Pages

Wednesday, October 26, 2016

Bab 20 Novel Si Kolot Suamiku


Mak Cik Kunah yang sedang berjalan menuju ke tempat tidurnya itu terhenti seketika tatkala ternampak anak lelakinya duduk termenung di ambang pintu hadapan merenung kegelapan di luar.

"Apa lagi kamu buat tu, Kudin? Dah lewat ni. Pergilah tidur," tegur Mak Cik Kunah dari tempat dia berdiri. Hairan... Edrina sudah lama masuk ke bilik, Kudin masih duk termenung di situ.

"Kejap lagi Kudin tidur, mak." Kudin menoleh sebelum menjawab soalan ibunya itu.

"Daripada termenung kosong begitu, pergi tidur lagi baik," ucap Mak Cik Kunah selamba. Tanpa menunggu lagi, dia terus menyelak tirai yang mengepung kawasan tempat soalan itu. Tilam kekabu yangg bersusun di tepi terus dihamparkan untuk merehatkan tubuh tuanya.

Mendengar bicara emaknya itu, Kudin mula bangun daripada duduknya. Pintu rumah itu ditutup dan diselak atas dan bawah. Setelah mematikan lampu, dia mula menguak tirai yang menutupi ambang bilik Edrina. Bilik itu sudah gelap. Namun ada sedikit cahaya bulan mencuri masuk ke dalam membuatkan bilik itu malap.

Perlahan Kudin masuk ke dalam kelambu. Edrina sedang menghadap telefon bimbitnya. Laju jari gadis itu berbalas mesej dengan entah siapa. Namun tempat yang biasa ditumpangi tubuh wanita itu sengaja dikosongkan wanita itu. Edrina terbaring dekat dengan dinding.

"Tak tidur lagi?" Tanya Kudin lembut sambil membaringkan tubuhnya. Ruangan dalam kelambu itu sarat dengan wangian isterinya itu. Lain macam perasaannya kala itu. Wangian itu benar-benar membuka pintu nafsu lelakinya yang selama ini tertutup namun tidak berkunci.

"Tak...." Jawab Edrina tanpa menoleh.

Tunggu aku ke? Pertanyaan itu hanya berani bergema di dalam hatinya. Dia nak tunggu kau, Kudin? Memang taklah! Hati Kudin berkata sendiri. Namun saat itu tidak tertelan liurnya melihat Edrina memakai baju tidur pendek separas paha itu.

Edrina mula menoleh kepada suaminya itu. Pesanan yang sudah lama terpasak di benaknya perlu segera diluahkan.

"Kau jangan buat apa-apa pada aku," ucapnya serius.

Kudin menoleh kepada wanita itu.

"Buat apa-apa yang macam mana?" Tanya Kudin buat-buat bodoh.

"Kau jangan peluk aku macam hari itu lagi," jelas Edrina cukup serius.

"Kalau aku buat pun, takde siapa boleh marah aku. Kau tu memang hak aku," ucap Kudin selamba sambil meletakkan sebelah tangan di bawah kepalanya. Matanya terus memandang ke arah siling kelambu itu.

"Kau jangan nak mengada-ngada! Aku tak nak!" Ucap Edrina lantas menaikkan jarinya telunjuknya kepada Kudin. Namun suaranya diperlahankan bimbang emak mertuanya itu terdengar ugutannya itu.

Kudin menoleh kepada isterinya itu.

"Aku gigit jari kau nanti. Dengan engkau-engkau sekali aku gigit karang." Ancamnya geram melihat kelakuan biadap Edrina.

Edrina terus menarik semula jarinya. Bicara Kudin tiba-tiba menakutkannya.

"Kau apa-apakan aku, aku jerit nanti, bagi mak dengar!" Dia pula membalas dengan ancaman itu.

Kudin dengan muka selamba mula mengiring menghadap wanita itu.

"Habis tu yang kau pakai wangi-wangi ini kenapa?" Tanya Kudin semula. Bibirnya tersenyum sedikit sambil memerhatikan wanita itu.

