Pages

Thursday, October 27, 2016

Bab 21 Novel Si Kolot Suamiku


Usai sarapan pagi, Kudin terus keluar ke halaman rumah. Hari ini dia tidak ke ladang. Cuti rehat! Edrina ikut keluar untuk melihat apa yang sedang dilakukan oleh suaminya itu. Sekarang dia pun mahu memuji lelaki itu. Memang rajin. Ada saja kerja yang hendak dilakukan walaupun dia tidak ke ladang. Di halaman rumah itu sudah ada beberapa longgok kayu lama berserta dengan alat pertukangan.

"Kau buat apa tu?" Tanya Edrina sambil melabuhkan duduk di tangga rumah.

"Tanam pokok manggis dengan pokok rambutan. Esok dah besar, bolehlah kita merasa hasilnya," jawab Kudin sambil tersenyum senang memandang isterinya.

"Kayu tu?" Tanya Edrina lagi sambil memuncungkan mulutnya kepada longgokan kayu berdekatan dengan suaminya itu.

"Nak buat pangkin. Hari tu mak membebel. Pangkin lama tu dah reput. Tak boleh digunakan lagi. Kalau buat duduk nantiroboh pangkin itu," ujar Kudin sebelum kembali menghayun cangkulnya.

Edrina diam memandang sahaja. Malas mahu menganggu lelaki itu buat kerja. Makin lama makin suka dia pulak memandang lelaki itu. Tak sedar yang dia mula berteleku di atas lutut sendiri sambil memandang Kudin. Bibir wanita itu tersenyum entah kenapa. Setiap kali lelaki itu mengangkat cangkul otot-otot belakang tubuhnya timbul. Tiba-tiba mata perempuannya terpesona memandan lelaki itu. Seksinya.... desis hatinya sendiri.

Isy! Apa kena dengan aku ini? Gatal betul mengintai lelaki tayang body.... detak hati Edrina mula tersedar. Dia lantas mengalihkan mata gatalnya itu ke arah lain. Tetapi memandang ke arah lain tidak seseronok memerhatikan Kudin. Akhirnya pandangannya dikembalikan kepada Kudin.

Tak hensem ke dia ni? Hensem kot... bisik hati wanita itu mulai menilai Kudin.

Tapi dia baik... ucap hati Edrina akur dengan kenyataan itu akhirnya. Semenjak dua tiga hari ini, dia sedar hubungannya dengan Kudin makin mesra. Mereka tidak lagi seperti anjing dan kucing.

Kudin menggaru kakinya seketika. Namun dia teraba sesuatu. Pantas dia menjenguk ke bawah. Seekor pacat entah dari mana datangnya sedang merayap naik di betis Kudin.

Melihat binatang yang sedang terhengeh-hegeh mencari makanan di kakinya itu, timbul idea jahat Kudin untuk mengusik isterinya itu. Pacat itu diambilnya lalu dibawanya dekat kepada Edrina yang sedang duduk di atas tangga hadapan rumah.

Edrina sempat mengerutkan kening melihat Kudin tersengih-sengih datang kepadanya. Apahal pula dia ini? Detik hatinya hairan.

"Huarrggghh!!" Kudin terus menyuakan binatang itu kepada Edrina.

Melihat apa yang sedang disuakan Kudin kepadanya, apa lagi? Melalaklah Edrina melihat pacat di tangan Kudin.

"Janganlah, Kudin!!!!" Pekiknya sekuat hati-hati. Dia bingkas bangun untuk naik ke atas rumah. Namun lelaki itu memegang lengannya.

"Aku letak kat tangan kau ni," acah Kudin semakin nakal. Pacat yang mengeliat di tangannya itu didekatkan ke tangan Edrina. Hampir sahaja mulut pacat itu mengenai kulit wanita itu.

"Buanglah!! Aku takutlah!!!!" Memekik lagi Edrina tidak tertahan.

Lelaki itu mengekek ketawa. Seronok melihat telatah isterinya itu. Takut benar!

