Pages

Thursday, February 16, 2017

Sinopsis Filem Rachun Dunia

RINGKASAN CERITA

Jamal mewarisi perniagaan ayahnya menjadi saudagar getah terkenal dan hidup bersama isterinya yang setia, Aminah. Walaupun sudah mendirikan rumah tangga selama enam tahun dan telah dikurniakan seorang anak perempuan (Mardiana), namun kehidupan mereka tetap aman dan bahagia. Suatu hari wakil insurans (Harun) telah datang bertemu dengan ayah Jamal (Kamil) untuk menjual polisi insuransnya tetapi telah ditolak. Bagaimanapun Jamal menunjukkan minatnya terhadap insurans tersebut. Berikutan pengenalannya dengan Harun, Jamal telah dibawa berkenalan pula dengan temman wanita Harun (Aishah) dan rancangan telah dibuat oleh mereka berdua untuk mempengaruhi (menggoda dan memikat Jamal oleh Aishah) dengan tujuan untuk membolot harta kekayaan yang diwarisi Jamal.



Aishah pula memuat rancangan untuk lari (membawa harta Jamal) bersama harun dan meninggalkan Jamal, tetapi belum sempat mereka berbuat demikian Aishah dan Harun telah ditahan oleh Jamal dan kerana menyedari akan kesilapannya kerana mencintai Aishah yang tidak setia, Jamal kemudian menghalau Aishah keluar rumah dengan sehelai sepinggang. Terbaca dalam surat khabar tentang anaknya, Mardiana, Jamal tidak membuang masa lagi pergi mahu mengambilnya dan di sana juga dia telah bertemu dengan Karman yang juga berhasrat mahu mengambil Mardiana. Aminah yang begitu sedih dengan kehilangan anaknya dan pondoknya terbakar tidak begitu siuman dan merayau-rayau. Pada ketika itu juga Aminah telah ditemui oleh Mariam lalu memujuknya pulang ke rumah banglo mereka untuk bertemu Jamal kerana Jamal sudah insaf disamping telah menghalau Aishah keluar dari rumah tersebut. Aminah bersetuju dan bila sampai di sana, Aminah bertemu semula dengan anaknya dan suami yang dikasihinya, Jamal. Dan mereka pun memulakan penghidupan baru dan hidup dalam aman dan bahagia sebagaimana sebelumnya.         

P.RAMLEE SEBAGAI PELAKON

 

ULASAN & KRITIKAN

Filem ini merupakan pergolakan rumah tangga yang sering berlaku dalam masyarakat moden. Walaupun ceritanya berlaku di awal 1950an namun ia tetap 'relevant' untuk hari ini, esok, lusa dan bila-bila masa sekali pun. Ceritanya penuh tauladan. Sumai tidak sepatutnya mengabaikan kasih sayang isteri kerana semata-mata memburu cinta wanita lain yang tidak ikhlas - cuma mahukan harta sahaja. Filem ini diakhiri dengan 'happy ending' yang mana si isteri yang setia (setelah mengharungi banyak penderitaan) kembali bersatu seperti sebelum si suami terpikat dengan wanita pisau cukur itu.
Dari segi lakonan, Kasma Booty tetap unggul dengan peranannya sebagai isteri, Aminah. Bagaimanapun kesedihan yang diperlihatkan agak sedikit 'over'. Osman Gumanti (pertama kali sebagai hero) lakonannya memuaskan cuma penuturan dialognya sedikit tergugat. D.Harris tidak ada dalam filem ini untuk menghiburkan penonton dengan kelakar-kelakarnya tetapi A.R.Tompel tidak kurang hebatnya dengan telatah-telatah lucunya yang mengelikan hati tambahan pula pasangannya Siti Tg. Perak. Pada keseluruhannya, filem ini boleh dianggap sebagai sebuah drama berat yang penuh dengan iktibar dan tauladan. Sebagai hiburan (selain kelakar-kelakar lucu) juga diselitkan dengan lagu-lagu merdu dan tarian-tarian yang mengasyikkan terutamanya yang ditarikan oleh Siput Sarawak. 

