Pages

Thursday, February 16, 2017

Sinopsis Filem Chinta

Dikeluarkan oleh RUNME SHAW CHINTA dan SIPUT SERAWAK Di Dalam "CHINTA" Gambar DIambil Oleh CHOW CHENG KOK KWO CHANG TSAN Suara Diambil Oleh YAP YAN SENG CHENG CHOW TONG Pengarang Lagu-Lagu ZUBIR Pancharagam ALFONSO SOLIANO Disokong Oleh King Kanchi & Sanchi ROOMAI NOR Gamban JA'AFAR WIRYO Vidush HARRIS Putar P.RAMLEE Ruchi SUHARA EFFENDI Island Girls NORSIAH & LELAWATI Di Pengarah Oleh B.S.RAJANS

Tahun Diedarkan: 1948 (Oktober)
Masa Tayangan: 1 Jam 32 Minit (lebih kurang)

RINGKASAN CERITA

Cerita bermula di Brunei Utara 500 tahun lalu apabila Raja Indrapuri (Raja Kanchi) bersama pembantunya (Vidush), ketika dalam pelayaran menyamar diri sebagai ahli perniagaan, telah ditimpa kecelakaan apabila kapal yang mereka naiki karam dipukul gelombang besar. Raja Kanchi dan Vidush terdampar di sebuah pulau di mana ada nelayan tinggal di situ. Pulau kampung nelayan tersebut dikuasai oleh Datuk Penghulu (Gamban), Raja Kanchi diselamatkan oleh anak angkat Datuk Penghulu (Chinta) manakala Vidush pula sampai ke rumah seorang gadis (Ruchi) lalu terus tinggal bersamanya yang juga mempunyai seorang ayah. Supaya tidak diketahui oleh sesiapa, siapa diri baginda yang sebenar, Raja Kanchi menyamar menggunakan nama Sanchi dan kemudian jatuh cinta dengan Chinta yang merupakan gadis paling jelita yang terdapat di pulau nelayan itu. Bagaimanapun, percintaan Sanchi dan Chinta mendapat halangan apabila dia ditentang oleh Putar, Pemuda yang menaruh hati terhadap Chinta. Sebagai usaha menggagalkan percintaan antara Sanchi dan Chinta, Putat menyebarkan fitnah dengan menyatakan Sanchi adalah perompak yang datang ke pulau tersebut bertujuan merampas harta karun yang ada terpendam di pulau itu. Putar menghasut penduduk-penduduk dan meminta Datuk Penghulu menghalau Sanchi keluar dari pulau tersebut.

Begitupun juga, demi kebenaran "siapa benar, siapa salah" Datuk Penghulu mencadangkan supaya satu pertarungan antara Sanchi dan Putar diadakan. Dalam pertarungan yang sengit itu, Sanchi akhirnya berjaya menewaskan Putar. Walaupun mempunyai kesempatan untuk untuk membunuh Putar yang sepatutnya dilakukan, tetapi Sanchi tidak melaksanakannya dan ini membuatkan Putar menyesali atas kesilapan yang telah dilakukannya. Dalam pada itu, Datuk Penghulu telah menerangkan keadaan sebenarnya tentang diri Chinta yang mahu membalas dendam terhadap Raja Indrapuri yang memerintah sekarang. Ini disebabkan ayahandanya telah memberontak dan merampas Kerajaan Indrapuri hingga menyebabkan Gamban (dulu seorang panglima yang setia) terpaksa melarikan diri dengan membawa Chinta (masih kecil) bersamanya bagi mengelak menjadi mangsa pembunuhan seperti yang terjadi kepada Raja dan Permaisuri Kerajaan Indrapuri. Penghulu merasakan sudah tiba masanya Chinta mengambil kesempatan membalas dendam dengan membunuh Raja Indrapuri yang memerintah sekarang. Tetapi apabila perkara itu dibawa ke pengetahuan Sanchi, Sanchi tidak setuju dan ini menyebabkan Chinta berasa kurang senang dan jauh hati. Apabila Sanchi kembali ke Indrapuri, Chinta dan Gamban menyusul dan berjaya masuk ke dalam istana melalui pintu rahsia yang sememangnya diketahui oleh Gamban dan terus masuk ke bilik tidur (peraduan) Raja Kanchi (Sanchi) dan mereka hampir-hampir berjaya membunuh Raja Kanchi, tetapi kemudian tertangkap. Bagaimanapun, Raja Kanchi mengarahkan supaya Chinta dan Gamban dibebaskan.

