Pages

Thursday, February 16, 2017

Sinopsis Filem Do Re Mi

MERDEKA FILEM STUDIO Mempersembahkan IBRAHIM DIN A.R. TOMPEL P.RAMLEE Dalam DO RE MI Seniwati Utama WAN CHIK DAUD NORAN NORDIN ROHAYA RAHMAN Bintang Pembantu MAHMUD JUNE MINAH HASHIM SHARIFF BABOO USMAN EOT BAKAR M.IDRIS HASHIM JAILANI AHMAD DADIDA Seniwati Terhormat SALOMA Teknik Fotografi LOW YEW WAH Teknik Rakaman TAN CHUAN HOCK Pelukis Utama DARWIS MANSOOR Pembantu Teraju Muda HASHIM HAMZAH Fotografi Muda NG HOONG NGIAM Rakaman Muda ANUAR YUSUF Pelukis Muda ESA AHMAD Editing Muda JOHARI IBRAHIM Penchitak HO BEE YOON Make up ROKIAH USMAN Story A.R.TOMPEL Dialog P.RAMLEE Lagu-lagu dan Orkestra AHMAD NAWAB Diusahakan Oleh STUDIO MERDEKA Accted Edited Directed P.RAMLEE A.M.N

RINGKASAN CERITA

Sejarah hidup Do: Do asyik suka main dam.Suatu hari dia telah diburu isterinya (Minah) kerana hobinya itu. Empat tahun berkahwin Do tak pernah ambil tahu hal rumah tangga, dapur pun jarang berasap. Do juga berhutang keliling pinggang dan tak dapat nak bayar. Minah minta diceraikan kalau Do tak dapat bayar hutangnya yang dijanjikan oleh Minah kepada tiga orang pemberi hutang - Pakcik sewa rumah, Aya ceti dan Apek. Do buat rancangan dengan Minah bagaimana cara bagi mendapatkan wang iaitu kepada emak Minah, Minah menyatakan Do dah meninggal dunia manakal Do pergi ke rumah bapanya dan menyatakan yang Minah pula yang mati. Hasil dari kekelentongan mereka itu, mereka memperolehi wang 200 ringgit. Dengan itu dapatlah mereka membayar hutang kepada Aya ceti 120 ringgit, Apek 45 ringgit dan Pak cik sewa rumah 45 ringgit., dan selebihnya untuk menampung perbelanjaan harian mereka. Kata Do: "Aku tipu harta bapa aku juga." Sedang mereka mengira-gira wang untuk membayar hutang, emak Minah datang untuk menziarahi Do dan dengan itu terpaksalah Do pura-pura mati. Ketika emak Minah pergi memanggil Tok Bilal, di laman rumah dia bertemu dengan bapa Do bersama isteri mudanya. Mereka bertengkar kerana emak Minah menyatakan Do yang mati manakala bapa Do pula berkeras memberitahu Minah yang mati. Si pemberi hutang bila melihat Do dan Minah sudah mati mahu menyelesaikan saja hutang mereka, kira halal sahaja. Dalam pada itu, bapa Do dan emak Minah terus bertengkar dan kali ini siapa mati dulu. Bapa Do kata Minah mati dulu tetapi emak Minah pula kata Do yang mati dulu. Apabila bapa Do terlepas cakap, siapa dapat beritahu siapa mati dulu dapat 100 ringgit, Do bangkit memberitahu dia mati dulu. Apa lagi, kesemua mereka yang ada dalam rumah itu terperanjat. Si piutang (Pak cik sewa rumah, Aya ceti dan Apek) lari lintang pukang tetapi datang semula menagih hutang apabila mendapati Do dan Minah hanya pura-pura mati. Bapa Do marah begitu juga dengan emak Minah. Bila Tok Bilal dan orang-orang datang untuk menguruskan mayat, mereka semua lari lintang pukang apabila diberitahu oleh Bapa Do yang Do dan Minah hidup semula. Disebabkan rancangan mereka gagal, Do pun menceraikan Minah dengan talak satu. Do bujang kembali dia meninggalkan kampung tersebut pergi mengembara.

