Pages

Friday, November 20, 2015

40 Destinasi Bulan Madu

1. Pulau Redang, Terengganu

Merupakan salah satu pulau yang paling popular bagi mereka yang ingin berbulan madu sambil melakukan aktiviti selam skuba. Pulau ini terbahagi kepada empat bahagian utama sebagai destinasi perlancongan iaitu Teluk Kalong, Teluk Bakau, Pasir Panjang dan Teluk Dalam. Jika anda inginkan sesuana yang lebih privasi atau sunyi, anda bolehlah memilih untuk menginap di Redang Mutiara yang terletak di Teluk Kalong. Istimewanya, pengalaman melihat matahari terbit boleh dinikmati di sini berikutan keadaan pantai di Pulau Redang yang menghadap ke arah timur.



2. Batu Ferringhi, Pulau Pinang

Adalah antara pantai yang popular di Pulau Pinang, Batu Ferringhi dipenuhi deretan hotel-hotel mewah bertaraf antarabangsa. Permandangannya juga amat menarik dan hampir sama dengan pantai yang terkenal di dunia iaitu Miami Beach. Berehat sambil bermandikan sinaran matahari atau cuba aktiviti pantai yang menyeronokkan seperti aktiviti papan layaratau berkayak. Hard Rock Hotel adalah antara inapan pilihan paling sesuai bagi pasangan yang ingin melayari percutian bulan madu.



3. Kundasang, Sabah

Merupakan sebuah pekan kecil yang paling hampir dengan Gunung Kinabalu. Ia terletak hanya enam kilometer dari Taman Negara Kinabalu. Cuaca yang segar serta pemandangan yang indah menjadi alasan utara ramai pelancong datang berkunjung ke sini. Walaupun hanya sebuah pekan kecil, Kundasang juga menyediakan kemudahan seperti hotel, chalet dan homestay bagi memberi keselesaan kepada pelancong. Beberapa destinasi lawatan sebagai port untuk merakamkan gambar kenangan juga paling disyorkan khusus buat mereka yang sedang honeymoon.



4. Cameron Highlands, Pahang

Pusat peranginan tanah tinggi yang terkenal di Semenanjung Malaysia ini terletak di barat daya negeri Pahang, sebuah negeri yang kaya dengan khazanah hutan semula jadi. Selain menjadi pusat peranginan, Cameron Highlands juga terkenal dengan pengeluaran hasil tanaman seperti teh, sayur-sayuran dan buah-buahan yang bermutu tinggi dan ada yang jarang didapati di tempat lain. Pastinya kenangan memetik strawberi bakal menjadi  momen terindah buat pasangan yang datang berbulan madu di sini.



5. Bukit Fraser, Pahang

Ingin merasakan percutian ala-ala di England, Bukit Fraser adalah lokasi yang harus dipilih! Terletak kira-kira dua jam perjalanan daripada Kuala Lumpur, kawasan peranginan tanah tinggi ini menawarkan pengalaman percutian bulan madu yang istimewa. Panorama indah dengan persekitaran yang dilitupi kabus putih tambah unik dengan adanya bangunan-bangunan lama senibina kolonial Inggeris. peluang berdua-duaan sambil melakukan aktiviti seperti bermain golf, menaiki kuda serta mandi manda di Air Terjun Jeriau sudah tentu tidak boleh dilupakan!



6. Pulau Sipadan, Sabah

Pulau yang  terkenal sebagai satu pilihan tempat bagi aktiviti menyelam skuba terbaik di dunia ini mempunyai tarikannya  tersendiri. Alam dasar laut Sipadan menawarkan kepada para penyelam permandangan yang penuh dengan kehidupan marin seperti Barracuda, penyu, ikan dan sebagainya. Warna-warna yang bertukar ganti, birai, celah, batu rungkupan, gua besar dan  cerombong yang menegak di bawah air yang dibentuk oleh pelbagai karang menanti untuk disaksikan oleh para penyelam yang ingin menikmati  tempat selam yang menyeronokkan di dunia.



7 Pulau Gemia, Terengganu

Terletak bersebelahan dengan Pulau Kapas, Pulau Gemia adalah lokasi bulan madu paling sesuai kerana pulaunya yang sangat privasi. Oleh kerana keluasan pulau yang kecil, Pulau Gemia langsung tidak sarat dengan kunjungan pelancong. Gem Island Resort & Spa adalah antara inapan bertaraf empat bintang, dan juga menjadi satu-satunya pilihan penginapan yang terdapat di sini. Apa lagi aktiviti yang boleh dilakukan di sini selain berjalan berdua-duaan sambil menikmati permandangan indah ibarat lukisan bukan?



