Pages

Thursday, February 16, 2017

Sinopsis Filem Masam Masam Manis

MERDEKA FILEM SETUDIO Mempersembahkan MASAM MASAM MANIS Bintang Utama P.RAMLEE a.m.n Memperkenalkan Sharifah Hanim Bintang Pembantu Mahmud June Mariani Minah Hashim R.Sudiro Chik Dan Adek Murad Teknik Fotografi Low Yew Wah Teknik Rakaman Tan Chuan Hock Pelukis Utama Darwis Mansur Teraju Muda Ainol Jamal Pelukis Muda Esa Ahmad Fotografi Muda Ng Hoong Ngiam Rakaman Muda Anuar Yusof Editing Muda Johari Ibrahim Penchitak Ho Bee Yoon Make Up Rokiah Screen Play, Music, Orchestrations, Edited & Directed By P.RAMLEE a.m.n

Tahun Diedarkan: 1965 (Ogos)
Masa Tayangan: 1 Jam 40 Minit (lebih kurang) 

RINGKASAN CERITA

Norkiah Hanum datang ke Kuala Lumpur dari Alor Setar untuk bekerja sebagai penari kelab malam. Atas pertolongan teman baiknya (Rosnah), Norkiah dapat menyewa bilik di Lodging Mak Minah. Hari pertama berada di lodging tersebut, Norkiah sudah bertengkar (perang mulut) dengan 'orang sebelah' biliknya (Cikgu Saari Sulaiman) kerana Norkiah membuat bising. Norkiah dibantu oleh Rosnah mengemas dan membersihkan bilik sedangkan Cikgu Saari masih tidur. Cikgu Saari disamping menjadi guru di Sekolah Kebangsaan, Ulu Klang juga bermain muzik di Copacabana Nite Club kerana minatnya terhadap muzik begitu mendalam sekali. Ini menyebabkan dia pulang ke biliknya lewat pagi dan sering tertidur ketika mengajar.

Oleh kerana sudah enam kali didapati tertidur dalam bilik darjah oleh Guru Besar (Cikgu Basar), Cikgu Saari telah diberi kata dua oleh Cikgu Basar. Katanya: "Jikalau Cikgu sayang kepada pekerjaan kelab malam, Cikgu berhentilah menjadi guru." Disebabkan sayangkan pekerjaan guru, Cikgu Saari berjanji kepada Cikgu Basar yang dia tidak akan bekerja di kelab malam lagi. Setelah selesai berurusan (menghantar surat dan duit) di Pejabat Pos, dan ketika menaiki bas Norkiah telah diekori oleh penyeluk saku. Kebetulan pula Cikgu Saari turut menaiki bas tersebut. Semasa penyeluk saku sedang meraba-raba beg tangan Norkiah untuk mengambil dompetnya, Cikgu Saari ternampakkan perbuatan itu. Semasa penyeluk saku hendak turun dengan dompet Norkiah, dia telah dihalang oleh Cikgu Saari dan meminta dompet Norkiah yang diambilnya.

Setelah menumbuk penyeluk saku itu, Cikgu Saari mendapatkan semula dompet yang dicuri lalu diserahkannya kepada Norkiah. Oleh kerana Norkiah berhasrat untuk pergi ke Zoo Negara tetapi tidak tahu untuk ke sana, Cikgu Saari sanggup menemaninya. Mulai saat itu, kemesraan antara Cikgu Saari dengan Norkiah pun terjalin. Mereka saling suka menyukai dan saling cinta mencintai. Cikgu Saari memberitahu Norkiah dia ialah guru sekolah, Norkiah pula tidak menyatakan pekerjaannya (sebagai penari di Silver Tortoise Cabaret) sebaliknya memberitahu sebagai guru masak memasak." Cikgu Saari percaya. Dalam pada itu, Cikgu Saari dan Norkiah merahsiakan tempat tinggal masing-masing. Cikgu Saari kata dia tinggal di Jinjang, manakala Norkiah pula beritahu dia tinggal di Kelana Jaya.  

Walaupun sudah bercintaan-cintaan dan bermesra-mesraan (masing-masing tidak tahu siapa "orang sebelah") namun pertengkaran dan perang mulut antara Cikgu Saari dengan Norkiah berterusan malah lebih dahsyat lagi. Oleh kerana mempunyai bakat menyanyi, Norkiah tidak lagi menjadi penari sebaliknya telah dilantik sebagai penyanyi tetap Silver Tortoise Cabaret. Suatu malam, pertengkaran dan perang mulut antara Cikgu Saari dan Norkiah semakin tidak dapat dikawal bila mana Norkiah mengambil langkah drastik menyiram air ke badan Cikgu Saari. Kerana ingin tahu siapakah "orang sebelah" yang berani menyiramnya hingga basah kuyup itu, dia telah menjengok dari atas dinding.