Sejarah hidup Re: Re takutkan isteri dan sedikit bodoh. Dia membuat kerja rumah manakala isterinya bekerja sebagai penari di kelab malam, Buloh Inn. Isteri Re cengil orangnya dan Re selalu kena marah lebih-lebih lagi bila Re buat salah. Setelah mendapat nasihat dari Jailani (temannya yang selalu bermesyuarat di tingkap) Re pergi ke tempat isterinya bekerja. Tidak sesuai berada di tempat itu, Re pulang ke rumah di mana dia terserempak dengan penyamun pakai koboi ala-Lone ranger. Re bukannya mahu menghalang tetapi menggalakkan pula penyamun itu menyamun. Oleh kerana penyamun berjaya menyamun duit isterinya yang tersimpan di bawah katil, Re pun dihalau isterinya keluar rumah.

Sejarah hidup Mi: Mi pula berjiran dengan seorang gadis (Milah) yang tinggal bersama bapanya yang garang. Mi sukakan Milah dan begitu juga sebaliknya. Mi menganggur dan sentiasa sahaja meminta duit daripada Milah untuk mencari kerja. Dalam pada itu, Do dan Re bertemu di Pejabat buruh untuk meminta kerja. Kerana minta kerja punya pasal Re menyindir Do, dan ketika bertengkar dan pergaduhan baru sahaja mahu bermula tiba-tiba seorang wanita muda menjerit meminta tolong kerana beg tangannya diragut pencuri. Do dan Re tak jadi bergaduh malah mereka bersama-sama mengejar pencuri. Turut sama mengejar Mi yang kebetulan berada di situ. Mi pada mulanya disyaki sebagai pencuri disebabkan dia mengejar pencuri di depan Do dan Re. Bagaimanapun mereka berjaya menangkap pencuri yang sebenar dan diserahkan kepada polis yang datang ke tempat kejadian. Dalam pertemuan itu, masing-masing memperkenalkan diri sebagai Masdo (Do), Amore (Re) dan Minami (Mi). Mereka mengaku bersahabat - Do Re Mi, tiga orang bujang terlajak.

Mi menjemput Do dan Re tinggal di rumahnya yang lebih merupakan "reban ayam" yang bergelar "istana sangkut". Untuk hidup mereka berpakat (atas idea Mi) untuk menjual berus gigi dengan cara paksaan. Bagi tujuan itu mereka memakai pakaian ala-Zorro. Bagaimanapun mereka gagal kerana rumah pertama mereka pergi ialah rumah orang kaya yang mana anaknya bekerja sebagai polis. Mereka bertiga nyaris-nyaris kena tangkap. Dalampada itu, bukan sahaja Mi yang tersangkut hati dengan Milah tetapi juga Do dan Re. Atas idea Do, rancangan dibuat untuk menjual ubat. Mereka tiada duit dan Do kemudian menyuruh Mi pergi jumpa Milah meminjam duit. Bila Mi pergi ke rumah Milah, dia terserempak dengan bapa Milah dan diburu dengan parang kerana bapa Milah tidak suka anaknya diganggu lebih-lebih lagi Mi. Sementara Mi kena kejar, Re pula ditugaskan pergi menemui Milah untuk meminjam duit. Belum pun sempat menyatakan hasrat kalau pun sudah tapi tersasul bapa Milah pulang dan seperti Mi dia pun kena buru.    

Kemudian tiba giliran Do pula masuk ke rumah Milah untuk meminjam duit. Do berjaya mendapat 10 ringgit tetapi belum sempat keluar rumah bapa Milah pulang, Do pun bersembunyi. Bapa Milah terperanjat dan terus pengsan apabila secara tiba-tiba muncul Do Re dan Mi di cermin berpakaian ala-Zorro. Dengan duit 10 ringgit itu, Do Re dan Mi membeli ramuan-ramuan ubat - ubat tipu. Jualan di hari pertama, ubat laris habis dijual. Dengan keuntungan yang diperolehi itu, sebahagian disimpan buat modal, sebahagian untuk bayar hutang Milah dan sebahagian lagi untuk mereka bertiga. Mereka kemudian pergi joli di Buloh Inn. Ketika menjual ubat untuk kali keduanya, Do Re dan Mi telah dikejar oleh orang-orang yang telah membeli ubat mereka yang lalu kerana mereka dapati ubat tersebut adalah tipu. Do Re dan Mi lari lintang pukang menyelamatkan diri.


