Pages

Tuesday, October 25, 2016

Bab 18 Novel Si Kolot Suamiku




Sebelum ke masjid, Kudin sempat termangu seketika. Dia perasan semenjak tadi, Edrina tidak keluar dari biliknya. Ambang bilik isterinya sempat dipandang. Gelap sahaja bilik itu.

"Dah tidur ke maghrib-maghrib ni? Senyap aja?" Kudin tertanya sendiri sambil menggaru kepalanya.

Nak kena ketuk ke? Karang dia marah aku pulak, bisik hati Kudin. Namun memikirkan waktu begini tidak elok untuk tidur, Kudin mendekati juga kamar itu.

"Rina...." Panggil Kudin dari arah luar. Tiada jawapan yang kedengaran dalam sesaat dua itu.

"Rina...." Kudin memanggil lagi sambil tirai di ambang bilik itu dikuaknya sedikit. Kepalanya dijengukkan ke dalam. Suasana bilik itu gelap-gelita membuatkan dia tidak nampak di mana Edrina berada.

Akhirnya Kudin masuk ke dalam. Pantas jemarinya mencari suis lampu untuk melihat keadaan Edrina dengan lebih jelas lagi. Sudah larikah wanita itu? Sangkaan itu sempat memalu hebat dada Kudin.

Namun sebaik sahaja bilik itu diterangi oleh lampu kalimantang, batang tubuh Edrina dilihat Kudin kaku sahaja di atas tempat tidur. Ketika dihampiri Edrina langsung tidak berkutik.

"Tidur mati ke apa? Maghrib macam ni pun boleh membuta lagi! Katil ni dah macam tempat kerbau berkubang. Pemalas punya perempuan!" Dengus Kudin tidak senang melihat tabiat isterinya itu.

"Rina..." Panggil Kudin lantas bahu wanita itu dicuitnya. Namun Edrina terus tidak memberi sebarang reaksi. Kudin sempat meraba dahi Edrina. Suhu badan Edrina tidak menunjukkan wanita itu sedang demam pula.

"Hei, bangunlah!" Panggil Kudin lebih kuat lagi. Kali ini dia nekad menggoncang tubuh wanita itu agar Edrina tersedar.

Kali ini barulah ada sedikit gerakan pada tubuh itu. Namun sebaik sahaja membuka mata Edrina mengerang agak kuat sambil mengerekot di atas tilam lembik itu.

"Kau ni kenapa? Tak cukup lagi membuta dari petang tadi?" Tanya Kudin dengan suara agak meninggi.

Edrina sekadar membuka sedikit matanya. Wajah Kudin tidak ingin dipandangnya. Dia terus berpaling ke arah lain.

"Bangun! Jangan nak membuta lagi," jerkah Kudin lantas bahu Edrina ditariknya kasar agar memandang kepadanya.

"Janganlah kacau aku. Aku sakit perut ni...." Adu Edrina kian lemah. Tangan kasar lelaki itu ditolak dari bahunya.

"Dah! Dah! Jangan nak mengada-ngada! Bangun! Pergi mandi sana! Hee... pemalas punya perempuan. Satu benda pun tak berguna!" Rungut Kudin enggan melayan aduan Edrina. Wanita itu terus ditinggalkannya di situ.

Sayu hati wanita itu mendengar ucapan lelaki itu. Tanpa sedar kolam matanya mula bertakung dan melimpah segera.

Esakan halus yang kedengaran di bilik itu membuatkan kaki Kudin terus terpaku, tidak jadi untuk keluar dari bilik itu. Kudin menoleh semula ke arah Edrina. Bahu isterinya dilihat terhinggut-hinggut. Esakan itu segera memberitahunya yang wanita itu tidak berbohong tentang sakitnya.

"Kau sakit?" Tanya Kudin setelah tilam itu didekatinya.

Edrina tidak menjawab dengan kata-kata sebaliknya esakannya semakin menghebat. Kesakitan yang sudah dirasainya semenjak petang tadi bagaikan sudah tidak tertahan.

Kudin mula duduk di sisi wanita itu. Tubuh Edrina ditarik agar memandangnya. Tiba-tiba dirinya disapa rasa simpati pula apabila terpandangkan air mata yang cukup lebat mengalir di pipi isterinya itu.

