Pages

Saturday, September 17, 2016

Bab 5 Novel Si Kolot Suamiku



“Malam ni kau tidur dalam bilik aku. Mak aku yang suruh,” ucap Kudin mendatar kepada Edrina yang sedang menonton tv di ruang tamu itu. Gadis itu dipandang seketika sahaja dek kerana bengkak di hatinya. Disebabkan Edrina, dia terpaksa tidur di ruang tamu malam ini. Nak melawan.. itu arahan emaknya. Patutnya si Edrina yang sesuai tidur di luar. Baru padan muka budak cememei ni.. kutuk hati Kudin sendiri.
 
Edrina menoleh kepada lelaki itu. “Katil kau empuk tak? Ada empuk macam katil aku kat rumah sana?” tanya Edrina sengaja mahu meniupkan kemarahan lelaki itu.
 
“Aku tak hempuk kau sekarang ni pun dah cukup bagus. Jangan banyak cakap. Hilang mood aku, kau tidur bawah rumah nanti,” ucap Kudin serius. Nak buat perbandingan antara tilam kekabu yang menjadi alas tubuhnya selama ini dengan tilam harga beribu-ribu di rumah orang kaya di KL sana, memang tak berakal sungguh gadis ini bila bercakap.
 
“Alah.. takkan cakap macam tu pun dah nak marah kut?” ejek Edrina sinis.
 
“Kau kalau bercakap tak mencari pasal dengan aku, tak boleh ke?” soal Kudin dengan muka serius. Serius! Dia memang tak suka dengan perempuan ini. Perangai macam bagus aja!
 
“Tak boleh. Aku memang sengaja nak sakitkan hati kau. Aku suka tengok kau naik marah,” sambut Edrina selamba.
 
Kudin menggeleng kesal. “Buang masa layan budak perempuan otak senteng macam kau ni. Perasan bagus.. perasan lawa!” Kudin merengus perlahan.
 
“Kau ingat aku hairan sangat dengan mamat kampung yang selekeh macam kau ni?” balas Edrina sebal.
 
Kudin memandang tajam gadis itu. Berasap telinganya mendengar kata-kata Edrina tentang dirinya tadi. Biadap sungguh! Lelaki itu mula mendekati gadis itu yang sedang duduk tersandar di atas kerusi rotan itu.
 
“Hey, perempuan.. kau yang datang sini. Bukan aku yang pergi cari kau di KL sana. Siapa yang hairan dengan siapa sekarang?” ucap Kudin agak perlahan. Sengaja dia membiarkan kata-kata itu tertuju kepada Edrina seorang.
 
Edrina terdiam mendengar bicara yang kedengaran lain macam itu.
 
“Perempuan kurang akal macam kau ni aku nak buat bini? Memang taklah! Lebih baik aku kahwin dengan anak dara lembam kat kampung ni. Melayan budak lembam tu lebih berfaedah daripada melayan mulut macam lubang jamban kau ni. Buat banyak dosa aku aja mengata kau,” ucap Kudin dalam nada tajam.
 
“Siapa nak jadi bini kau? Tolong sikit eh? Kau tu tak masuk dalam list aku langsung! Mamat kolot macam kau ni aku tak pandang sebelah mata. Perasan! Ingat dia tu hensem sangat ke?” balas Edrina enggan kalah.
 
Kudin tergelak perlahan. “Kau ni banyak bermimpilah! Suka hayal. Kau masih tak sedar apa yang berlaku di sekeliling kau. Dahlah! Malas aku nak layan kau. Berkarat otak aku bercakap dengan kau ni,” ucap Kudin lantas menghayunkan kaki ke dapur.
 
Edrina menggigit bibir memandang langkah Kudin. Sakit hatinya melihat lelaki itu. Berlagak! Macamlah dia tu best sangat!
 
Tidur gadis itu tidak lena langsung malam itu. Bukan sebab tidak selesa atau apa. Tidak juga sebab kepanasan kerana di kampung kedinginan memang cukup terasa bila malam hari menjelma. Tidak perlu ada aircond segala. Tapi dia tidak dapat tidur sebab dia sakit perut nak ‘membuang’ segera. Puas ditahannya semenjak tadi. Berpeluh-peluh telapak tangannya.
 
