Pages

Wednesday, February 8, 2017

Sinopsis Dan Pengajaran Sumpah Orang Minyak

MALAY FILM PRODUCTION LTD. Present SUMPAH ORANG MINYAK Starring P.RAMLEE DAENG IDRIS Co-Starring ALI RAHMAN SALLEH KAMIL MALIK SUTAN MUDA HAJI MAHADI SHARIFF DOL Supported By SALBIAH M.RAFEE FATIMAH OSMAN A.RAHIM ROSIAH CHIK KEMAT HASSAN RAHMAH RAHMAT AHMAD.C RAJA HAMIDAH OMAR SUWITA ALI FIJI With MUSTARJO NYONG ISMAIL AHMAD GHANI ROKIAH HASHIM PRANI PRAMUT And A Cast Of Hunderds Introducing MARION WILLS As Putri Bunian SRI DEWI As Afida Photography A.BAKAR ALI Audiography KAMAL MUSTAFFA Editor H.R.NARAYANA Art Director MUSTAFFA YASSIN Processing LIM YEW HAI WONG HONG PENG Make Up MUS MERDUATI A.V.BAPAT Assistants Director S.SUDARMAJI Cameraman YA'AKOB MAHMOOD Sound LIM CHONG TECK Editor P.V.JHON K.K. RAMAN Music KASSIM MASDOR Story TEUKU DJA'AFAR Screen Play P.RAMLEE Dialogues S.SUDARMAJI Continuity KASSIM MASDOR Music YUSRAM Arrangements P.RAMLEE Lyrics S.SUDARMAJI Orchestra YUSOFF B Chereography NORMADIAH Playback Singers SALMAH ISMAIL P.RAMLEE And M.F.P. CHOROUS Produced By RUN RUN SHAW Directed By P.RAMLEE

Tahun Diedarkan : 1958 (April)
Masa Tayangan : 1 Jam 50 Minit 

RINGKASAN CERITA

Tualang Tiga 1901: Si Bongkok sering diseksa dan didera penduduk Kampung Tualang Tiga. Suatu malam, pintu pondok bang Selamat (mencari rezeki dengan menjual kain batik) diketuk orang. Bila pintu dibuka, muncul Si Bongkok terketar-ketar ketakutan. Bang Selamat yang baik hati mempelawanya masuk dan memberi pakaian untuk diganti. Oleh kerana kain batik sudah bercorak lama ia sudah tidak laku lagi. Bang Selamat pulang dengan ekadaan susah hati, tetapi gembira semula apabila Si Bongkok telah merekacipta berbagai corak kain batik ciptaan baru yang lahir dari bakat seni yang ada di dalam jiwanya. Dengan corak ciptaan Si Bongkok itu, bang Selamat dan Si Bongkok pun terus membuat kain batik dan apabila siap dan dijual di pasar jualan sangat laris yang mana ini sangat menggembirakan Bang Selamat.

Bagi Si Bongkok, penyeksaan yang diterimanya dari orang-orang kampung berterusan terutama Buyong beserta kawan-kawannya. Si Bongkok ketika mengambil air di sungai telah ternampak oleh Buyong beserta kawan-kawannya. Si Bongkok ketika mengambil air di sungai telah ternampak oleh Buyong berserta kawan-kawannya lalu mengejarnya. Si Bongkok berjaya ditangkap, dia diikat kemudian dipukul dan ditendang serta dibaling dengan batu oleh Buyong dan kawan-kawannya serta juga orang-orang kampung. Si Bongkok bernasib baik apabila Afida (anak Dato' Penghulu) datang menyelamatkannya. Dia telah membuka ikatan yang mengikat Si Bongkok dan memberi minum air. Setelah termakan budi kerana menyelamatkan dirinya, Si Bongkok telah menulis gambar wajah Afida bersama wajahnya dan dia berhasrat menyampaikan ukisan tersebut kepada Afida di Majlis Malam Pemudi Seni Wilayah Utara. Ketika Si Bongkok berada di majlis tersebut, Buyong telah meracuni fikiran penduduk kampung supaya membenci Si Bongkok. Katanya, disebabkan dosa-dosa bapa Si Bongkok Kampung Tualang Tiga tercemar. Penduduk kampung dengan hasutan Buyong mahukan supaya Si Bongkok dihukum bunuh tetapi Afida merayu (lagi pun bukan Si Bongkok yang bersalah, tetapi bapanya) supaya hukuman dapat diringankan.

