Pages

Tuesday, January 19, 2016

Legenda Bola Sepak Malaysia Bahwandi Hiralal



Bahwandi Hiralal cukup berbangga apabila diberi peluang membarisi kesebelasan utama menentang pasukan tuan rumah, yakni gergasi bola sepak dunia, Jerman Barat semasa Sukan Olimpik Munich pada 27 Ogos 1972.

Berdepan 60,000 penonton di Stadium Olimpik, Bahwandi bersama Datuk M.Chadran, Datuk Soh Chin Aun, Othman Abdullah dan Datuk Namat Abdullah di barisan benteng, menganggap ia pengalaman yang memang tidak ternilai dan sukar untuk dilupakan. Namun mereka bolos tiga gol hasil jaringan daripada Ronald Worm, Juergen Kalb dan Rudolf Seliger setelah kebal mempertahankan gawang Malaysia sepanjang 45 minit pertama perlawanan, satu aksi Kumpulan A yang berlangsung pada pukul 12 tengah hari waktu tempatan.

Bahwandi bagaimanapun direhatkan untuk dua lagi aksi ketika skuad bimbingan Allahyarham Jalil Che Din menewaskan Amerika Syarikat 3-0 dan dibenam Maghribi 6-0 di Ingolstadt pada 29 dan 31 Ogos 1972. Tuah lebih menyebelahi bekas pegawai polis berpangkat Deputi Supritendan itu kerana berjaya menyarung jersi No.19 negara di Sukan Olimpik meskipun dia tidak bermain ketika Malaysia menjuarai pusingan kelayakan di Seoul 1971.

Di Seoul, benteng skuad negara kendalian jurulatih kelahiran Scotland, Dave McLaren telah diperkuat oleh Chin Aun, Chandran, Namat, Othman, Dell Akbar Khan, dan Chan Kok Leong. namun Jalil lebih terpikat dengan aksi pemuda berketurunan Gurkha itu, yang merupakan bekas pemain hoki belia negara, setelah bek utama, Dell Akbar ditimpa kecederaan lutut dalam perlawanan Piala Malaysia beberapa minggu sebelum Sukan Olimpik.

Seperti Dell Akbar, Bahwandi turut menyarung jersi Selangor yang menjulang Piala Malaysia beberapa kali pada era 60-an hingga 70-an selain sempat menyumbang sebutir pingat Perak buat negara dalam Sukan SEAP Kuala Lumpur 1971. Dia juga dianugerahkan bakat sukan serba boleh malah disegani sebagai ketua pasukan hoki belia Malaysia untuk kejohanan di Bangkok, Manila dan Tokyo dari tahun 1969 hingga 1971. Selepas bersara sebagai pemain, Bahwandi  yang lahir pada 1 Jun 1951 kemudian menceburi bidang kejurulatihan dengan mengendalikan skuad bola sepak Polis Diraja Malaysia pada era 90-an.

Pernah memegang jawatan Presiden Persatuan Bekas-Bekas Pemain Bola Sepak Negara dan Negeri, Balwandi juga dilantik membimbing pasukan futsal Malaysia di Kejohanan ASEAN dan AFC dari tahun 2000 hingga 2001. Di bawah bimbingan Bahwandi skuad futsal Malaysia menduduki tempat ketiga di belakang Thailand dan Singapura menerusi dua kemenangan dalam kejohanan ASEAN di Shah Alam namun tepaksa akur dengan kekalahan 4-2 kepada Kazakhstan, Uzbekistan 10-5, Kuwait 4-3 dan Tajikistan 9-1 di Tehran bagi AFC.   

No comments:

Post a Comment

 

Lemonping.com

Babab.net

ruangan iklan untuk disewa

Kalo berminat untuk menyewa ruangan iklan boleh hubungi saya di talian 011 21963078