Pages

Monday, January 18, 2016

Legenda Bola Sepak Malaysia Peter Edward Rajah



Mendiang Peter Edward Rajah lebih menyerlah sebagai pemain bola keranjang peringkat sekolah dan negeri semasa menuntut di Sekolah Menengah La Salle, Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah.

Justeru ia agak lewat buat lelaki tinggi lampai ini untuk menyarung jersi negara biarpun mendiang kemudian berada di kalangan antara penempah tiket Malaysia ke Sukan Olimpik Moscow 1980. Dilahirkan di Singapura pada 1 April 1951, anak kesembilan daripada 10 adik beradik ini, membentuk trio hebat Sabah era akhir 70-an hingga awal 80-an bersama Raja James Wong dan Si Lipas Kudung Hassan Sani yang nyaris ke perlawanan akhir Piala Malaysia sebelum terpilih membarisi skuad negara.

Peter memikat jurulatih Malaysia dari Jerman Barat ketika itu, Karl Heinz Weigang yang menyenaraikan namanya untuk aksi Kelayakan Olimpik Kumpulan 2 Asia sebagai penjaga gol ketiga di belakang mendiang R.Arumugam dan mendiang Ong Yu Tiang. Stadium Merdeka, Kuala Lumpur sempat menyaksikan aksi penjaga gol Sabah ini ketika Malaysia menewaskan Brunei 3-1 dan mengikat Jepun 1-1 pada 27 Mac 1980 dan 30 Mac 1980 sebelum mereka menjuarai kumpulan dengan menewaskan Korea Selatan 2-1.

Barisan benteng negara yang melindungi Peter ketika itu ialah ketua pasukan, Datuk Soh Chin Aun, D Davendran, Datuk Santokh Singh dan Kamaruddin Abdullah selain Datuk Jamal Nasir Ismail serta Wan Jamak Wan Hassan. Malang sekali, impian Peter rakan sepasukan untuk menikmati pengalaman Olimpik di Moscow lebur gara-gara permulauan Kerajaan Malaysia terhadap temasya itu sebelum diselubungi Bencana Kuwait akibat kekalahan teruk dalam Kelayakan Piala Dunia 1981.

Penampilan Peter dengan pasukan kebangsaan agak terhad dari tahun 1979 hingga 1981 namun bersama Sabah, dia sudah menabur jasa sejak tahun 1972 hingga 1988 walaupun ada laporan menyebut khidmatnya pernah berlanjutan hingga ke tahun 1993 atau 1995. Sebelum Sabah diterima menyertai Piala Malaysia, Peter, James dan Hassan kerap bersaing dengan Sarawak dan Brunei dalam Piala Borneo selain turut mengambil bahagian ketika tewas kepada kelab gergasi England, Manchester United 2-0 dalam perlawanan persahabatan pada tahun 1981 di Kota Kinabalu.    

Peter meninggal dunia ketika usia 63 tahun kira-kira pukul 6.15 pagi pada 14 November 2014 di Hospital Duchess Of Kent, Kota Kinabalu akibat sakit jantung dan dikebumikan di Penampang. Mendiang meninggalkan balu, Tracia Gom (berkahwin pada 2 Ogos 1975)dan tiga oang anak - Elaine, Amanda dan Rueben selain menantu, Samson Wong, Richard Ensing dan Michelle Chua di samping lima cucu. Karier tetap Peter selepas bola sepak adalah sebagai Pengurus Kompleks Sukan Sandakan.

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078