KUALA TERENGGANU - Kutipan tol di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) yang dijadual bermula
September ini terpaksa ditunda atas beberapa faktor termasuk kerja-kerja penyelenggaraan masih
berjalan.


Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan kemudahan Awam Negeri, Ir Rosli Othman berkata 
kemungkinan 
sistem kutipan tol di lebuh raya sepanjang 184km itu akan dilaksanakan menjelang akhir tahun ini.



Beliau berkata kerajaan negeri masih menunggu tarikh pelaksanaan sistem kutipan tol daripada 
Kementerian 
Kerja Raya. 



LPT2 yang dibina dengan harga RM3.7 bilion itu dibuka secara percuma kepada lalu lintas sejak 31 Dis 
tahun 
lepas.



"Memandangkan kerja-kerja menaiktaraf beberapa laluan di sepanjang lebuh raya itu sedang berjalan, maka 
berkemungkinan besar sistem kutipan tol akan berjalan akhir tahun ini," katanya kepada pemberita di sini 
hari ini.



Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 
peringkat negeri Terengganu yang dirasmikan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (Dun), Datuk Mohd 
Zubir Embong.



Mengenai pencerobohan ternakan yang sering berlaku di LPT2, beliau berkata kerja-kerja membaiki pagar 
yang rosak telah dijalankan dari semasa ke semasa.     



"Bagi menghalang pencerobohan binatang di kawasan LPT2, kita akan tambah pagar kawat berduri selain 
meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang  berdekatan seperti PBT Marang dan Hulu Terengganu 
untuk 
menjalankan penguatkuasaan terhadap binatang ternakan yang berkeliaran memasuki kawasan LPT2  itu," 
katanya.



Mengenai dakwaan kemalangan yang sering berlaku di LPT2, Rosli berkata ia bukan disebabkan jalan yang 
tidak
 rata atau rosak.



"LPT2 merupakan lebuh raya baharu dan kebanyakkan pemandu belum biasa dengan jalan berkenaan, ada 
pemandu yang memandu terlalu laju dan ada juga  mengantuk semasa memandu sehingga menyebabkan
 kemalangan," katanya.