"Kau makan apa tengah hari tadi?" Tanya Kudin. Nada kasarnya sudah lenyap berganti dengan kegusaran.

"Kenapa kau nak pedulikan aku? Pergilah! Aku benci hidup macam ini! Aku benci kau!" Jerit Edrina tidak tertahan. Tangan lelaki itu ditepisnya. Dia kembali berbaring di atas tilam itu. Tangisannya semakin kuat mengenangkan nasibnya.

Kudin terpaku memandang wanita itu. Tiba-tiba dia merasa bersalah pula kerana membuat wanita itu menangis.

"Kau makan apa petang tadi?" Tanya Kudin sekali lagi.

Edrina sekadar menggeleng sambil memegang perutnya yang semakin sakit. Memang pun dia tidak ada memakan apa-apa untuk mengisi perutnya. Sekadar biskut kering pun tiada disediakan Kudin untuk dia mengalas perut. Disuruh dia memasak... manalah dia tahu!

"Astaghafirullah...." Kudin beristighfar kesal. Kini dia tahu Edrina sudah mengalami gastrik.  Tengah hari tadi dia sengaja tidak pulang menghantar makanan seperti sebelum ini. Dia mahu melihat sejauh mana Edrina mampu berdikari di rumah ini tanpa dirinya. Sayangnya, ini pula yang terjadi.

"Aku nak balik, Kudin. Aku tak mahu hidup macam ni. Tolonglah hantar aku balik rumah papa aku. Ini bukan kehidupan aku. Tolonglah jangan seksa aku dengan semua ni lagi. Aku dah tak tahan hidup kat sini," rayuan itu teralun bersama tangisan yang semakin pecah berderai.

Retak hati Kudin mendengar permintaan wanita itu. Sebuah keluhan dihela perlahan, dalam pada dia memandang tubuh wanita yang sedang tertiarap di atas tilam itu.

"Kau tunggu sini. Aku masakkan kau sesuatu. Lepas tu kita pergi klinik. Tunggu sekejap!" Ucap Kudin bersungguh.

Lelaki itu bingkas bangun meninggalkan Edrina yang masih bertangis-tangisan di atas tilam itu. Kudin segera menenggek nasi. Kepalanya digaru seketika dalam pada dia memikirkan apa yang harus diberikan kepada Edrina sementara menunggu nasi itu masak.

Mulalah dia berfikir nak membancuh milo. Bolehlah cicah dengan roti ke... biskut ke... Tapi mana dia pernah membeli milo. Yang ada hanya kopi di dapur itu. Biskut? Dia mana suka makan biskut kering. Jadi di tak beli. Roti? Tak terfikir pulak dia nak beli roti, simpan di rumah. Takut membazir pulak kalau tak makan.

Kudin tersandar sendiri ke dinding dapur itu. Patutlah Edrina tidak makan langsung. Memang tiada apa yang boleh dimakan selain daripada bahan-bahan mentah yang perlu dimasak. Inilah akibatnya bila dia kedekut benar. Sekarang tanggunglah akibatnya!

Akhirnya Kudin memadamkan semula api dapur itu. Dia memutuskan untuk menghantar Edrina ke klinik dahulu. Sambil itu bolehlah dia mengajak Edrina makan di luar sahaja.

"Rina, kita klinik ya? Cepat siap," ucap Kudin setelah dia kembali semula ke bilik itu.

"Aku nak balik KL," jawab Edrina tanpa membuka mata.

"Kau sakit ni. Kita ke klinik dululah. Jangan fikir yang lain." pujuk Kudin sudah semakin bimbang dengan keadaan isterinya yang sudah lain macam.

"Aku nak balik rumah aku, Kudin." Edrina berkata lagi setelah membuka matanya.

"Yalah... Tapi kita pergi ambil ubat dulu." Tanpa menunggu jawapan wanita itu, Kudin terus membangunkan tubuh isterinya itu. Lembik benar Edrina saat dibangunkan dari tilam.

Lima minit kemudian mereka sudah dalam perjalanan. Betapa kencangnya kereta itu dilarikan Kudin. Harap-harap ada klinik yang buka malam-malam begini. Sepanjang perjalanan itu, hati Kudin gusar tidak terkata saat mendengar erangan wanita itu. Beberapa kali dia menyaksikan Edrina mengerekot di atas kerusi di sebelahnya sambil memegang perut. Lebih sayu lagi hatinya tatkala mendengar Edrina merintih sendiri.