"Yalah.... yalah.... aku buang ni," ucap Kudin lembut. Lengan isterinya terus dipegang, tidak membenarkan wanita itu naik ke atas.

"Tengok tangan kau," ucap Edrina mula tenang sedikit.

"Nah...." Kudin terus menyuakan kedua-dua belah tanannya kepada Edrina.

Edrina diam tanda puas hati setelah melihat tangan suaminya itu bebas daripada binatang yang paling ditakutinya itu. Lelaki itu dipandang geram. Ada aja oleh Kudin mahu mengacau ketenteraman dia.

Kudin ketawa perlahan sambil melabuhkan duduk di anak tangga itu. Selang satu anak tangga dari tempat duduk Edrina. Seluar jeans lusuhnya itu ditepuk-tepuk lembut untuk membuang debu di seluarnya itu. Seketika itu, dia menoleh kepada isterinya. Berderau darah Kudin melihat Edrina sedan merenungnya. Kelembutan pandangan wanita itu membuatkan dia terpesona seketika.

"Kenapa pandang aku macam itu?" Tanya Kudin hairan melihat isterinya seolah-olah masih tidak puas memandangnya.

Takde apa-apa," jawab Edrina lantas tersenyum sendiri. Apahal kau ni, Rina? Kontrol ayu sikit boleh tak? Marah hatinya sendiri.

"Fikir apa? Semacam aja muka tu?" Tanya Kudin semakin tertanya-tanya melihat gelagat Edrina lain macam.

"Kudin, kau tahu tak aku sunyi sangat kat rumah ni," ucap Edrina perlahan.

"Kan selalu kau pergi rumah mak? Nak sunyi apa lagi?" Balas Kudin biasa.

Edrina menghela nafas perlahan. Takkanlah 24 jam dia nak duduk rumah emak mertuanya untuk menhilangkan kebosanan ini?

"Kau memang tak faham..." Keluh Edrina rendah suaranya tiba-tiba.

"Habis tu kau nak ikut aku pergi ladang hari-hari ke?" Ujar Kudin lembut.

"Bukan itu yang aku nak," sambut Edrina sambil merenung jemarinya.

"Habis tu?" Tanya Kudin semula.

"Aku nak bela kucing boleh tak?"

Terbeliak mata Kudin mendengar permintaan itu. Kucing? Tiba-tiba lelaki itu terdiam sambil memandang ke hadapan. Belalah benda lain. Burung ke, itik ke, ayam ke, hamster ke.... Jangan minta bela kucing, boleh tak? Hati Kudin mendongkol sendiri.

"Boleh tak?" Tanya Edrina tatkala melihat Kudin hanya diam.

"Tak payahlah..." Jawab Kudin cukup lembut.

"Ala... kenapa pulak?"

"Sebab rumah ni dekat dengan kubur."

"Dekat dengan kubur pun kenapa? Tak boleh bela kucing?" Tanya Edrina hairan.

"Bnatang ni dia boleh dengar suara orang dalam kubur," ujar Kudin lantas menoleh kepada Edrina.

"Maksud kau?" Tanya Edrina semakin tak faham.

Kudin diam seketika untuk mencari penjelasan yang sesuai. Sebenarnya itu cuma alasan dia aja. Dulu arwah neneknya ada juga membela kucing di rumah ini. Elok aja semua kucing arwah neneknya. Ada sebab lain kenapa dia tidak mahu Edrina bela kucing dan dia tak mahu Edriina tahu apa sebab itu.

"Binatang ni boleh dengar suara orang diseksa dalam kubur. Kalau kita bela kucing pun, nanti kucing tu lari. Tak pun mati," jawab Kudin bersungguh.

"Iya ke? Aku tak tahu pulak pasal tu," jawab Edrina pantas.

"Kau tengok kawasan ini. Pernah nampak kucing kat sini?" Tanya Kudin sambil menoleh kepada isterinya itu.

Edrina terus menggeleng.

"Itulah sebabnya," sambut Kudin macam bersungguh aja. Macamlah dia tahu benar kenapa kawasan ini tidak pernah kelihatan seekor kucing pun sekarang. Sedangkan dulu,, ketika arwah neneknya masih ada, banyak juga kucing datang ke sini.