ULASAN & KRITIKAN

Pada mulanya P.RAMLEE berhasrat membawa Aziz Sattar dan S.Shamsuddin untuk menyambung siri Bujang Lapoknya. Tetapi menyedari masalah besar mendatangkan kedua-dua pelakon komedi itu ke Kuala Lumpur, P.RAMLEE pun mengwujudkan Do Re Mi. P.RAMLEE memegang peranan Do, A.R.Tompel diberi peranan Re dan Ibrahim Din yang berlakon dalam "Sabarudin Tukang Kasut" membawa peranan Mi. Sebagaimana juga dengan Bujang Lapok (terdiri daripada Ramlee, Aziz dan Sudin) filem ini menggambarkan pengembaraan Do (sudah beristeri dan bercerai) dan Mi (belum kahwin tetapi sedang berkasih-kasihan dengan Milah).

Dilihat pengarahan filem ini ternyata ia tidak dapat mengatasi "Bujang Lapok" dan tidak keterlaluan dikatakan filem ini merosot begitu jauh dibandingkan dengan filem yang diarahkannya di MFS seperti "Masam Masam Manis" dan "Sabarudin Tukang Kasut". Dari segi pengarahan komedinya kurang berjaya. Adegan di rumah Wan Chik Daud yang mana Do Re dan Mi datang untuk meminjam duit kemudian berlaku perkara-perkara luar jangkaan dibuat terlalu lama malah komedi yang dilakukan membosankan. Adegan yang terdapat kebanyakannya diciplak dari filem-filem barat (terutama Charlie Chaplin dan Laurel And Hardy) dibuat seolah-olah seperti komedi di pentas bangsawan. Sungguhpun filem ini boleh dianggap menghiburkan, tetapi ia juga boleh dianggap seperti filem terburuk yang diarahkan P.RAMLEE di MFS sebagaimana buruknya filem "Labu Dan Labi" yang diarahkannya di MFP.

IRAMA & LAGU

Terdapat 7 lagu dalam filem ini yang boleh dikatakan menarik juga:

  1. Rantai Terlepas (P.RAMLEE)
  2. Bintang Malam (Saloma)
  3. Bintang Hati (Saloma)
  4. Do Re Mi (P.RAMLEE, A.R.Tompel & Ibrahim Din)
  5. Ubat (P.RAMLEE, A.R.Tompel & Ibrahim Din)
  6. Gitar Berbunyi (Saloma)
  7. Basanova (Saloma)
          Ciptaan & gubahan: P.RAMLEE & Ahmad Nawab
          Lirik: P.RAMLEE & Ainol Jamal

  • Rantai Terlepas ada persamaannya dengan lagu My Rifle, My Pony And Me nyanyian Dean Martin dan Ricky Nelson yang terdapat dalam filem "Rio Bravo" turut dibintangi John Wayne.
  • Gitar Berbunyi ialah lagu Red Sails In The Sunset yang pernah dirakamkan ke piring hitam oleh The Platters dan Nat King Cole (berirama perlahan). Kalau didengar baik-baik lagu Bunyi Gitar (terdapat dalam 3 Abdul) pun ada persamaannya dengan Red Sails In The Sunset ini tetapi versi The BEatles - berirama rancak.
FAKTA & ANGKA