Di atas pertimbangan Dato' Penghulu, dia telah menasihatkan Si Bongkok supaya meninggalkan Kampung Tualang Tiga. Si Bongkok patuh, dan sebelum dia meninggalkan majlis tersebut sempat juga dia menyerahkan lukisan hasil kerja seninya kepada Afida. Apabila Afida mengeluarkan lukisan tersebut dari beg kain terpampang gambar Afida dan Si Bongkok dengan catatn: "Gadis Chantek dan Binatang" yang mana ini sangat mengharukan Afida. Sebelum meninggalkan Kampung Tualang Tiga, Si Bongkok pergi ke pusara bapanya dan di situ Si Bongkok menyumpah seranah di atas perbuatan bapanya hingga menyebabkan dirinya terseksa. Sambil menendang-nendang dan memijak-mijak pusara bapanya itu datang pula hujan lebat dengan diiringi kilat sabung-menyabung serta hujan petir. Kemudian setelah Si Bongkok menyeranah bapanya, secara tiba-tiba suasana alam yang tadinya muram dan bergentar sekarang menjadi hening dan damai. Si Bongkok kini berada dalam alam Orang Bunian. Puteri Bunian mempelawa naik kenderaan menyerupai sampan dan terus membawanya ke Istana Bunian bertemu Penghulunya.

Dalam pertemuan tersebut, Si Bongkok telah diberi kitab 1001 Hikmat dan dia hanya dibolehkan memilih satu sahaja. si Bongkok memilih menjadi cantik dan sebelum itu dia terpaksa mematuhi syarat sumpah iaitu "Jangan menyombong dan memusuhi sesama manusia. jika ingkar dia akan binasa." Setelah berenang di kolam hikmat, Si Bongkok berubah menjadi pemuda cantik dan tampan. Ketika berada di alam Orang Bunian itu, Si Bongkok (kini diberi gelaran oleh Puteri Bunian sebagai taruna Impian) telah jatuh hati dengan Puteri Bunian. Tetapi dia tidak boleh memiliki atau berkahwin dengannya atau tinggal terus di alam Orang Bunian kerana dia telah memilih menjadi cantik dan tampan. Bila sudah sampai waktunya, Si Bongkok terpaksa kembali ke dunia manusia yang telah ditinggalkannya selama tiga tahun tetapi dirasakan baru tiga hari oleh Si Bongkok dengan dihantar oleh Puteri Bunian.

Si Bongkok pergi menemui Bang Selamat yang terperanjat dengan pertukaran wajah Si Bongkok dan mula merekacipta lagi corak kain batik bercorak baru kerana corak yang diciptanya tiga tahun dahulu sudah lama dan tidak laku lagi. Untuk hadiah di malam pesta Si Bongkok telah melukis wajah Afida dan wajahnya untuk dihadiahkan kepada Afida yang menyelamatkannya satu ketika dulu yang kini sudah bertunang dengan Buyong dengan catatannya: "Gadis Cantik Dan taruna". Kehadiran Si Bongkok yang cantik dan tampan (seolah-olah seperti anak raja layaknya) itu dikagumi penduduk kampung. Si Bongkok dihormati dan disembah-sembah termasuk Dato' Penghulu yang baru serta Buyong dan kawan-kawannya. Si Bongkok memberi hadiah lukisannya kepada Afida. Katanya: "Terimalah sumbangsihku wahai Afida." "Bagaimana tau nama hamba?" tanya Afida. Jawab Si Bongkok: "Sejak kau menolong aku dulu." Sebaik sahaja melihat lukisan yang diberi dengan kehairanan Afida berkata: "Si Bongkok...!"

