Pages

Saturday, January 30, 2016

Legenda Bola Sepak Malaysia Chow Chee Keong


Seawal usia 13 tahun lagi, Chow Chee Keong sudah pun menyarung jersi skuad bawah 20 tahun Malaysia. Malah dua tahun kemudian, dia sudah terpilih membarisi skuad utama kebangsaan dan bergelar antara pemain termuda yang berjaya berbuat demikian.

Mulai tahun 1965, namanya mula masyhur dan setahun kemudian hingga 1970, di dinobatkan sebagai Penjaga Gol Terbaik oleh Konfederansi Bola Sepak Asia (AFC) untuk lima tahun berturut-turut. Walaupun kurang dikenali di arena bola sepak Malaysia berbanding pencapaian antarabangsa, Chee Keong sempat bermain di beberapa kejohanan besar di tanah air seperti Pestabola Merdeka dan Kelayakan Piala Dunia pada era 80-an.

Namanya ternyata lebih harum di Hong Kong sebaik sahaja berkunjung ke bekas pulau jajahan Britain itu dengan sebuah pasukan pilihan Cina Malaysia pada 1968. Di situlah beberapa kelab bola sepak terpikat dengan ketangkasan mengawal gawang, lantas diikat oleh Hong Kong Rangers FC bagi tiga perlawanan sebagai pemain undangan. Pada 1970, kelab Jardines menggajinya HK 2500 sebulan sebagai pemain profesional yang merupakan rekod baru ketika itu. Penjaga gol lampai ini turut beroleh jolokan "Gerbang Besi Tanpa Karat Asia" dan "Pedang Gila" dalam liga Hong Kong.

Dia kemudian menyertai kelab South China AA kerana penarikan diri Jardines, aksinya sepanjang tiga musim di situ menghasilkan aneka gelaran dan anugerah peribadi. Pada 1974, dia beralih haluan ke Tung Sing dengan pendapatan bulanannya meningkat kepada HK 7000 termasuk penginapan sebelum kembali ke South China, tiga tahun kemudian dan menyertai Hong Kong Rangers FC.

Dia kembali ke Malaysia pada 1980 dan membantu pasukan negara muncul sebagai naib juara Pestabola Merdeka tahun itu selepas dikalahkan Maghribi 2-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Merdeka. Tiga tahun dia menyarung jersi Malaysia sebelum bersara pada tahun 1985 namun salah satu kenangan pahitnya adalah apabila skuad negara terkandas dalam Kelayakan Piala Dunia 1981. 

Ketika itu, Chee Keong, Yip Chee Keong dan Wong Choon Wah yang berpengalaman profesional di liga Hong Kong, dikatakan mendapat layanan istimewa pengurusan pasukan di Kuwait sehingga menjejaskan semangat berpasukan. Malaysia ditewaskan Korea Selatan 2-1, Kuwait 4-0 dan mengikat Thailand 2-2 biarpun turut beraksi ketika itu ialah Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, James Wong, Hassan Sani, Datuk Soh Chin Aun, Datuk Shukur Salleh dan ramai lagi bintang tempatan. Selepas menggantung but bola sepak, Chee Keong beralih ke lapangan golf dan pada 1991, dia beroleh lesen kejurulatihan. Selepas seketika sebagai jurulatih golf di Malaysia, dia mempraktikkan kemahiran sukan baru itu di Shenzhen, China dan Hong Kong pada 1995 dan 1997.


SUMBER: Wikipidea


No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078