Pages

Wednesday, October 26, 2016

Bab 19 Novel Si Kolot Suamiku


"Mak tolong Kudin, mak." Kudin terus menerpa emaknya sebaik sahaja dia masuk ke dalam rumah melalui pintu dapur rumah emaknya itu.

"Apa bendanya ini? Kalut benar kamu ni, Kudin?"

"Memang kalut, mak. Rina merajuk! Dia tak mahu bercakap dengan Kudin. Dia mintak nak balik KL. Apa Kudin nak buat, mak? Kudin dah tak tahu nak pujuk dia macam mana. Dia langsung tak mahu pandang muka Kudin," ucap Kudin benar-benar resah.

"Apa halnya ini? Apa kamu dah buat pada dia?" Ucap Mak Cik Kunah tidak faham. 

Kudin menggaru kepalanya seketika sambil menghela keluhan.

"Kami ada bergaduh hari tu. Kudin tengking dia..." Kudin mula membuat mukadimah cerita. Wajah emaknya dipandang dalam perasaan serba salah sebelum akhirnya dia mula membuka cerita apa yang berlaku tiga hari lalu.

"Susahlah, mak. Rina tu degil. Dia asyik mengungkit pasal rumah itu tak selesa, buruk!" Keluh Kudin di akhir ceritanya.

"Kamu tu yang tak pandai layan bini sebenarnya, Kudin. Kenapa dengan mak, dia tak degil macam tu? Dengan mak, mak tak perlu nak naikkan suara tengking-menengking ni semua. Dia elok aja? Entah apa-apa yang kamu buat dengan dia. Tu yang dia makin menyampah dengan kamu," ucap Mak Cik Kunah dari arah dapurnya.

Kudin sekadar diam menadah telinga mendengar bebelan emaknya. Matanya terus merenung jauh ke luar rumah sambil memikirkan ragam isterinya itu. Masuk hari ini sudah tiga hari isterinya mogok. Mogok bercakap dengannya dan mogok makan.

Mogok bercakap dia masih tidak risau. Tapi bab mogok maka itu dia memang terlalu risau sementelah dia melihat ubat gastrik yang diberikan oleh doktor beberapa hari lalu sudah hampir habis ditelan Edrina. Tega benar Edrina menyeksa diri hanya kerana mahu kehendaknya yang satu itu ditunaikan si suami. Edrina mahu berpisah dengannya. Sekarang dia pun sudah tidak lalu makan memikirkan ragam isterinya itu.

"Bergaduh suami isteri ni biasalah, Kudin. Itu semua asam garam rumah tangga. Tapi kamu tu pun... soal mencari rezeki ni tugas suami. Wajib! Kenapa kamu sampai hati mengungkit pasal tu depan dia? Macam mana dia tak kecik hati. Tak baik buat macam tu, Kudin. Mengungkit ni amalan orang yang tidak ikhlas. Elok-elok Allah sediakan pahala besar untuk kamu.... terus tak dapat apa. Dapat penat sahaja!" Marah Mak Cik Kunah kepada anaknya itu.

"Kudin tak sengaja waktu itu, mak. Kudin tengah marah sebab dia tengking Kudin," Kudin menjawab setelah menoleh sedikit kepada emaknya.

Mak Cik Kunah menggeleng sedikit.     

"Berilah dia masa sikit, Kudin. Baru dua minggu lebih kamu duduk berdua dah jadi macam ni. Orang macam Edrina tu nak ajar, kena banyak bersabar dan caranya pun kena betul. Bukannya main hentam ikutkan perasaan yan lekas kena kawal iblis," ucap Mak Cik Kunah mula mengendurkan suaranya.

Kudin terdiam lagi dibebel begitu. Dalam diam dia menghela keluhan lagi sambil menggaru kepalanya sendiri. Memang salahnya. Dia mengaku dia terlalai, mengikutkan perasaan yang tercabar. Dia sudah meminta maaf tetapi Edrina terus membisu. Itu yang membuatkan hatinya terseksa begini.

"Mak, tolonglah, Kudin. Rina tak mahu bercakap dengan Kudin langsung. Dia tak mahu makan. Kudin risau dia sakit lagi teruk nanti." Kudin menoleh semula kepada emaknya itu. Layu matanya memandang Mak Cik Kunah. Berharap benar emaknya masuk campur sementelah dia sudah kehabisan idea mahu memujuk wanita itu.