Akhirnya Edrina nekad. Bilik yang menempatkan emak dan ayahnya dijejaki dalam keadaan seluruh isi rumah itu gelap gelita. Terhegeh-hegeh kakinya berjalan macam orang buta.
 
“Pa..” panggil Edrina kepada ayahnya di atas katil itu.
 
"Papa dah tidur.." Toh Puan Siti Aisyah terus bangun untuk melihat anaknya itu. Suaminya yang sedang terlena itu dibiarkan sahaja.
 
"Ma, mana toliet dia ma? Sakit perutlah, ma." Edrina berkata separuh berbisik.
 
"Toilet kat luar. Kenapa?”
 
“Sakit perut..” jawab Edrina resah.
 
“Pergilah lekas. Toilet kat belakang sana.”
 
"What? Dalam keadaan gelap-gelap macam ni? Takutlah nak pergi, mama.." keluh Edrina gusar. Dah pukul 1 pagi, siapa sanggup ke jamban di luar sana? Seram.. Patutlah dia tak nampak rupa tandas di dalam rumah ini. Hanya bilik air sahaja yang ada.
 
"Upps! mama pun takut! Rina ajak Kudin temankan pergi toilet tu." Dengan muka selamba Toh Puan Siti Aisyah memberi cadangan itu kepada anaknya.
 
Terbeliak mata Edrina mendengar nama Kudin. "Ma.. ajak dia? Tak naklah! Malulah.." rengus anak itu resah sendiri.
 
Toh Puan Siti Aisyah sudah tersenyum sendiri. Nak malu apa kalau dah terpaksa. Daripada membuang di dalam celana. Lagilah malu!
 
"Cepatlah, ma. Sakit perut sangat ni.." degus Edrina sudah merah muka.
 
"Okay. Nanti mama beritahu Kudin.."
 
"Ma, tak nak.." ucap Edrina cuba menahan. Namun emak Edrina sudah berlalu meninggalkan Edrina memegang perutnya yang sakit. Akhirnya mahu tidak mahu Edrina menyusul juga emaknya tidak lama selepas itu. Nak berdegil pun tak guna dalam keadaan darurat begini. Kakinya dihalakan ke ruang tamu. Dia tahu Kudin tidur di atas kerusi panjang di hadapan tv.
 
Setelah dikejutkan oleh Toh Puan Siti Aisyah, Kudin bangun juga. Permintaan wanita itu diturutkan tanpa bantahan. Lampu suluh dicapainya tanpa banyak kira.
 
“Jom lekas..” ucap Kudin kepada Edrina yang terpacak macam patung tidak jauh dari emaknya itu.
 
“Janganlah laju sangat. Aku tak nampaklah,” tegur Edrina kepada si lelaki yang berjalan laju sahaja di hadapannya. Dia sudah teramat seram melihat kesepian dan kegelapan sekeliling. Hanya ada pohon-pohon ubi dan pisang menemani mereka. Bunyi burung hantu pula semakin menyeramkan.
 
Buat jamban jauh sangat. Kenapa tak buat tandas kat KL aja? Idea siapa entah macam ni, bisik hati Edrina sebal. Rupanya tandas rumah itu berada di dalam kawasan kebun di belakang rumah itu.
 
Kudin terhenti seketika menyuluh ke arah gadis itu. Setelah gadis itu sampai kepadanya dia kembali berjalan.
 
“Tu jamban. Kat tepi dinding tu ada mancis dengan lilin. Pasang dulu baru membuang. Dah! Cepat pergi. Aku tunggu sini!” ucap Kudin serius sambil menyuluh lampu suluhnya agar Edrina dapat berjalan dengan selamat ke arah jamban itu.
 
 “Kau jangan pergi mana-mana tau!”
 
“Pergi ajalah lekas!” getus Kudin malas mahu mendengar lagi. Dia sedang mengantuk benar sekarang. Satu hal pulak dia kena menemankan ‘anak Tengku’ yang cengeng ini.
 