"Wangi apanya? Mana ada aku pakai apa-apa? Kau jangan nak buat cerita hantu pulak dalam kelambu ini, Kudin. Tak kelakar tau tak!" Tekan Edrina tidak faham.

Lelaki itu dijelingnya tidak senang. Tiba-tiba perasaannya menjadi lain macam mendengar nada lembut lelaki itu. Dan dia tiba-tiba rasa malu pula melihat Kudin menghadap kepadanya begitu.

Kudin tersenyum merenung wanita itu. Bau ini memang selalu dihidunya setiap kali dia dekat dengan Edrina. Mana ada dia buat cerita hantu.

"Peluk sikit aja, bukannya luak pun," pancing Kudin lunak.

"Jangan Kudin. Aku tak nak!" Getus Edrina tidak senang, dalam pada matanya terus memandang skrin telefonnya. Entah apa yang menarik benar pada skrin itu berbanding memandang suaminya.

"Kalau aku buat jugak, apa kau nak kata? Kau nak jerit bagitahu mak yang aku peluk kau?" Cabar Kudin, entah kenapa berani pulak dia saat itu. Buatnya Edrina mogok makan lagi baru dia tahu.

Edrina terdiam. Dia kembali mengalihkan perhatiannya kepada Kudin. Dalam samar-samar cahaya dari skrin telefon bmbitnya yang menerangi kawasan dalam kelambu itu, dia masih lihat lelaki itu sedang merenung tepat kepadanya.

"Jangan pandang aku macam tu boleh tak?" Ucap Edrina tidak tenang.

"Aku pandang isteri aku. Tak berdosa," sambut Kudin lembut.

Edrina diam memandang lelaki itu. Nada ala-ala romeo Kudin membuatkan hatinya sudah tidak senang. Perasaannya tidak tentu rasa. Tiba-tiba dia terasa malu pula, ala-ala wanita Melayu terakhir.

"Apa yang patut aku buat supaya kau suka pada aku, Rina? Takde suami yang suka dibenci isteri sendiri," ucap Kudin setelah seketika ruangan itu bungkam tanpa suara mereka.

Edrina mula menghela nafas perlahan.

"Aku nak kita pindah KL," ucap Edrina kemudian.

"Sebagai balasannya kau akan suka pada aku?" Soal Kudin tidak percaya. Dia tahu itu hanya salah satu taktik Edrina mahu melepaskan diri daripadanya.

"Aku tak janji. Tapi aku betul-betul tak boleh hidup macam ni, Kudin. Aku tak mampu terima keadaan ini. Aku sunyi," luah Edrina rendah sahaja.

Kali ini Kudin pula yang menghela nafas perlahan.

"Kau takkan rasa sunyi kalau dalam hati kau tu ada rasa sayang pada suami kau sendiri," luah Kudin lantas mengubah dirinya menelentang memandang atap kelambu."

"Kau cakap aku... kau tu?" Tekan Edrina tidak senang. Lelaki itu dijelingnya sedikit. Bibirnya termuncung menahan hati. Macamlah Kudin suka benar pada dia.

Kudin diam tidak menjawab. Namun akalnya sarat memikirkan sendiri. Jika dibandingkan perasaan yang dirasainya pada Edrina dengan perasaan yang pernah dialaminya pada Lisa dulu, memang langsung tidak kesamaan. Mungkin dia juga sebenarnya tidak mencintai wanita ini. Entah... dia sendiri pun tidak tahu.

"Kalau kau sunyi, kau boleh ikut aku pergi ladang. Ataupun aku boleh hantar kau pergi rumah mak sebelum aku ke ladang," Kudin berkata demikian sambil memandang Edrina yang sudah memandang ke arah sana.

"Tengoklah nanti macam mana" jawab Edrina tanpa menoleh. Matanya dipejamkan untuk melenakan dirinya.

Kudin memandang lagi belakang isterinya itu.

"Aku nak mintak sesuatu dengan kau," ucap Kudin lagi dengan suara sedikit lunak.

