Pages

Friday, January 22, 2016

Legenda Bola Sepak Malaysia Azizol Abu Haniffah


Kelayakan Olimpik 1983 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur benar-benar menjadi saksi penting kebangkitan mendadak bintang tengah Malaysia kelahiran Teluk Intan, Perak - Azizol Abu Haniffah.

Dalam tempoh lapan minit terakhir perlawanan pada 10 Oktober 1983 itu, bakat umpanan Azizol terserlah sehingga membolehkan Zainal Abidin Hassan membolosi gawang Arab Saudi sebanyak dua kali. Tiada siapa menduga kemasukan Azizol menggantikan Chen Wooi Haw, mengubah langsung rentak perlawanan malah skuad Malaysia kendalian jurulatih dari England, Frank Lord berjaya mengejutkan gergasi Asia itu dengan keputusan 3-1.

Gejon, Jijon atau Demang merupakan nama jolokan buat bekas penuntut Sekolah Harley Methodist, Teluk Intan itu, yang telah mula mewakili daerah Hilir Perak sejak berusia belasan tahun. Dia juga merupakan anak kepada bekas pemain Perak tahun 1948 hingga 1956, Abu Haniffah Mohd Ali malah mempunyai seorang kakak, Azimah yang pernah mewakili pasukan wanita Selangor dan Malaysia.

Gelaran itu bertukar kepada yang leih besar seperti Arkitek atau Jeneral Padang selain dianggap Midfielder Terbaik ketika menyarung jersi Perak dan Malaysia, termasuk sepanjang menyertai skuad pelapis Harimau Malaya dari tahun 1983 hingga 1994. Azizol terlebih dahulu mencipta kejayaan besar bersama Malaysia apabila memenangi pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 1989 dan Pestabola Merdeka 1993, masing-masing selepas menewaskan Singapura 3-1 dan Korea Selatan 3-1.

Dia turut membantu Perak menjulang Piala FA pada tahun 1990, yakni edisi sulung kejohanan kalah mati kebangsaan itu apabila menewaskan Selangor 4-2 di bawah bimbingan Datuk M.Karathu, walaupun mereka ketinggalam 2-0 pada babak pertama. Tahun 1991 menyaksikan Azizol terpilih membarisi skuad negara kendalian Rahim Abdullah untuk perlawanan menentang England. Tewas 4-2 di Stadium Merdeka, namun mereka menerima tamparan lebih hebat beberapa bulan kemudian selepas tewas mengejut kepada Filipina 1-0 pada Sukan SEA Manila.

Detik hitam menimpa Azizol selepas dinamakan antara sebahagian pemain yang didapati bersalah terlibat dalam aktiviti mengatur keputusan perlawanan liga, menyebabkan dia dihukum buang daerah selama beberapa tahun serta digantung daripada sebarang aksi bola sepak. Namun semangat dan cinta Azizol kepada bola sepak terlalu membara. Sebaik tamat menjalani hukuman itu, dia membimbing Perodua FC menyertai Liga Kuala Lumpur, Liga Perdana Malaysia dan pernah membuat kemaraan hingga ke peringkat suku akhir Piala FA.  

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078