"Tapi kubur tu bukannya dekat sangat, kan? Takkan kucing tu boleh dengar sampai sini?" Tanya Edrina semula.

"Isy! Apa pulak tak boleh. Kucing ni, telinga dia tajam tau."

"Mana kau tahu telinga kucing ni tajam?" Tanya Edrina semula. Entah kenapa dia macam susah nak percaya kata-kata suaminya itu. Macam ada yang tak kena. Dari riak wajah Kudin, dia rasa lelaki itu macam sedang menyembunyikan sesuatu.

"Lah... kan bentuk telinga kucing tu tiga segi? Tajamlah tu..." Sambut Kudin pantas.

Geram dengan jawapan loyar buruk Kudin, bahu lelaki itu dipukulnya. Lelaki itu ketawa perlahan.

"Tak payahlah bela kucing. Nanti takde masa nak belek Abang Kudin. Abang Kudin ni pun nak kena bela jugak. Abang Kudin pun comel jugak. Lagi comel daripada kucing," ujar Kudin lembut. Lengannya sengaja diletakkan di atas paha wanita itu.

"Mengada!" Desis Edrina lantas mengetil lengan Kudin yang sedang berada di atas pahanya itu. Tanpa sedar nada itu kedengaran sedikit manja.

Kudin tersenyum senang melihat gelagat isterinya itu. Manis aja wanita itu di matanya. Ah! Hati ini macam dah suka aja. Aku ni macam dah syok aja kat dia ni... bisik Kudin kepada dirinya sendiri.

"Rambut kau dah panjang. Bila kau nak potong? Tak kemas," ucap Edrina mula terperasan rambut lelaki itu sudah kembang semacam. Perlahan rambut Kudin yang sedikit kusut itu diusiknya lembut. Serpihan daun yang melekat di rambut lelaki itu dibuangnya. Kemudian rambut lelaki itu dikirai dengan jemarinya.

'Nantilah aku pergi potong. Tak hensem ke aku ni kalau rambut panjang?"

"Aku tak suka lelaki yang rambut dia tak kemas," jawab Edrina pantas.

Kudin terus menyeringai sendiri. Sekarang jugak aku pergi potong rambut! Getus hatinya kembang semacam. Tetapi malaslah! Seronok pula bila terasa rambutnya dibelai-belai begitu. Bukan selalu dapat peluang begini.

"Eh! Kau dah ada ubanlah..." Getus Edrina saat terpandangkan satu helai rambut putih menyelit di celahan rambut hitam suaminya itu.

"Uban? Betul ke uban tu? Belum tua dah ada uban? Takkanlah!" Berkerut dahi Kudin. Anak pun belum ada, uban dah ada. Tak boleh jadi ni. Kena jumpa pakar rambut Yu Nam Hair Care cepat!

"Kau duduk diam. Biar aku cabutkan." Edrina memegang kepala lelaki itu yang asyik menoleh sana sini.

"Nah! Tengok ni. Uban, kan?" Ucap Edrina lantas menunjukkan sehelai rambut putih yang berjaya ditariknya.

Kudin terus membelek rambut yang ditunjukkan isterinya. Memang uban. Kemudian rambut lelaki itu diselak lagi oleh Edrina. Bahagian lain dibeleknya, mencari lagi apa-apa yang tidak sepatutnya ada di rambut Kudin. Manalah tau selain uban, Kudin pun ada kutu.

"Ada lagilah. Rambut kau ni dah rosak. Sebab tu kau ada uban," ujar wanita itu lembut. Semakin bersemangat pula dia mahu mencabut uban lelaki itu.

"Banyak ke?" Tanya Kudin dalam pada dia tegak memandang ke hadapan.

"Takdelah banyak macam atuk-atuk tu. Nanti aku cabut dulu. Kau tengok, okey?" Jawab Edrina tidak serius.

"Hmm..." Sambut Kudin senang.

