Pages

Thursday, February 16, 2017

Sinopsis Filem Nasib Do Re Mi

MERDEKA FILEM SETUDIO Mempersembahkan P.RAMLEE A.R.TOMPEL IBRAHIM DIN Dalam NASIB DO RE MI Bintang Utama MAHYON ISMAIL GHAZALI SUMANTRI Dibantu Oleh MAHMUD JUNE HABIBAH HARON IDRIS HASHIM BAKAR JAAFAR HUSNY HASSAN AZMAN SHARIFF BABOO Beserta YUSOFF SURIA JAILANI RADIN SUDIRO NOR JIN KARIM LATIF NOR K.K. HASHIM HAMZAH YEM RAMLEE ISMAIL AHMAD DADIDA Bintang Terhormat SALOMA WAN CHIK DAUD Story And Screen Play S.SUDARMAJI Dialogues P.RAMLEE A.M.N Teknik Fotografi LOW YEW WAH Teknik Sound TAN CHUAN HOCK Art Director ABD. HAMID AZIZ Film Editor JOHARI IBRAHIM Penolong Pengarah HAMZAHASHIM H Fotografi NG HOONG NGAIM Sound ANUAR YUSOF Pelukis ESA AHMAD Penchitak HO BEE YOON Make Up ROKIAH OSMAN Music Chiptaan Dan Gubahan P.RAMLEE A.M.N Lagu-Lagu TAMAN FIRDAUSI Dan ILHAM TIBA Oleh AHMAD NAWAB Directed By P.RAMLEE A.M.N


Tahun Diedarkan: 1966 (September)
Masa Tayangan: 1 Jam 52 Minit (lebih kurang)

RINGKASAN CERITA

Setelah lari lintang pukang dikejar orang ramai kerana menjual ubat tipu, Do Re dan Mi sampai ke sebuah rumah usang dalam hutan. Di rumah tersebut merka jumpa nasi dengan lauk pauknya sekali. Disebabkan lapar mereka kebas hingga licin. Setelah itu, ketika mereka berehat, tuan yang ampunya rumah (Datuk Hercules yang berbadan besar dan berwajah hodoh) pulang. Kerana ketakutan, sekali lagi mereka lari lintang pukang. Datuk Hercules mengejar mereka, bukan kerana marah tetapi mahu memulangkan alat muzik yang tertinggal. Setelah menunaikan permintaan Datuk Hercules iaitu menyanyikan lagu Sue Sue Kemuning, dia pun pergi dan Do Re dan Mi pun rasa lega lalu meneruskan pengembaraan mereka. Sementara itu, sepasang kekasih (Lokman dan Nora) sedang berkasih-kasihan manakala satu kumpulan perompak yang diketuai Koming membuat rancangan merompak kedai emas (Kedai Permata Sentosa) dan berjaya. Do Re dan Mi pula sampai ke pasar harian dan mereka cuba mengelentong seorang ustaz (Tok Lebai) untuk mendapat makan percuma kerana masing-masing tidak berduit. Sebaliknya mereka pula yang kena kelentong oleh Tok Lebai apabila dia tidak datang ke kedai makan untuk membayar harga makan minum di kedai tersebut. Oleh yang demikian terpaksalah mereka menyerahkan apa sahaja untuk membayar harga makan minum yang mereka sudah telan.

Ketika sedang hendak tidur di sebuah taman bunga, Do Re dan Mi telah berjaya menyelamatkan Nora daripada kena culik oleh orang-orang Koming kerana Nora telah menolak pinangan koming. Akibat pergaduhan itu mereka bertiga dimasukkan ke wad hospital. Kerana mendapat layanan yang baik di hospital itu, Do Re dan Mi bercadang untuk tinggal terus di situ. Tetapi apabila mendengar Tuan Doktor (pura-pura sahaja) mahu menghantar mereka ke hospital mental (gila), mereka takut lantas mereka pun melarikan diri dan sampai pula di rumah Koming. Di dalam rumah, Koming dan orang-orangnya sedang berbincang cara bagaimana untuk mendapatkan Nora. Dan bagi memudahkan Koming memiliki Nora, orang-orang Koming mencadangkan supaya koming pergi berjumpa Tok Bomoh bagi memperkenakan Nora secara halus.