Edrina akur. Dek kerana seruan alam yang tak mengira tempat dan masa itu.. dia terpaksa membiasakan diri ‘membuang’ dengan ditemani oleh lilin dek kerana tiada sebarang lampu yang disediakan di dalam jamban percuma itu. Memang rupa jamban itu macam jamban zaman Jepun. Tapi nasib baiklah ada paip air disediakan.
 
Tapi yang membuatkan dia benar-benar sakit jiwa.. seronok benar nyamuk-nyamuk jantan mengintai dia menunaikan hajat di dalam situ. Sampai naik kebas punggungnya ditampar akibat disengat belalai nyamuk yang miang. Tak fokus dia dibuatnya.
 
“Kurang ajar punya nyamuk. Takde tempat lain ke kau nak gigit. Kau gigitlah mangkuk kat luar tu. Jangan kacau aku, boleh tak?” bebel Edrina geram. Sekali lagi punggungnya ditampar apabila terasa diketip nyamuk.
 
“Woi.. lama lagi ke buat kerja kat dalam tu? Nyamuk banyak ni,” tegur Kudin setelah lebih 5 minit dia menunggu. Belakang tubuhnya sudah kerap diserang nyamuk. Tulah.. lain kali pakai baju!
 
“Kejaplah. Belum habis lagilah,” jerit Edrina dari arah dalam.
 
“Lama pulak berak tu. Dah lapan hari tak berak ke apa dia ni? Ke dia suka sangat duduk dalam jamban uzur tu?” ucap Kudin sendiri.
 
Hampir setengah jam barulah Edrina mampu keluar daripada kamar kecil itu. Barulah dia dapat bernafas dengan selesa.
 
“Hey.. lama betul. Berak batu ke apa? Menaun aku menunggu!” bebel Kudin sudah tidak sanggup berlama-lama lagi di situ.
 
“Biarlah.. dah sakit perut. Nak buat macamana?” jawab Edrina selamba. Pedulilah! Yang penting dia dah lega.
 
Namun baru sahaja mereka mula melangkah meninggalkan kawasan jamban itu mereka terdengar bunyi sesuatu sedang berjalan ke arah mereka. Edrina yang berada di belakang Kudin terus melompat ke arah lelaki itu.
 
“Apa tu, Kudin?” ucap Edrina meninggi. Tanpa segan silu lelaki itu dipeluknya dari arah belakang.
 
Kudin menyuluh ke arah datangnya bunyi itu. Sebaik sahaja lampunya terhala ke arah pokok ubi beberapa meter dari tempat mereka berdiri, dia ternampak segerombolan khinzir hutan sedang memandang ke arah mereka.
 
“Diam! Cik B tengah korek ubi,” ucap Kudin separuh berbisik.
 
Mendengar itu Edrina semakin ketakutan. “Ee.. ramainya tu, Kudin?” Dia sudah tidak sedar apa yang sedang dilakukannya kepada Kudin. Matanya sibuk memandang ke arah tempat suluhan Kudin. Bukan seekor dua yang dia nampak. Tapi puluhan ekor sedang memerhatikan mereka berdua di situ. Ngerinya!
 
“Banyak! Ramai tu untuk manusia,” getus Kudin sambil memandang sekilas Edrina di belakangnya. Namun seketika kemudian dia mula terperasan. Berderau darahnya saat tersedar tubuhnya sedang peluk Edrina. Kuat pulak tu! Dahlah dia tak pakai baju. Bahaya sungguh. Patutlah cik B tu ralik memandang ke arah mereka. Rupanya tayangan free..
 
“Apasal kau peluk aku ni?” ucap Kudin lantas meleraikan pautan tangan Edrina di perutnya. Edrina yang mula terpasan perbuatannya terus meleraikan pelukannya.
 
“Aku takutlah!” ucap Edrina mula terasa malu sendiri dengan perbuatannya itu.
 
“Kut ya pun tak payahlah peluk kuat sangat.”
 
“Manalah aku perasan. Itu pun nak berkira ke? Poyo betullah dia ni!” getus Edrina sebal. Dia sendiri pun boleh tak sedar apa yang dia buat tadi. Patutlah tangannya terasa geli semacam. Dia tersentuh sesuatu pada tubuh lelaki itu. Tapi apa bendanya entah..
 
“Dah! Malas aku nak layan kau. Buang masa aja..”
 