Seronok punya pasal kepalanya ditadah lagi kepada Edrina. Siap terlentok di atas paha wanita itu. Sehinggakan dia terlupa kerja yang harus dibuatnya. Hasrat mahu membina pangkin tadi sudah ke laut perginya. Dia benar-benar asyik di situ. Membiarkan isterinya memanjakan dirinya. Buat pertama kalinya!

Jentolak yang sedang sibuk melakukan kerjanya itu terus diperhatikan Kudin. Tanah seluas lima hektar itu sebahagiannya sudah lapang dikerjakan oleh jentera itu. Kawasan belukar itu sudah rebah ditolak jentolak. Dalam sedikit masa lagi, projek ikan talapia dan udangnya akan dibangunkan di kawasan itu. Dan dia sudah berbincang dengan Mokhtar. Baki dua setengah hektar lagi mereka akan usahakan projek lain pula nanti. Insya Allah....

Puas memerhatikan kerja-kerja di situ, Kudin mendapatkan semula keretanya. Hari ini dia berhasrat mahu ke pekan. Kudin singgah seketika di rumah emaknya.

"Nak ikut pergi pekan?" Tanyanya sebaik sahaja ternampak Edrina di dalam rumah.

"Nak..." Jawab Edrina pantas. Terang-benderang ceria wajahnya mendengar ajakan Kudin. Semenjak berkahwin, inilah kali pertama Kudin mengajak dia keluar dari kampung.

"Mak mana?" Soal Kudin sambil mengintai lebih jauh ke dalam rumah.

"Mak kat dapur."

"Aku nak ajak mak sekali. Pergilah siap lekas," ucap Kudin lantas dia mengatur langkah ke dapur rumah.

"Mak..." Sapa Kudin dari atas rumah itu.

"Aik? Awal balik?" Tanya Mak Cik Kunah sebaik sahaja ternampak muka Kudin di ambang dapur itu.

"Nak pergi pekan. Mak, jom ikut sekali. Kita beli barang dapur," ucap Kudin.

"Hah.... elok benarlah tu. Dapur mak ni pun dah nak kosong," sambut Mak Cik Kunah segera akur,

Sementara dua wanita itu bersiap, Kudin menunggu di dalam kereta. Hari ini dia berhasrat mahu memenuhkan rumahnya dengan keperluan rumah. Takdelah Edrina bosan di rumah

Setiba di pekan sejam kemudian, Kudin berhenti di sebuah kedai perabot. Bukan main lebar lagi senyuman Edrina melihat koleksi perabot-perabot yang ada. Apabila diberi peluang oleh Kudin, dia segera menunjukkan kepakarannya menghabiskan duit Kudin.

Hal yang sama juga berlaku di kedai perkakas eletrik. Dengan senang hati Edrina meminta tv jenis LED bersaiz 48 inci. Nasib baik dia mintak yang 48 inci. Kalau ikutkan selera sebenarnya, tv yang dia mahu adalah sama besarnya dengan tapak rumah yang dia duduk dengan Kudin sekarang. Di kedai itu, semua perkakas dia hendak beli. Kalaulah ada mesin pengetip kuku automatik, itu pun dia nak beli jugak. Menggigil tangan Kudin menghulur duit kepada tauke kedai tersebut.

Kemudian Edrina menarik Kudin ke kedai baju. Laju tangannya memilih baju untuk Kudin.

"Tak payahlah. Baju banyak kat rumah," keluh Kudin cuba menolak baju yang disuakan wanita itu kepadanya.

"Memanglah banyak. Semua baju buruk. Selekeh tau tak!" Getus Edrina tetap berdegil. Dipaksanya juga Kudin memegang baju itu.

Kudin mendecit seketika. Mahu tidak mahu, dia mengacu juga baju itu ke tubuhnya.

"Cantikkan, mak?" Tanya Edrina kepada Mak Cik Kunah yang tengah asyik membelek satu baju lain.

"Cantik," jawab Mak Cik Kunah sambil tergelak kecil melihat muka anaknya itu. Sudah masam-masam asam kecut. Padan muka kau, Kudin. Dapat bini kaki shopping. Kenalah dengan kau yang kedekut tu....