"Bini kau, mak pulak yang kena pujuk!" Dengus Mak Cik Kunah.

"Tolonglah, mak. Mak tak kasihankan Kudin ke?" Rayu Kudin benar-benar rendah suaranya.

"Yalah... lepas habis mak memasak ni, bawak mak pergi sana," jawab Mak Cik Kunah akur akhirnya.

"Terima kasih, mak." Sebahagian hati Kudin lega dengan keakuran emaknya itu. Selebihnya lagi, dia berharap benar Edrina tidak akan meneruskan perang dingin mereka ini setelah dipujuk oleh emaknya.

Usai memasak makan tengah hari itu. Mak Cik Kunah menikut Kudin ke rumah anaknya itu. Segala lauk pauk yang dimasaknya tadi dibawanya sekali. Dia pun mahu lihat juga sejauh mana Edrina mahu mogok makan setelah melihat masak lemak ikan keli salainya itu.

"Rina...." Sebaik sahaja naik ke atas rumah Mak Cik Kunah memanggil. Bilik tidur rumah itu terus dijengahnya. Dia lihat Edrina sedang ralik termenung memandang ke luar jendela. Tiba-tiba hati tuanya kasihan melihat kemurungan di wajah menantunya.

Edrina menoleh sebaik sahaja terdengar namanya diseru.

"Mak..." Perlahan sahaja jawapannya. Wanita itu didekatinya. Tangan wanita itu dicapai lalu diciumnya.

Melihat itu Mak Cik Kunah tersenyum sendiri. Walaupun banyak keburukan yang dipamerkan Edrina untuk dibenci tetapi masih ada satu sifat yang membuatkan dia tetap sayangkan menantunya ini. Edrina tidak pernah biadap kepadanya selama ini. Edrina tidak pernah meninggikan suara kepadanya.

"Mak dengar Rina tak sihat?" Tanya Mak Cik Kunah lembut. Wajah Edrina memang pucat. Langsung tidak terhias dengan senyuman, menggambarkan ada kedukaan sedang bersimpuh elok di dalam dirinya.

"Rina sihat je ni," jawab Edrina lantas mengerling Kudin di belakang emaknya itu. Bawak mak dia nak suruh pujuk akulah tu. Bawak mak dia nak suruh pujuk akulah tu... cebirnya di dalam hati.

"Mak datang ni sebab mak nak tengok menantu mak ni, Kudin kata Rina tak sihat dua tiga hari ni. Mak nak tahu jugak... manalah tahu Rina tak sihat sebab mak nak dapat cucu ke?" Ucap Mak Cik Kunah lantas tersenyum.

"Isy! Mana ada, mak. Rina cuma kena gastrik aja." Edrina menjawab perlahan. Telahan emak mertuanya itu membuatkan dia terasa malu tiba-tiba.

"Yalah... mari kita makan sama. Mak dah masak banyak untuk korang ni," pujuk Mak Cik Kunah lembut sambil mengusap belakang wanita itu.

Perlahan Edrina mengangguk akur dengan sedikit senyuman.

Mak Cik Kunah memandang sedikit persekitaran rumah itu.

"Mana barang-barang yang mak suruh kau beli, Kudin?" Soal Mak Cik Kunah lantas menoleh kepada anaknya itu.

"Belum beli, mak. Kudin takde masa nak ke pekan," jawab Kudin rendah.

"Air dah masuk?"

"Belum, Kudin takde masa nak pergi pejabat air," jawab Kudin perlahan.

"Kan mak dah cakap... pergi mohon meter air tu cepat? Takde air paip macam mana nak hidup dalam rumah macam ni?" Tekan Mak Cik Kunah mula geram dengan anaknya ini. Nasib baiklah eletrik memang ada semenjak dulu. Kalau tidak, mahu berlilin anak menantunya setiap hari.

Kudin terkedu. Kena marah lagi aku... ucap hatinya sendiri.

"Dapur gas semua dah beli?"

"Dah..." Jawab Kudin rendah. Malu dia dimarahi emaknya di hadapan isterinya itu.

Mak Cik Kunah menggeleng sendiri. Kalau macam ini keadaan rumah, dia pun tak mahu tinggal di sini. Mana ada orang memasak, mandi guna perigi lagi. Rata-rata orang kampung semua sudah maju menggunakan paip air bermeter di rumah. Perigi yang ada sekadar sampingan sahaja. Si Edrina itu yang mahu diajar hidup begini? Macam manalah dia tak terkejut? Patutlah Edrina mahu balik ke KL benar.

