Pengarah Urusan Rayani Air, Jaafar Zamhari berkata, langkah itu menunjukkan komitmen pihaknya untuk mengeratkan hubungan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak walaupun baru beroperasi.

Katanya, keputusan itu juga dibuat selepas pengurusan dan seluruh kakitangan Rayani Air berpuas hati dengan sambutan para penumpang sejak memulakan operasi pada 20 Disember lalu.

“Selain setiap hari ramai yang membuat tempahan tiket, pesawat kami dipenuhi hampir 90 peratus penumpang setiap kali penerbangan ke Langkawi dan Kota Bharu,” katanya yang dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Jaafar berkata, Rayani Air juga menerima sambutan menggalakkan daripada penumpang bukan Islam untuk mencuba penerbangan patuh syariah dan maklum balas menunjukkan mereka benar-benar puas hati sepanjang berurusan dan menaiki Rayani Air.

“Mereka mengakui bahawa layanan di kabin kami adalah lebih mesra dengan tempat duduk yang lebih selesa. Yang bukan Islam juga tidak ada masalah apabila kami memulakan penerbangan dengan bacaan doa,” katanya.

Walaupun Rayani Air dimiliki oleh individu bukan Islam, Jaafar menjelaskan, pengurusan dan operasi syarikat itu dikendalikan oleh hampir 100 peratus orang Islam.