Pages

Monday, November 28, 2016

MH 370 & MH 17 Bab 1 Takut Mati Katak

Seorang sahabat saya namanya Azizi berasal dari Melaka, memberitahu yang dia kini agak gementar untuk menggunakan pesawat dari Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) ekoran beberapa kejadian malang, MH 370 hilang begitu sahaja, MH 17 pula ditembak di sempadan Rusia-Ukraine.

Kata Azizi yang juga usahawan dan chef masakan yang bertugas di Rawang, Selangor, dia kerap kali melakukan kunjungan ke negara luar termasuklah Australia dan Eropah untuk tujuan perniagaan. Sebulan, dua hingga tiga kali dia akan ke negara luar. Sebelum ini, beliau bertugas di Eropah sebagai chef sebelum pulang ke tanah air dan menjadi usahawan masakan.

"Takut saya hendak menggunakan pesawat MAS dan juga pergi ke luar negara menggunakan pesawat. Takut mati katak. Mujurlah penerbangan saya pada Jun 2014 yang lalu tidak mengalami sebarang masalah, namun setiap kali menjejak kaki ke lapangan terbang takut itu masih ada", katanya.

Bukan sahaja Azizi, malah rakan-rakan dalam media sosial pun meluahkan perkara yang sama. Takut mati katak. Secara gurauan, katak mati pun ada jasad untuk dilihat. Tetapi kalau mati di awangan, mayat yang ada pun sekadar serpihan sahaja, itu sekiranya ada sebagaimana berlaku kepada jenazah dan mayat penumpang serta krew pesawat MH 17. Jika jatuh di lautan, tahu sahajalah apa yang dijumpai. Yang menjadi persoalan, habuk pun tiada.

Bukan itu sahaja, penyanyi dan penyampai radio, Aril Pilus pun ada memberi cadangan kepada isteri tersayangnya bernama Puteri Erma Edlinda Megat Aminuddin supaya fikir semasak-masaknya untuk meneruskan kerjaya sebagai pramugari. Isterinya, Puteri Erma bertugas dengan Saudi Arabian Airlines di Arab Saudi.

Aril atau nama sebenarnya Khairil Azam Pilus seperti dilaporkan dalam akhbar berkata, dia telah memberi tempoh sehingga akhir tahun 2014 kepada isterinya supaya berhenti kerja sebagai pramugari setelah enam tahun bertugas. Alasannya, dia mahu Puteri Erma menjadi suri rumah tangga kerana mendapat anak sulung dan kesukaran untuk berjumpa kerana isterinya tinggal di Jeddah serta perlu mengambil cuti panjang jika ingin pulang ke Malaysia. Katanya, dia sedar akan risiko yang dilalui isterinya ketika bertugas di awanan apatah lagi cerita dua pesawat MAS menyembah bumi masih panas untuk dilupakan.

"Bukan setakat insiden terhempas, malah risikonya lebih tinggi kerana isteri saya bertugas di negara Timur Tengah yang kian bergolak," katanya.

Situasi ini bukan sahaja dirasai kepada orang yang disayangi Aril, malah semua penumpang yang menggunakan khidmat kenderaan udara untuk berulang alik ke negara lain atas pelbagai tujuan. Malah, selepas berlaku kejadiam MH 17 ditembak pada 17 Julai 2014, tidak sampai dua bulan, sebuah pesawat milik penerbangan Air Algerie yang dalam penerbangan dari Ouagadougou di Burkina Faso ke Algiers disahkan terhempas terjunam ke bumi.

Laporan Reuters memetik kenyataan pihak berkuasa Algeria menyebut, pesawat membawa 110 orang penumpang dan enam anak kapal, terhempas selepas pihak berkuasa terputus hubungan dengan pesawat AH 5017 selepas ia berlepas dari Burkina Faso. Kejadian ini dikaitkan dengan kemalangan disebabkan faktor alam semula jadi kerana kawasan yang dilalui pesawat itu dilanda ribut pasir.