Edrina kembali membuka mata. Dadanya berdebar seketika. Apa pulak dia nak ni? Bisik hatinya sudah tidak tenang.

"Apa?" Edrina sekadar menoleh sekejap kepada lelaki di belakangnya itu.

"Lain kali kalau kau marah dengan aku sekalipun, jangan mogok makan lagi ya? Aku risau kau sakit," ucap Kudin perlahan.

Tanpa dilihat Kudin, isterinya itu sudah tersenyum sendiri mendengar nada yang dialun cukup polos itu.

"Okey. Nanti aku fikir nak mogok apa pulak bila aku marah dengan kau," jawabnya selamba. Kudin menyambut bicara itu dengan tawa sambil menggeleng sendiri memandang isterinya itu.

Mereka berdiam seketika selepas itu. Kudin masih ralik berfikir sendiri tanpa dapat melenakan dirinya. Wanita di sebelahnya itu juga lebih kurang sama. Terbidik-bidik memikirkan perasaan yang sedang melanda. Dia dapat merasakan aura kelembutan sedang menghuni ruang antara mereka.

"Kau nak dengar aku nyanyi tak sebelum tidur?" Tanya Kudin tiba-tiba.

"Jangan nyanyi lagu dangdut kau tu! Geli aku dengar!" Ucap Edrina setelah dia menoleh semula kepada lelaki itu.

"Habis tu kau nak lagu apa? Aku tak tahu sangat lagu-lagu ni semua. Lagu tu pun aku tahu sebab aku selalu dengar pak cik-pak cik kat kampung ni karoake waktu ada kenduri kahwin," jawab Kudin perlahan.

Pak cik-pak cik yang selalu nyanyi?

"Kau ni memang kolotlah, Kudin! Lagu orang tua yang kau suka. Selera kau ni memang pelik!" etus Edrina sebal. Namun sebahagian dirinya mahu ketawa melihat keluguan lelaki itu.

"Aku tak selalu dengar radio, sebab tu aku tak tahu lagu lain," sambut Kudin jujur.

"Kau tahu tak hidup ni membosankan? Lepas tu kau nak bawak aku sekali hidup macam kau, manalah aku nak!" Komen Edrina mudah.

Kudin menoleh kepada Edrina.

"Kau rasa aku ni membosankan ke?" Soal Kudin rendah.

"Ya! Memang pun kau tu membosankan. Kau hanya pentingkan pendirian dan ladang kau tu aja. Kau tak peduli pun apa yang aku nak," balas Edrina berani.

Kudin menghela nafas perlahan.

"Ya... memang aku ni kolot. Aku tahu aku tak sepadan dengan kau. Sebab tu kau tak pernah sukakan aku," jawab Kudin perlahan. Nadanya macam orang sedang berkecil hati aja.

"Baguslah kalau kau dah tahu sendiri. Tak payahlah aku nak cakap banyak kali ini lagi," Edrina membalas selamba sambil kembali memandang ke arah sana.  

"Tapi aku ni bukan kaki perempuan. Aku tak pengotor. Aku tak suka simpan jambang. Aku rajin cari duit. Aku... emm.... aku pun hensem jugak apa?" Suara Kudin kedengaran lagi.

Bersungguh-sungguh sekali dia sedang mempromote dirinya kepada wanita itu. Yalah... kalau dia tak mencanang kebaikan dirinya... siapa lagi? Nak tunggu Edrina nampak sendiri? Entah bilalah....

Edrina sekadar mencebik tidak melayari bicara lelaki itu.

Cis! Tak lut... hati Kudin berdetak sendiri melihat reaksi biasa-biasa Edrina.

"Aku... emm..." Kudin cuba mencari idea lagi.

"Aku apa?" Edrina menoleh semula kepada suaminya itu.

"Aku rajin mandikan isteri aku," jawab Kudin.

"Kudin... mengantuk aku dibuatnya dek perangai kau ni. Takde cerita yang lebih menarik ke?" Keluh Edrina bosan. Itu aja? Ingatlah apa yang gempak sangat. Tanpa teringat untuk membelakangi lelaki itu, Edrina terus memejamkan mata.

