Pages

Thursday, February 16, 2017

Sinopsis Filem Gelora

MERDEKA FILEM SETUDIO Mempersembahkan GELORA (The Gale) Karya OSMAN ABADI P. RAMLEE SARIMAH ARMAN YADI Dengan IDRIS HASHIM AHMAD DADIDA MINAH HASHIM NORSIATI MINAH YEM SHARIFF BABOO Memperkenalkan ISMA RUBEE MARIATI ABDUL RAHMAN BAB MUSTAFFA Pelakun Kechil S. NORAINI ZURAIDAH SULAIMAN Teknik Fotografi SIEW CHAN WAH Rakaman Awal ANUAR YUSOFF Rakaman Akhir TAN CHUA HOON Art Director ABD. HAMID AZIZ Filem Editor JOE IBRAHIM PENOLONG2 Pengarah, sambongan BAKAR JAFFAR Camera AMIN ZAA Editor JOHAN IBRAHIM Make-Up ROKIAH OSMAN Penchitak ROSALIND TEOH Artis ESA AHMAD Screen Play, Dialog P. RAMLEE OSMAN ABADI Kugiran DENDANG IRAMA Kugiran BEN PUTEH 4 Kugiran P. RAMLEE ORKES Lagu2, Gurindam dan Arrangements P. RAMLEE a.m.n. Directed P. RAMLEE a.m.n.

Credit title seperti tercatat dalam filem
Tahun diedarkan: 1970 (30 November)
Masa tayangan: 107 minit (lebih kurang) 

JALAN CERITA___ 

Kuala Lumpur: Rizman sangat dibenci oleh ibu tirinya kerana dia (sewaktu kecil) menyebabkan kematian adik tirinya. Oleh kerana tidak tertahan lagi dengan kata-kata nista dan celaan ibu tirinya itu, Rizman keluar rumah meninggalkan ayahnya serta dua orang adiknya. Rizman berhasrat untuk ke Singapura. 

Sebelum peristiwa itu, Rizman bersama teman wanitanya (Ruby) menghadiri parti kemudian Ruby mengajak Rizman makan malam di rumahnya. Rizman diperkenalkan oleh Ruby kepada ibunya (Rima Murni). 

Di Stesen keretapi, Rizman bertemu dengan Rima yang kebetulan menghantar Tengku Zaman menaiki keretapi. Bila Rizman menyatakan hasrat mahu ke Singapura Rima menghalang dan mencadangkan supaya Rizman tinggal bersamanya dan juga Ruby. 

Dalam pada itu, di tempat kerja Ruby mendapat bos baru (Rozaiman). Rozaiman yang pertengahan umur tertarik dengan Ruby dan cuba memikatnya tetapi Ruby tidak melayannya kerana dia cintakan Rizman. 

Apabila tinggal dalam satu bumbung, perhubungan antara Rizman dengan Rima semakin erat. 

Semasa begitu gembira dan ingin menunjukkan surat yang dia telah lulus ujian memandu kereta, Rizman termasuk ke bilik Rima di mana Rima ketika itu berada dalam keadaan menggairahkan. 

Rizman terpegun dan kegairahan. Seperti "pucuk dicinta ulam mendatang," Rizman menghampiri ke katil Rima di mana dia sedang berbaring dan menyuruh Rizman memicit badannya. 

Rizman tidak "bertepuk sebelah tangan." Berlakulah perzinahan dan sejak itu, perhubungan antara Rizman dengan Rima (ibu kekasihnya, Ruby) semakin erat dan keterlanjuran terus berlaku tanpa disedari oleh Ruby. 

Dalam usahanya memikat Ruby, Rozaiman tidak putus asa. Setelah di desak beberapa kali akhirnya Ruby setuju makan malam dengannya. 

Ketika makan malam itulah Rozaiman menyatakan cintanya kepada Ruby tetapi di tolaknya dengan alasan dia setia dengan Rizman. 

Di panggung wayang, Mustabab (berdendam dengan Ruby kerana Ruby tidak melayannya) bersama dua orang kawannya terserempak dengan Rizman dan Rima. 

Ini telah dipergunakan oleh Mustabab membalas dendamnya terhadap Ruby. Mustabab memberitahu Ruby, Rizman sudah ada girlfriend baru. "Mother, you," katanya. Ruby tersentak, "Mother, I." 