"Mama, Rina nak balik..."

"Jangan lupa makan ubat ni ikut masa ya? Jangan makan lambat lagi. Semua sekali 45 ringgit," ucap gadis di sebalik kaunter dispensari itu.

"Terima kasih..." Ucap Kudin setelah menyerahkan bayaran yang diminta kepada pembantu klinik itu. Bungkusan ubat itu terus diambilnya. Edrina yang duduk membatu di kerusi segera didekati. Sebelum sempat Kudin mengajak, Edrina terus bangun dan keluar dari klinik itu.

"Aku nak balik KL," ucap Edrina sebaik sahaja pintu klinik itu ditutup Kudin. Lelaki itu terus memandang isterinya dengan riak wajah terkejut.

"Balik KL nak buat apa?" Tanya Kudin sedikit kalut. Ah! Bukannya dia tidak faham apa maksud Edrina di sebalik kemahuannya itu.

"Aku nak kita bercerai," jawab Edrina nekad.

Kudin menelan liurnya payah. Cerai? Belum sebulan mereka menjadi suami isteri Edrina sudah menyebut soal cerai. Retak hati lelaki itu dibuatnya.

"Kita dapatkan kereta dulu," pujuk Kudin cuba berdiplomasi dengan wanita itu. Dia tahu, dia tidak seharusnya cepat melatah seperti pagi tadi. Dia tidak ingin mengulangi lagi kesalahannya yang itu.

Kudin menghela nafas perlahan sebaik sahaja mereka sampai di kereta. Edrina mula mengeraskan dirinya enggan masuk.

"Masuklah dulu. Kita bincang kat dalam," pujuk Kudin lembut. Lengan wanita itu dicapainya namun sepantas kilat juga Edrina menolak tangannya.

Edrina terus bungkam di tepi kereta itu. Matanya dihalakan ke arah lain dengan riak wajah kosong. Pujukan Kudin langsung tidak mampu mengubati hatinya saat ini.

"Rina... Aku dah minta maafkan? Aku janji takkan biarkan kau lagi. Tolong jangan buat aku macam ni," ucap Kudin sedikit tertekan.

"Aku tak mintak maaf kau, Kudin. Aku cuma nak kau lepaskan aku dan hantar aku balik KL. Perkahwinan ini memang satu kesilapan, Kudin. Kita ni memang tak serasi bersama. Aku dah tak sanggup melalui semua ni. Tolonglah faham aku sekali ni. Hantar aku balik rumah orang tua aku," getus Edrina enggan mendengar pujukan Kudin.

"Takkanlah kerana hal sekecil itu kita nak bercerai-berai? Aku tahu aku tak sepatutnya biarkan kau tadi. Aku menyesal sangat, Rina. Bagilah aku peluang memperbetulkan kesalahan aku. Jangan hukum aku macam ni," ucap Kudin sayu.

"Nak buat kau memaksa diri untuk aku lagi? Aku pun tak haraplah kau nak menyusahkan diri untuk aku, Kudin. Aku tau kau buat semua ni sebab terpaksa. Aku pun tak mahu jadi beban pada kehidupan kau," balas Edrina terus meninggikan suaranya.

Kudin terdiam menghela nafas perlahan. Sungguh saat ini dia benar-benar kalut dengan kehendak Edrina mahu pulang ke KL. Dan dia juga tidak tahu apa yang perlu dibuat lagi jika Edrina tidak sudi menerima maafnya. Dia pun bukannya ada kepakaran mencantum ayat power untuk memujuk orang. Akhirnya Kudin hanya mampu menggaru kepalanya kebuntuan.

Edrina menggeleng perlahan. Muak dia mahu berlama-lama di pekan kecil ini. Kalau Kudin enggan menghantarnya balik ke KL malam itu juga, biarlah dia mencari jalannya sendiri. Tiba-tiba sahaja wanita itu meluru ke arah belakang kereta itu.

"Rina nak ke mana tu?" Kudin mula panik melihat Edrina tiba-tiba menjauhinya. Langkah wanita itu terus dikejarinya.

"Rina" Kudin memanggil lagi dengan langkah laju mengejar. Tidak sampai beberapa saat kemudian lengan Edrina terus dicekupnya sebelum sempat wanita itu melintas jalan raya.