"Mana ada suami lain yang mandikan isteri dia sambil nyanyikan lagu? Aku aja yang buat macam tu. Sebab aku ini memang jenis suami penyayang," jawab Kudin dengan teganya terus mempromosikan diri.

"Yalah, Kudin. Kau memang penyayang. Penyayanglah sangat!" Getus Edrina malas mahu melayan. Penyayang.. tapi peruk aku dalam rumah kosong dia ni. Aku dah macam nak gila dibuatnya, kutuk hati Edrina sebal.

Kudin tersenyum sambil mengalihkan tubuhnya menghadap Edrina.

"Nanti kalau kita ada anak, anak-anak kita pun aku yang mandikan..." Ucap Kudin terus meluahkan angan-angannya.

Mata Edrina yang mahu terlelap kembali terbuntang apabila mendengar perkataan anak berlagu di bibir suaminya itu. Amboi... lain macam aja bunyinya tu? Macam gatal aja.... macam miang aja bunyinya!

"Kudin, tidurlah. Jangan macam-macam boleh tak?" Tekan Edrina sudah tidak senang.

Kudin terdiam memandang isterinya itu. Dari tadi dia memikat, masih jugak tak jalan. Kini dia akui, dia memang tidak pandai memikat perempuan. Namun tiba-tiba Kudin teringat emaknya. Dengan emaknya, Edrina teramat mudah ditawan. Dia tidak tahu mengapa dengan dia, degil Edrina cukup memantul. "Pujuk baik-baik..." itulah salah satu ayat daripada emaknya yang masih dia ingat.

Nak pujuk macam mana? Bisik hati Kudin sendiri. Puas dia berfikir sendiri sehingga akhirnya tanpa sedar tangannya berpindah ke rambut wanita itu. Kudin membelai lembut kepala isterinya.

Edrina kembali membuka mata apabila terasa ada sesuatu memberat di atas kepalanya.

"Apa ni? Janganlah!" Getusnya lantas menolak tangan Kudin.

"Aku pegang sikit aja. Takkan itu pun tak boleh?" Ucap Kudin rendah.

Edrina mendengus sambil mengalih tubuhnya ke arah lain. Kudin memandang sahaja buat seketika. Namun kemudian dia memberanikan diri mendekati Edrina.

Ya Allah... janganlah hendaknya dia mengamuk dengan aku. pinta hatinya yang sudah tidak tertahan.

"Kudin! Apa ni? Janganlah!" Getus Edrina terus menolak tangan Kudin di pinggangnya. Dia menoleh mencari wajal lelaki itu. Namun sepantas kilat dia mengalihkan pandangan. Wajah suaminya itu cukup dekat dengan wajahnya. Dadanya berdebar tiba-tiba.

"Tak baik tidur membelakangkan suami," bisik Kudin lembut. Tubuh itu dibalikkan kepadanya tanpa kerelaan Edrina.

Edrina terkelu tidak mampu membalas, dengan pada dia diselubungi rasa seram melihat Kudin sudah berubah watak tiba-tiba. Sungguh! Dia benar-benar takut kepada lelaki itu saat ini.

"Aku bukan malaikat, Rina. Aku manusia yang ada perasaan pada perempuan," ucap Kudin penuh mengharap.

"Kudin, tolonglah jangan..." Rayu perempuan itu. Dia benar-benar mahu menangis.

"Sampai bila, sayang?" Pujuk Kudin lembut. Hatinya kian tercabar melihat penolakan isterinya.

"Tolong bagi aku masa, Kudin. Tolong jangan paksa aku. Kau buat aku takut dengan kau!" Rayu Edrina kepayahan. Lengannya digunakan untuk menolak lelaki itu sekuat-kuat hatinya.

Kudin terdiam seketika memandang wajah isterinya itu. Esakan Edrina yan terhela tiba-tiba membuatkan dia tidak sampai hati.