Bagi mempastikan kata-kata Mustabab itu benar, pulang ke rumah Ruby buat siasatan. Ruby terperanjat apabila mendapati Rizman dan Rima sedang bercengkerama dibilik Rizman. 

Dengan perasaan kecawa dan hampa, Ruby pergi ke rumah Rozaiman dan menawarkan untuk menjadi perempuan simpanan Rozaiman. Bagi Rozaiman pelawaan Ruby seperti, "orang mengantuk di sorongkan bantal". 

Kekerapan Rima keluar malam dan pulang di waktu pagi, menyebabkan Rizman (yang mencintai Rima sepenuh hati) sentiasa berada dalam kerisauan. Rizman mencurigai kesetiaan Rima terhadapnya. 

Rizman marah dan merajuk tetapi kerana Rima pandai memujuk dan menggoda, Rizman berlembut dan mengalah. Perhubungan Rozaiman dan Ruby pula semakin bertambah erat. Ruby tidak payah bekerja tetapi dia tetap mendapat gaji tiap-tiap bulan. 

Kemudian Rizman diracuni fikirannya oleh Mustabab dan dua orang teman setianya. Dia mengajak Rizman pergi ke sebuah rumah di mana Rima sering berkunjung. 

Mustabab menyuruh Rizman memanjat sebatang pokok dan dari situ dia dapat menyaksikan Rima sedang melayan nafsu seorang tua. 

PEREMPUAN SIMPANAN 

Apabila pulang, Rima di tempelak oleh Rizman dan mengugut akan meninggalkannya. Kerana merasakan yang dia sangat cintakan Rizman dan kini sudah mendapat lelaki pujaannya dan dia mahu berkahwin dengan Rizman, Rima menceritakan kedudukan sebenar kepada Rizman. 

Menurut cerita Rima, dia berasal dari Sumatera Utara. Dia jatuh cinta dengan seorang pemuda bernama Rozaiman. Hasil percintaan mereka, Rima telah berbadan dua mengandungkan Ruby. 

Rozaiman tahu yang dia telah mengandung tetapi dia tidak mahu bertanggungjawab lalu melarikan diri dari kampung. Dia kemudian di usir dari kampung dan dengan pertolongan dua tiga orang yang bersimpati dengannya, Rima datang ke Malaysia. 

Apabila Ruby di lahirkan, dia menjadi perempuan simpanan Tengku Zaman yang telah memberikannnya kehidupan yang mewah. 

Tanya Rizman, kalau begitu mengapa Rima tidak berkahwin saja dengan Tengku Zaman. Menurut Rima, Tengku Zaman berkahwin mengikut undang-undang mahkamah. Mahkamah tidak membenarkannya berkahwin lebih dari satu. 

Rima meminta Rizman bersabar kerana Tengku Zaman telah tua, tidak lama lagi dia akan mati. Kalau dia mati setidak-tidaknya separuh (atau pun suku) daripada hartanya akan dimilikinya. 

Bagaimanapun, Rizman meninggalkan Rima menyebabkannya tidak dapat menerimanya. Rizman pergi menemui Ruby untuk kembali ke pangkuannya tetapi dihujung pistol, Ruby menolak. 

Setelah berfikir panjang, Rima kemudian pergi menemui Tengku Zaman dan menyatakan yang dia mahu memutuskan perhubungannya dengan Tengku Zaman kerana dia sudah pun bertemu dengan lelaki pujaannya. 

Terkejut dengan tindakan Rima itu, Tengku Zaman diserang penyakit jantung lalu meninggal dunia. 

Rizman kemudian bertunang dengan Haryati (teman wanitanya) dan sempena dengan pertunangan tersebut satu majlis tari menari diadakan. 

Rima turut hadir. Dia kemudian berhadapan dengan Rizman dan Haryati dan meminta Rizman kembali kepangkuannya semula. 

Perbuatannya itu memarahkan Haryati yang menyebabkan Haryati mengeluarkan perkataan "perempuan lacur." Rima tersangat marah lalu mengambil keris yang ada didinding lalu menikam Haryati. 

Apabila Rizman enggan pulang kepadanya dan menyatakan juga Rima "perempuan lacur," dia menikam Rizman pula. Rizman dan Haryati mati disitu juga. 