"Lepaslah kau nak apa lagi dengan aku ni? Aku ni menyusahkan hidup kau aja, kan? Aku nak balik KL. Lepaskan aku" Ucap Edrina meninggi sambil dia cuba melepaskan pegangan suaminya itu. Namun dia tidak mampu. Tangannya dipegang terlalu kuat oleh lelaki itu.

"Lepaslah" Jerkah Edrina dengan dada turun naik menahan marah.

"Janganlah macam ni. Cubalah bawak bersabar," pujuk Kudin sambil cuba menghela nafas sabar. Wanita itu dipaksanya kembali ke kereta. Mujurlah dalam jam-jam sebegini sudah tidak ramai manusia di pekan itu. Jika tidak, pasti pertengkaran mereka menjadi sajian pandangan orang ramai.

"Hei, lepaslah" Edrina cuba memukul tangan Kudin namun semua usahanya tidak berjaya.

Kudin terus membuka pintu keretanya.

"Masuk dulu. Kita bercakap kat dalam. Dalam kereta nak jerit kuat mana pun aku aja yang dengar. Sekurang-kurangnya takdelah malu tengok dek orang," ujar Kudin masih cuba berlembut. Dia tahu dalam keadaan ini, salah seorang kena mengalah selalu. Dan dia tahu memang dialah orang itu.

"Tak nak" Cabar Edrina siap dengan jelingan tajamnya.

"Please.. kau masih belum makan lagi. Nanti kau sakit lagi."

"Aku tak akan ada selera nak makan selagi muka kau ada depan mata aku. Tolonglah, Kudin. Ini kali terakhir aku akan menyusahkan kau. Lepas ni kau tak perlu nak buat apa-apa lagi untuk aku. Aku tak ingin hidup kat sini atas belas kasihan orang lain, Kudin. Tolonglah faham..." Ucap Edrina separuh merintih.

"Rina takde istilah menyusahkan dalam hubungan kita ni. Aku memang salah cakap macam tu pada kau pagi tadi. Aku terlepas cakap, Rina. Waktu tu aku tengah marah. Aku betul-betul minta maaf," ucap Kudin rendah sahaja. Tangan isterinya itu cuba disentuhnya. Sekali lagi Edrina menepis sehingga plastik ubat di tangan Kudin tercampak ke atas aspal.

Melihat Edrina tidak mahu mengambilnya, Kudin pergi mengutipnya.

"Janganlah macam ni. Kau nak aku buat apa lagi?" Keluh Kudin sudah kebuntuan untuk memujuk.

Edrina senyum sinis. Kepalanya digelengkan lagi.

"Tak payah buat apa-apa untuk aku. Aku nekad! Walaupun aku akan dibuang keluarga sebab ini, aku dah tak kisah lagi. Aku nak kau ceraikan aku! Aku nak balik KL sekarang jugak! Kau tak mahu hantar, takpe! Aku boleh balik sendiri," jawab Edrina serius.

"Rina, janganlah macam ni..." Kudin sempat meletakkan tangan di badan keretanya tanda tidak membenarkan wanita itu pergi.

"Tak baik minta cerai daripada suami, Rina..."

"Kau pun tak suka dengan semua perangai aku, kan? Jadi apa kau nak kisah?" Pintas Edrina keras.

"Masuklah dulu. Kita bincang kat dalam," Kudin merendahkan lagi suaranya demi meraih ketenangan wanita itu. Hanya itu yang dia harapkan sekarang. Dia hanya berharap kemarahan Edrina reda kepadanya.

"Kalau aku tahu kesengsaraan inilah yang terpaksa aku hadap, aku tak ingin kahwin dengan kau, Kudin. Baik aku setuju aja dengan permintaan papa supaya bekerja di Semarak Holding. Kahwin dengan kau pun apa guna? Syarikat tu tetap takde pengganti. Aku pulak terpaksa terperuk kat tempat jin bertendang ini semata-mata sebab kau suami aku!" Ucap Edrina sambil menudingkan jarinya kepada Kudin.

Kudin diam menelinga sahaja kata-kata wanita itu. Matanya dihalakan ke arah lain dengan wajah cukup mendung. Berkali-kali dia menghela nafas untuk meredakan tekanan yang sedang memberat dalam dirinya saat ini.

