JOHOR BAHRU - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menubuhkan stesen sementara
pemantauan kualiti udara bertujuan untuk membantu warga kampus mengetahui keadaan
sebenar jerebu.
  
Pengarah Kampus Pelestarian UTM Prof Madya Ir Dr Mohd Fadhil Md Din berkata satu
pasukan bertindak jerebu turut dibentuk di peringkat universiti diketuai oleh Pemangku
Naib Canselor Prof Dr Azlan Abd Rahman.
  
Beliau berkata tujuan penubuhan stesen berkenaan memandangkan stesen terdekat iaitu
Larkin Lama terletak kira-kira 13 kilometer dari universiti.
  
"Stesen ini yang menggunakan dua alat pemantauan udara akan merujuk silang bacaan
dari Stesen Larkin Lama yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar dan Stesen Singapura
Utara," katanya kepada pemberita selepas melakukan demonstrasi penggunaan alat
pemantauan udara di padang utama, UTM, Skudai dekat sini, hari ini.
  
Mohd Fadhil berkata, stesen yang mula beroperasi semalam, menggunakan dua alat iaitu
 alat pengukur kewujudan zarah dalam udara dan alat pengukur elemen dalam gas.
  
Beliau berkata, data dikumpul setiap sejam dan kemudiannya rumusan akan dihantar
kepada pasukan bertindak jerebu, yang akan menyelaras hebahan dan mekanisme respons
tindakan.
  
"Hasil pemantauan ini akan dikumpul dan dikemukakan kepada kerajaan sebagai cadangan
untuk menambah baik pemantauan udara negara pada masa depan," kata Mohd Fadhil.


Sumber : Sinar Online