"Ya, akulah Si Bongkok yang dikau haramkan memijak bumi Kampung Tualang Tiga," pekik Si Bongkok. Si Bongkok memberitahu yang dia mahu membawa Afida keluar bersamanya dari Kampung Tualang Tiga, dan sebabkan Afida tidak sukakan Buyong kerana dia membunuh bapanya kerana menolak pinangannya, dia rela mengikut Si Bongkok. Bagi Buyong kalau Si Bongkok mahu berbuat demikian, "Langkah mayatnya dulu". Dia bertindak membaling pisau ke arah Si Bongkok yang sedang undur untuk keluar dari majlis pesta itu yang mana sasarannya mengenai Afida yang menyebabkan kematiannya. "Biar putih tulang jangan putih mata," kata Buyong. Si Bongkok hilang pertimbangan, dia lupa dengan sumpahnya mengapa dia menjadi cantik. Si Bongkok bertarung dengan Buyong yang mana akhirnya Buyong kecundang, dia mati di tangan Si Bongkok.

Kerana sumpah sudah dilanggar, Penghulu Bunian muncul dan menyatakan kepada Si Bongkok kecantikannya tidak boleh dilihat manusia. Bagaimanapun, dengan hasutan Syaitan Si Bongkok (yang mahu kembali seperti manusia biasa dan memperolehi kesenangan dunia) setuju dengan syarat-syarat Syaitan yang dikenakan kepadanya. Pertama, Si Bongkok mesti memperkosa 21 wanita dalam tempoh seminggu. kedua, Si Bongkok mesti mengakui syaitan Tuhannya. Setelah persetujuan dicapai, Syaitan memberi sebentuk cincin kepada Si Bongkok yang mana apabila dipakainya bentuk dan wajahnya menjadi hitam dan berminyak - Orang Minyak. Dengan itu Orang Minyak pun menjalankan perintah Syaitan dengan melakukan perkosaan seorang demi seorang wanita yang terdapat dalam Kampung Tualang Tiga yang mana angkaranya itu menjadikan penduduk kampung berada dalam kebimbangan dan ketakutan. Kampung Tualang Tiga menjadi huru hara. Berbagai usaha dijalankan untuk menangkap Orang Minyak tetapi tidak berhasil. Oleh kerana perbuatan Orang Minyak sudah melampaui batas, Penghulu Bunian muncul di kampung tersebut untuk menangkapnya. Orang Minyak berjaya ditangkap dan dipenjarakan dalam buyong sebelum dimusnahkan. Kampung Tualang Tiga kembali aman dan damai.

PENGAJARAN

Sumpah Orang Minyak (1958) merupakan sebuah filem berat dengan elemen luar jangka yang dapat kita saksikan. Filem ini jika ditonton pada permukaannya akan kelihatan seperti sebuah filem fantasi dengan suntikan saspens dan seram. Sebenarnya filem Sumpah Orang Minyak ini merupakan salah satu daripada karya terbaik P.RAMLEE dan harus diteladani dengan teliti untuk kita sama-sama dapat beroleh nikmat dan maksud yang cuba disampaikan. Filem ini merupakan sebuah filem dengan latar suram, gelap dan sentiasa mendatangkan misteri. Kita sendiri dapat merasakan hakikat latarnya itu sejak dari awal filem ini, malah kredit pembukaan filem ini juga tidak terpisah dan dibuat bersekali dengan babak awal, hujan lebat dan petir di Kampung Tualang Tiga pada 1901. Seperti filem-filemnya yang lain P.RAMLEE gemar memberikan tanda awal apa akan terjadi kepada filem ini selanjutnya.

Watak Bang Selamat lakonan hebat Daeng Idris adalah watak seorang tua yang kerjanya menjual kain batik cetakan sendiri. Pada babak permulaan ketika Daeng Idris baru hendak duduk berehat sambil menikmati kopi panas, rehatnya diganggu dengan ketukan pintu oleh Buyong lakonan antagonis Salleh Kamil. Buyong bertanyakan kepada Bang Selamat sama ada dia ada nampak Si Bongkok atau tidak. Bang Selamat tenang menjawab tidak dan Buyong berlalu dari rumah Bang Selamat. Kemudian buat kali kedua dalam babak yang sama sebaik sahaja Bang Selamat menyalakan rokok dan bersedia untuk berbaring merehatkan diri, pintu rumahnya diketuk lagi dan kali ini rehatnya diganggu oleh Si Bongkok lakonan P.RAMLEE. Bang Selamat menjemput Si Bongkok masuk dan sedia memberikan perlindungan kepadanya. Melalui dua keadaan ini P.RAMLEE membukakan kepada kita pembayang tentang filem ini. Buyong dan Si Bongkok datang menganggu rehat Bang Selamat dan sebenarnya pada kemudian cerita di dalam filem ini, kedua-dua watak ini (Buyong dan Si Bongkok) ialah pencetus konflik dan menganggu penduduk kampung serta menyebabkan bencana besar kepada Kampung Tualang Tiga.