"Dahlah rumah buruk. Semua benda takde. Air paip pun takde. Kena mandi air perigi. Kau ingat macam mana aku nak terima keadaan tu? Kau bolehlah hidup macam tu. Kau tu memang kolot! Tapi aku tak boleh. Kau nak paksa aku harungi keadaan yang aku tak mampu terima. Patut ke, Kudin?" Sambung Edrina dalam pada Kudin hanya diam.

"TV pun takde. Aku dah macam orang gila sorang-sorang dalam rumah buruk kau tu. Kau suka sangat nak duduk situ, kau duduklah sorang. Jangan paksa aku ikut selera kau," ujar Edrina sebal.

Penat bercakap akhirnya Edrina ikut membisu sambil berpeluk tubuh. Tubuhnya disandarkan ke badan kereta. Dia juga sudah kering idea mahu meleterkan suaminya itu. Melihat Edrina sudah berdiam, Kudin kembali memandang isterinya itu. Harap-hara marah Edrina sudah tidak setebal tadi.

"Masuklah... kita pergi makan ya?" Pujuk Kudin cukup lembut.

"Tak nak!" Ucap Edrina siap dengan cebikan.

"Marilah pergi makan. Nanti kau sakit lagi," ucap Kudin bersungguh.

Isterinya ditarik lembut ke pintu kereta yang sedang terbuka luas semenjak tadi. Kai itu Edrina tidak melawan. Sehingga pintu kereta itu selamat ditutup oleh Kudin, dia sekadar pasrah begitu sahaja. Kudin sempat mengucap syukur melihat Edrina mengalah juga.

"Nak makan apa?" Tanya Kudin sebaik sahaja masuk ke dalam kereta itu.

"Makan tomyam nak?" Tanya Kudin bersungguh-sungguh mahu mahu mengambil hati isterinya itu.

Edrina hanya membatu sahaja sambil memandang ke hadapan. Dalam keadaan perutnya sebu begini sebutlah tomyam apa pun, dia tidak berselera.

"Rina..." Panggil Kudin lembut. Jemari wanita itu dicapainya.

"Aku sungguh-sungguh minta maaf pasal pagi tadi. Sekarang ni kita pergi makan ya?"

"Aku tak berselera," ucap Edrina terus menarik jemarinya daripada lelaki itu.

Kudin diam tidak menjawab. Kereta terus digerakkan pergi. Namun lima minit kemudian mereka berhenti di sebuah gerai yang kelihatan agak meriah dengan hiasan lampu.

"Kita makan kat sini ya?" Ucap Kudin setelah berpaling ke arah isterinya itu.

Edrina hanya diam tidak memandang suaminya. Kudin terus keluar dari kereta. Kemudian dia segera pergi ke arah tempat duduk isterinya itu. Edrina sempat mengalihkan pandangan apabila ternampak Kudin sedang membuka pintu sebelahnya.

"Jom..." Dalam nada penuh kelembutan Kudin mengajak lagi. Tangan wanita itu sempat dicapainya untuk mengajaknya turun.

Mahi tidak mahu, Edrina akur juga dalam keadaan hati yang masih bengkak kepada lelaki itu. Dia membiarkan sahaja Kudin menarik dia pergi ke arah gerai itu.

"Nak makan apa?" Soal Kudin kepada isterinya. Edrina langsung tidak menyentuh menu yang diberikan oleh pelayan sebentar tadi. Dia lebih suka memandang ke arah luar..

Edrina menggeleng sahaja tanpa menoleh.

"Makanlah sikit. Tak baik biarkan perut tu terus kosong. Nanti kau sakit lagi, Rina. Please..." Kudin memujuk lagi dengan sedikit kesabaran. Jemari wanita itu diramasnya lembut.

"Kau nak makan, kau makan ajalah! Sibuk nak paksa-paksa orang makan dengan dia," getus Edrina lantas menartik tangannya daripada lelaki itu.

"Aku orderkan sup ayam ya?"

Edrina diam sambil mendengus. Kali ini dia lebih rela menahan lapar daripida makan hasil daripada duit lelaki itu. Dia tidak mahu terus menyusahkan Kudin menyuap mulut anak orang kaya sepertinya lagi.

"Kalau tak mahu sup ayam... aku orderkan nasi goreng. nak?"