Selepas itu, Rima pergi menemui Ruby dengan keris berlumuran darah. Semasa pertemuan itu, Ruby memperkenalkan kekasihnya yang bercadang untuk berkahwin dengannya. 

Apabila bertemu, masing-masing terperanjat dan dengan tidak disedari Rima mencapai pistol yang ada di situ lalu menembak Rozaiman. Rozaiman mati. 

Rima kemudian memberitahu Ruby katanya, "Aku tak mau kau kahwin dengan orang itu, Ruby. Dialah Rozaiman. Bapak, kau." 

Rima menelefon polis dan membuat pengakuan telah membunuh Rozaiman, Rizman dan Haryati. Rima menunggu kedatangan polis, dia mahu menyerah diri. 

ULASAN & KRITIKAN___ 

Filem ini tidak lahir sekiranya P.Ramlee tidak bertengkar dengan Osman Abadi. 

Menurut ceritanya, P. Ramlee ketika mula-mula mengenali Osman Abadi (pengarang kanan di Utusan Melayu ketika itu) telah dikecam oleh P. Ramlee kerana wartawan hanya pandai menghentam orang-orang filem terutama filem-filem arahannya. 

"Dia orang cakap senang, tahu hentam saja. skrip lemah, arahan lemah. Tapi siapa ada antara wartawan yang ada yang bagi skrip bagus pada saya," kata P. Ramlee. 

Mendengarkan kata pedas tersebut terkeluar kata Osman Abadi, "Bagaimana kalau saya buat skrip Encik Ramlee boleh terima ke?"

"Boleh, dengan syarat skrip misti bagus. Bila Encik Osman nak bagi," kata P. Ramlee. 

"Malam esok di studio ni," jawab Osman Abadi. 

Malam esoknya (kira-kira jam 10.00) Osman Abadi datang, lalu bercerita di depan P. Ramlee berdasarkan nota yang ditulisnya di sekeping kertas. 

Ketika mendengar cerita Osman Abadi, P. Ramlee hanya memejamkan matanya. Osman Abadi sendiri tidak tahu samada P. Ramlee mendengar ceritanya itu atau pun tidak. 

"Selepas bercerita, P. Ramlee tidak berkata sepatah pun apakah cerita saya itu bagus dijadikan filem atau pun tidak," kata Osman Abadi. 

Melihatkan wajahnya, Osman Abadi yakin ceritanya itu tidak akan diterima. 

Esoknya, Osman Abadi menerima telefon P. Ramlee yang memintanya menulis 'rough idea' cerita yang diceritanya itu. P. Ramlee memberi masa seminggu untuk Osman Abadi menyudahkannya. 

Bagaimanapun, Osman Abadi hanya dapat menyudahkannya dua minggu kemudian. P. Ramlee sendiri menyusun cerita dan lakonlayarnya manakala Osman Abadi menyusun dialognya. 

Bermula dari situlah lahirnya filem ini yang dirangkumkannya dengan lagu popular ciptaanya - "Gelora" petikan filem "Seniman Bujang Lapok." 

Bolehlah dikatakan filem ini sebuah drama berat yang tidak ada komedi langsung. Dari awal hingga akhir ketegangan mencengkam penonton. 

Hanya mereka yang berminat dengan filem-filem drama berat dan masih meminati karya P. Ramlee menyukai filem ini. 

GOLONGAN REMAJA 

Bolehlah dikatakan juga, filem ini hanya sesuai ditonton oleh orang-orang dewasa saja (for adult only) dan boleh juga diagak kenapa filem ini jarang-jarang ditayangkan di tv kerana temanya yang tidak sesuai ditonton oleh golongan remaja apatah lagi kanak-kanak. 

Adegan-adegan menyolok mata, antara Sarimah dan Arman Yadi serta antara P. Ramlee dan Isma Rubee, begitu ketara dan menggairahkan. 

Agak menarik juga, dalam vcd dan dvd yang ada sekarang, adegan-adegan tersebut masih kekal dan tidak di gunting dan di potong. 

Dari segi persembahan filem ini tidaklah mengecewakan. Arahan dan lakonan pelakon-pelakonnya tetap baik dan memuaskan terutama P.Ramlee dan Sarimah yang memegang watak utama. 