  • Filem pertama Wan Chik Daud berlakon dalam filem arahan P.RAMLEE dan juga di MFS.
  • Selebriti RTM kedua diambil P.RAMLEE berlakon dalam filem arahannya selepas Sharifah Hanim dalam "Masam Masam Manis".
  • Filem pertama siri Do Re Mi yang menggabungkan lakonan P.RAMLEE (sebagai Do), A.R.Tompel (Re) dan Ibrahim Din (Mi).
  • Filem kedua Ibrahim Din berlakon dalam filem arahan P.RAMLEE selepas "Sabarudin Tukang Kasut".
  • Filem pertama gabungan P.RAMLEE dan A.R.Tompel di MFS. Mereka pernah berlakon bersama di MFP dalam "Nilam", "Takdir Ilahi", "Rachun Dunia" dan akhir sekali "Aloha".
  • Kecuali "Seniman Bujang Lapok" P.RAMLEE tidak pernah mencatatkan nama pencipta dan judul lagu di 'credit title'. Tetapi Ahmad Nawab mendapat penghargaan P.RAMLEE. Kemudian disusuli "Nasib Do Re Mi" dan "Sesudah Suboh".
  • Adegan pura-pura mati (Do dan isterinya Minah) yang terdapat di awal filem sebenarnya terdapat juga dalam filem "Anan" lakonan Raj Kapoor dan Nutan.
DATUK AHMAD NAWAB

Penglibatan Ahmad Nawab dengan P.RAMLEE bermula ketika P.RAMLEE berhijrah ke Kuala Lumpur dari Singapura dengan memulakan tugasnya sebagai pengarah filem di MFS - "Si Tora Harimau Jadian". Semasa mengarahkan filem tersebut P.RAMLEE memerlukan beberapa orang pemain muzik dan Ahmad Nawab menjadi pilihan P.RAMLEE kerana selain telah berkenalan lama, dia adalah salah seorang pemain muzik dengan Orkes RTM. Perbincangan telah dibuat di rumah Ahmad Nawab di Gombak, dan dia telah bersetuju menerima tawaran P.RAMLEE dan bermula di situ jugalah perhubungan P.RAMLEE - Ahmad Nawab semakin akrab. Di samping dirinya Ahmad Nawab juga telah mendapatkan beberapa orang pemain muzik RTM yang terdiri daripada Zainal Abu, Jaafar Harris, Rahman Rahmat, Ahmad Amin dan Ismail Puteh. Mereka inilah yang memainkan muzik untuk lagu-lagu "Si Tora Harimau Jadian" sebelum P.RAMLEE mengarahkan filem tersebut. Ahmad Nawab atau nama sebenarnya Ahmad Khan Bin Nawab Khan dilahirkan di Pulau Pinang (sama seperti P.RAMLEE) pada 6 April 1935, dengan mendapat pendidikan di Sekolah Datuk Keramat dan Sekolah Inggeris Francis Light. 

Ketika usianya kira-kira 15 tahun, buat pertama kalinya dia mendengar lagu nyanyian P.RAMLEE yang sangat-sangat mempersonakan dirinya - Di Renjis-Renjis Di Pilis petikan filem "Takdir Ilahi". Bertolak dari situlah Ahmad Nawab menyimpan cita-cita mahu menjadi pencipta lagu macam P.RAMLEE. Boleh dikatakan banyak lagu yang terdapat dalam filem-filem arahan P.RAMLEE di MFS, Ahmad Nawab terlibat sama, malah dalam tiga filemnya nama Ahmad Nawab dan lagu-lagu ciptaannya tercatat di 'credit title' - suatu perkara yang jarang-jarang berlaku. Filem ini, Bintang Malam dan Basanova, "Nasib Do Re Mi" Taman Firdausi dan Ilham Tiba dan "Sesudah Suboh", "Bulan Bintang Jadi Saksi dan Awas Masa Bercinta. Sejak menjadi pengarah P.RAMLEE tidak pernah menyanyikan lagu ciptaan pencipta lagu lain selain ciptaannya sendiri tetapi dua lagu ciptaan Ahmad Nawab P.RAMLEE turut menyanyi bersama Saloma-  Ilham Tiba dan Taman Firdausi. "Saya begitu bangga P.RAMLEE menyanyikan lagu-lagu ciptaan saya," katanya. 

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078