Fadli Al-Akiti di dalam ulasannya mengenai Sumpah Orang Minyak turut melontarkan persoalan mengenai godaan Iblis ala Faust di dalam filem ini. Ya! Faust watak dalam legenda klasik Jerman. Watak ini memiliki rasa tidak puas dengan apa yang diperoleh dalam hidup, lantas Faust membuat perjanjian dengan syaitan. Terdapat pelbagai versi tentang Faust ini dan di antara yang paling terkenal ialah versi goethe. Jelas sekali apa yang yang berlaku di dalam Faust turut berlaku di dalam Sumpah Orang Minyak dan boleh dianggap P.RAMLEE turut membuat rujukan terhadap legenda Jerman ini. Di samping itu, kita juga dalam melihat element Notre-Dame de Paris karya Victor Hugo yang diterbitkan pada 1831. Watak Quasimodo di dalam novel Hugo ini dilihat bersamaan dengan Si Bongkok. Quasimodo dan Si Bongkok kedua-duanya bongkok dan sering dicemuh masyarakat umum kerana penampilan mereka yang tidak sempurna.

Satu lagi kisah klasik dari Eropah yang dilihat mempengaruhi filem ini ialah La Belle et la Bete sebuah kisah pencintaan di antara seorang gadis cantik dengan seorang lelaki berwajah binatang. Kisah ini ditulis oleh novelis Perancis, Marie Leprince de Beaumont dan diterbitkan pada 1756. Elemen daripada kisah ini juga dapat dikesan di dalam Sumpah Orang Minyak apabila Si Bongkok menghadiahkan Afida sebuah lukisan cantik dengan judul Gadis Cantik dan Binatang. Lukisan itu memaparkan wajah cantik Afida dan wajah tidak sempurna Si Bongkok. Sulaman kisah-kisah fantasi klasik dari Eropah ini amat indah di dalam Sumpah Orang Minyak dan disatukan pula dengan kisah legenda makhluk gelap di alam Melayu yang dinamakan sebagai Orang Minyak. Di dalam filem ini Si Bongkok ada menyatakan kepada Bang Selamat bahawa beliau akan pergi jauh dari Masyarakat Cantik dan Bang Selamat membalas walau sehingga ke langit hijau pun kita pergi, si penghina tetap menghina. Satu persoalan menarik untuk kita kupaskan di sini ialah siapa Masyarakat Cantik? Mengapa Si Bongkok mahu lari daripada Masyarakat Cantik, sedangkan cantik ialah sifat sempurna dan membawa maksud yang baik-baik belaka. Jelas sekali dalam maksud Si Bongkok tadi, Masyarakat Cantik membawa kepada masyarakat yang memandang dan mengukur manusia daripada rupa paras dan kecantikan fizikal semata-mata dan tidak memperdulikan keluhuran budi dan kebesaran jiwa seseorang. Masyarakat Cantik ialah masyarakat yang menghukum manusia mengalahkan tuhan dan masyarakat yang hilang rasa ihsan dan belas kasihan. Ini ialah Masyarakat Cantik yang didefinisikan oleh Si Bongkok. 

Definisi ini jelas dalam kenyataan Bang Selamat, si penghina tetap menghina. Manusia keji akan terus melakukan perkara keji dan memburukkan orang lain selagi mampu dan terdaya. Inilah Masyarakat Cantik yang wujud dari zaman Kampung Tualang Tiga hingga zaman Menara Tinggi Berkembar Dua. Manifestasi Masyarakat Cantik ini dapat kita saksikan pada bentuk-bentuk hinaan dan cacian yang terpaksa dihadapi oleh Si Bongkok seperti mengejek dan menglemparkan batu ke arahnya. Inilah perlakuan Masyarakat Cantik. Soal Masyarakat Cantik juga muncul apabila semasa bongkok hadir ke pesta dengan pakaian seperti seorang raja, semua yang ada di situ termasuk Penghulu menyembahnya. Jelas sekali masyarakat Tualang Tiga menyembah tanpa usul periksa dan hanya celik pada kecantikan fizikal tetapi buta dalam menilai budi manusia. Pada babak berkenaan, Si Bongkok mengutarakan pertanyaan kejujuran kita sebagai manusia. Secara tidak sedar sebenarnya Si Bongkok yang sebelum itu berada luar daripada Masyarakat Cantik, turut termasuk dalam golongan masyarakat berkenaan apabila rupa fizikalnya telah berubah. Beliau menjadi bongkak dan memiliki sifat dendam yang nyata. 

