JOHOR BAHRU - Keadaan jerebu yang berterusan di bandar raya ini sedikit sebanyak menjejaskan
perniagaan apabila orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengehadkan aktiviti di
luar rumah.
    
Tinjauan Bernama di beberapa lokasi perniagaan, medan selera dan pasar raya mendapati tidak
ramai yang mengunjunginya berikutan kebanyakan orang memilih tinggal di rumah.
    
Seorang pekerja kedai serbaneka di Taman Pelangi di sini, Nurazana Fadhilah, 18, berkata
jerebu sedikit sebanyak menjejaskan perniagaan kerana tidak ramai yang datang membeli barang,
berbanding sebelum ini.
    
"Kita boleh nampak tidak ramai yang datang, ramai yang memilih untuk tidak keluar rumah
dan yang datang pun akan mencari topeng penutup muka," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
    
Sementara itu, peniaga di medan selera Taman Suria di sini, Mohd Yasin Yusuf, 60, berkata
perniagaannya terjejas kira-kira 40 peratus akibat jerebu yang melanda sejak awal Ogos lepas.


"Sejak jerebu melanda, pelanggan jarang datang ke sini untuk makan, saya risau sebab ianya 
sangat menjejaskan perniagaan ditambah pula dengan keadaan ekonomi kita sekarang.
    
"Pelanggan yang datang hanyalah pekerja sekitar pasar raya yang berdekatan sahaja," katanya.
    
Setakat pukul 4 petang tadi, Indeks Pencemaran Udara (IPU) paling tinggi di negeri ini
dicatatkan di Pasir Gudang dengan bacaan 121, diikuti Muar 114, Larkin Lama 113 dan Kota
Tinggi 91. - Bernama

Sumber : Sinar Online