"Yalah... yalah... aku tak paksa," ucap Kudin mula mengalah. Perlahan wanita itu dilepaskannya juga dalam rasa hampa yang kian membukit. Akhirnya dia kembali berbaring di tempatnya sambil mengeluh sendiri.

Edrina pantas membelakangi Kudin. Wanita itu menangis bersungguh-sungguh sehingga Kudin mula rasa bersalah. Perlahan Kudin mendekati wanita itu semula.

"Jangan menangis...." Pujuk Kudin dalam pada dia menghela nafas perlahan.

Edrina sekadar bungkam. Bahunya terhinggut-hinggut sendiri.

"Tidurlah. Jangan takut. Aku janji tak buat apa-apa," ucap Kudin bersungguh.

"Kau tipu! Nanti aku tidur, kau buat macam-macam pada aku," tekan Edrina tidak percaya kepada janji itu.

"Tak... kali ini aku janji sungguh! Dah... jangan menangis. Karang mak dengar, aku kena marah lagi," jawab Kudin lantas mengusap bahu isterinya itu untuk memujuk.

Edrina menyeka air matanya. Dia sekadar bungkam memandang dinding di hadapannya. Tepukan tangan lelaki itu di bahunya dibiarkan sahaja. Lelaki itu seolah-olah sedang mendodoikan supaya dia terlena semula. Apa yang berlaku sekejap tadi kembali terimbau di benaknya. Sungguh! Dia terkejut dengan apa yang berlaku tadi. Dia tidak bersedia.

Namun melihat Kudin tidak meneruskan hasratnya sebentar tadi, Edrina menjadi pemikir tiba-tiba. Memikirkan sifat sebenar lelaki itu. Tepukan tangan Kudin di bahunya yang masih tidak berhenti, menambahkan lagi keyakinannya. Dia tahu Kudin tidak seburuk yang disangka. Suaminya itu memang baik dan bertimbang rasa.

Tidur wanita itu terganggu. Perutnya yang terasa memulas dipegangnya.

"Adoi... sakit perut pulak," keluh Edrina sendiri. Memulas lain macam pula dirasakannya. Eee... kenapalah mesti sakit perut waktu-waktu macam ini. Berat benar hatinya mahu ke tandas seorang diri. Maklumlah... ada kubur.

"Kudin..." Akhirnya lelaki di sebelahnya itu dibangunkan.

"Kudin..." Panggil Edrina lagi sambil tubuh suaminya itu ditepuk-tepuk.

"Apa dia?" Tanya lelaki itu sambil mengangkat kepala.

"Nak pergi jambanlah..." Ucap Edrina rendah.

"Habis tu pergi ajalah," jawab Kudin dengan selamba dia kembali memejamkan mata. Mengantuk benar dia.

"Takut! Cepatlah bangun.... sakit perut ni," rengus perempuan itu lantas menggoncang tubuh Kudn kuat.

Kudin mengeluh perlahan dalam pada dia cuba mengawal kantuknya.

"Heee... aku jugak kena teman kau pergi jamban. Tulah... siapa suruh makan banyak-banyak siang tadi. Kan dah sakit perut," ucap Kudin lantas bangun malas.

"Siapa suruh buat jamban kat luar? Kan kat luar tu ada kubur kat sebelah. Aku takutlah!" Jawab Edrina sebal. Kalau jamban dalam rumah takdelah dia mahu menyusahkan Kudin.

"Jomlah cepat. Aku mengantuk sangat ni" ucap Kudin malas. Dia terus keluar dari kelambu itu diikuti oleh Edrina.

Lampu suluh dicari Kudin di dapur. Namun tak ketemu. Dia sendiri pun lupa di mana dia meletakkan objek itu.

"Lampu suluh tak jumpa pulak," keluh Kudin sambil menggaru kepalanya.

"Habis tu macam mana ni?" Ujar Edrina sudah seram sejuk. Seram sejuk sebab nak membuang benar dan seram sejuk sebab takut pun iya jugak.

"Jom ajalah... kat luar tu terang dengan cahaya bulan," jawab Kudin lantas menarik tangan isterinya terus ke pintu dapur.