"Bukan ini keadaan yang mak bayangkan selama ni, Kudin. Rumah orang bujang pun tak sekosong ini. Kamu jangan ikutkan sangat perangai kedekut kamu tu. Semua benda tak penting.... semua benda kamu kata membazir. Mak tak suka, Kudin! Kamu cari duit banyak-banyak buat apa kalau kamu kedekut nak belanjakan untuk rumah tangga kamu sendiri?" Ucap Mak Cik Kunah kesal.

"Tapi mak jugak yang cakap..."

"Ya, memang! Tapi ini dah daif sangat namanya. Ruang tamu ni kosong. Sehelai tikar pun kamu tak sediakan. Dalam bilik itu, katil pun takde. Gobok nak runtuh tu kamu pakai lagi. Ni.... mak belum tengok kat dapur lagi. Entah-entah beras pun kamu beli sekilo dua aja. Takut membazir, Bawang kamu beli dua biji aja, takut buruk tak dimasak. Sekurang-kurangnya perkakas yang asas tu kena ada, Kudin. Itu maksud mak! Takkanlah itu pun kamu kata membazir? Ikutkan kepala otak kamu tu, memang semuanya tak payah! Asalkan rumah ini ada atap dengan dinding aja dah cukup," Bebelan panjang Mak Cik Kunah segera memintas bicara Kudin. Dia menggeleng lagi kepada anak lelakinya itu.

"Ya, mak. Nanti Kudin pergi beli." Kudin menunduk sedikit tatkala menjawab.

"Jangan cakap aja nak pergi beli. Sudahnya tak beli jugak!"

Kudin menelan liurnya.

"Kudin beli nanti," jawab Kudin rendah. Balik-balik aku yang kena marah... bisik hati Kudin.

Edrina sempat juga melempar jelingan maut kepada lelaki itu. Padan muka kau kena marah dengan mak, mamat kolot... detik hatinya sendiri.

"Dah! Jom kita makan," Mak Cik Kunah mula melembutkan nadanya. Edrina kembali dipandangnya. Wanita muda itu terus mengukir senyum kepadanya.

Saat berjalan dibelakang dua wanita itu, Kudin melihat Edrina menoleh seketika kepadanya. Wanita itu mengangkat ibu jarinya di belakang emak Kudin. Sengaja mahu mengejek Kudin. Kudin hanya memandang tanpa membalas. Walaupun hatinya sebal dimarahi emaknya namun dia lega melihat Edrina mudah dipujuk kali ini.

"Makan banyak sikit, Rina. Mak tengok kamu ni dah makin kurus. Sedap ke lauk ikan keli masak lemak ni? Ikan keli ni, Kudin yang bawak balik tadi," ucap Mak Cik Kunah senang hati melihat menantunya itu berselera makan.

"Sedap," jawab Edrina sepatah dek kerana memang sudah terlalu sedap. Kalau tak sedap pun dia memang laju makan sebab dah tiga hari dia puasa makan nasi. Tapi jauh di sudut hatinya dia memang menggemari masakan emak mertuanya. Terbaik!

"Kalau bosan duduk rumah, mintak Kudin hantarkan Rina ke rumah mak waktu dia ke ladang," Mak Cik Kunah berkata lagi kepada Edrina.

Edrina terus mengangkat pandangan kepada emak mertuanya. Laju sahaja kepalanya mengangguk dengan muka ceria tanda senang hati dengan ajakan Mak Cik Kunah. Kalau boleh dia mahu pindah sahaja duduk dengan emak mertuanya. Tidak sanggup dia mahu memandang muka Kudin.

Mak Cik Kunah mengalihkan pandangan setelah selesai menyuap nasi ke mulut. Anak lelakinya itu pula yang dikerlingnya.

"Duduk rumah seorang diri pun, apa boleh buat. Bukannya ada tv nak tengok rancangan masak-memasak. Takkanlah orang kat dalam kubur sana tu boleh bangun datang sini tolong ajar. Itulah caranya nak mendidik isteri. Bukannya main tinggal buntang macam tu aja," perli Mak Cik Kunah kepada Kudin.