Bila Do Re dan Mi mendengar rancangan tersebut mereka pun pergi ke rumah Tok Bomoh di mana Tok Bomoh sebenarnya diikat manakala Re mengambil tempatnya sebagai Tok Bomoh. Dengan tipu muslihat yang dilakukan, Koming mereka pekenakan, dapat makan percuma serta memperolehi wang 400 ringgit. Wang itu diagih-agihkan 100 ringgit seorang termasuk untuk Tok Bomoh yang juga Tok Bomoh temberang. Re memberi Koming tangkal (azimat) palsu dan menyuruhnya menanam tangkal tersebut di halaman rumah Nora dan waktunya mesti tengah malam. Ketika mereka mahu menanam tangkal itu tiba-tiba mereka dikejutkan dengan kedatangan Do Re dan Mi yang menyamar sebagai Datuk Jin yang memberi petua iaitu pertama, sebelum menanam tangkal itu semua pakaian mesti ditanggalkan, tinggal seluar dalam sahaja. Kalau tidak, tidak mujarab. Kedua, sesudah menanam tangkal itu kesemua mereka mesti lari sekuat hati dan jangan menoleh-noleh ke belakang, kalau tidak, tidak mujarab. Kesemua petua itu telah dilakukan oleh Koming beserta orang-orangnya. Bagaimanapun ketika Do Re dan Mi sedang berada di perkarangan rumah Nora mereka telah ditangkap oleh penduduk kampung yang menyangka mereka adalah pencuri tetapi salah sangka itu dapat diselesaikan apabila Nora dan Lokman pulang dan dari urutan peristiwa yang berlaku kesimpulan telah dibuat Koming turut terlibat sama dengan kumpulan haram dan bersangkut paut pula dengan rompakan kedai emas.

Rancangan pun dibuat iaitu dengan menghantar Nora pergi bertemu Koming dan pura-pura jatuh cinta dengan Koming hasil tangkal yang ditanam. Daripada mikrofon kecil yang dipakai Nora segala perbualan Nora dengan Koming dapat didengari oleh Lokman beserta Do Re dan Mi - satu usaha untuk memerangkap Koming bagi mendapatkan rahsianya. Kerana terlalu cintakan Nora, segala rahsia yang ada di rumah itu didedahkan oleh Koming termasuklah peti-peti rahsia yang mana semuanya telah didengari oleh lokman, Do Re dan Mi. Oleh kerana mikrofon yang dipakai Nora diketahui oleh Koming dan takutkan Nora diapa-apakan oleh Koming mereka pun masuk menyerbu ke rumah Koming. Setelah pergaduhan berlaku akhirnya Koming dan orang-orangnya tewas dan ditangkap oleh polis. Apabila dibicarakan, Koming beserta orang-orangnya dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun kerja berat. Setelah Do Re dan Mi memperolehi 1000 ringgit sebagai hadiah membantu polis, Do mencadangkan supaya wang tersebut dihadiahkan pula kepada Lokman dan Nora untuk belanja kahwin. Dalam hati Re dan Mi, tak setuju tetapi tak boleh buat apa-apa. Terpaksa setuju. Kemudian Do Re dan Mi berbasikal meneruskan pengembaraan mereka.  