IRAMA & LAGU 

Terdapat 8 lagu dalam filem ini yang kesemuanya menarik belaka:
  1. Sang Rang Bulan (P.RAMLEE)
  2. Melodi Asmara (P.RAMLEE & Nona Asiah)
  3. Kolam Mandi (P.RAMLEE & Nona Asiah)
  4. Hidup Bahagia (Nona Asiah)
  5. Sayang Di Sayang (Rubiah)
  6. Sabar Hati (Rubiah)
  7. Racun Dunia (Rubiah)
  8. Samba Lado (Nona Asiah, A.R.Tompel, Siti Tg. Perak & Beramai)
          Ciptaan & gubahan: Zubir Said & Doding Soliano
          Lirik: Zubir Said
          Muzik iringan: Pancaragam pimpinan Doding Soliano
  • Kolam Mandi dan Samba Lado apabila dipiringhitamkan dinyanyikan Ismail Kassim & Nona Asiah.
  • Sang Rang Bulan selain P.RAMLEE merakamkannya ke piringhitam, Rubiah turut sama berbuat demikian. 


FAKTA & ANGKA

  1. Pertama kali Osman Gumanti memegang peranan hero.
  2. Pertama kali Kasma Booty berherokan Osman Gumanti kemudian disusuli "Dewi Murni".
  3. Pertama kali Siput Sarawak memegang peranan pembantu kemudian disusuli "Bakti".
  4. Inilah filem ceritanya difilemkan semula 'remake' oleh B.S.Rajhans ketika dia berpindah ke Keris Film Productions (kemudian berubah menjadi Cathay Keris Film) bertajuk "Insaf" (1954). Osman Gumanti turut berlakon memegang peranan yang dibawakan P.RAMLEE manakala M.Nor Lambak dan Rosini memegang peranan yang dipegang Osman Gumanti dan Kasma Booty. "Insaf" kurang berjaya di 'box-office', tidak seperti filem ini.
  5. Untuk kedua kalinya di MFP Zubir Said mencipta dan menggubah lagu-lagunya selepas "Chinta".
  6. Adegan tari menari di Kelab Melayu kelihatan Neng Yatimah, Mariam dan Saadiah yang mana kemudian ketiga-tiganya menjadi heroin P.RAMLEE.
  7. Penyanyi Rubiah yang lahir di Medan, Sumatera meninggal dunia pada 1991 di Jakarta, Indonesia.
  8. Penyanyi Ismail Kassim (suami Nona Asiah) pernah di 'screen test' untuk membintangi filem ini. 

ZUBIR SAID

Zubir Said dilahirkan di Sumatera Barat, Indonesia pada 1907. Dia dikatakan lari meninggalkan rumah pada 1928 untuk menyertai kumpulan bangsawan kerana ayahnya (orang kuat agama) menganggap muzik dilarang dalam agama Islam. Kemudian Zubir Said datang ke Singapura apabila dia mendengar teman kelasinya mencerita tentang kecerahan hidup di kota singa itu. Dalam tahun 1938, Zubir Said berkahwin dengan penyanyi keroncong, Tarminah, dan tidak lama kemudian kembali ke Indonesia apabila Perang Dunia Kedua meletus. Zubir Said kembali ke Singapura pada 1947. Pada tahun 1948, Zubir Said diberi kepercayaan oleh majikan MFP untuk mencipta dan menggubah lagu untuk filem "Chinta" kemudian disusuli "Rachun Dunia". Antara lagu-lagunya yang menarik terdapat dalam kedua filem tersebut Kumbang Dan Rama-Rama, Gelora Asmara, Sang Rang Bulan, Melodi Asmara dan Sayang Di Sayang.

Selepas itu, Zubir Said bertugas (bekerja tetap) dengan Cathay Keris dan mencipta serta menggubah banyak lagu untuk filem-filem Melayu keluaran studio tersebut antaranya "Sultan Mahmood Mangkat Dijulang", "Dang Anom" "Noor Islam", "Laila Majnun" dan "Tun Fatimah". Zubir Said bertugas dengan Cathay Keris hinggalah bersara pada 1964. Dalam usaha untuk memajukan SIngapura, Zubir Said telah menghasilkan lagu Majulah Singapura (dijadilan lagu kebangsaan) dan lagu ciptaan serta gubahannya itu telah dinyanyikan dalam satu pertunjukan konsert yang diadakan di Victoria Theatre pada 6 September 1958. Kerana sumbangannya yang begitu besar terhadap Singapura, Zubir Said telah dianugerahkan Sijil Kehormatan (Certificate of Honors) pada 1963 disamping anugerah yang diterimanya dari ASEAN Culture and Communications pada 1978. Zubir Said meninggal dunia di Joo Chiat Place, Singapura pada 1987 ketika usianya 80 tahun. 

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078