Pages

Thursday, December 24, 2015

Rayani Air Dialu-Alukan Di Sarawak



KUCHING 23 Dis. – Kerajaan negeri menyambut baik hasrat syarikat penerbangan patuh syariah pertama Malaysia, Rayani Air untuk mengadakan penerbangan ke Sarawak. 

Menteri Pelancongan negeri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, beliau setakat ini bagaimanapun belum menerima permohonan rasmi atau maklumat lanjut berhubung hasrat syarikat berkenaan.

Katanya, beliau hanya mengetahui rancangan Rayani Air untuk mengadakan penerbangan ke Sarawak melalui apa yang dibaca di akhbar.

“Setakat ini, saya tidak pasti sama ada ia (Rayani Air) adalah syarikat tambang murah atau sederhana atau premium.

“Saya tidak dapat mengulas lanjut mengenainya tetapi secara umum, kita mengalu-alukan penerbangan syarikat ini ke Sarawak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutupan Program Kesedaran Belia Islam 2015 yang disertai 50 peserta di sini semalam.

Rayani Air melancarkan penerbangan sulung dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) ke Pulau Langkawi kira-kira pukul 10 pagi kelmarin, diikuti penerbangan pertama dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, Kelantan pada pukul 4.40 petang semalam.

Menurut Abang Johari, selain Rayani Air, sebuah syarikat penerbangan berpangkalan di Hong Kong dijangka memulakan penerbangan ke negeri ini mulai April tahun depan.

Beliau berkata, setakat ini, penumpang penerbangan ke negeri ini mempunyai pilihan untuk menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS), AirAsia dan Malindo, selain beberapa penerbangan catar.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri sudah meminta syarikat penerbangan berkaitan mengadakan penerbangan lebih kerap ke negeri ini terutama Bintulu dan Samalaju.

“Kementerian saya bagaimanapun belum mendapat maklum balas terhadap permintaan ini kerana difahamkan syarikat penerbangan seperti MAS masih menjalani penstrukturan semula.

“Kita mahu MASWings menjadi pengusaha serantau tempatan di Sarawak dan Sabah tetapi pengurusan baharu MAS mungkin mempunyai pendekatan berbeza,” ujarnya.

Ditanya sama ada kerajaan negeri akan meneliti pilihan lain untuk menambah penerbangan ke negeri ini, beliau memberitahu, orang ramai masih mempunyai banyak pilihan ketika ini.


SUMBER: Sinar Online

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078