Pages

Sunday, November 27, 2016

MH 370 & MH 17 Bab 21 Kiamat Kecil, MH 17 Ditembak

Pesawat ke-3 MAS ditembak pada 17 Julai 2014. Dan menjadi nahas kapal terbang ke-2 pada tahun yang sama, menjadi mimpi yang ngeri kepada syarikat penerbangan ini dan negara Malaysia yang akan menjadi negara perindustrian pada 2020. Ia tidak lama lagi.

Tidak sampai empat bulan MH 370 hilang dan tidak dapat dikesan, tiba-tiba berlaku sekali lagi kecelakaan kepada dunia penerbangan negara. Ada rakyat Malaysia menyalahkan semua ini berlaku kerana seseorang, iaitu pemimpin negara. Alasan mereka, Tuhan tidak suka kepada pemimpin negara. Betulkah?

Malah, ekoran menghadapi krisis kepimpinan dalaman dan ketidakstabilan perbelanjaan dengan pendapatan, MAS tidak pernah gembira dengan ujian yang diberikan, ibarat jatuh dan ditimpa tangga. "Ini adalah hari yang malang buat kita semua dan seperti yang didakwa, merupakan tahun yang penuh dugaan buat kita," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

MH 17 yang dikenali sebagai perkongsian kod penerbangan 4103 KLM adalah penerbangan penumpang antarabangsa yang dijadual tiba ke KLIA pada 6.10 pagi dari Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam, Belanda pada pukul 12.30 tengahari waktu Belanda. Pesawat Boeing 777-200ER tersebut ditembak berdekatan dengan Torez di Donetsk Oblast, Ukraine, 40 kilometer dari sempadan dengan Rusia. Semua 283 penumpang dan 15 anak kapal dalam pesawat tersebut maut.

Sebelum nahas pesawat itu, penerbangan MH 17 adalah di bawah kawalan pusat kawalan trafik udara (ATC) (Dnipro Radar). Menurut laporan itu, Dnipro melakukan transmisi radio kepada Penerbangan MH 17 bermula jam 1.20 petang. Laporan itu menyatakan anak kapal tidak memberi respons kepada transmisi itu atau transmisi berikutnya.

Dari waktu itu, sehingga jam 1.35 petang Dnipro Radar menghubungi MH 17 beberapa kali namun tidak menerima sebarang jawapan. Menurut laporan itu anak kapal pesawat lain yang melalui kawasan itu turut ditanya jika ada ternampak MH 17 atau ia boleh dilihat dari pesawat mereka.

Namun, anak kapal pesawat berkenaan memberitahu ia tidak nampak MH17. Transkrip itu juga menunjukkan pengawal trafik udara di Dnipro pada satu ketika berkomunikasi dengan rakan sejawatannya di Rostov: Ya, ia (MH 17 telah) hilang." Laporan itu menyatakan MH17 terbang di ruang udara yang tanpa sekatan.

Sekitar jam 3.30 petang, MAS dalam sebuah laman sosial, Twitter telah menulis," MH 17 telah terputus hubungan ' ketika berada kira-kira 30 kilometer (km) dari waypoint TAMAK, iaitu kira-kira 50 km dari sempadan Russia-Ukraine.

Kemudian, disusuli dengan laporan awal oleh pihak berkuasa Ukraine memberitahu MH 17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu permukaan ke udara oleh sistem misil BUK oleh pemisah bersenjata semasa berada pada ketinggian 10,000 meter atau 33000 kaki. Namun, sehingga kini tidak ada pihak mengaku melakukan tembakan itu, sama ada puak pemisah, tentera Ukraine dan pihak keselamatan Russia.

Menurut Komander Militer Penduduk Donbass, Igor Girkin, MH 17 kemungkinan ditembak oleh gerakan puak pemisah. Melalui tulisannya yang disiarkan dalam laman sesawang Vkontakte yang menyebut, puak pemisah pada masa itu telah memberi satu amaran yang berbunyi," jangan terbang di langit kami'.

Tulisan berkenaan turut menyebut yang kapal terbang milik tentera Ukraine berkod AN-26 telah ditembak jatuh dan dipercayai terhempas berdekatan di sebuah lombong di Torez, lokasi sama di mana MH 7 terhempas. Tulisan ini kemudiannya dipadam apabila mereka mengetahui pesawat yang dipercayai milik tentera Ukraine ditembak itu adalah pesawat MH 17. Dalam kata lain mereka tersalah tembak dan silap sasaran.

Kejadian ini mengingatkan kepada pesawat Iran Air Penerbangan 655 (IR655) dari Tehran ke Dubai pada 1988 yang menjadi mangsa keadaan apabila tentera Amerika menembak pesawat komersial yang disangkakan kapal terbang tentera Iran.

Alasan tentera, petugas berkenaan pertama kali bekerja di sana dan mengalami tekanan perasaan. Mereka tidak dapat membezakan mana pesawat komersial dan mana kapal terbang tentera sehingga Amerika terpaksa membayar ganti rugi yang tinggi kepada waris penumpang.

Berbeza dengan kejadian MH17, penembak bukan sahaja tidak mengaku, malah melontar batu sambil sembunyi tangan. Mereka takut dituduh sebagai pengganas dan perlu membayar pampasan sebagaimana berlaku kepada IR655. Jalan mudah, puak pemisah menuding jari kepada pihak lain Rusia dan Ukraine untuk mengelirukan semua pihak.

Sebenarnya, sebulan sebelum nahas MH17, pada 14 Jun 2014, pasukan militer Republik Rakyat Lugansk telah menembak sebuah pesawat dikenali Ilyushin Il-76 milik Tentera Udara Ukraine dalam operasi anti-keganasan di Oblast Timur Luhansk dan Donetsk. Kapal terbang tersebut dikatakan telah membawa 49 penumpang, terdiri daripada tentera ditembak ketika menghampiri landasan Lapangan Terbang Luhansk untuk mendarat. Semua penumpang dan krewnya terbunuh.

Kejadian ini dianggap mencabar maruah tentera Ukraine dan peristiwa terburuk sejak 2014 yang melibatkan konflik pro-Rusia dengan anti-Rusia yang didalangi puak Ukraine. Malah, ia adalah kejadian keempat yang paling teruk melibatkan pesawat yang sama dan ke-10 melibatkan kapal terbang tentera di Ukraine.

Ketika semua orang melontar batu sambil sembunyikan tangan, Malaysia berikrar untuk mendedahkan mereka yang bertanggungjawab 'menekan butang' menembak jatuh MH17 dan membawa penjenayah itu ke muka pengadilan.

"Seseorang mesti bertanggungjawab terhadap insiden ini."

"Seseorang telah 'menekan butang' untuk menembak jatuh pesawat. Kami akan cuba cara terbaik untuk mengesan pelakunya". kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Tiong Lai berkata, Malaysia dengan bantuan rakan-rakan antarabangsa termasuk dari Australia dan Belanda akan meneruskan siasatan untuk mencari penjenayahnya.

Laporan awal setelah meneliti apa yang berlaku melalui kotak hitam menunjukkan pesawat itu berkecai di udara kemungkinan disebabkan kerosakan struktur selepas terkena sebilangan besar objek berkuasa tinggi yang menembusi pesawat daripada luar. Ia kemungkinan peluru berpandu sebelum beberapa bahagian badan pesawat terkoyak ekoran kesan pelanggaran dengan angin ketika terhempas.



No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078