"Ya, mak... nanti sebelum pergi ladang Kudin hantar Rina rumah mak." Bersepai lagi air muka Kudin dikenakan emaknya. Ya! sekali lagi dia akur, dia memang tersilap dan terburu mengikut perasaan marah waktu itu.

"Rina... Kudin... kamu berdua ni tak elok bergaduh lama-lama. Suami isteri kalau bergaduh yang paling suka tentulah syaitan. Jangan ikutkan perasaan sangat," nasihat Mak Cik Kunah lembut.

"Rina, bergegar tiang arasy jika seorang isteri mintak cerai daripada suaminya tanpa sebab. Tak baik, nak. Bergaduh dalam rumah tangga ni, semua orang pun ada melaluinya. Mak dengan arwah ayah dulu pun macam tu. Tapi kita kena saling bertolak ansur, saling memaafkan. Hal yang kecil jangan dibesarkan. Wanita ni, paling mudah masuk syurga jika dia taat pada suami. Itu memang impian semua perempuan atas dunia ni. Dengar nasihat mak ni ya?" Pujuk Mak Cik Kunah lembut kepada menantunya itu.

Edrina memandang emak mertuanya itu seketika. Ikutkan keras hatinya tidak ingin dia mahu menghadap muka Kudin lagi. Tetapi suara lembut wanita itu benar-benar mengalahkan pendiriannya entah kenapa. Perlahan dia mengangguk sahaja.

Mak Cik Kunah mengucap syukur dalam hati. Mudah aja dia memujuk Edrina. Dia sendiri tidak faham apa yang susah benar bagi Kudin menundukkan isterinya ini. Entah-entah Kudin salah ilmu agaknya. Itu yang Edrina makin keras kepala.

Dalam diam Kudin semakin senang hati melihat Edrina sudah berselera makan semula. Melihat gaya Edrina merajuk dua tiga hari ini, dia memang seriau. Sampai tak mahu makan langsung. Buatnya apa-apa jadi pada Edrina, jenuh dia mahu menjawab pada bapa mertuanya nanti

Usai makan tengah hari itu, Mak Cik Kunah tiba-tiba buat kejutan pulak.

"Mak rasa nak bermalam kat rumah kamu ni, Kudin. Dah lama mak tak tidur kat rumah nenek ni," ucap Mak Cik Kunah selamba sambil duduk di ambang pintu rumah itu memandang ke luar.

Kudin terus memandang Edrina. Wajah isterinya sudah berubah habis. Mak Cik Kunah bermalam di situ... bermakna mereka tidak boleh tidur berasingan! Mak Cik Kunah menoleh. Sepasang suami isteri itu diperhatikan bergilir.

"Mak boleh tidur kat tempat arwah nenek tu," ucap Mak Cik Kunah lagi.

"Kalau mak nak tidur dalam bilik dengan Rina pun boleh. Biar Kudin tidur kat tempat arwah nenek tu. Selesa sikit," jawab Kudin lembut.

"Tak payahlah nak layan mak ni macam tetamu jauh, Kudin. Ini pun rumah mak jugak dulu. Mak pernah membesar kat sini. Tahulah mak nak tidur kat mana." Mak Cik Kunah berkata selamba.

"Yalah, mak..." Sambut Kudin serba salah. Wajah Edrina tidak mampu dipandangnya kerana dia sudah nampak betapa tajamnya pandangan wanita itu kepadanya. Dalam pandangan itu, isterinya sudah menghantar amaran. Jangan apa-apakan dia!

Petang itu, Edrina sekadar bersantai-santai di luar rumah memandang emak mertuanya itu menanam pokok bunga di halaman rumah. Baik sungguh emak mertuanya itu. Sanggup menolong menanam pokok di rumah itu. Nak harapkan dia buat kerja tu semua? Memang taklah!

"Marah dengan aku lagi ke?" Tanya Kudin saat mendekati isterinya itu.

Wanita itu mencebik sahaja tanpa memandang si Kudin. Sengaja dikeraskan reaksinya walaupun hatinya sudah tidak sebengkak sebelum ini.

"Janganlah merajuk lama-lama. Kitakan masih dalam mood honeymoon lagi ni? Mana boleh gaduh-gaduh selalu," ujar Kudin lembut.

Edrina diam sahaja. Pandangannya mula dihalakan ke tanah di hujung kakinya. Sebatang ranting kering yang terdampar tidak jauh daripadanya terus dicapai. Tanah itu dikuis-kuis dengan ranting itu.

