Syarikat penerbangan Rayani Air Sdn Bhd memilih Langkawi sebagai hab penerbangannya dalam
usaha menarik lebih ramai pelancong ke pulau peranginan itu. Pengarah Urusannya, Ravi
Alagendrran berkata sebagai permulaan, sebuah pesawat 737-400 akan memulakan operasi
dari Langkawi-Kota Bharu manakala sebuah lagi bagi destinasi Langkawi-Kuala Lumpur.
Katanya syarikat turut menyasarkan untuk mengembangkan operasi ke China dan India. 

"Syarikat merancang untuk memperuntukkan dua buah pesawat bagi operasi penerbangan luar
negara pada tahun depan." katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Rayani
Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) di sini, hari ini. 

Turut hadir Exco Agama, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Perlancongan, Warisan dan Kerja Raya
Negeri Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid mewakili Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz
Tun Dr Mahathir. Sementara itu, Mohd Rawi berkata beliau berharap lebih banyak syarikat
penerbangan akan mengadakan perkhidmatan ke Langkawi selain Malaysia Airlines (MAS),
Air Asia, Firefly dan Malindo Air pada masa ini.

Beliau berkata peambahan penerbangan ke pulau itu akan meningkatkan jumlah pelancong ke
Langkawi daripada 3.5 juta orang ketika ini kepada tahap yang lebih tinggi. Katanya pelbagai
acara telah disusun sempena Tahun Melawat Kedah pada tahun hadapan untuk menarik lebih ramai
 pelancong dari dalam dan luar negara mengunjungi negeri ini.