Tanpa menunggu gadis itu Kudin terus berjalan balik ke rumah. Tunggu situ lagi nanti.. entah apa pula yang berlaku nanti. Takut punya pasal Edrina ikut mengejar langkah Kudin. Itu lebih baik daripada dia melayan sebal bertemankan Cik B di belakang itu. Tak pasal kena samak lagi nanti.
“Kudin!!!!! Kudin!!!!” pekikan itu mengejutkan Kudin yang sedang sibuk dengan kerjanya.
 
“Apa lagilah minah ni nak? Terpekik-pekik macam polong,” keluhnya sendiri.
 
“Apa bendanya?” soal Kudin sambil menoleh. Peluh di dahinya diseka dengan belakang tangan.
 
“Apa benda ni. Buang!!! Buang!!!” Edrina dah macam orang gila di situ. Terkinja-kinja ketakutan. Siapa lagi hero yang dia nak panggil kalau bukan Kudin? Lagipun dia hanya berdua sahaja dengan Kudin di situ.
 
“Apa dia?” Kudin merengus sendiri sambil mendekati gadis itu.
 
“Ini... buang cepat!!” Edrina sudah tidak mampu menjerit. Dia sekadar pasrah melihat binatang kecil itu merayap di atas jari kakinya.
 
“Ini pacat daunlah. Pagi-pagi macam ni memanglah banyak. Alah.. macam kena gigit harimau bisingnya. Tak pernah lagi ada orang mati kena gigit pacat,” degus Kudin sambil mengambil binatang penghisap darah kotor itu daripada kaki Edrina. Terus dihumbannya ke arah lain.
 
“Memanglah. Tapi aku geli!”
 
“Pergilah masuk sana. Tak senang aku nak buat kerja kalau aku ada sini,” keluh Kudin sambil menggeleng sendiri. Kerja mengorek ubu kayu tadi disambungnya semula.
 
Edrina terdiam. Dia saja mahu melihat Kudin buat kerja. Salah ke? Sombong betul mamat kampung ni. Namun Edrina tidak juga masuk ke dalam rumah. Dia bosan duduk di dalam rumah. Lagi baik dia tengok apa Kudin buat di belakang rumahnya ini.
 
“Kenapa kau korek ubi tu?” soal Edrina dengan soalan berilmunya.
 
“Nak buat makanlah! Sebelum cik B makan habis semua.. baik ambil dulu,” jawab Kudin selamba.
 
“Owh..” Edrina memerhatikan lagi lelaki itu buat kerja. Kudin hanya berseluar jeans tanpa baju. Tak malu sungguh dia ni dedah body depan orang. Dahlah dada banyak bulu.. menggelikan! Kutuk gadis itu sendiri.
 
Tapi body dia seksi sungguh. Banyak otot berketul-ketul. Tapi sayang.. aku tak minat mamat kampung lagi kolot macam dia ni. Dahlah selekeh dengan seluar buruk koyak rabak dia tu.. Edrina tergelak dalam hati sambil berbicara sendiri tentang Kudin.
 
“Kenapa mak kau tak panggil kau Emran? Kenapa semua orang panggil kau Kudin?” Edrina bersuara lagi dalam pada Kudin masih ralik dengan kerjanya.
 
“Aku tak suka,” jawab Kudin tanpa menoleh.
 
“Kau tak suka? Kenapa pulak?” tanya Edrina cukup hairan. Nama Emran rasanya lebih sedap daripada Kudin. Tapi lelaki itu tak suka. Memanglah kolot namanya kalau macam tu!
 
“Tak payah tahulah. Itu hal aku,” jawab Kudin mendatar.
 
“Alah.. saja nak tahu. Takkan tak boleh?” getus Edrina sebal.
 
Kudin berdiam tidak melayan kehendak Edrina. Biarlah dia sahaja yang tahu apa sebabnya mengapa dia tidak gemar orang lain memanggilnya dengan nama itu.
 
“Kau ada girlfreind tak?” Edrina melanjutkan lagi sesi temu bualnya.
 
“Kau jangan kacau aku buat kerja, boleh tak? Kan aku kata pergi masuk? Menyibuk aja tanya aku benda yang bukan-bukan,” ucap Kudin serius sambil menoleh dengan pandangan tajam.
 