Selepas itu, Raja Kanchi kembali semula ke pulau dan berjanji kepada Chinta yang baginda akan membantu Chinta untuk menunaikan hasratnya membalas dendam itu dengan membunuh Raja Kanchi. Raja Kanchi mengiringi Chinta dan gamban pergi ke Indrapuri dan bila sampai di sana Sanchi terus menduduki takhta Kerajaan yang mana kini barulah Chinta dan Gamban mengetahui Sanchi yang mereka kenali selama ini ialah Raja Kanchi - Raja yang memerintah Kerajaan Negeri Indrapuri. Raja Kanchi kemudian dengan rela hati menyerahkan takhta kerajaan kepada Chinta (dia yang berhak menduduki takhta tersebut) tetapi Chinta menolak. Akhirnya Raja Kanchi berkahwin dengan Chinta dan mereka bersama-sama memerintah Kerajaan Negeri Indrapuri dengan adil dan saksama.

P.RAMLEE SEBAGAI PELAKON

Tidak banyak dapat diperkata mengenai lakonan P.RAMLEE dalam filem ini disebabkan peranannya hanya sebagai pelakon pembantu (actor in supporting role) iaitu Putar (watak jahat pada mulanya, kemudian menjadi baik) lebih-lebih lagi adegan untuknya tidak seberapa. Filem ini lebih menumpukan peranan yang dibawakan Siput Sarawak (Serawak) dan Roomai Noor (S.Roomai Noor) sebagai pelakon utama (actor and actress in leading role). Watak Putar yang dilakonkannya merupakan seorang pemuda yang cuba merebut Chinta dan Sanchi. Putar menjadi musuh ketat Sanchi kerana cintanya terhadap Chinta tidak berbalas malah Chinta menunjukkan cintanya terhadap Sanchi. Sebagai pelakon baru dan buat pertama kali pula berdepan dengan kamera, lakonan P.RAMLEE terlalu banyak kelemahan. Lakonannya kelihatan kaku, penuturan dialog tidak tersusun kemas dan seringkali pula tersekat-sekat. Begitu pun juga, ini tidak boleh disalahkan kepada P.RAMLEE sahaja kerana dialog pada ketika itu sememangnya tidak disusun dengan baik dan lebih banyak mirip keindonesiaan dan kebangsawanan. Walau bagaimanapun, pelakon baru anak kelahiran Pulau Pinang ini telah menunjukkan bakat dan kemampuan sebagai pelakon filem. daripada personalitinya (sungguhpun kurus melidi tetapi memperlihatkan ketampanannya) ternyata P.RAMLEE mempunyai masa depan yang cerah dalam dunia perfileman Melayu.

Mungkin B.S.Rajhans yang membawanya ke arena filem melayu tidak menyangka P.RAMLEE yang diminati kerana suaranya yang merdu itu akan menjadi seorang tokoh filem Malaysia (termasuk Singapura dan Indonesia) yang mana kehilangannya (meninggal dunia) sangat sukar dicari ganti. Dalam akhbar UTUSAN MELAYU (tulisan jawi) keluaran 28 Oktober 1948, pengulas filem yang hanya menggunakan nama Wakil Kita mengulas: "Pelakon-pelakon yang mengambil bahagian didalamnya adalah muka-muka lama juga kecuali Roomai Noor menjadi Kanchi, Siput menjadi Chinta dan RAMLEE menjadi Putar. Ketiga-tiganya telah menunjukkan kebolehan yang patut dipuji." Dialog pertama yang diucapkan P.RAMLEE di filem melalui filem ini ialah: "Chinta!" yang ditujukan kepada Siput Sarawak. Kemudian disusuli pula: "Jangan lari terlalu lekas, nanti jatuh. Rosak mukamu yang cantik itu. Mengapa Chinta, tidak mahu menyambut kedatangan kekaishmu." Selepas itu, Siput Sarawak (sambil menampar muka P.RAMLEE) menjawab: "Ini kasi ajar pada kau baru tahu, kau bercakap dengan siapa monyet, huh!" Walaupun P.RAMLEE tidak dapat memperlihatkan lakonan yang baik dalam filem ini tetapi mempunyai suara merdu. Suaranya itu telah digunakan sebagai 'playback singer' untuk S.Roomai Noor.

ULASAN & KRITIKAN

Pada keseluruhannya filem ini sudah semakin baik persembahannya jika dibandingkan dengan tiga filem keluaran MFP sebelum ini - "Singapura Di Waktu Malam", "Chempaka" dan "Pisau Berachun". Cerita agak baik, suara tenang dan jelas. Gerak mulut yang kebiasaannya tidak sama sudah dapat dikurangkan dan diperbaiki. Filem ini juga telah mendapat sambutan hangat kerana penonton ketika itu sangat dahagakan hiburan dan filem-filem Melayu menjadi sasaran mereka apatah lagi kejelitaan Siput Sarawak sudah berjaya menawan hati mereka semasa menonton "Singapura Di Waktu Malam".

