Pages

Saturday, December 3, 2016

Kota Cinta Bali

Bali, Indonesia merupakan salah satu destinasi percutian bulan madu yang paling kerap dikujungi oleh setiap pengunjung dari pelbagai negara dek kerana keindahan alam semula jadi dan warisan seni masyarakat di sini.

Untuk percutian kami ke Bali, kami sengaja memilih pada hari bekerja kerana pada masa itu Malaysia Airlines menawarkan tiket pada harga terendah. Kami tiba sekitar jam 6.30 petang di Quest Hotel iaitu penginapan kami di Kuta. Bali yang bertaraf tiga bintang. Rasa seperti tidak sabar untuk memulakan pengembaraan pada keesokan paginya.

TERKEJUT DENGAN BABI GULING

Keesokan paginya kami bersarapan di hotel. Juru pandu membawa kami ke Tanah Lot. Buat informasi, pengunjung yang bercuti ke Bali wajib ke Tanah Lot untuk melihat keindahan alam dan hasil kesenian kuil yang dibina oleh mereka. Perjalanan ke Tanah Lot dari hotel agak jauh. Jalan untuk ke sana juga melalui lorong-lorong kecil dan kita akan dapat melihat restoran 'babi guling' merata-rata kerana di sana majoriti penduduk beragama Hindu. Jadi Babi Guling merupakan makanan 'ikonik' di sini. Tanah Lot mempunyai lebih kurang 4 atau 5 pura di sana. Pura bermaksud "kuil". Tempatnya memang cantik, lebih-lebih lagi berada dari atas tebing dan dapat melihat keseluruhan laut di sekitarnya.

RESTORAN PAWON PASUNDAN

Restoran Pawon Pasundan ini merupakan restoran yang agak popular di sana. Ia menyediakan makanan hidangan khas Sunda. Kalau biasa kita makan di Malaysia, ianya lebih kurang sama dengan Nasi Ayam Penyet. Makanannya memang sedap. Yang menarik, nasinya dibungkus dengan daun. Jadi, apabila dibuka aroma wangi terus menusuk ke dalam hidung. Disebabkan majoriti penduduk beragama Hindu, agak sukar untuk mencari makanan halal tanpa meragukan. Rata-rata pengunjung restoran itu juga merupakan pelancong-pelancong dari luar. Mana tidaknya makanan sedap dan restoran serta tandasnya juga bersih. Malah, ia turut menyediakan ruang kecil untuk solat bagi yang beragama Islam. 

INDAH PANTAI SANUR

Pantai Sanur merupakan pantai biasa di sana. Tiada apa yang menarik kerana di Malaysia masih banyak pantai sebegini. Bagi yang beragama Islam, agak sukar membeli makanan sebarangan kerana makanan tidak halal dijual merata-rata. Jadi kami hantya tunggu juru pandu membantu kami mendapatkan makanan halal untuk dijamah. 

PESONA PUSAT KERAJINAN

Pusat Kraftangan dipanggil Pusat Kerajinan di sana. Juga tiada apa yang menarik kerana kalau di Malaysia tempatnya saling tidak ubah seperti Noor Arfa Batik atau tempat-tempat membuat kraftangan seperti di Terengganu. Kami tidak mengambil masa yang lama di situ. Juru pandu membawa kami untuk melihat cara pembuatan batik dan penghasilan silver.

BALI CAFE & PANTAI JIMBARAN

Sepanjang perjalanan kami di sana semuanya termasuk dengan pakej yang telah ditetapkan. Dan yang paling penting, syarikat percutian yang kami ambil mementingkan makanan halal. jadi kami tidak perlu risau. Terdapat banyak restoran di tepian pantai Jimbaran. Mungkin lebih dari 300 meter panjang. Tempat ini sangat popular di Bali kerana kami dapat menikmati makan malam romantik di tepi pantai. Ada persembahan muzik meja ke meja mengikut nasib. Dan mereka singgah ke meja kami sambil menyanyikan lagu "You Are Wonderful Tonight" Selepas makan kami pulang ke hotel.

FOTO ADAT BALI

Hari seterusnya di Bali, selepas bersarapan juru pandu membawa kami ke studio gambar untuk mengambil gambar kenangan bersama dengan pakaian adat Bali. Suatu pengalaman yang tidak akan dilupakan kerana dipakaikan rambut palsu bersama benda di atas kepala yang sangat berat. Suami pula dengan hanya berkemban. Kami banyak ketawa melihat penampilan masing-masing apabila bergambar.

TURTLE ISLAND

Destinasi seterusnya adalah Turtle Island di mana kami dibawa dengan glass boat. Di mana di tengah-tengahnya kita akan nampak ikan di dalam air laut dengan jelas. Apabila sampai di Turtle Island, kami disambut dan diminta untuk memberikan sedikit sumbangan untuk penempatan penyu di sana. Di sana terdapat mini zoo untuk kita melihat haiwan yang lain juga. Sekembalinya kami dari Turtle Island, isteri hendak mencuba untuk buat aktiviti parasailing. Saya hanya tunggu dibawah kerana tidak cukup berani. Tip untuk dapatkan harga murah ialah rajin tawar-menawar. Akhirnya kami hanya dikenakan caj dalam 200.000 Rupiah sahaja.

GARUDA WISNU KENCA CULTURAL

Destinasi seterusnya ialah Garuda Wisnu Kencana Cultural Park. Di sini kami dapat menonton Bali Dance dan persembahan, ala-ala menonton Makyung. Seni bina tempat ini memang sangat cantik. Terdapat patung-patung besar unik kiri dan kanan. Dalam perjalanan untuk makan malam, kami berjalan melalui patung-patung tersebut sebelum sampai ke restoran. Tempat makan agak tinggi, kami terpaksa naik tangga yang disediakan. 

JENDELA BALI RESTORAN

Walaupun penat menaiki tangga untuk ke restoran ini, semuanya berbaloi kerana restoran ini sangat cantik dan menarik kerana ia memang terbaik. Tempat paling romantik kalau anda ingin membawa pasangan makan malam jika di Bali. Kami dapat melihat permandangan keseluruhan Bali dari restoran kerana restoran ditempatkan di atas tebing bukit yang agak tinggi. Apabila masuk ke restoran, baru kami tahu mengapa restoran ini dipanggil Jendela Bali. Kerana pintu masuk adalah sebuah tingkap besar, terus menerus nampak satu permandangan seluruh Bali. Cantik dan terkasima kami dibuatnya. Makanannya cukup sedap. Memang terbaik. Jelas, pengalaman bercuti ke Bali adalah pengalaman yang tidak dapat kami lupakan. Insya Allah jika diberikan peluang ke Bali kami akan cuba untuk bercuti dengan bajet yang ringkas, buat ala-ala backpackers. Itu juga merupakan impian kami. Semoga apa yang dikongsikan memberi sedikit sebanyak tip kepada anda semua.

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078