ULASAN & KRITIKAN

Filem ini (yang kedua dalam siri Do Re Mi) P.RAMLEE membawa unsur-unsur kriminal (jenayah). Pengembaraan diteruskan apabila tiga sahabat bertemu satu kumpulan haram dan melakukan rompakan kedai emas yang mana ketuanya (Komeng) tergila-gilakan gadis bernama Nora yang mempunyai kekasih (Lokman). Pengembaraan Do Re dan Mi diteruskan bagaimana mereka bertiga menyelamat dan membantu Nora, Lokman dan pihak polis menumpaskan kumpulan tersebut yang mana akhirnya berjaya dan seterusnya Lokman dan Nora dapat berkahwin dengan aman dan damai. Filem ini dikira baik dan melucukan juga dan lebih baik dibandingkan "Do Re Mi." Tetapi mempersendakan dan memperbodoh-bodohkan (lawak bodoh) kepada kumpulan haram dan perompak yang diketuai Koming yang keterlaluan memperlihatkan kepada kita betapa bodohnya mereka dan tidak boleh diterima akal yang waras.

Kebodohan mereka menerima apa sahaja yang dikatakan Tok Bomoh hingga sanggup menjadi barang mainan dan berlari bertelanjang bogel dikira suatu kebodohan yang boleh dianggap melampau walaupun filem adalah suatu bentuk hiburan. Filem ini dikira baik dan melucukan juga. Walaupun ia boleh dianggap memperbodoh-bodohkan penonton namun kita tetap ketawa lebih-lebih lagi telatah A.R.Tompel yang menyamar sebagai Tok Bomoh. Mahmud June (ayah Nora) lakonannya begitu keterlaluan terutama bila dia berada di majlis muda mudi. Tariannya seperti "beruk kena belacan" dan bertambah kurang selesa apabila adanya Habibah Haron (sebagai isterinya) yang berpakaian seluar ketat turut menari bersama. Lakonan Ghazali Sumantri dan Mahyon Ismail pertama kali berlakon di bawah arahan P.RAMLEE) sederhana saja, sesuai dengan hero dan heroin.

IRAMA & LAGU

Kurang 2 lagu dibandingkan "Do Re Mi":

  1. Taman Firdausi (P.RAMLEE & Saloma)
  2. Hati Muda (Saloma)
  3. Pesta Muda Mudi (Saloma)
  4. Sue Sue Kemuning (P.RAMLEE, A.R.Tompel & Ibrahim Din)
  5. Ilham Tiba (P.RAMLEe & Saloma)
          Ciptaan & gubahan: P.RAMLEE & Ahmad Nawab
          Lirik: P.RAMLEE & A.R.Tompel

FAKTA & ANGKA


  • Satu-satunya filem Ghazali Sumantri dan Mahyon Ismail berlakon di bawah arahan P.RAMLEE. Ghazali Sumantri banyak berlakon di Cathay keris antaranya "Bunga Tanjong" dan "Kalong Kenangan" manakala Mahyon Ismail bintang baru muncul di MFS.
  • Filem pertama cerita dan lakon layar berdasarkan karya S.Sudarmaji yang diarahkan P.RAMLEE di MFS.
  • Adegan hantu dengan Ibrahim Din berdiri di atas bahu A.R.Tompel bagi menakut-nakutkan kumpulan jenayah yang diketuai Koming diambilnya dari filem lakonan 3 Stooges - "Malice In The Palace" (1949).
  • Tercatat dalam sejarah, P.RAMLEE menyanyikan dua lagu ciptaan (pencipta lagu lain selain dirinya) Ahmad Nawab bersama Saloma - Taman Firdausi dan Ilham Tiba.
  • Wan Chik Daud yang berperanan heroin dalam "Do Re Mi" menjadi Bintang Undangan dalam filem ini bagai jururawat merawat Do Re dan Mi. Nama "Milah" jadi "Milo" oleh Wan Chik Daud memeranjatkan Ibrahim Din dan A.R.Tompel.
  • Mahmud June yang berasal dari Kampung Titi Gajah, Alor Setar, Kedah meninggal dunia di Kuala Lumpur pada 14 Februari 2002. 

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078