8 Santubong, Sarawak

Destinasi eko perlancongan kedua selepas Gua Niah di Sarawak kini menjadi pusat pelancongan kegemaran pengunjung yang bercuti di sini. Tidak terhad kepada aktiviti mendaki, Gunung Santubong sering menjadi pilihan pasangan untuk berbulan madu. Lokasi paling sesuai bagi anda yang ingin lari dari kesibukan kota, Santubong juga menyediakan pelbagai jenis penginapan serasi buat pasangan dua sejoli.



9. Port Dickson, Negeri Sembilan

Kedudukannya yang terletak tidak jauh daripada Kuala Lumpur adalah satu bonus buat mereka yang merancang berbulan madu pada cuti hujung minggu. Pantai Port Dickson adalah tempat percutian yang menarik untuk warga kota. Terkenal dengan  pantainya yang menarik, kemudahan  yang mencukupi dan infrastruktur yang baik, Port Dickson juga menyediakan pelbagai jenis inapan yang sesuai. Antara pantai yang terkenal ialah Teluk Kemamg dan Blue Lagoon.



10. Pulau Langkawi, Kedah

Menggabungkan tarikan sejarah, kehidupan malam yang menarik,  keindahan pantai, aktiviti-aktiviti menarik termasuk membeli belah, pulau bebas cukai ini adalah tempat paling sesuai untuk bercuti. Kunjungan bahkan  lebih menarik jika tidak  melepaskan peluang untuk ke  Pantai Cenang, Pantai Tengah dan Pantai Beras Basah. Cable Car  & Skybridge  adalah antara lokasi  lawatan wajib jika ke sini.




11. Genting Highland, Pahang

Sesekali dapat melakukan aktiviti mencabar di Kota Keriangan Genting Highland apa salahnya? Kawasan peranginan yang terletak tidak jauh dari Kuala Lumpur ini menawarkan kegembiraan buat mereka yang suka melakukan aktiviti riadah atau sekadar mencipta kenangan manis bersama pasangan. Suhunya yang sejuk dan nyaman pastinya membuatkan perjalanan tambah menarik! Kemudahan hotel juga turut disediakan antaranya Genting Hotel, First World Hotel, Awana Genting Highlands, Theme Park Hotel dan beberapa hotel lainnya.



12. Pulau Tioman, Pahang

Pulau terbesar di pantai timur Malaysia ini terletak 32 kilometer dari arah Mersing dan 80 kilometer dari arah Rompin. Pulau yang indah dengan hidupan-hidupan laut yang masih terpelihara ini termasuk dalam 10 pulau tercantik di dunia. Istimewanya Pulau Tioman bukan sahaja dapat menikmati kemudahan laut China Selatan, tetapi dapat merasai kesegaran air terjun yang merupakan sumber air utama di Pulau Tioman.



13. Pulau Mataking, Sabah

Terletak di lautan Sulawesi, perjalanan ke sini mengambil masa 40 minit dari Semporna dan 45 minit dari Sipadan. Digelar tempat peranginan kelas pertama, Pulau Mataking merupakan syurga bagi penggemar selam skuba. Bersiar-siar di sekitar Pulau Mataking Kecil merupakan antara aktiviti wajib. Terdapat 30 kawasan menyelam di sini. Antara yang paling terkenal adalah Magic Rick, Mantis Reef, dan Alice Wall. Permandangan indah Pulau Mataking mampu dinikmati dari menara pemerhati.




14. Cherating, Pahang

Selain terkenal dengan keindahan panoramanya, kedudukan pantainya yang landai amat sesuai dan selamat untuk aktiviti meluncur papan air. Terletak lebih kurang 50 kilometer dari Kuantan, Pahang. Cherating adalah antara lokasi pantai peranginan paling popular di negara ini. Di sekitar pantai Cherating, anda boleh meninjau pelbagai jualan produk batik seperti kain sarung, selendang, celana, pareo, baju dan lukisan. Juga dikatakan lokasi sesuai untuk berbulan madu, deretan hotel yang membanjiri kawasan sekitar boleh menjadi pilihan inapan selama beberapa hari di sini.