Memang benar kata Kudin. Bulan yang sedang mengambang tidaklah menyulitkan mereka berdua mahu berjalan ke tandas berdinding zink di sekelilingnya itu. Mujurlah juga ada lilin yang memang tersedia selalu di dalam tandas untuk mereka yang 'timing' perutnya sudah lari seperti si Edrina ini. Seru dah tak ikut masa...

Dek sebab dalam otak Edrina asyik terfikirkan kubur tidak jauh dari situ tanpa segan silu, lengan Kudin dipautnya sepanjang jalan ke tandas itu. Pedulilah! Janji dia selamat pergi dan selamat pulang daripada membuang.

Edrina sekadar menunggu di luar sementara Kudin memasang lilin di dalam ruangan kecil itu.

"Alamak... air belum timba lagi," Kudin baru terperasan air di dalam tempayan itu sudah cetek.

"Kau tunggu sini. Aku angkat air sekejap," ucap Kudin.

"Nak ikut!" Sambut Edrina pantas memaut lengan lelaki itu.

Mahu pengsan Edrina dibiarkan di situ seorang diri. Apa tidaknya... dari tempat dia berdiri, dia boleh nampak pacakan nisan-nisan putih dengan bantuan cahaya bulan. Memang bulan betul-betul membantu dalam keadaan ini. Membantu dia menjadi lebih takut!

"Takde apanya. Sekejap aja aku pergi. Kalau ada hantu kacau, cakap Abang Kudin ada kat sini. Mesti hantu tu lari dengar nama Kudin!" Ucap Kudin lantas melepaskan pautan isterinya yang cukup erat di lengan.

"Kudin, kau jangan main-mainlah!"

"Sekejap aja. Bukannya jauh pun. Tak sampai sejengkal aja jauh perigi ini," tekan Kudin lantas meninggalkan Edrina di situ.

Tiga kali Kudin mengangkut air, barulah Edrina dibenarkan memulakan aktivitinya.

"Kau tunggu tau. Jangan pergi mana-mana," ucap Edrina sebelum masuk ke dalam tandas itu.

"Ya... aku tunggu kat situ," jawab Kudin sambil menudingkan jari ke arah belakang tempat mandi. Hanya semeter dua sahaja jaraknya dari jamban itu.

Sementara menanti Edrina mengqadak hajat, Kudin duduk mencangkung di atas tanah. Pada mulanya dia mampu bertahan. Lima minit kemudian matanya kembali layu. Akhirnya dia sudah tidak sedar berapa lama Edrina berkurung di dalam jamban itu. Dia asyik melayan matanya. Dalam keadaan mencangkung pun boleh tidur. Nyamuk gigit pun dia sudah tidak peduli.

Edrina pula, dek kerana sudah memulun dua tiga pinggan nasi tengah hari dan ketika makan malam tadi, terpaksalah membuang agak lama. Selesai membuang dan membersihkan apa yang wajib barulah dia keluar. Namun saat dia menutup semula pintu kamar kecil itu, matanya terpandangkan Kudin sedang menunggunya sambil tidur.

Sesaat dua itu Edrina memandang suaminya. Melihat Kudin tersengguk-sengguk menanti dia, dia berasa kasihan pula. Sebentar tadi, Kudin yang bersusah payah mengangkatkan air untuknya. Kudin sanggup menunggunya sampai tertidur.

Hujung hati Edrina tersentuh entah kenapa. Dia mula tersedar.... Kudin memang sekadar lelaki biasa. Tetapi dia ada caranya sendiri untuk menjaga dan memanjakannya. Mungkin kerana mereka sedang berada di kampung dan suaminya hanya lelaki kampung. Inilah caranya dia dijaga dan dimanja oleh suaminya.

Edrina mula mendekati suaminya itu. Tangannya mula maju menyentuh bahu Kudin.

"Kudin..." Panggil Edrina lembut.

Kudin mula membuka mata. Dia menoleh ke kirinya mencari Edrina.