Tetapi alangkah terperanjatnya Cikgu Saari apabila didapatinya "orang sebelah" yang selalu bertengkar dan berperang mulut dengannya ialah Norkiah yang dicintainya. Norkiah pun terperanjat juga, dia kemudian meluru masuk ke bilik sebelah apabila Cikgu Saari terpekik kerana terjatuh. Mereka ketawa gembira. Dengan tidak membuang masa lagi, Cikgu Saari memecah dinding yang menjadi pemisah antara biliknya dengan bilik Norkiah. Kepada Mak Minah Cikgu Saari memberitahu: "Mulai hari ini kami berdua tak mahu pakai dinding lagi, sebab kami berdua nak kahwin." Setelah tiga bulan berkahwin Cikgu Saari mencadangkan supaya Norkiah berhenti kerja sebab mereka jarang-jarang berjumpa. "Siang I pergi mengajar, malam U pula pergi mengajar," kata Cikgu Saari. Norkiah pun bersetuju. Tetapi apabila perkara tersebut diberitahu kepada pengurusnya hasrat Norkiah terhalang. Norkiah mempunyai kontrak menyanyi tiga bulan lagi.

Ketika menyanyi di Copacabana Nite Club, Cikgu Saari telah menerima tawaran daripada syarikat 'recording' untuk merakamkan lagu-lagu ke piringhitam tetapi dengan syarat Cikgu Saari mesti combine dengan penyanyi wanita yang bekerja di Silver Tortoise Cabaret - Norkiah Hanum. Bila mendengar nama Norkiah Hanum, Cikgu Saari mulai curiga. Cikgu Saari kemudian dibawa ke Silver Tortoise Cabaret untuk melihat dan mendengar Norkiah menyanyi. Setelah menyanyi alangkah terperanjatnya Norkiah bila mendapati Cikgu Saari berada di hadapannya. Bermulalah krisis rumah tangga antara Cikgu Saari dan Norkiah. Rosnah cuba mendamaikan mereka berdua tetapi dengan adanya sikap ego Cikgu Saari menyebabkan usahanya itu gagal. Lebih memedihkan hati Norkiah apabila Cikgu Saari menyatakan perempuan kabaret semuanya 'low class'.

Sungguhpun marah tetapi Cikgu Saari tetap sayangkan Norkiah. Katanya: "Orang perempuan ni tak boleh kasi muka. Kita mesti ajar samanya. Tapi dalam hati tu sayang. Siapa tak sayang bini oi. Ek saja mesti lebih." Oleh kerana tidak tertahan menyaksikan penderitaan yang ditanggung Norkiah dan marahkan Cikgu Saari yang sudah dianggapnya melampau, teman lelaki Rosnah (Rashid, pemain trumpet si Silver Tortoise Cabaret) membuat pelan untuk mengajar Cikgu Saari. Seperti biasa, bila Norkiah pulang ke rumah. Cikgu Saari menunggu di luar bilik pura-pura memeriksa buku murid-muridnya semata-mata ingin memperlihatkan egonya kepada Norkiah. Tetapi kali ini dia terperanjat besar apabila Norkiah datang bersama Rashid. Mereka berpura-pura bermesra dan berkasihan di hadapan Cikgu Saari selepas itu masuk ke bilik Norkiah. Cikgu Saari cemburu.

Dengan menggunakan 'tape recorder' (pita rakaman) yang dibawa oleh Rosnah, Rashid memainkan pita rakaman itu yang mengandungi suara Rashid dan Norkiah sedang bergurau senda. Apabila lambu bilik dipadamkan dan suara Rashid dan Norkiah yang sedang bergurau senda bergema Cikgu Saari bertambah resah dan cemburunya semakin menebal. Disebabkan sudah tidak tertahan lagi, Cikgu Saari menceroboh masuk ke bilik Norkiah. Apabila didapatinya suara Rashid dan Norkiah bergurau senda itu datangnya dari pita rakaman Cikgu Saari merasa lega lalu meminta maaf kepada Norkiah atas segala kesalahannya. Norkiah pun begitu juga meminta maaf kepada Cikgu Saari. Rashid dan Rosnah gembira kerana pelan damai mereka berjaya. 5 tahun berselang, Cikgu Saari kini berjawatan Guru Besar. Rumah pun dah besar. Famili juga dah besar. Cikgu Saari dan Norkiah dikurniakan 10 orang anak. Kata Cikgu Saari: 5 tahun kahwin 10 anak. Satu tahun 2, kembar tak berhenti. Macam padi Malinja."   