"Hamba Penghulu Tualang Tiga."

"Orang-orang kampung sekalian, kedatangan aku ke mari bukan untuk menganggu, hanya menyampaikan hadiah ini kepada Pemimpin Pemudi Seni Tualang Tiga! Terimalah sumbangsihku wahai Afida."

'Bagaimana tahu nama hamba?"

"Sejak kau tolong aku dahulu, kau selalu di hatiku."

"Si Bongkok?"

"Ya. Akulah Si Bongkok. Ya! Akulah Si Bongkok! Akulah Si Bongkok yang dikau haramkan memijak bumi Tualang Tiga!

Tetapi kini! Aku dikau sembah-sembah! Aku iagung-agungkan sebagai raja! Sebab apa?! Sebab wajahku tak seburuk dulu! Sebab aku cantik berpakaian indah! Jujurkah dikau hidup sebagai manusia?! Dikau semuanya pengecut! Dikau hanya berani kepada manusia yang lemah.

"Benar! Si Buyonglah pembunuh bapaku!"

"Sebab dia menolak pinanganku!"

"Pinanganmu tak sah!"

"Sebab apa tak sah?!"

"Sebab aku tak suka padamu!"

"Sekarang apa hajatmu Si Bongkok?"

"Membawa Afida keluar dari Kampung Tualang Tiga!"

"Aku rela seribu harapan."

"Langkah mayatku dulu Bongkok!"

"Cis! Tak gentar guruh di langit!"

Sumpah Orang Minyak ialah realisme manusia. Filem ini menghimpunkan semua kesalahan dan dosa-dosa manusia. Bunuh, keji, khianat, dengki, dendam, rogol, hasut dan sebagainya. Lebih menarik kisah ini menunjukkan manusia yang pada awalnya kita kasihan, boleh menjadi manusia yang paling kita benci. Itulah yang dibawakan P.RAMLEE. Perubahan sifat dan pemikiran manusia serta tanggapan manusia terhadap manusia yang lain. Selain daripada pengaruh prwatakan daripada kisah-kisah klasik Eropah, Sumpah Orang Minyak sebenarnya satu keterbalikan dalam kisah yang berlaku kepada Nabi Adam A.S dan Hawa. Jika kita imbas kembali apa yang berlaku kepada Nabi Adam dan Hawa sehingga mereka tersingkir dari syurga, kita juga akan dapat mengaitkan peristiwa berkenaan di dalam kisah Sumpah Orang Minyak. Nabi Adan dan Hawa disingkirkan ke bumi dari syurga dalam keadaan terlucut pakaian kerana mengingkari perintah Allah S.W.T dan memakan buah Khuldi, buah yang telah Allah S.W.T haramkan untuk disentuh di dalam syurga.

Apa yang dimaksudkan keterbalikan ialah Si Bongkok diangkat ke 'syurga' (alam bunian) dan disucikan dan kemudian dipakaikan pakaian cantik sebelum diturunkan kembali ke muka bumi. Nabi Adam dan Hawa diturunkan ke bumi dalam keadaan tidak berpakaian selepas melanggar perintah Allah S.W.T. Apa yang lebih menariknya Si Bongkok mewakili sifat manusia, walaupun telah disucikan dan dibersihkan diri serta diberikan pakaian sempurna, apabila diturunkan kembali ke bumi, Si Bongkok tetap membuat perkara yang membawa kerosakan (membunuh). Seperti Nabi Adam dan Hawa yang telah diberikan peringatan untuk tidak menyentuh buah Khuldi, Si Bongkok juga telah diberikan peringatan sebelum Si Bongkok mandi dan bertukar sempurna. Si Bongkok membaca kitab yang memberi pesan selepas menjadi sempurna, janganlah menyombong diri, dengki sesama makhluk dan mekakukan pembunuhan sesama manusia, jikalau ingkar kamu akan binasa. Pesan ini sama dengan pesan-pesan Allah S.W.T di dalam Al Quran yang sentiasa mahukan manusia itu berbuat kebaikan sebanyak-banyaknya.