IRAMA & LAGU

Boleh dikatakan kesemua lagu yang terdapat dalam filem ini menarik belaka:
  1. Pulau Nelayan (Nona Asiah)
  2. Kumbang Dan Rama-Rama (Nona Asiah)
  3. Ole-Ole Nelayan & Kopi Susu (D.Harris)
  4. Kumbang Dan Rama-Rama (P.RAMLEE & Nona Asiah)
  5. Gelora Asmara (P.RAMLEE & Nona Asiah)
  6. Chinta (P.RAMLEE & Nona Asiah)
  7. Selamat Berjumpa Lagi (P.RAMLEE & D. Harris)
  8. Mari Pancing Ikan ( P.RAMLEE & D.Harris)
         Ciptaan & gubahan : Zubir (Zubir Zaid)
         Lirik : Zubir Zaid
         Muzik Iringan : Pancaragam pimpinan Alfonso Sollano

  • Kecuali Mari Pancing Ikan (P.RAMLEE menggunakan suaranya sendiri) kesemua lagu yang diyanyikan S.Roomai Noor menggunakan suara P.RAMLEE. 

FAKTA & ANGKA

  • Filem keempat arahan B.S.Rajhans di MFP selepas "Singapura Di Waktu Malam", "Chempaka" dan "Pisau Berachun".
  • Selain P.RAMLEE inilah filem pertama lakonan S.Roomai Noor dan pertama kali juga Osman Gumanti muncul di layar perak sebagai penari istana.
  • Bagi Siput Sarawak ini adalah filem keduanya selepas "Singapura Di Waktu Malam".
  • Pertama kali ditayangkan kepada orang ramai (tayangan tengah malam) pada 26 Oktober 1948 di Panggung Rex, Singapura.
  • Di samping berlakon P.RAMLEE juga menjalankan tugas sebagai 'clapstick boy' termasuk menarik dan menolak kamera.
  • Setelah memperlihatkan bakat lakonan yang agak baik, P.RAMLEE telah ditawarkan menandatangani kontrak dua tahun bertugas sebagai pekerja MFP.
  • Turut membintangi filem ini (menjadi terkenal kemudian dan banyak membantu P.RAMLEE) tetapi tidak tercatat dalam 'credit title' - Daeng Idris dan S.Sudarmaji.
  • Selepas membintangi filem ini S.Roomai Noor dan Siput Sarawak pun berkahwin.

B.S. RAJHANS

B.S.Rajhans (nama penuhnya Barved Singh Rajhans) berketurunan Punjabi. Selepas mengarahkan "Laila Majnun" (1933) dia pulang ke India dan berkesempatan mengarahkan filem "Iman Farosh" untuk Saroj Movietone (1937) dan "Jassa Daku" (1940) keluaran Indrea Movietone. Dalam tahun 1942, B.S. Rajhans mengarahkan "Menantu Durhaka" (keluaran Tan dan Wong Company dari Indonesia) tetapi tergendala apabila Perang Dunia Kedua meletus. Bagaimanapun, filem tersebut dapat disiapkan dan seterusnya dapat diedarkan di pawagam. Apabila Malayan Arts Production (MAP) ditubuhkan yang dikongsi bersama Chisty, Chia dan Samy, B.S.Rajhans ditawarkan mengarah "Seruan Merdeka" yang dibintangi Salleh Ghani dan Rokiah Hanafi.

Apabila MAP dibubarkan, wujud pula Malay Film Production (MFP) yang mana Runme Shaw dan Run Run Shaw menawarkan kepada B.S. Rajhans mengarahkan "Singapura Di Waktu Malam". Dia merupakan pengarah filem pertama berkhidmat di MFP. Singapura Di Waktu Malam memperolehi kejayaan dan selepas itu dia telah diberi kepercayaan mengarahkan "Chempaka", "Pisau Berachun", "Chinta", "Noor Asmara", "Nasib", "Nilam" dan banyak lain. Kemudian B.S.Rajhans berpindah pula ke Cathay Keris (filem terakhirnya di MFP "Raja Sehari") untuk mengarahkan "Buloh Perindu" yang dibuat dalam warna warni. B.S.Rajhans mengarahkan tiga filem lagi di Cathay Keris - "Dahlia", "Insaf" dan "Terang Bulan Di Malaya". Kemudian dia kembali semula ke MFP dan mengarahkan filem terakhirnya - "Empat Isteri" yang dibintangi oleh Daeng Idris, Latifah Omar, Normadiah, Saloma dan Mariani. "Empat Isteri" diedarkan untuk tayangan pada 30 April 1955 iaitu sebulan sebelum dia meninggal dunia - 31 Mei 1955.


SUMBER: FILEM-FILEM P RAMLEE

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078