"Pergi ladang aja, buat apa nak baju cantik-cantik?" Keluh Kudin tidak senang.

"Biarlah! Asyik pakai baju comot dia tu aja. Aku tak suka tengoklah!" Getus Edrina sambil menjeling. Tangannya kembali membelek baju lain pula.

Mahu tidak mahu, Kudin menurut juga. Bimbang kalau dia menolak merajuk lagi Edrina. Takpelah, Kudin. Bukannya selalu... kalau selalu alamat memang bangkraplah dia. Sekali ini aja, dah beribu duitnya habis dikerjakan dek isterinya itu. Nasiblah....

Kemudian mereka ke pasar raya berjenama murah pula. Dah nama pun si Kudin ni jenis kaki berjimat, kan? Jadi pasar raya murah itu memang sesuai untuk orang sepertinya. Tapi sebenarnya bukannya ada pasar raya berjenama mahal seperti Jaya Jusco dan sebagainya di pekan mereka itu pun.

Setelah lebih 6 jam di pekan, akhirnya Kudin mengajak pulang. Dompetnya pun macam dah mintak ampun di belakang seluarnya itu. Keretanya sendiri sudah sarat di belakang. Dah tak muat nak isi barang. Tetapi walaupun dompetnya sedang nyawa-nyawa ikan dikerjakan Edrina, dia senang hati melihat Edrina tersenyum sepanjang hari. Yalah.... dapat shopping ikut suka, manalah tak senyum lebar.

Senang aja nak ambil hati Edrina rupanya. Ajak aja pergi shopping, gerenti mood dia baik.

Lewat petang itu barulah mereka tiba di rumah. Edrina terus naik ke atas. Dia sudah tidak sabar lagi mahu mencuba telefon baru yang dibelinya. Abang Kudin yang belikan kononnya. 

Kudin hanya mampu menggeleng melihat gelagat isterinya. Dia membeli cukuplah banyak. Lepas tu bukannya nak tolong angkat. Bertuah punya bini!

Malam itu dek kerana penat dan hujan lebat, Kudin tidak ke masjid. Dia bersolat di rumah sahaja. Usai makan malam, dia duduk bersantai di ambang pintu depan memandang titisan hujan di luar. Fikirannya sarat merangka apa yang perlu dilakukan esok. Esok dia pasti sibuk.

"Kudin..." Edrina memanggil sambil keluar dari bilik. Dia terus mendekati suaminya itu.

"Apa?" Tanya Kudin lembut.

Sehari dua ini dia lihat Edrina sedikit mesra dengannya. Senyuman Edrina sudah semakin murah kepadanya. Tenking herdiknya sudah mula menyurut dan wanita itu sudah tidak kisah duduk dekat dengannya. Seperti saat ini. Dengan selambanya Edrina duduk bersandar di bahunya.

"Nanti kita masuk astro nak?"

"Astro?"

"Yalah... takde astro macam mana nak tengok tv?"

Kudin diam seketika sambil memandang ke luar. Buat seketika dia berfikir sendiri apa keperluam benda alah itu. Namun seketika kemudian dia menoleh kepada isterinya itu.

"Yalah..." Jawab Kudin akur. Kalau ada tv, dia pun boleh sekaki menontonnya.

Edrina tersenyum senang hati. Dia kembali membelek gadjet barunya.

"Nanti dalam bilik tu dah ada katil, aku kena tidur kat belakang lagi ke?" Tanya Kudin lembut. Paras isterinya yang sedang menunduk itu dipandangnya.

Edrina terus memanggung pandangan kepada suaminya. Bibirnya tersenyum tiba-tiba.

"Okey.... sebabkan katil itu kau yang beli, aku bagi kau tidur sebelah aku. Tapi kau kena janji, jangan buat macam hari tu lagi," jawab Edrina tidak menunggu lama.

"Sampai bila kau tak sudi biarkan aku sentuh kau? Kau tu isteri aku," ucap Kudin bersungguh. Ada sedikit kepedihan bermain di hatinya mendengar syarat isterinya itu.

