JOHOR BAHRU - Cuti di semua sekolah di Johor dilanjutkan sehari lagi berikutan
bacaan kualiti udara menunjukkan pada tahap tidak sihat.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri,  Aminudin Adam berkata, ia membabitkan
penutupan sebanyak 1,178 sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri ini
dengan jumlah 618, 326 pelajar.


Terdahulu Kementerian Pendidikan mengarahkan semua sekolah di Johor ditutup 
akibat jerebu pada hari ini manakala Jabatan Pendidikan Negeri mengesahkan cuti 
dilanjutkan sehingga esok. 


Sehubungan itu, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah di
Negeri Johor diminta memaklumkan kepada sekolah dan ibu bapa di kawasan
 masing-masing mengenai penutupan tersebut
dengan kadar segera.
    
Berdasarkan laman sesawang Jabatan Alam Sekitar, setakat 4 petang tadi empat
kawasan di Johor mencatat bacaan IPU tidak sihat iaitu Larkin Lama (128); Pasir
 Gudang (121); Muar (113) dan Kota Tinggi 108.
    
Sementara itu, semua sekolah di Melaka yang ditutup hari ini kerana jerebu diarah
dibuka semula seperti biasa esok berikutan keadaan jerebu di negeri tersebut
bertambah baik.



Sumber : Sinar Online