudin ke ladangnya. Entah ladang apa Edrina tidak tahu. Tapi papanya itu sibuk bercerita keseronokan berada di ladang si Kudin itu. Tidak habis-habis papanya meluahkan rasa bangga dengan pencapaian Kudin sebagai petani. Penghabisannya papanya menerima pelawaan Mak cik Kunah bermalam di rumah itu kerana esok papanya mahu melihat kolam ternakan ikan keli si Kudin itu pula. Semakin meluatlah dia dengan lelaki itu.
 
Petang itu dalam keadaan terpaksa dia melepak sendiri di pankin rumah itu. Emaknya dan emak Kudin sudah lesap ke kebun di belakang rumah itu. Dia asyik termenung tanpa menyedari emaknya sudah kembali semula ke situ.
 
“Rajin betul Kudin tu menanam. Ada aja ruang kosong habis ditanamnya dengan pokok-pokok. Bagus budak tu.” Toh Puan Siti Aisyah sengaja mencanang pujian lagi tentang Kudin untuk memancing minat Edrina kepada lelaki itu.
 
Hee... bengkaknya hati ni mendengar nama mamat tu. Kudin itu.. Kudin ini.. Kudin! Kudin! Kudin! Hati Edrina menjerit nyaring. Bukan setakat hati sakit, telinganya yang mendengar pun dah macam nak berkudis akibat disogokkan pujian bertangki-tangki tentang lelaki poyo itu. Rajin tanam pokok aja pun nak puji. Pak cik Selamat yang rajin tanam pokok di halaman banglo rumah mereka itu takde pulak nak dipuji bertangki-tangki.
 
“Makanlah buah tu, Rina. Sedap tau. Mama dah rasa tadi..” ucap Toh Puan Siti Aisyah kepada anaknya itu lagi. Buah longan yang diambil dari ladang longan Kudin itu nampaknya masih tidak luak.
 
Edrina mencebik. Tak kuasa nak makan buah yang mamat tu tanam. Baik aku makan longan dalam tin tu aja.. cemuhnya sambil memandang buah longan Brazil itu dengan sebelah mata.
 
“Siapa tak cuba, dia rugi. Bukan senang nak dapat buah ni kat tempat lain.”
 
“Ma.. Rina nak baliklah.” Edrina segera merebut peluang itu untuk memujuk emaknya pula. Tersiksa benar dia memikirkan mereka kena bermalam di rumah papan itu. Mesti dia susah nak tidur nanti.
 
“Hish! Nak balik apanya? Kan papa dah janji nak ikut Kudin pergi kolam ikan keli dia esok?”
 
Kudin lagi! Edrina sudah tidak tahan mendengar nama itu. Entah kenapa benci benar dia kepada sepotong nama itu bersama-sama dengan tuanya sekali!
 
“Kudin tu Tengku Emran kan? Kenapa panggil dia Kudin, ma?” soal Edrina tidak faham.
 
“Lah.. nama penuh dia Tengku Raden Emranuddin. Mak dia pendekkan jadilah Kudin. Unikkan?” jawab Toh Puan Siti Aisyah lantas ketawa sendiri.
 
“Nama bukan main sedap. Tengok orangnya hempeh! Petani aja pun. Apa yang nak dibanggakan sangat? Lainlah kalau dia tu CEO..” perli Edrina agak perlahan.
 
Bicara anak gadis itu segera menerbitkan rasa tidak senang Toh Puan Siti Aisyah. Tidak berlapik benar mulut anaknya itu kalau menghina pekerjaan orang.
 
“Kudin tu ahli keluarga kita juga, Rina. Cuba-cubalah berbaik dengan dia. Dia tu pun dah pangkat abang dengan Rina. Kena panggil Abang Kudin,” ucap wanita 50 tahun itu lembut. Dia tahu anaknya tidak sebulu dengan Kudin semenjak peristiwa tengahari tadi.
 
“Eee.. tak kuasa nak panggil dia Abang Kudin. Nak berbaik apanya kalau dia tu asyik nak sakitkan hati Rina. Macam bagus aja dia tu. Not my taste, okay!” sambut Edrina siap dengan jelingan tajam.
 
Sekali lagi Toh Puan Siti Aisyah menggeleng. Anaknya ini tidak ingat agaknya. Kudin itu adalah satu-satunya pewaris lelaki yang mereka ada untuk keluarga ini. Biarpun bertahun terceruk di kampung ini tetapi Kudin tetap ahli keluarga ini yang mewarisi susur galur keluarga ini.
 
“Mama tak nampak apa benda yang tak kena dengan Kudin sampai Rina benci dengan dia sangat? Mama suka dia. Baik budaknya si Kudin tu,” ucap Toh Puan Siti Aisyah kesal.
 
“Baik? Ma.. dia kurang ajar dengan Rina. Dia tu celupar bila bercakap! Pleaselah.. lelaki macam tu memang tak masuk dalam senarai. Tak suka!” cemuh Edrina benar-benar tidak selera mahu bersangka baik dengan lelaki itu.
 
“Habis tu yang bercakap tu elok sangat ke mulutnya?” sambut Toh Puan Siti Aisyah selamba sambil mengerling Edrina.
 
Edrina menoleh dengan renungan tajam kepada emaknya. 

“Ah! Rina tak peduli. Pendek kata Rina tak suka dia! Rina tak ingin nak berbaik dengan lelaki low class macam tu. Tak kuasa!” Malas mahu mendengar perlian emaknya lagi, Edrina terus bangun. Kakinya dihalakan masuk ke dalam rumah segera.
 
Toh Puan Siti Aisyah menghela nafas perlahan. Niatnya ke mari untuk mendekatkan Edrina dengan Tengku Emran. Tapi sekarang? Hai.. susahlah nampaknya nak menjalankan rancangan itu. Kena tukar plan B pulak lepas ni.

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078