Kudin mula merapatkan duduk kepada isterinya itu. Sisi wajah Edrina tidak lepas dari pandangannya. Pipi itu kelihatan sedikit kemerahan membuatkan tidak jemu mata lelakinya memandang.

"Kau nampak lebih cantik kalau kau senyum, Rina." Kudin berkata perlahan.

"Kau tu suka buat benda yang aku tak suka. Macam mana aku nak senyum?" Edrina segera membalas dengan sedikit kerlingan buat lelaki itu.

"Gurau sikit aja. Takkanlah itu pun nak marah? Boringlah kalau dua-dua serius aja," usik Kudin dengan renungan lembut kepada wanita itu.

"Yalah... tapi kau tu suka kacau aku. Tak suka tahu tak!" Getus wanita itu sambil memuncungkan bibirnya.

"Habis tu aku nak kacau siapa lagi kalau bukan kau? Kat dalam rumah ni, ada kita berdua aja," balas Kudin lantas ketawa kecil. Entah kenapa suka benar dia melihat Edrina memuncungkan mulutnya begitu. Comel pulak!

Edrina menjeling lagi lelaki itu. Geram dia mendengar jawapan selamba Kudin.

"Kau ingat aku ni budak kecik ke?" Gumamnya agak perlahan.

Kudin menarik tangan isterinya itu. Melihat mood Edrina agak baik, dia jadi berani pula.

"Okeylah... aku janji tak buli kau lagi dah," ucap Kudin lembut mahu menambat hati wanita itu. Jemari halus itu dioles-olesnya lembut.

Edrina sekadar membiarkan Kudin begitu sambil memandang emak mertuanya itu yang masih ralik dengan kerjanya. Dia mula berfikir-fikir. Malam ini emak mertuanya mahu menginap di rumah ini. Nampaknya dia dan Kudin terpaksalah tidur di tempat yang sama. Itu yang dia risau sekarang.

"Berapa hari mak nak tidur sini?" Soal Edrina separuh berbisik.

"Entah. Kenapa kau tanya macam tu? Tak suka ke mak ada kat sini?" Balas Kudin perlahan saja.

"Bukan macam tu..." Edrina menghela nafas perlahan sambil menolak tangan suaminya itu. Dia suka Mak Cik Kunah ada di situ. Tetapi dia tidak suka bila terpaksa tidur di sebelah Kudin. Nanti entah apa-apa lagi lelaki itu buat untuk menyakitkan hatinya.

"Baguslah mak ada sini. Takdelah kau bosan nanti," ujar Kudin dalam pada Edrina termenung sendiri.

"Memanglah. Tapi aku tak mahu tidur sebelah kau!" Balas Edrina dengan nada tertahan. Geram! Kudin sengaja buat-buat tak faham pula apa yang sedang merusuh di hatinya saat ini.

"Apa salahnya aku tidur sebelah kau. Manalah tahu aku boleh peluk-peluk kau nanti. Kau jugak yang untung kena peluk dengan lelaki hensem macho macam aku ni. Takut nanti kau terindu-rindu pulak kalau tak kena peluk dengan aku lepas ni," jawab Kudin selamba.

Edrina menjeling tajam kepada lelaki itu.

"Tak kuasa aku nak peluk kau! Geli aku dengan bulu-bulu yang banyak kat badan kau tu," cemuh Edrina sebal. Tak reti pakai baju agaknya. Asyik aja berlenggeng 24 jam dalam rumah, luar rumah.. cemuhan itu sekadar bergaung di dalam hatinya.

Kudin mencebik entah kenapa.

"Eleh.. geli banyak bulu konon! Lelaki banyak bulu ni seksi. Tambahan pulak badan aku ni sasa dah macho," ucap Kudin nekad benar memuji dirinya sendiri. Namun setelah itu dia terus bangun untuk meneruskan kerjanya tadi. Sengaja dia mahu lekas berlalu dari situ. Kerana dia sudah tahu apa reaksi Edrina daripada bicaranya sebentar tadi.

Lama Edrina memandang langkah suaminya menuju ke belakang rumah mereka itu. Semenjak tadi, Kudin sibuk menampal lubang-lubang pada dinding bilik air di belakang rumah itu.

"Macho konon! Tak kuasa aku! Sengal punya mamat kampung!" Ucapnya sendiri. Tetapi entah kenapa dia tergelak sendiri mengenang gelagat lelaki itu. 

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078