PUTRAJAYA - Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai telah mengarahkan
Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Jabatan Laut supaya mengemukakan laporan
harian mengenai jerebu kepada beliau.
    
Katanya beliau memberi tempoh seminggu kepada kedua-dua jabatan itu untuk
menyusun laporan berkenaan untuk dibentangkan pada mesyuarat Kabinet akan datang.
     
Tiong Lai berkata laporan itu akan menunjukkan bagaimana industri penerbangan
dan pelabuhan terjejas serta langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan
gangguan penerbangan.
    
"Jerebu telah memberi kesan bukan sahaja kepada ekonomi dan kesihatan malah
penerbangan industri yang menyaksikan banyak penerbangan ditangguhkan, dibatalkan
dan diubah laluan.
    
"Kami sedang menyusun laporan ini untuk memaklumkan kepada kerajaan Indonesia
 bahawa jerebu benar-benar memberi kesan kepada kita (Malaysia) dan betapa
seriusnya keadaan ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat
 Kabinet hari ini. - Bernama