Pages

Saturday, January 30, 2016

Legenda Bola Sepak Malaysia Soh Chin Aun


Di sebalik nama Datuk Soh Chin Aun yang sentiasa meniti dalam kisah kejayaan pasukan negara ke Sukan Olimpik Munich 1972 dan Moscow 1980 pingat gangsa Sukan Asia Tehran 1974 serta pelbagai emas Sukan SEA atau Pestabola Merdeka, tidak ramai yang tahu ejaan sebenar legenda ini dalam dokumen rasmi.

Soh Chin Ann ialah nama yang sebenar tetapi kesilapan ejaan dalam satu laporan akhbar sekitar tahun 70-an telah menyebabkan nama Chin Aun melekat hingga ke hari ini. Tauke, nama gelaran Chin Aun kerana dia kerap menyarung lilitan lengan sebagai ketua pasukan negara, dilahirkan pada 28 Julai 1950 di Alor Gajah, Melaka.

Namun karier bola sepak Chin Aun di peringkat kebangsaan lebih banyak berkisar di Selangor sejak 1970 hingga 1980 sebelum kembali ke negeri kelahirannya, Melaka dari 1981 hingga 1983. Bek tengah yang gemar menyingsing stoking hingga ke paras buku lali ini, menikmati pengalaman terindah apabila beraksi di Munich sebagai pemain termuda, berusia 21 tahun biarpun Malaysia gagal melepasi peringkat kumpulan. 

Lapan tahun kemudian, Chin Aun ditugaskan oleh jurulatih dari Jerman, Karl Heinz Weigang untuk mengemudikan benteng Malaysia sehingga mampu melepasi tentangan Jepun, Korea Selatan, Indonesia, Filipina dan Brunei untuk mara ke Moscow. Nama Chin Aun terus meniti bibir peminat bola sepak tanah air dengan beberapa pemain lain termasuk James Wong, Santokh Singh, Hassan Sani, Khalid Ali, Jamal Nasir, R Arumugam dan Bakri Ibni berjaya menewaskan Korea Selatan 2-1 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Namun kejayaan itu tersekat gara-gara pemulauan Kerajaan Malaysia terhadap Olimpik Moscow 1980 kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan. Setahun kemudian, aksi Kelayakan Piala Dunia di Kuwait turut mencalarkan memori pahit karier Chin Aun apabila Malaysia yang membariskan lebih ramai pemain bernama besar dalam pasukan, dibenam Korea Selatan 2-1, kuwait 4-0 dan hanya mengikat Thailand 2-2.

Pasukan Malaysia ketika itu memiliki Mokhtar Dahari, James, Hassan, Chow Chee Keong, Yip Chee Keong dan sebahagian besar tonggak yang meraih tiket Moscow, tetapi longlai dengan keadaan cuaca panas terik di Kuwait. Pernah menjadi pengurus pasukan Bawah 23 Tahun Malaysia sebelum dinaikkan status menjadi skuad utama negara dari 2007 hingga 2009, bagaimanapun ketika itu khidmat Chin Aun tidak disambung bersama jurulatih B.Sathianathan. Dia mencatat 252 penampilan antarabangsa malah terpilih sebagai pembawa Obor Olimpik Sukan Olimpik Athens 2004 bersama beberapa atlet negara seperti Datuk Dr. M. Jegathesan (olahraga), Nurul Huda Abdullah (renang), Nicol Ann David (skuasy) dan Wong Chong Hann (badminton).  


SUMBER: Wikipidea

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078