Pages

Saturday, February 6, 2016

Legenda Bola Sepak Malaysia K. Rajagopal


Bintang Datuk K.Rajagopal sebagai pemain Selangor mahupun kebangsaan tidaklah terlalu menyinar seperti mana ketika dia beralih karier sebagai jurulath negara, kira-kira dua dekad kemudian.

Dari tahun 1978 hingga 1984, dia hanya pernah menjulang Piala Malaysia sebanyak enam kali selaku pemain sayap Merah Kuning tetapi sekadar menyarung jersi Malaysia selama setahun dari tahun 1981 hingga 1982. Terdahulu tuah Raja sebagai jurulatih masih bertahap sederhana apabila bersama Selangor (1999-2000) dan Kelantan (2001-2002) sebelum secara beransur-ansur membina reputasi selaku jurulatih skuad Bawah 20, 21 dan 23 Tahun negara bermula pada tahun 2003.

Namun nama Rajagopal tiba-tiba tercatat dengan tinta emas sejarah bola sepak negara secara berturut-turut pada tahun 2009 dan 2010. Anak kelahiran Setapak, Kuala Lumpur pada 10 Julai 1956 ini dianggap memiliki sentuhan ajaib sebagai jurulatih yang membantu skuad bawah 23 negara memenangi pingat emas Sukan SEA Laos 2009 selepas menewaskan Vietnam 1-0. 

Dengan barisan pemain yang hampir sama, Piala Suzuki AFF pula diraih dari Jakarta, setahun kemudian selepas skuad negara menewaskan Indonesia 4-2 secara agregat meskipun Stadium Gelora Bung Karno, Senayan dibanjiri ribuan penyokong fanatik tuan rumah. Nama pemain skuad negara ketika itu - Safee Sali, Aidil Zafuan Razak, Safiq Rahim, Norshahrul Idlan Talaha dan Khairul Fahmi Che Mat turut meniti bibir umum selain mereka diberikan sambutan wira oleh ribuan peminat sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang. 

Kerajaan turut mengisytiharkan cuti umum hari berkenaan sebagai penghargaan kepada kejayaan skuad bimbingan Rajagopal manakala ganjaran mencurah-curah diberikan buat Harimau Malaya daripada pelbagai pihak. Hari yang disangka panah sehingga petang, tiba-tiba disirami hujan pada tengah hari.

Rajagopal dan Harimau Malaya tersungkur kepada Thailand dalam aksi separuh akhir timbal balik di Bangkok sekali gus gagal mempertahankan Piala Suzuki AFF pada tahun 2012 sebelum khidmatnya semakin mendapat kecaman peminat media serta bekas pemain negara menjelang Kelayakan Piala Asia 2015. Siri kunjungan persediaan Harimau Malaya di Australia dan Jepun, menyaksikan mereka begitu mudah dijinakkan oleh kelab kurang ternama sebelum keputusan kelayakan yang kurang menyakinkan menentang Bahrain dan Qatar dalam Kumpulan D, membawa isyarat khidmat Rajagopal tidak lagi dikehendaki FAM. 

Mengakhiri karier di FAM pada Disember 2013 walaupun skuad negara masih berbaki satu perlawanan kelayakan, bulan Mac berikutnya, tempat Rajagopal dipangku sementara oleh jurulatih Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee. Setelah sekian lama berteka-teki mengenai hala tuju karier kejurulatihan, dia tampil sebagai penasihat pasukan Real Mulia pada Disember 2014 bagi membantu kelab milik seorang putera Raja Pahang itu mengharungi Liga FAM musim 2015. Musim 2016 dia kembali menjadi jurulatih pasukan Sarawak.

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078