Namun, Si Bongkok itu manusia dan walaupun telah diberikan peringatan dia tetap ingkar dan apabila turun ke bumi semula Si Bongkok menyombong diri hadir dengan sikap dendam dan kemudiannya melakukan pembunuhan. Ini ialah realisme manusia. Ini juga sama dengan kisah anak Nabi Adam A.S, Qabil dan Habil yang berakhir dengan tragedi pembunuhan pertama di muka bumi dan perkara pertama yang dilakukan Si Bongkok sebaik turun ke bumi ialah membunuh. Persoalan kembali juga dibangkitkan dengan baik di dialam filem ini. Kita dapat melihat Si Bongkok dihalau semasa pesta dan dia juga kembali dalam keadaan sempurna semasa di pesta yang sama tetapi di tahun yang berlainan. Bukan setakat tahun, malah kembalinya Si Bongkok dalam keadaan sempurna juga dengan isi hati yang berlainan. Realisme manusia di dalam Sumpah Orang Minyak turut dijelmakan dalam soal berjanji. Kita dapat lihat bagaimana sebelum kembali ke Kampung Tualang Tiga, Si Bongkok berjanji untuk akur dengan syarat tidak boleh membunuh sesama manusia. Namun disebabkan dendam dan rasa yang meluap-luap untuk membalas kejahatan, Si Bongkok lupa tentang semua janjinya dan muncul dalam rupa yang sangat realistik sebagai seorang manusia. Cuba membawa lari Afidah dan Buyong yang marah membunuh Afidah sebelum Si Bongkok marah dan membunuh Buyong.  

Disebabkan melanggar janji, kecantikan Si Bongkok tidak lagi dapat dilihat oleh manusia dan dia menjadi halimunan. Namun, muncul watak Syaitan mencucuk jarum dan menghasut Si Bongkok mempercayai kata-katanya. Syaitan lakonan hebat Sharif Dol menghulurkan angan-angan dapat memberi segala kesenangan dunia asalkan dapat patuh kepada syarat-syaratnya. Si Bongkok yang terdesak bersetuju dengan syarat-syarat berkenaan dan dia mengikat perjanjian dengan Syaitan untuk bertukar menjadi Orang Minyak, merogol dan membunuh 21 perempuan dalam masa tujuh hari untuk memulihkan semula keadaannya. Ini satu lagi realisme manusia yang dipaparkan. Manusia itu boleh mengikat janji dengan malaikat atau dengan syaitan. Boleh berjanji soal baik atau soal buruk, soal haram atau soal halal asalkan dapat memuaskan diri dan memperoleh manfaat bersifat invidualistik.

Persoalan kecil lain yang dapat kita lihat di dalam filem ini ialah bagaimana campur tangan suci menyelamatkan Kampung Tualang Tiga daripada serangan Orang Minyak (Si Bongkok) dan bagaimana divine intervention yang dipaparkan sebagai Raja Bunian lakonan Haji Mahdi itu menyelamatkan kampung sebelum melantik seorang anak muda yang difikirkan layak untuk menjadi Ketua Kampung. Adakah divine intervention cuba memperbetulkan semula keadaan? Kerana segala kemusnahan dan tragedi ini berlaku selepas Si Bongkok menjadi cantik juga hasil divine intervention. Tidak. Tuhan tidak salah. Yang salah ialah kita. Kita yang menyalahgunakan segala kecantikan yang diberikan tuhan untuk menimbulkan kerosakan di bumi ini.  