Izinkan saya mengambil berita daripada The Telegraph, portal yang bertempat di United Kingdom menceritakan seorang pekerja syarikat miinyak bernama Barry Sim yang kecut perut dan jantung berdebar-debar untuk menaiki pesawat milik MAS. Beliau yang berasal dari Scotland bersama isteri dan anaknya ingin menaiki pesawat berkenaan, namun tercicir kerana pesawat sudah penuh.

Akibat daripada itu, beliau berkata, seperti ada kuasa yang melindungi kami dan memberitahu supaya jangan naik kapal terbang itu.Mereka sampai ke Kuala Lumpur dengan pesawat KLM.

Sejarah pesawat terhempas bukan fenomena baharu. Sejarah merekodkan, pada 6 Mei 1937, sebuah kapal udara Zeppelin Jerman, terbakar ketika mendarat di New York, Amerika Syarikat. Daripada 97 orang penumpang, 35 jiwa terbunuh. Zeppelin dicipta oleh Ferdinard Von Zeppelin dari awal kurun ke20 dan sebelum dipaten oleh Amerika Syarikat pada 14 Mac 1899.

Zeppelin digunakan oleh syarikat pengangkutan penumpang komersial pertama di dunia, iaitu Deutsche Luftschiffahrts-AG (DELAG). Selepas perang meletus, tentera Jerman menggunakan secara ekstensif Zeppelin sebagai pesawat pengebom dan peninjau.

Pada 200, terdapat tiga pesawat milik jiran terdekat kita, iaitu Indonesia dan Singapura yang terhempas. Misalnya 24 Jun, Pesawat KT Wong Bee terhempas ketika melakukan pertunjukan mengelilingi Bali, Indonesia (melibatkan kawasan Antana dan Nyoman Budhiana) telah mengorbankan dua krew penerbangan ketika gagal mendarat di landasan udara. Sehingga kini sebab-sebab dan punca pesawat ini terhempas belum diketahui.

Tahun sama, 24 September, pesawat jenis Super Decathlon yang dinaiki Alex Supeli jatuh di Bandung Air Show dan 4 November - Airbus A380 milik Qantas meletup semasa terbang di atas Kota Batam dari Singapura ke Sydney. Setahun kemudian, Merpati Nusantara Airlines Penerbangan 8968 jatuh di perairan berhampiran Lapangan Terbang Utarom, Kaimana, Papua dan pada 12 Jun 2001, Susi Air dalam satu hari dua pesawat tergelincir dan semua penumpang mati dan mereka ditemui di Gunung Papua.

Berbeza dengan kemalangan tersebut, artikel ini sebenarnya mengulas dan mengajak pembaca berfikir, mengenai tragedi yang berlaku kepada MAS bukan terjadi seperti pesawat - jatuh kerana cuaca atau kemalangan semata-mata. Banyak kemalangan pesawat berlaku selepas MH 370 hilang dari radar, tidak menarik perhatian dunia.

Begitu juga apa yang berlaku pada MH 17 yang tidak sampai tiga bulan selepas MH 370 menjadikan dunia terhenti seketika bertafakur dan bersimpati dengan nahas berkenaan. Sebenarnya apa yang berlaku kepada kedua-dua pesawat Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) seperti dirancang dengan menyorokkan bukti, mereka yang melakukan jenayah tidak mengaku dan pada masa yang sama menimbulkan beratus-ratus spekulasi untuk mengelirukan penghuni planet ini.

Oleh itu, kita sendiri keliru mana satu maklumat yang betul, mana yang palsu. Mana intan dan mana kaca kerana kita semua telah terjerat dengan perangkap dipasang, iaitu spekulasi, andaian, teori dan pendapat.

Sebenarnya 'mereka' mahu menyampaikan satu mesej kepada kita semua melalui dua kejadian MH 370 dan MH 17. Siapa 'mereka' dan apa mesej itu, jangan berhenti membaca setiap helaian buku ini.

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078