"Dah habis?" Tanya Kudin dengan mata separuh terbuka.

"Dah..."

"Jom masuk," ajak Kudin lantas bangun.

"Mengantuk sangat ke, sampai boleh tidur macam tu?" Edrina tersenyum geli hati dengan gelagat Kudin.

"Tunggu orang habis berak tengah-tengah malam ni memang ngantuk. Takde waktu lain nak berak agaknya. Waktu orang tengah tidur tulah seru dia nak mari," sambut Kudin selamba. Jawapannya itu membuatkan lengannya dicubit halus oleh wanita itu.

"Dah sakit perut, nak buat macam mana?" Getus Edrina geram.

"Nasib baik ada Abang Kudin," sambut Kudin memgerling isterinya seketika.

"Yalah... Abang Kudin memang baik!" Cebir Edrina merasa tersindir dengan kata-kata Kudin.

Kudin tergelak perlahan.

"Jom basuh kaki dulu sebelum tidur. Nanti ada hantu ikut masuk dalam mimpi."

"Eee... apa hantu-hantu ni!" Rengus Edrina tidak senang. Dah tahu dia penakut... hantu jugak yang disebutnya. Kurang asam punya Abang Kudin! Chewah!! Dah Abang Kudin pulak sekarang. Dalam hati dah ada tamanlah agaknya....

Melihat Edrina sedikit mesra dengannya, dia memberanikan diri meletakkan tangan di atas bahu isterinya itu sambil berjalan ke arah perigi. Edrina sekadar membiarkan.

Namun sedang Edrina membasuh kakinya dia terasa ada sesuatu yang aneh melekat di tepi betisnya. Saat ditolak, benda itu tidak mahu terlepas dan kulit betisnya terasa pedih. Dalam samar-samar bayangan, Edrina terlihat ada benda hitam melekat erat di betis putihnya. Tiba-tiba bulu romanya berdiri.

"Kudin, apa ni?" Soal Edrina sudah mula merasa seram. Rasanya dia tahu apa benda itu.

"Apa dia? Nak berak lagi ke?" Tanya Kudin lantas mendekati Edrina.

"Kaki aku ada binatang itu. Buang!!!" Rengus Edrina sudah panik sepanik-paniknya. Dadanya sudah berdegup kencang. Ikutkan rasa takutnya, mahu sahaja dia menggelupur di situ.

"Mana?"

"Sini..." Tangan Kudin diambil Edrina. Terus diletakkan di bahagian tadi.

"Oh.. pacatlah," ucap Kudin biasa. Dia tergelak sedikit saat meraba betis isterinya.

"Buanglah!!!" Marah Edrina sudah tidak tertahan. Dia boleh gelak pulak! Orang dah takut bagai nak rak dah ni....

"Biarlah... dia nak rasa juga darah orang KL ni" usik Kudin lantas tergelak lagi.

"Buaglah cepat, Kudin!" Marah Edrina semakin meninggi. Dah siap terkinja-kinja di hadapan perigi itu.

"Duduk diamlah! Karang tergelincir, jatuh dalam perigi tu," getus Kudin.

"Buang benda tu. Aku jerit nanti." Arah Edrina tajam.

"Nak buang ke? Kalau tarik sakit nanti. Pacat ni gigi taring dia banyak. Biarlah dia hisap darah tu sampai dia kenyang. Nanti pacat tu jatuh sendiri. Takde apanya," jawab Kudin biasa. Dia sudah terbiasa dengan binatang itu. Tiada apa yang hendak ditakutkan.

"Aku takut, Kudin!" Ucap Edrina bertambah takut mendengar fakta tentang gigi taring pacat yang dikatakan banyak oleh si Kudin itu. Leher Kudn terus dpeluknya dek kerana takut. Pedulilah malu ke apa!


"Aku tarik, kau duduk diam....."