"Kau nak makan, kau makanlah, Kudin. Tak perlu susahkan diri kau semata-mata untuk makan minum aku. Aku tak mahu terus menyusahkan kau, okey!" Balas Edrina tajam sambil menoleh sekilas kepada lelaki itu.

"Rina, tolonglah jangan buat aku macam ni. Aku tak bermaksud macam tu. Takde apa yang menyusahkan pun, Rina. Aku tak sengaja cakap macam tu pada kau," rayu Kudin cukup sayu. Tanpa segan silu jemari wanita itu dicapai lalu dibawa ke bibirnya. Betapa hanya Tuhan sahaja yang tahu sayu hatinya mendengar ucapan Edrina. Dia tahu Edrina masih berkecil hati tentang itu.

"Pedulilah apa pun maksud kau. Kalau aku mati pun, apa kau nak kisah, ya tak? Senanglah hidup kau, tak payah buat apa-apa untuk aku lagi," balas Edrina tetap mengeraskan hatinya. Sukar dia mahu menepis rasa terlukanya dengan ucapan Kudin itu. Dia terasa seolah-olah dirinya satu beban yang cukup besar kepada lelaki itu.

Kudin menghela nafas perlahan sambil meraup wajahnya. Buat seketika dia terus memandang iterinya yang masih mengeraskan dirinya di kerusi. Namun kemudian dia melambai pelayan juga. Tanpa meminta persetujuan Edrina lagi, Kudin memesan sup ayam untuk wanita itu.

Sepanjang menanti hidangan, mereka berdua membisu sahaja. Kudin sendiri sudah kehabisan idea untuk melembutkan hati Edrina. Isterinya itu langsung tidak mahu memandangnya semenjak tadi. Air yang dihantar pelayan langsung tidak disentuh Edrina. Gusar benar hati Kudin melihat Edrina nekad begitu.

"Makan ya?" Ucap Kudin setelah hidangan mereka tiba di meja. Sup ayam itu didekatkan kepada Edrina.

Edrina sekadar menggeleng. Memandang hidangan itupun dia tak sudi.

"Rina, tak baik buat rezeki macam ni. Tengok ni... nampak sedap tau. Cubalah rasa," Kudin memberanikan dirinya menarik wajah wanita itu agar memandang mangkuk sup itu. Manatahu selera Edrina terpancing. Namun cepat sahaja Edrina menepis tangannya.

Mati akal Kudin dengan kekerasan hati Edrina kala itu. Kepalanya digaru perlahan. Pandangan pelayan yang memandang sahaja gelagat mereka berdua, langsung tidak dipedulikannya.

"Apa yang patut aku buat lagi, Rina? Janganlah buat aku macam ni..."

"Aku nak kau ceraikan aku. Aku tak mahu hidup dengan kau. Kau jangan harap aku akan lembutkan hati aku dengan sup berasap-asap tu. Aku tak nak makan apa-apa pun makanan yang asalnya datang daripsada duit kau!" Jawab Edrina sambil menoleh kepada suaminya itu. Mangkuk sup itu segera dijauhkan daripadanya.

Kudin terkedu memandang Edrina. Kelat rasanya liur yang ditelan. Sampai macam ni sekali permintaan Edrina kepadanya. Dia benar-benar tersepit saat ini. Dia sudah tidak tahu apa yang harus dibuatnya. Akhirnya bukan sekadar sup Edrina tidak luak... dia juga tidak berupaya menyuap rezeki ke mulutnya dalam keadaan hatinya begini.

Gusar hati si suami rupanya tidak habis di situ sahaja. Keesokan hari sebelum pergi ke ladangnya, Kudin sempat mendapatkan sarapan pagi untuk isterinya. Sebungkus nasi lemak dan tiga jenis kuih sempat ditinggalkan buat Edrina.

"Aku dah belikan sarapan. Nanti makan ya? Jangan membazir. Tak baik," ucap Kudin tatkala wanita itu dijengahnya dari ambang pintu. Edrina ketika itu sedang menyisir rambutnya di tepi tilam.

Edrina tidak menjawab biarpun dia sedar Kudin masih berada di situ menanti jawapannya. Melihat mood Edrina masih ke laut... Kudin masih ke dalam bilik. Dia berdiri seketika di hadapan wanita itu. Edrina terus mengalihkan pandangan ke arah lain.