ULASAN & KRITIKAN

Setelah memulakan filem bercorak seram/fantasi kemudian disusuli pula berbagai ragam corak filem (muzikal, komedi dan drama purba), P.RAMLEE kembali semula mengarahkan filem komedi. Sebagaimana yang diketahui sebelum meninggalkan MFP dan datang ke Kuala Lumpur filem terakhirnya disitu juga bercorak komedi - "3 Abdul". Filem-filem komedi arahan P.RAMLEE di MFP, bergantung kepada pelawak-pelawak seperti Aziz Sattar (siri-siri Bujang Lapok), M.Zain (siri-siri Labu Dan Labi), Ahmad Nisfu (Nujum Pa'Belalang, Musang Berjanggut dan 3 Abdul) dan sebagainya. Namun dalam filem ini P.RAMLEE berseorangan. Peranannya sebagai bintang utama sangat penting, sekiranya lakonan dan kelakarnya gagal musnahlah filem ini.

Tetapi P.RAMLEE yakin dengan kebolehannya. Dia boleh berdiri sendiri tanpa bantuan pelakon-pelakon komedi, dan hasilnya tidak mengecewakan malah filem ini boleh dianggap filem bercorak komedi terbaik yang diarahkannya di MFS. Filem ini kalau diteliti betul-betul sama seperti filem "Pillow Talk" (1959) yang dibintangi Rock Hudson dan Doris Day. Bagaimanapun, kemungkinan besar P.RAMLEE mengilhamkannya dari filem Cina berdasarkan "Pillow Talk' ini. Kerana filem Cina pun banyak yang mengambil filem barat terutama yang mendapat sambutan. Peranannya sebagai Cikgu Saari dibawanya dengan baik dan memuaskan. Dialog-dialognya bernas dan penuturannya yang kadang-kadang menggunakan Bahasa Jerman sangat melucukan.  

Pendek kata, kekuatan filem ini bergantung kuat kepadanya. Pelakon-pelakon lain seperti Mahmud June dan mariani tidak menampakkan komedinya. Kalau ada pun, Raden Sudiro dan Minah Hashim itu pun tidak banyak. Walaupun filem ini dibuat dalam serba serbinya sederhana namun kekuatannya tetap ada dan tidak menghairankan kalau ia akan tetap ditonton selagi mana ia dipertontonkan. Antara adegan yang agak menarik ialah ketika Cikgu Saari dan Norkiah berkelahi sebelah menyebelah bilik yang mana apabila Norkiah membaling 'frame' gambar telajak terkena kepada jiran sebelah yang sedang tidur. Angkara mereka, menyebabkan semua penyewa rumah Mak Minah berkelahi, bertengkar dan pukul memukul termasuk Mak Minah sekali. Adegan ini yang melibatkan Minah Hashim, Darwis Mansur, Bakar Jaafar dan Hashim Hamzah sangat melucukan.

Satu lagi adegan ialah ketika ibu dan adik Norkiah (Chik dan adik Murad) datang ke Kuala Lumpur mencari bilik sewa Norkiah. Bila pintu bilik Cikgu Saari diketuk, dia muncul dan apabila ibu Norkiah bertanyakan bilik Norkiah dan kerana marahkan Norkiah dengan sombong dia menjawab: Pompuan. Pompuan tak tau, orang jantan tau." Lalu menutup pintu. Perbuatan Cikgu Saari itu membuatkan ibu Norkiah berkata: "Amboi sombongnya budak ni. Hang tunjuk ek kat aku no. Tapi tak apa, nanti hang pergi ke Alor Setar, kepala hang aku putar hang tau."

Dialog apabila ibu Norkiah mengadu kepada Norkiah juga menggelikan.

Ibu Norkiah: "Orang sebelah tu siapa Kiah, sombong tau. Tadi mak tanya kat dia, dia terus tutup pintu. Adakah patut."

Norkiah: "Orang gila tu mak oi. Baru keluar dari mentol hospital."

Ibu Norkiah: "Kalau orang macam itu, tak jadi menantu mak pun tak apa."

Norkiah: "Hai mak nak suruh Kiah menikah dengan orang tu ke. Oreang yang macam tu, kalau mak letak di zoo jangankan Kiah, rimau pun tak ingin nak makan."

Akhirnya, ibu Norkiah tu bermenantukan Cikgu Saari. Norkiah yang bersuamikan Cikgu Saari melahirkan 10 orang anak dalam tempoh masa 5 tahun. Tidakkah itu melucukan?