15. Desaru, Johor

Teletak 100 kilometer dari Johor Bahru. Desaru merupakan destinasi yang sangat popular dengan keadaan pantai yang bersih, padang golf yang hebat dan daya tarikan yang unik. Walaupun ia lebih dikenali sebagai kawasan pantai dan tempat peranginan, nama lainnya adalah "Tanah Casuarina" sebagaimana pokok-pokok rhu yang kelihatan di sepanjang pantai. Antara tarikan lain di sini termasuklah Muzium Perkampungan Nelayan di Tanjung Balau, ladang buah-buahan Desaru dan peluang untuk melihat kunang-kunang di Sungai Lebam.



16. Bukit Larut, Perak

Juga dikenali dengan panggilan Maxwell Hill, Bukit Larut menjanjikan kawasan peranginan tanah tinggi yang cukup hebat. Sesuai bagi anda yang memilih percutian berkonsepkan alam semulajadi, sesuana di sini cukup sunyi dan dingin di puncak bukit. Kemudahan banglo-banglo lama yang masih dijaga dengan baik, adalah pilihan untuk menginap sehari dua. Apabila malam, permandangan indah seluruh bandar Taiping dengan limpahan cahaya lampu pastinya dapat dilihat dengan jelas. Bunga-bunga yang berkembang mekar juga tambah menarik dengan pelbagai warna dan jenis.



17. Bukit Tinggi Colmar Tropicale, Pahang

Colmar Tropicale yang terletak di Bukit Tinggi, Pahang merupakan salah satu destinasi percutian romantik yang menarik untuk dikunjungi. merupakan satu-satunya A France Themed Resort yang ada di Malaysia, suasana di sini bakal memberikan gambaran kota Perancis yang sungguh indah. Dengan cuaca yang agak dingin, suasana malam pastinya menciptakan aktiviti romantik anda dan si dia. Banyak aktiviti yang boleh dilakukan antaranya lawatan ke Japanese Village, Taman Arnab dan banyak lagi.



18. Pulau Pangkor, Perak

Merupakan sebuah pulau tropika yang menawan dan memiliki beberapa tempat tarikan pelancong yang menarik. Pulau Pangkor ini juga boleh dijelajahi dengan berjalan kaki atau menggunakan kenderaan yang juga disediakan di sana. Aktiviti laut tidak boleh dilepaskan sekiranya ke sini. Antara yang boleh dilakuakn adalah berenang, memancing, snorkeling, berkayak atau sekadar bersiar-siar menaiki motor sewa mengelilingi pulau. jangan lupa untuk menikmati hidangan makanan laut di restoran tepi pantai. Pastinya tercipta momen indah antara anda dan pasangan.



19. Pulau Kapas, Terengganu

Keheningan suasana sekitar Pulau Kapas pastinya memberikan ketenangan buat pasangan pengantin baru. Lakukan aktiviti snorkeling, selam skuba, memancing, berkayak atau mengambil peluang untuk berjalan-jalan di sekitar kawasan pantai. Terdapat beberapa resort yang beroperasi di sini untuk kemudahan pengunjung antaranya Kapas Island Resort, Kapas Turtle Valley, The Light House, Kapas Beach Resort dan banyak lagi.



20. Pulau Perhentian, Terengganu

Pulau ini terletak 21 kilometer dari pinggir pantai Terengganu dan terbahagi kepada dua iaitu Pulau Perhntian Besar dan Pulau Perhentian Kecil. Lokasinya di pinggiran kawasan Taman Laut Pulau Redang bermakna perairan di sekitar pulau ini ditaburi terumbu karang dan menawarkan permandangan bawah laut yang hebat untuk aktiviti menyelam skuba. Lawatan bot ke pulau-pulau boleh diaturkan dan bot juga boleh disewa oleh pelancong yang ingin meneroka teluk-teluk yang terselindung. Bagi pasangan pengantin baru, apa kata cuba aktiviti meluncur papan air, belayar, berkenu dan memancing.



21. Osaka, Jepun

Percutian di Jepun boleh menjadi sesuatu yang mahal atau murah bergantung kepada tempat yang and a ingin lawati. Buat mereka yang ingin berbulan madu tanpa menggunakan bajet yang terlalu tinggi, saya mencadangkan Osaka sebagai destinasi pilihan kerana hotel di sini lebih murah dan anda juga boleh mengakses ke kawasan sekitar menggunakan kereta api dalam masa yang singkat. Antara tempat-tempat yang menarik until dilawati ialah Kema Sakuranomiya Park until menikmati bunga sakura, Osaka Aquarium, Nara Park dan Universal Studios Osaka.