Kali ini Edrina terdiam. Senyumnya memudar dalam pada pandangan suaminya itu dibalas. Pada wajah lelaki itu dia melihat ada harapan yang dilahirkan Kudin supaya dirinya dilayan seperti seorang suami yang sebenar.

"Kau sayang aku tak?" Tanya Edrina tiba-tiba.

"Bini aku, mestilah aku sayang," jawab Kudin bersungguh.

"Habis tu kenapa dulu kau suka buat aku benci dengan kau?" Tanya Edrina selamba.

Kudin ketawa perlahan.

"Sebab kau ni perempuan KL yang berlagak."

Edrina menjeling.

"Kau tu yang poyo macam apa entah! Tolak aku sampai jatuh dalam lubang cik B tu. Jijik tau tak!" Getusnya dengan bibir termuncung-muncung.

Kudin tergelak lagi.

"Aku bergurau aja waktu tu. Tapi itu semua, kan dah lepas. Janganlah ingat lagi pasal dulu tu," pujuk Kudin lembut. Kalaulah dia tahu Edrina akan menjadi isterinya hari ini, sumpah dia tak akan buat begitu.

"Nasib baiklah kau selalu teman aku pergi jamban. Kalau tak, sampai bila-bila aku tak suka dengan kau," sambut Edrina selamba membuatkan Kudin ketawa sendiri.

"Kalau aku mintak sesuatu boleh?" Tanya Kudin perlahan.

"Apa?"

"Nanti belajar memasak dengan mak ya? Aku dah tak larat nak makan kedai. Makan kat kedai ni, tak kenyang."

Edrina terdiam seketika sambil memandang lelaki itu. Dia teringat kata-kata emak mertuanya dahulu. Kudin memang tidak suka makan di kedai. Sarapan paginya kena buat begini.... kena buat begitu. Mana-mana wanita pun, baik di bandar atau di kampung, tanggungjawab menjaga makan pakai suami tetap tergalas kepada isteri. Siapa lagi yang kena faham semua itu jika bukan dia sebagai seorang yang dinamakan isteri.

"Okey..." Jawab Edrina akur akhirnya. Matanya dialihkan semula kepada skrin telefon pintarnya itu.

"Belajar buat air..." Ucap Kudin lagi.

"Okey..." Jawab Edrina antara dengar dengan tidak kata-kata Kudin.

"Basuh baju aku..."

"Okey..."

Kudin terdiam seketika memandang isterinya. Aik? Semua boleh? Selalunya Edrina kuat melenting. Betul ke tidak dia ni? Kudin macam tak percaya.

"Sayang aku sebagai suami..." Duga Kudin lagi.

"Okey..." Jawab Edrina.

"Tidur dengan aku mulai malam ini..."

"Okey..." Jawab Edrina dalam kelekaan. Tanya Edrina sedikit meninggi.

Edrina terus memandang suaminya. Dia rasa dia macam dengar sesuatu yang aneh tadi. Bunyinya macam 'tidur dengan aku...' dan dia pulak terus jawab okey. Okey? Oh no! Yang itu belum okey!

"Ermm... jom kita buat air kopi, cicah dengan biskut kering yang kita beli tadi. Sedap!" Ajak Kudin terus mengelak. Dia menolak sedikit tubuh wanita itu sebelum bangun.

"Cepatlah! Nak ke tak nak?" Tanya Kudin setelah dia hampir sampai ke dapur. Edrina masih bersimpuh di tempat yang sama memandang kepadanya dengan muka blur.  

"Nak..." Pantas wanita itu bangun mengejar Kudin. Biskut pun biskutlah!

"Sedap..." Tanya Kudin saat memandang isterinya bukan main laju lagi mengunyah biskut yang dicicah dengan air kopi kampung yang dibancuhnya.

"Sedap..." Sambut Edrina. Tak sangka... sedap juga. Kena pula dengan selera dia kali ini.

"Bestkan? Aku tak suka biskut kering. Tapi kalau sesekali cicah dengan air kopi memang sedap. Nak-nak lagi kalau musim hujan. Perut cepat lapar," ucap Kudin ikut mencicah juga. 