Mengenai pelakon, kesemuanya telah membawa peranan masing-masing dengan baik kecuali Sharifah Hanim. Ini tidak menghairankan kerana filem ini yang pertama buatnya. Peranannya sebagai Norkiah walaupun sesuai tetapi lakonannya tidak 'natural', kekok dan terlalu banyak kelemahannya. Satu lagi yang menarik, filem ini banyak membuat penggambaran luar di sekitar Kuala Lumpur. Melalui filem ini dapat kita lihat Bandaraya Kuala Lumpur di pertengahan tahun 1960an. Antaranya Stesen Keretapi, Masjid Negara, Stadium Negara dan Stadium Merdeka yang menampakkan Sekolah Victoria Instittion (VI), Dewan Perhimpunan Cina, Zoo Negara, Sekolah Kebangsaan Hulu Klang, Pejabat Pos di Setapakdi mana bersebelahannya dulu ( kini sederet kedai juga terdapat Restoran KFC di situ) tapak pawagam Alhambra. Jalan Mouthbatten ( kini Jalan Tun Perak) terletaknya Pejabat Penerangan di depannya dulu terletaknya kedai perniagaan terkenal - Robinsons. Rumah sewa (bahagian luar) kepunyaan Mak Minah penggambarannya dibuat di Jalan Ipoh, dan rasanya bangunan tersebut masih ada lagi sekarang ini. Juga terlihat (dulu Istana Hinggap Sultan Brunei) di Jalan Ampang yang mana beberapa tahun kemudian (1975) menjadi lokasi untuik filem "Papa Tiger" yang dibintangi David Niven, Toshiro Mifune dan Hardy Kruger. Mustapha Maarof dan Noor Kumalasari turut berlakon bersama.

IRAMA & LAGU

Kesemua lagu yang terdapat dalam filem ini menarik belaka:

  1. Ai Ai Twist (P.RAMLEE)
  2. Ku Rindu Padamu (P.RAMLEE)
  3. Dalam Air Terbayang Wajah (P.RAMLEE & Saloma)
  4. Saat Yang Bahagia (P.RAMLEE & Saloma)
  5. Perwira (Saloma)
  6. Apa Guna Berjanji (Saloma)
  7. Hilang Terang Timbul Gelap (Saloma)
         Lirik: Ainol Jamal
         Muzik Iringan: Orkestra pimpinan P.RAMLEE & Kugiran Dendang Irama diketuai Othman 
         Maulud 

    • Ahmad Nawab meniup saxophone mengiring lagu Ai Ai Twist dan Ku Rindu Padamu.

FAKTA & ANGKA


  • Filem pertama Sharifah Hanim berlakon filem dan juga filem pertama berlakon di bawah arahan P.RAMLEE dan keluaran MFS. Sharifah Hanim diambil P.RAMLEE kerana popularitinya sebagai pengacara di RTM dan dia juga anak saudara kepada Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman. Selepas filem ini Dhiresh Ghosh mengambilnya berlakon dalam "Gadis Langkawi" di samping Sonny Abdullah.
  • Filem pertama Mariani berlakon di MFS dan diarahkan P.RAMLEE. Kali terakhir dia berlakon di bawah arahan P.RAMLEE, "3 Abdul".
  • Filem P.RAMLEE membuat penggambaran di Sekolah Kebangsaan Hulu Klang (adegan P.RAMLEE mengajar). Bangunan asalnya masih tetap berdiri teguh hingga sekarang ini.
  • Filem pertama dan terakhir P.RAMLEE mengambil Sharifah Hanim berlakon dalam filem arahannya. Bagaimanapun, P.RAMLEE dan Sharifah Hanim muncul berlakon bersama sebagai Bintang Undangan dalam filem arahan Jins Shamsudin - "Bukan Salah Ibu Mengandong".
  • Sharifah Hanim (berasal dari Perlis) meninggal dunia pada 25 November 2003 iaitu tarikh yang sama Ibrahim Pendek meninggal dunia.
  • Difahamkan, pada peringkat awal Mariani dijangka memegang peranan utama sebagai Norkiah, tetapi kemudian P.RAMLEE menyerahkannya kepada Sharifah Hanim manakala Mariani berperanan sebagai pelakon pembantu - Rosnah.
  • Watak utama Saari dan Norkiah sebenarnya nama teman rapat P.RAMLEE - Lt. Col. Saari Sulaiman dan isterinya Norkiah Haji Ahmad.
  • Adegan baling membaling kasut sama seperti terdapat dalam filem "Anari" lakonan Raj Kapoor dan Nutan. Begitupun juga, apa yang dilakukan P.RAMLEE lebih baik daripada apa yang terdapat dalam "Anari" itu.

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078