22. Pulau Belitung, Riau

Pulau Belitung adalah sebuah pulau yang menarik untuk dilawati. Tidak seperti Pulau Phi-Phi yang dipenuhi ramai pelancong, pulau yang kurang dengan kehadiran pelancong ini menjanjikan peluang untuk anda dan pasangan untuk berehat dengan tenang. Terdapat beberapa pulau kecil di sekitar Belitung seperti Pulau Kepayang, Pulau Lengkuas dan Pulau Pasir yang boleh diterokai menggunakan bot. Untuk ke sini, perjalanan singkat menggunakan pesawat dari bandar Jakarta hanya mengambil hanya kira-kira 45 minit. Jangan lupa untuk mencuba keenakan Mi Atep dan Papa Acoi (sejenis hidangan mi) yang menjadi juadah sarapan pagi tradisi Belitung.



23. Seoul, Korea Selatan

Seoul adalah jawapan bagi mereka yang mendambakan suasana romantik tidak kira pada waktu malam atau siang. Sungai Han misalnya adalah satu perkara yang tidak boleh dilepaskan untuk menikmati suasana matahari terbenam dan pancaran cahaya lampu yang berwarna warni tatkala malam menjelang. Selain itu, jangan lupa untuk bertandang ke Chyunggye Cheon, salah satu lokasi popular untuk mengambil gambar, Han River Ferry Boat Cruise, N Seoul Tower, Gyungbok Palace dan Samchung Dong, tempat yang unik untuk membeli belah sambil menikmati secawan kopi.



24. Luang Prabang, Laos

Tenang, nyaman dan santai di tepian sungai bandar kolonial Perancis adalah liburan yang sempurna buat anda dan pasangan untuk sama-sama terokainya. Terdapat beberapa buah hotel-hotel yang dibina dengan seni reka Perancis di sepanjang sungai. Destinasi ini memberikan anda pengalaman budaya, permandangan alam yang indah dan makanan tempatan yang enak. Dikatakan, musim yang terbaik adalah dari bulan September hingga Mac. Jangan lupa untuk melawat Wat Xieng Thong, Gunung Funsi, Air Terjun Kuang Xi dan Gua Ting bila bertandang ke sini.



25. Pulau Malolo, Kepulauan Mamanuca, Fiji

Pulau Malolo terletak di Kepulauan Mamanuca, Fiji. Untuk ke sini, perjalanan sejauh 25 km dari Lapangan Terbang Antarabangsa Nadi boleh dijejaki menggunakan bot, pesawat ringan atau helikopter. Di sini, terdapat sebuah inapan yang diberi nama Liku Liku Lagoon Resort, syurga resort mewah yang pertama dibina di Fiji yang dibina di atas air. Menjanjikan suasana yang privasi buat sang merpati dua sejoli, ianapan romantik ini dibina dengan menggabungkan nilai serta seni bina tempatan di dalam suasana permandangan yang sungguh mengagumkan.



26. Ko Lanta, Thailand

Ko Lanta, sebuah pulau tropika yang indah yang terletak di perairan Andaman Thailand. Ia menyediakan sebuah percutian lengkap dan sempurna untuk anda berbulan madu. Perairannya yang luas juga menjadi pentas yang baik untuk aktiviti snorkeling dan selam skuba. Syurga makanan laut yang segar, jungle trekking di taman negara, bird watching, dan tempat-tempat tumpuan pelancong yang mudah diakses menggunakan basikal atau motosikal. Pendek kata, destinasi ini harus dilawati. Pulau ini juga terletak berhampiran dengan destinasi lain yang menarik seperti Ko Phi Phi untuk aktiviti menyelam skuba, krabi dan Phangnga Bay, syurga struktur batu kapur yang tergantung di lautan.




27. Sihannoukville, Kemboja

Dikelilingi pantai berpasir putih dan pulau-pulau tropika yang tidak diusik dek pembangunan. Sihanoukville juga dikenali dengan nama Kompong Som atau Kampong Som. Four Rivers Floating Ecolodge. Lokasi ini terkenal dengan pantai-pantainya. Antaranya Pantai Otres, Pantai Sokha dan Pantai Victory. Untuk mereka yang inginkan inapan yang jauh dari pusat bandar, cuba menuju ke Sokha Beach Resort atau bergerak sedikit ke kawasan pedalaman untuk tidur di inapan mewah yang dibina di atas sungai iaitu Four Rivers Floating Ecolodge.