ULASAN & KRITIKAN

Berikutan beberapa kejadian munculnya Orang Minyak di Singapura yang heboh diperkatakan ketika itu dan Cathay Keris Film pula ada ura-ura untuk mengeluarkan filem mengenai "Orang Minyak" yang diarahkan L.Krishnan, MFP pun turut berminat mengeluarkan filem yang coraknya serupa. Kisah (serita rekaan semata) yang ditulis oleh Teuku Dja'afar (Siapakah dia? Adakah itu nama samarannya atau bersaudara dengan P.RAMLEE, tidak pula diketahui) bukanlah berlaku di zaman moden (seperti yang dikeluarkan oleh Cathay Keris Film) tetapi membawa kita ke zaman awal kurun ke-20 (1901) iaitu bagaimana bermula wujudnya makhluk Orang Minyak yang sering dikaitkan memperkosa ramai wanita. Disebabkan P.RAMLEE ketika itu berada di kemuncak kejayaan pihak atasan tidak keberatan membenarkannya mengarah filem bercorak fantasi/purba itu. P.RAMLEE menulis lakonlayarnya (screen play) manakala S.Sudarmadji pula ditugaskan menyusun dialog (kata bual). Dalam memilih pelakon, Salleh Kamil (menjadi musuh ketatnya dalam filem ini. Kerana peranan wanitanya (heroin) tidak begitu mencabar, P.RAMLEE memperkenalkan dua pelakon baru - Sri Dewi sebagai Afida dan Marion Wallis (Ratu Cantik Singapura, 1958) membawa peranan Sri Bunian.

P.RAMLEE pada mulanya berhasrat mengambil Siti Hawa Majid (kemudian terkenal sebagai juruhebah di RTM dan ibu kepada Nurfahin jamsari) memegang peranan Puteri Bunian atau Afida (sudah pun discreen test). Tetapi hasrat P.RAMLEE itu tidak menjadi kenyataan. banyak pengajaran yang terdapat dalam filem ini yang boleh dijadikan iktibar. Jangan suka menghina sesama makhluk (manusia); apabila sudah mendapat apa yang dihajati jangan lupa daratan dan berlagak sombong yang mana akibatnya membawa kecelakaan dan kemusnahan diri sendiri. Dalam filem yang bercorak fantasi/purba ini P.RAMLEE telah mengarahkannya dengan baik sekali. Penggambaran (A.Bakar.Ali), lakonan (terutamanya P.RAMLEE dan Salleh Kamil), lagu-lagu dan muzik (Yusoff B. dan P.RAMLEE) serta dialog (S.Sudarmaji) telah dihasilkan begitu berkesan sehingga membolehkan "Sumpah Orang Minyak" ini dianggap salah sebuah filemnya yang terbaik di samping "Penarek Becha", "Semerah Padi", "Panca Delima" dan "Antara Dua Darjat". Cuba kita hayati dialog S. Sudarmaji ini: "Ya, akulah Si Bongkok. Akulah Si Bongkok yang dikau haramkan memijak bumi Tualang Tiga. Tetapi kini aku dikau sembah-sembah, aku diagung-agungkan sebagai Raja, Sebab ap, sebab wajahku tak seburuk dulu. Sebab aku cantik berpakaian indah. Jujurlah dikau hidup sebagai manusia? Dikau semuanya pengecut. Dikau hanya berani kepada manusia yang lemah."

Cantik, bukan? Bagaimanapun, dialog tersebut tidak bererti sama sekali sekiranya P.RAMLEE tidak melafaz dan melakonkannya sebaik apa yang telah diperlihatkannya. Kejayaan P.RAMLEE memenangi anugerah Pelakon Utama Lelaki Terbaik. Bahagian Dramatik di Festival Filem Asia Pasifik telah dipratikkannya dalam filem ini. Kehebatannya dalam "Anakku Sazali" bukanlah anugerah ikhsan disebabkan Run Run Shaw atau Runme Shaw turut menguasai festival filem tersebut tetapi sememangnya P.RAMLEE berhak menerimanya. Penat lelah P.RAMLEE mengarahkan filem ini juga tidak sia-sia apabila dari segi teknikal (fotografi black & white (hitam & putih) ) telah menghasilkan anugerah untuk A.Bakar.Ali di festival filem yang sama yang diadakan di Filipina. Dalam mengarahkan filem ini P.RAMLEE tidak boleh lari dari unsur-unsur filem asing (terutama Barat dan Jepun). Watak Si Bongkok diciplak dari watak Quasimodo dalam "Hutchback Of Notre Dame". Adegan Si Bongkok diikat dan didera kemudian diselamatkan oleh Afida dan memberikannya air minuman juga merupakan adegan yang ditiru bulat-bulat dari filem tersebut.