“Kau ni sombonglah! Orang nak berbaik aja pun tak sudi. Macamlah kau tu hebat sangat! Orang tanya baik-baik, dia marah kita pulak! Menyampah! betul” Edrina merenggus dalam sorotan tajam kepada lelaki itu.
 
“Dahlah! Pergi masuk sana. Aku malas nak layan kau,” ucap Kudin keras.
 
“Kau ingat aku nak sangat ke layan kau? kalau bukan sebab mama yang suruh aku berbaik dengan kau, tak ingin aku nak bercakap dengan kau! Buang masa aku aja berbaik dengan mamat kampung sombong macam kau ni,” jawab Edrina lantas bangun dari situ.
 
Kudin terus menoleh kepada Edrina. “Memang aku ni orang kampung aja. Mana layak nak berbaik dengan perempuan bandar macam kau, betul tak?” ucap Kudin sebelum sempat Edrina menjauhi kawasan itu.
 
Kaki Edrina terkaku tiba-tiba apabila mendengar suara lelaki itu semula. Wajah Kudin kembali dipandang. Lelaki itu sedang merenung tepat kepadanya.
 
“Kenapa dengan nama Kudin? Tak moden? Nama Emran lagi tak memalukan kau dengan keturunan kau?” ucap Kudin sedikit sinis. Ada sedikit senyuman hambar tersungging di bibirnya.
 
“Memanglah! Orang bagi nama sedap-sedap, Kudin pulak jadinya. Kolot!” balas Edrina selamba.
 
“Kau nak tahu kenapa aku tak suka orang lain tahu nama penuh aku?”
 
Edrina sekadar terdiam tidak menjawab. Namun pandangannya terus dihantar kepada lelaki itu sebagai isyarat yang dia sedia mendengar alasan lelaki itu. Hatinya memang terllau ingin tahu benar mengapa Emran menjadi Kudin dan mengapa Tengku Emran boleh berada di sini. Mengapa tidak dengan mereka di KL sana.
 
“Aku tak mahu orang lain selongkar kisah lama keluarga kita. Semua orang kampung ni pelik kenapa Tengku macam aku ni boleh ada di kampung ni, hidup sebagai petani. Sedangkan aku bukannya lahir di sini. Aku anak yatim piatu. Mak aku yang ada dalam rumah tu, bukan mak kandung aku tapi dia mak saudara aku. Adik kepada arwah ayah aku. Mak kandung aku dah lama meninggal, Rina. Moyang aku, nenda aku pun dah lama takde. Yang ada dengan aku hanya mak aku sekarang. Dia yang besarkan aku selepas ayah aku meninggal lebih 12 tahun dulu dan dia bukan orang berdarah bangsawan macam kau dengan ahli keluarga kau yang lain. Kerana tu nama aku jadi Kudin sekarang. Sebab aku anak mak aku. Dia orang kebanyakkan. Arwah ayah aku juga orang kebanyakkan. Hanya arwah mak aku aja yang ada gelaran Tunku dan takde siapa kenal Tengku Emran di sini. Aku takkan tinggalkan mak aku dan kampung ni untuk jadi Tengku di bandar sana. Hidup aku di sini. Selagi aku hidup aku akan jaga mak aku sebab itu tanggungjawab aku selepas dia bersusah payah besarkan aku dalam keadaan dia pun dah takde suami,” jelas Kudin agak tenang.
 
Edrina terdiam mendengar kata-kata lelaki itu. Dia sebenarnya tidak tahu sangat tentang kisah lama keluarga mereka itu. Yang dia tahu moyangnya pernah berkahwin dua kali. Tengku Emran adalah cicit daripada keturunan isteri pertama moyangnya itu. Itu saja!
 
Melihat lelaki itu tidak mahu bercakap dengannya lagi Edrina masuk ke dalam rumah. Namun kata-kata Kudin terus bermain di fikirannya ketika dia duduk tercongok sendirian di ruang tamu.
 
Kudin tidak akan meninggalkan kampung ini. Bermakna dia harus mengambil alih syarikat keluarganya sama ada dia mahu atau tidak. Masalahnya macamana? Dia pun tidak mahu!

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078