28. Hoi An, Vietnam

Tapak warisan UNESCO yang dikelilingi pulau-pulau tropika, batu karang, desa dan sawah padi serta pantai yang indah. Terletak di tengah-tengah Vietnam, tempat ini adalah mempunyai segala yang anda dambakan tanpa mengira minat. Anda boleh merestasi desa menggunakan basikal sambil menikmati suasana pantai atau pergi membeli-belah bersama pasangan. Lokasi yang berhampiran dengan Lapangan danag ini mempunyai tarikan seperti Hoi An Heritage Area, Marble Mountains, Cham Islands dan menikmati sajian enak yang disajikan oleh kafe-kafe unik di sepanjang sungai Hoi An.



29. Gili Lankanfushi, Maldives

Villa mewah beratap jerami terbentang indah di perairan biru yang cetek di Lautan Hindi. Menjadi percutian idaman buat semua pasangan romantik, duduk, bersantai sambil melayari cinta pasti menjadi suatu memori indah di Maldives. Makan malam peribadi di tepi pantai, melihat matahari terbenam sambil dibelai lembut angin tropika atau melakukan aktiviti seperti mandi dan snorkel. Pasangan tidak mempunyai pilihan lain tetapi untuk terus tenggelam dalam kebahagiaan kerana Gili Lankanfushi sememangnya merupakan sebuah hadiah percutian bulan madu yang terunggul.



30. Great Barrier Reef, Australia

Bayangkan diri anda berdua-duaan bersama yang tersayang di buaian sambil menyaksikan keindahan matahari terbenam di sebalik keindahan Great Barrier Reef. Jadikan inpian ini menjadi kenyataan dengan menginap di Lizard Island Resort. Terkenal sebagai destinasi menyelam, resort ini merupakan destinasi yang ideal buat pasangan yang gemarkan aktiviti air. Selepas melakukan pelbagai aktiviti sepanjang hari, regangkan badan anda untuk melakukan terapi dan urutan muka di Azure Spa.



31. Pulau Boracay, Filipina

Majalah Travel Leisure telah memilih destinasi ini sebagai Pelan Terbaik Bagi Tahun 2012. Penginapan bajet bermula dari sekitar RM60 sehingga ke inapan mewah yang mencecah RM1000 semalaman. Buat mereka yang inginkan sedikit rasa mewah, Shangri La's Boracay Resort & Spa adalah inapan yang boleh difikirkan. Pantai Bulabog mempunyai ombak besar dan angin kencang sepanjang tahun. Ini menjadikan Boracay satu hotspot terbaik untuk luncur angin dan kita boarding. Malah, Pantai Bulabog dianggap destinasi "Kite Surf" terbaik Asia.



32. Kauai, Hawaii

Setiap bulan adalah bulan yang terbaik untuk berbulan madu di Pulau Hawaii, namun dikatakan bulan April hingga November adalah yang terbaik. Di Pantai Kauai, anda boleh menjejaki air terjun, tebing tinggi dan bandar tradisinya. The Grand Hyatt Kauai Resort & Spa merupakan satu-satunya resort yang beroperasi di sini. Jangan lepaskan peluang untuk menunggang kuda di sepanjang pantai dan menyewa 'waterside cabana' yang bersuasana romantik.



33. Hualien, Taiwan

Destinasi ini sarat dengan pelbagai tempat yang menaik untuk anda dan pasangan untuk pergi mengembara. Di Hualien, terdapat lebih daripada 50 buah destinasi yang menarik untuk diterokai. Antara yang menjadi tarikan utama pengunjung adalah Tarako National park, Taroko Gorge, Zhuilo Old Trail dan Mukumugi Valley. Apa yang menarik, pemgembara bajet akan segala destinasi yang ingin ditujui berhampiran stesen kereta api. Makanan dan inapan juga tidak menjadi masalah jika anda bertandang ke situ.



34. El Nido, Filipina


Filipina mempunyai banyak destinasi percutian pantai, tetapi satu pilihan terbaik adalah El Nido. Terletak di bahagian utara Pulau Palawan, El Nido terkenal dengan aktiviti island shopping, menyelam skuba, dan snorkeling sambil berlatarkan pemandangan yang menakjubkan. Apa yang menariknya, destinasi ini juga terletak di Pulau Dagmay, Pantai Nacpan dan sungai bawah tanah Puerto Princess. Terdapat juga beberapa inapan untuk dipilih. Antaranya, El Nido Resort Lagon Islands, Tapik Beach Park Guest House dan Bulskamp Inn.



