Berdasarkan perjanjian perkongsian kod itu, MAS secara tidak langsung boleh menawarkan perkhidmatan penerbangan ke 90 destinasi menggunakan kapasiti Emirates meliputi Eropah, Asia Barat, Afrika dan Amerika Syarikat (AS) bermula 2016.

Bagi Emirates, ia boleh meluaskan akses pasarannya di Malaysia, Asia Tenggara dan sekitarnya menggunakan kapasiti MAS.

Penganalisis Maybank IB Research, Mohshin Aziz berkata, keputusan untuk berkongsi kod penerbangan itu adalah antara pengumuman terbaik yang pernah dilakukan oleh MAS. Ini kerana sentimen negatif pasaran asing terhadap MAS agak sukar untuk dipulihkan lagi secara bersendirian oleh MAS.

“Imej MAS kini agak buruk dalam kalangan penumpang antarabangsa ekoran dua tragedi yang berlaku pada 2014, dan ia sukar untuk dipulihkan untuk tempoh yang lama. Oleh itu lebih baik MAS menghentikan laluan jarak jauhnya ke Eropah yang hanya menyebabkan kerugian,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

Jelas Mohshin, berdasarkan terma-terma perkongsian kod yang diumumkan itu, MAS akan memberhentikan perkhidmatan penerbangan terus ke Paris, Perancis dan Amsterdam, Belanda, dan sebaliknya akan menggunakan kapasiti Emirates untuk ke dua destinasi itu.