Bab Mustaffa (adik seniwati Rosmawati) tidak pernah berlakon sebelum ini. Tetapi dalam filem ini dia telah memperlihatkan mutu lakonan yang sangat baik - bersahaja dan natural 

Jika Festival Filem Malaysia (FFM) ada ketika itu, kemungkinan dia memenangi anugerah best leading actor in supporting role (pelakon pembantu lelaki terbaik) adalah cerah sekali. 

Bagaimanapun, karekternya (berpasangan dengan Ramli Ismail dan N.S. Sulaiman) tidak jelas. 

Mahu dikatakan crook (peranan jahat), bukan. Hendak dikatakan berperanan baik, pun bukan. Mungkin sebagai pengacau (penyibuk), batu api dan menjaga tepi kain orang sesuai untuknya. 

Pada keseluruhannya, filem ini menampak penurunan (merosot) P. Ramlee dalam pengarahan filem. Nampak sudah P. Ramlee kekeringan idea atau mungkin juga keadaan dan kedudukannya di Merdeka Filem Setudio  sudah mulai goncang lebih-lebih lagi kontraknya sudah hampir tamat.

Begitupun juga, filem ini masih bertenaga dan mempunyai kekuatan dari segi cerita, arahan dan lakonan terutamanya. Tinggal lagi, sebagaimana yang dikatakan, kisah yang dipaparkan tidak sesuai dengan mentaliti kaum remaja dan kanak-kanak.

P. Ramlee tidak banyak muncul dalam filem ini. Tumpuan utama lebih kepada Arman Yadi (sebelumnya pernah mucul dalam "Keranda Jingga" dan "Perentah Seri Paduka") yang memegang peranan Rizman dan Sarimah sebagai Rima Murni.

Bolehlah dikatakan P.Ramlee sebagai pelakon pembantu dan Arman Yadi hero.

Pada saya, irama dan lirik lagu "Gelora" begitu indah sekali. Tetapi dengan lahirnya filem ini, sedikit sebanyak telah mencemarkan kebaikan dan keindahan lagu tersebut. 




IRAMA & LAGU___

Disebabkan irama kumpulan gitar rancak (kugiran) begitu mendapat sambutan hangat ketika itu, dalam pengendalian muziknya P.Ramlee mengunakan 3 kugiran - Dendang Irama, Ben Puteh 4 dan P.Ramlee Orkest.

Lagu-lagu yang terdapat dalam filem ini tidak begitu menarik dan itulah sebabnya tidak ada yang popular seperti filem-filem P.Ramlee sebelum ini.

Hanya satu lagu yang agak menarik dan seronok didengar, "Apa Guna Bersuami Muda", berirama keroncong yang disampaikan oleh Tamam Idris menggunakan suara P.Ramlee (sila lihat video).

FAKTA & ANGKA___

* Filem pertama P.Ramlee mengambil cerita karya Osman Abadi (wartawan Utusan) sebagai filem arahannya.
* Filem pertama lakonan Bab Mustaffa, Isma Rubee dan Mariati Abdul Rahman, maksudnya ada peranan. Mariati Abul Rahman kemudian menjadi menantu P.Ramlee apabila Nasir P.Ramlee berkahwin dengannya, tetapi kemudian bercerai.
* Filem ketiga P.Ramlee mengambil Sarimah berlakon di Merdeka Film Productions selepas "Kanchan Tirana" dan "Dr.Rushdi".
* Filem pertama lakonan Arman Yadi dibawah arahan P. Ramlee. Arman Yadi diperkenalkan oleh Omar Rojik dalam filem arahannya, "Keranda Jingga", berlakon bersama Ed Osmera dan Norsiati.
* Nama sebenar Bab Mustaffa ialah Mustafar bin Baba, tetapi diubah oleh P.Ramlee kepada Bab Mustaffa berdasarkan satu karakter yang terdapat dalam cerita 1001 malam ("Ma'aruf Tukang Kasut dan Isterinya Fatimah"), Baba Mustaffa.
* Bab Mustaffa yang turut membintangi filem "Kisah Seorang Biduan" (arahan M.Amin) dan "Pertentangan" (Salleh Ghani) meninggal dunia ketika umurnya masih muda. Tarikh sebenar tidak diperolehi tetapi diawal tahun 2002. 

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078