Tatkala Kudin menarik pacat itu, Edrina mengeraskan dirinya dalam pada dadanya berdegup kencang tidak tertahan. Namun benar seperti yang diungkapkan Kudin, sewaktu dia menarik binatang itu, kakinya terasa perit semacam. Sakit! Menjerit juga Edrina dibuatnya. Tapi dia lebih rela menahan sakit itu daripada membiarkan benda lembik itu bersarapan pagi di kakinya entah untuk berapa lama.

"Dah. Nanti letak minyak gamat," ucap Kudin lantas melenyek pacat itu dengan seliparnya. Kemudian dia mengambil air. Betis wanita itu dibasuhnya dengan sabun dan tangannya juga dibersihkan dengan sabun.

Edrina sekadar berdiri memandang Kudin terbongkok-bongkok membersihkan kakinya. Sebaik sahaja lelaki itu berdiri lengan lelaki itu dipeluknya.

"Amboi... bila takut aja baru kau nak peluk aku, kan?" Perli Kudin melihat Edrina bukan main elok lagi melekap kepadanya.

"Biarlah! Dah takut, nak buat macam mana?" Cebir Edrina malu sendiri dengan kelakuannya tadi.

"Aku ambil pacat tu balik, baru kau tahu!" Ugut Kudin semakin seronok mengenakan wanita itu.

"Janganlah!"

"Okey... kalau tak mahu pacat tu, kasi upah kat Abang Kudin dulu. Cepat!" Sambut Kudin nakal.

"Apa upah-upah pulak ni?"

"Cium sikit," ucap Kudin berani. Pipinya disuakan kepada Edrina.

"Gatallah dia ni!" Getus Edrina sambil lengan Kudin dicubitnya.

"Cepatlah. Nak pacat ke.... nak cium Abang Kudin? Kena gigit pacat geli. Cium Abang Kudin best!" Ancam Kudn mula menunjukkan kepakarannya mengambil kesempatan ke atas perempuan yang sedang tidak berdaya seperti si Edrina itu.

Mahu tidak mahu Edrina melunaskan juga kehendak Si Kudin. Bibirnya melekap sesaat ke pipi Kudin.

"Aik? Macam tak ikhlas je tu? Tak rasa apa-apa pun? Apa kata biar Abang Kudin ajarkan?" Dalam kelam itu Kudin tersengih miang. Peluang!!! Bisik hatinya seronok.

"Dahlah! Tadi dah ciumkan?" Rengus Edrina tidak senang. Apasal miang sangat dia ni?

"Alah... cium banyak kali pun, bukan ada orang nampak. Cepatlah!" Desak Kudin sudah tidak sabar.

Namun baru sahaja Edrina mahu menyuakan bibirnya ke pipi Kudin, dia terdengar sesuatu dekat dengan tempat mereka.

"Ada oranglah!" Ucap Edrina pantas berdiri di belakang Kudin.

Kudin memanjangkan leher mencari dari mana datangnya bunyi itu. Dadanya juga sudah berdegup lain macam. Namun tiba-tiba muncul emaknya di situ dengan lampu suluh. Mak Cik Kunah menyuluh dua merpati sejoli itu.

"Hesy! Mak ni buat terkejut kami aja!" Getus Kudin sambil mengurut dadanya.

"Korang ni dah takde kerja lain ke? Kat sini pun jadi jugak?" Perli Mak Cik Kunah sambil menyuluh dua manusia itu.

"Jadi apa, mak?" Soal Kudin begitu polos nadanya.

"Kau ingat mak tak tahu ke, apa kau buat tadi? Tak pernah dibuat orang Kudin oii!!!" Getus Mak Cik Kunah lantas meninggalkan dua manusia itu di situ. Kepalanya digelengkan entah kenapa. Kat perigi dalam gelap pun boleh jadi port bercinta ke? Apa nak jadilah budak sekarang ni. Ini semua pengaruh pesbuklah ni.... bisik hati wanita tua itu.

Kudin menghela nafas sendiri. Melepas lagi aku! Mak ni kacau daun ajalah! Getus hati Kudin sebal. Akhirnya dia menarik Edrina balik ke rumah. Takut apa pulak yang emaknya fikir kalau mereka berlama-lama di situ.



No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078