"Makan ya?" Pujuk Kudin lagi. Perlahan dia meletakkan lututnya di atas lantai. Kemudian kedua-dua belah tangannya diletakkan di pipi wanita itu. Wanita itu dipaksa memandangnya. Buat seketika mata yang sedikit berkaca itu ditatapnya. Akhirnya dia tunduk mengucup dahi wanita itu lembut.

Edrina terus menundukkan wajahnya sebaik sahaja Kudin melepaskan tangan daripada pipinya. Kenapa setelah hatinya jauh begini barulah Kudin nak melayan dia seperti ini? Kenapa masih berlagak seperti seorang suami kalau lelaki itu terasa susah memiliki isteri seperti dia?

"Aku pergi kerja dulu," ucap Kudin terus sabar untuk menebus semula kesalahannya.

Edrina terus bungkam tanpa sepatah kata. Pemergian lelaki itu tetap tidak dipandangnya. Kudin kecewa melihat reaksi Edrina yang langsung tidak berubah semenjak semalam. Puas dia memujuk namun wanita itu tetap keras hati.

Tengah hari itu Kudin pulang membawa makan tengah hari pula. Namun sekeping hati lelakinya berkecai seribu melihat sarapan pagi tadi langsung tidak disentuh Edrina. Tanpa sesaat pun dibazirkan dia terus ke bilik. edrinaa dilihatnya sedang berbaring membelakangkan pintu bilik.

Kudin terus masuk. Hatinya semakin tidak keruan tatkala matanya melihat ubat gastrik yang diberikan doktor semalam sudah terkeluar daripada plastik dan ada gelas berisi air kosong di tepi tilam itu. Bermakna Edrina sudah menelan ubat itu.

Kudin menghela nafas perlahan. Sesungguhnya dia tidak lega melihat isterinya terus menyeksa diri begitu.

"Rina... Panggilnya sambil menyentuh bahu isterinya itu. Wanita tua itu terus ditarik agar menghadap kepadanya.

"Kenapa tak makan nasi yang aku beli tadi, Rina? Kau lebih rela makan ubat ni daripada makan nasi tu? Kenapa sampai macam ni sekali kau buat pada diri kau sendiri? Apa lagi yang kau nak aku buat?" Ucap Kudin sambil menggeleng sendiri.

"Kau tahu apa yang aku nak! Aku nak kau ceraikan aku. Itu saja! Aku tak mintak kau keluar dari rumah ni pergi cari duit untuk tanggung kehidupan aku," jaw edrina serius.

Kudin mengeluh lagi. Sampai benar hati wanita itu menyeksa diri asalkan kehendaknya yang satu itu dituruti. Tidak tergambar perasaan sayunya saat ini. Melihat bibir Edrina yang pucat, Kudin hampir kalah kepada perasaannya sendiri.

"Rina, aku minta maaf banyak-banyak. Aku faham kau kecil hati dengan apa yang aku cakapkan pada kau semalam. Kau nak marah aku, marahlah. Tapi aku merayu pada kau... tolong jangan seksa diri kau macam ni. Hati aku ni terseksa sangat tengok kau macam ni," bergetar suara Kudin meluahkan bicara itu. Kini dia tahu rajuk Edrina bukan rajuk biasa. Isterinya benar-benar kecil hati dengannya.

"Pergilah... jangan pedulikan aku. Apa nak jadi pada aku, takde kena mengena dengan kau. Kau tak payah susah-susah balik bawak makanan untuk aku lagi. Aku takkan usik apa-apa pun sampai kau setuju untuk ceraikan aku." Sehabis berkata Edrina kembali menghadap ke arah lain.

"Rina..." Kudin tidak mampu meneruskan bicaranya.

Tiba-tiba Kudin rasa sebak yang teramat sangat. Kudin meraup wajahnya seketika sambil berfikir sendiri. Dia sudah tidak tahu apa yang perlu dibuat untuk memujuk. Masakan dia harus menuruti kehendak Edrina supaya dia dipulangkan ke rumah orang tuanya?

Tidak! Kudin menggeleng tidak rela. Entah kenapa dia tidak sanggup pula mahu berbuat begitu. Ada sebahagian dalam hatinya sayang kepada ikatan ini. Jadi, apa yang hjarus dia lakukan lagi kalau semuanya hanya dipandang sepi oleh isterinya ini? Kudin tidak tahu. Dia benar-benar buntu dan lemah.

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078