Alam ghaib atau alam Orang Bunian diilhamkannya dari filem "Wizard Of Oz" lakonan bintang terkenal Judy Garland. Kalaulah, kemudahan gambar warnawarni semudah dan semurah sekarang dan dapat pula diwarnawarnikan ketika P.RAMLEE berada di alam Orang Bunian seperti
 Judy Garland berada di alam Pari-Pari tentulah lebih menarik. Mungkin ramai yang belum menonton "Wizard Of Oz" ini. Elok diberitahu iaitu ketika Judy Garland berada di alam dunia dibuat dalam hitam putih tetapi apabila masuk ke alam Pari-Pari ia diwarna warnikan. Si Bongkok menjadi kecil dan dimasukkan dalam buyong sama seperti adegan terdapat dalam "Thief Of Baghdad". Adegan yang serupa juga terkandung dalam "Abu Hassan Penchuri". Menyentuh tentang pelakon, P.RAMLEE, Salleh Kamil dan Daeng Idris tidak boleh dipertikaikan lagi, namun begitu lakonan Sri Dewi dan Marion Wallis kurang berhasil. Tetapi disebabkan adegan mereka tidak banyak kelemahan yang terdapat tidaklah begitu ketara.

Bagaimanapun, suara yang digunakan Marion Wallis (menggunakan suara Normadiah) sedikit sebanyak mencacatkan juga lakonannya kerana suara tersebut tidak sesuai dengan perwatakannya yang cantik dan lemah lembut. Teknik "trickshot" (fotografi) yang memperlihatkan dalam filem ini sememangnya mengagumkan. Kemenangan anugerah A.Bakar.Ali sudah kena pada tempatnya. Pertarungan antara Si Bongkok dengan Buyong disertai angin ribut dan petir sabung-menyabung memperlihatkan kombinasi kreativiti antara P.RAMLEE sebagai pengarah dengan A.Bakar.Ali sebagai jurugambar serta H.R.Narayana sebagai penyunting "editor" yang ternyata begitu mantap dan berkesan sekali. rasanya, pertarungan seperti ini saya anggap sebagai terbaik tidak akan terdapat lagi dalam filem-filem lain kini atau selama-lamanya sama seperti pertengkaran antara hassan dengan anaknya (Sazali) dalam filem "Anakku Sazali".

IRAMA & LAGU

Kesemua 3 lagu dalam filem ini berunsurkan Melayu asli:
  1. Tari Tualang Tiga Salmah Ismail (Saloma)
  2. Tudung Periok (P.RAMLEE & Saloma)
  3. Sri Bunian (P.RAMLEE)
          Ciptaan, gubahan & arrangement: Yusoff B & P.RAMLEE (YUSRAM)

          Lirik: S.Sudarmaji

ANUGERAH

  1. Fotografi Hitam & Putih Terbaik (A.Bakar.Ali) di Festival Filem Asia Pasifik Ke-5 (Manila, 1958)
  2. Filem Terbaik
  3. Pelakon Terbaik (P.RAMLEE)
  • Anjuran majalah Kisah Bintang & Filem (1958)


FAKTA & ANGKA

  • Filem pertama arahan P.RAMLEE memenangi anugerah.
  • Saloma menerima anugerah bagi pihak A.Bakar.Ali di Manila, Filipina.
  • Filem ketiga P.RAMLEE menggunakan A.Bakar.Ali sebagai jurugambar selepas "Panca Delima" dan "Bujang Lapok".
  • Filem ketiga MFP memenangi anugerah di festival Filem Asia-Pasifik selepas "Hang Tuah" dan "Anak-ku Sazali."
  • Kerana filem ini, L.Krishnan terpaksa menggunakan tajuk "Fatimah" ketika membuat penggambaran "Orang Minyak" bagi mengelirukan pihak MFP. Begitu pun juga, kedua filem tersebut mendapat sambutan "box-office".
  • Filem pertama Sri Dewi di MFP, kemudian dia muncul bersama Sa'adiah dan Ahmad Mahmud dalam "Mas Merah" arahan Dhiresh Ghosh.
  • Filem pertama dan terakhir Marion Willis dan selepas filem ini dia tidak berlakon lagi.

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078