35. Tasik Inle, Myanmar

Dikenali sebagai tasik yang paling indah di myanmar, Inle Lake dikelilingi oleh bukit bukau yang paling tinggi dan dihiasi dengan taman-taman dan perkampungan tradisional. Anda akan dibawa menaiki bot panjang dan melihat sendiri keunikan para petani menanam tanaman di floating gardens. Jangan lepaskan peluang untuk merasai pengalaman romantis untuk menikmati koktail di Inle Princess Resort, sebelum menikmati makan malam secara privasi sebelum bermalam di sana.



36. Kaliurang, Yogyakarta

Kaliurang adalah sebuah pekan kecil yang terletak kira-kira 25 kilometer di utara bandar Yogyakarta. Ia merupakan sebuah pusat peranginan popular saban minggu. Pekan ini terkenal dengan pemandangan hutan yang menghijau dan udaranya yang sejuk. Antara destinasi yang popular di sekitarnya ialah Kuil Prambanan, Kraton Yogyakarta dan Gunung Merapi. Buat mereka yang gemarkan kawasan tanah tinggi, percutian di sini pastinya merupakan satu pilihan yang bijak. Rumah Mertua Boutique Hotel Restaurant merupakan sebuah



37. Hobart, Tasmania

Jika anda seorang yang gemarkan musim panas dan sejuk, tiada tempat lain yang lebih indah untuk berbulan madu melainkan Tasmania. Pemandangan yang menakjubkan, makanan yang segar dan tempat-tempat menarik untuk dilawati. Hobart adalah bandar kedua tertua di negara ini dan juga ibu kota Tasmania. Terletak di bukit indah di sekitar Sungai Derwent, Hobart menawarkan semua kelebihan ibu kota namun ia masih mengekalkan udara santai. Hobart dilindungi daripada kesan buruk cuaca di Tasmania dan pengalaman terbaik untuk musim panas dan musim sejuk.




38. Tanjung Lesung, Indonesia

Kedudukannya yang sedikit membonjol dari tanah besar Jawa ke dalam Selat Sunda adalah Tanjung Lesung, sebuah kawasan resort pantai yang boleh diakses kira-kira empat jam menggunakan jalan darat dari Bandar Jakarta. Air jernih dan biru pastinya akan menggoda anda untuk melompat dan berenang atau bermain jet ski. Di dasarnya, terumbu karang dimeriahkan dengan kehadiran ikan berwarna-warni. Antara resort yang beroperasi disini ialah Kalicaa Villa Resort dan Tanjung Lesung Beach Hotel.




39. Kyoto, Jepun

Kyoto adalah destinasi bulan madu yang baik untuk mereka yang ingin meneroka sesuatu yang baru. Destinasi ini memiliki kira-kira 17 Tapak Warisan Dunia UNESCO di mana terletaknya 1600 kuil Buddha, 400 buah kuil Shinto, tiga buah istana, serta puluhan taman dan muzium. Justeru, ia adalah satu sebab mengapa destinasi ini harus diterokai oleh pasangan romantik. Berjalan kaki di Old Kyoto pasti menemukan anda dengan keindahan rumah kayu tradisional, taman-taman batu dan restoran-restoran di sepanjang Sungai Kamo. Jangan lupa untuk mendapatkan gambaran seni tradisional Geisha di Gion Corner.



40.  Ubud, Bali, Indonesia

Bali memang terkenal sebagai destinasi bulan madu buat para pelancong di seluruh dunia. Buat mereka yang tidak mahu bersesak di resort-resort pantai di sana, saya mencadangkan supaya anda bertumpu di kawasan tengah Bali iaitu Ubud. Tempat  ini terkenal dengan budayanya dan kurang sedikit bilangan pelancong yang banyak tertumpu di kawasan selatan. cara terbaik untuk menikmati bulan madu anda dengan menginap di homestay yang terletak ditengah-tengah sawah padi. Antara tempat-tempat menarik untuk dilawati di sekitarnya pula adalah Goa Gajah, Kuil Pura Ulan Danu Batur, Kuil Pura Tirtha Empul dan Sukowati Market.  

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078