Pages

Sunday, January 24, 2016

Legenda Bola Sepak Malaysia Jamal Nasir


Pengalaman selaku pelari pecut 100 dan 200 meter kejohanan peringkat sekolah banyak membentuk ciri-ciri istimewa bek kanan skuad negara dan Pahang, Datuk Jamal Nasir atau nama penuh, Jamal Abdul Nasir Ismail.

Nama Jamal mungkin kian harum di balapan olahraga apabila mampu meningkat ke arena Majlis Sukan Sekolah-Sekolah daerah dan negeri tetapi takdir sebaliknya menetapkan dia mencapai kemasyhuran di padang bola sepak. Larian deras Jamal dari posisi sebelah kanan benteng Malaysia sering membimbangkan pemain lawan yang tidak sempat mematahkan hantaran lintang buat barisan depan yang memburu gol melalui serangan balas pantas.

Sebutkan apa sahaja kejayaan Malaysia pada era 70-an hingga 80-an, nama Jamal sentiasa kedengaran sinonim dan segah Datuk Soh Chin Aun, Datuk Santokh Singh, Allahyarham Yahya Jusoh, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, dan mendiang Datuk R.Arumugam. Kelayakan Olimpik 1980 di Kuala Lumpur menjulang karier antarabangsa bapa kepada empat anak ini yang membantu meraih tiket ke temasya empat tahun sekali itu dengan menjuarai Kumpulan 2 Asia walaupun kerajaan Malaysia kemudian mengarahkan ia dipulaukan.

Gandingan Jamal di barisan belakang seperti bek tengah, Chin Aun dan Santokh serta bek kiri, Kamarudin Abdullah juga hanya melepaskan empat gol selain kekal tanpa kalah sepanjang enam perlawanan itu yang berlangsung di Stadium Merdeka. Lebih manis, terselit satu gol sumbangan Jamal ketika Malaysia membelasah Filipina 8-0 untuk menyertai dua gol masing-masing hasil sumbangan Khalid Ali, Hassan Sani dan Rameli Junit serta Abdah Alif.

Jamal juga menjadi penyumbang pingat emas negara Sukan SEA Kuala Lumpur 1977 dan Jakarta 1979 selain kejuaraan Pestabola Merdeka 1976 dan 1979, malah turut mengekang England B 1-1 dalam satu aksi persahabatan bersejarah di ibu kota pada 30 Mei 1978. Walaupun skuad negara tidak cemerlang dalam Kelayakan Piala Dunia 1977 di Singapura dan pusingan akhir Piala Asia 1980 di Kuwait, Jamal tetap antara pemain yang mengukir pencapaian terbaik Malaysia dalam sejarah kedua-dua pertandingan tersebut.

Di bawah bimbingan mendiang Frank Lord yang kemudian melatih pasukan negara, Jamal mengetuai Pahang menjulang Piala Malaysia buat kali pertama pada 1983 selepas mengejutkan Selangor 3-2. Jamal juga boleh berbangga apabila memegang rekod antara pemain termuda yang pernah menyarung jersi Malaysia B pada 1972 (17 tahun) selain sempat memakai lilitan lengan pada Piala Presiden Park 1981 di Korea Selatan.

Jamal, yang lahir tanggal 12 September 1954, sudah mengumpul lebih 100 penampilan antarabangsa bersama Malaysia dari 1972 hingga 1984. Selepas menabur jasa dengan Pahang dari 1971 hingga 1983, Jamal pernah menyandang jawatan Naib Presiden persatuan bola sepak negeri itu dan Ahli Majlis Persatuan Bola Sepak Malaysia.

"Saiz tubuh kecil saya sering dipandang ringan rakan sepasukan lebih senior mahupun jurulatih. Diherdik bodoh atau digugurkan kerana itu, sudah lali di telinga tetapi itulah yang menebalkan semangat saya untuk terus bermain dan berjaya," kata Jamal, yang pernah berhijrah ke arena politik dengan menganggotai parti UMNO. "Hendak berjaya juga, bukan setakat mahir atau berbadan besar tetapi perlu ada keazaman tinggi dan berminda cerdas". Jamal kemudian bergelar Yang Berhormat dari 1995 hingga 1999 apabila memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Pahang kawasan Beserah, sebelum menceburi bidang perniagaan.

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078