"Kau tu kayu dengan batu aja yang kau tak makan," cebir Edrina. Kudin punya mencicah, dekat setengah tin biskut itu habis dikerjakannya. Dia mencicah sekeping sekali cicah. Kudin? Lima keping biskut terus!

Kudin tergelak perlahan. Bila dah bosan... inilah jadinya. Makan pun laju aja.

"Makan banyak-banyak. Nanti sakit perut lagi, aku yang kena temankan kau pergi jamban," ucap Kudin mengusik perempuan itu.

Edrina tergelak pula tiba-tiba. Duduk di kampung habis hilang standard Tengku dia. Dia pun dua tiga hari ini dah berjangkit dengan si Kudin. Suka makan banyak. Akibatnya tengah malam nanti, Kudin juga yang kena teman dia membuang. Nasiblah.... siapa suruh ajak mencicah tadi.

Tengah malam itu...

Edrina sudah lama menghilang ke dalam biliknya. Tengah enak membuai mimpi agaknya. Kudin mula menutup lampu. Dia pun mahu beradu rasanya. Namun kakinya terhenti tatkala mahu memasuki tempat tidurnya. Dia memandang seketika ke ruang tamu. Buat seketika dia berkira-kira sendiri.

"Agak-agak dia bagi ke tak ek?" Ucap Kudin sendiri.

Tadi dia kata boleh tidur sebelah dia. Tapi, itu sebab aku dah belikan dia katil. Katilnya belum sampai lagi. Takkan nak tunggu katil sampai dulu baru boleh tidur sebelah dia? Kudin terus berkata-kata sendiri, dalam pada pandangannya terus membelah kegelapan di ruang tamu rumah itu.

"Ah! Belum cuba belum tahu...." Bisik Kudin sendiri. Akhirnya dia mengatur langkah ke bilik Edrina. Dengan derap perlahan dia masuk ke ruangan itu.

"Assalamualaikum... tidur dah ke?" Seru Kudin cukup perlahan.

Senyap! Kudin tersengih sendiri. Dia terus masuk ke dalam kelambu. Isterinya sedang mengerekot kesejukan di tengah-tengah tilam lembik itu.

"Abang Kudin tumpang kat sini boleh?" Ucap Kudin dengan suara halus. Masih juga tiada jawapan. Kudin mula melabuhkan tubuhnya di sebelah Edrina.

"Kata orang dulu-dulu, diam tu maknanya setuju. Kira setujulah tu ya?" Ucap Kudin sengaja membuat suara kartun di situ sambil menyeringai seorang diri. Padahal wanita itu sudah hanyut entah ke mana. Dah lena... manalah Edrina mampu menjawab lagi.

Buat seketika Kudin memandang sahaja ke arah isterinya. Rambut wanita itu diusapnya penuh kelembutan. Lama-kelamaan usikannya membuatkan Edrina tersedar daripada lenanya.

"Hujan lebat kat luar. Aku tumpang tidur kat sini ya? Sejuk tidur sorang-sorang," ucap Kudin agak rendah sebelum sempat Edrina berkata apa-apa. Sengaja dia buat suara begitu untuk minta simpati wanita itu.

Edrina mengangguk sahaja. Malas dia mahu bertekak malam-malam buta begini. Matanya terus dipejamkan untuk menyambung tidur.

"Peluk sikit boleh?" Soal Kudin perlahan.

Edrina kembali membuka matanya. Wajah lelaki itu samar-samar sahaja di matanya.

"Peluk aja tau! Jangan lebih-lebih," jawabnya perlahan.

"Okey..." Kudin tersenyum. Tubuh perempuan itu diraihnya rapat kepadanya. Peluk pun peluklah... daripada tak dapat apa-apa, okeylah ni!

Namun seketika kemudian tangan Edrina ikut beralih ke tubuh lelaki itu. Lelaki itu turut dipeluknya erat tanpa segan silu. Dalam hati Kudin mengucap syukur tidak terhingga dengan perubahan itu.

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078